Tuesday, May 26, 2009

Kenapa Pilihanraya Negeri/DUN Perak Tidak Perlu Diadakan Semula?




Persoalannya bukanlah takut atau gerun, tetapi Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah perikatan yang matang dan cerdik tidak perlu tunduk dengan desakan untuk mengadakan semula pilihanraya negeri Perak yang sedang ribut ketika ini. Ternyata ini hanyalah ribut yang sengaja dicetuskan oleh pihak pembangkang yang dilihat semakin terdesak serta sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politik mereka.Dan hakikatnya, BN sentiasa bersedia menghadapi mana-mana Pilihan Raya (PR) sama ada umum ataupun kecil.

Pun begitu, di Perak, situasinya tidak memerlukan sebuah pilihan raya peringkat negeri diadakan. Hal ini demikian kerana, DYMM Sultan Perak tidak pernah berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus memberi laluan kepada pilihan raya diadakan. Dalam hal ini, Sultan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan melainkan hanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat jelata semata-mata. Kedudukan baginda di atas politik membenarkan baginda memutuskan sesuatu perkara mengikut budi bicara seperti yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Malangnya hal inilah yang seolah-olah enggan difahami oleh pembangkang dan sebaliknya, cuba dipermainkan pula dalam siri ceramah mereka di seluruh negara.

Persoalan yang cuba mereka bangkitkan dalam hal ini sememangnya mencabar kedudukan institusi kesultanan. Mereka cuba mempertikaikan tentang keengganan Sultan Perak untuk membubarkan DUN setelah diajukan permohonan pembubarannya oleh bekas MB Dato’ Seri Ir. Mohd Nizar ketika kemelut ini sampai ke kemuncaknya suatu ketika dahulu. Secara jelas telah diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa-kuasa tertentu seperti yang terkandung dalam peruntukkan Seksyen 18 (2b) iaitu *Sultan boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk tidak mempersetujui permintaan bagi membubarkan DUN. Apakah justifikasi baginda dalam memilih opsyen ini? Apakah hanya ini opsyen yang baginda punyai dalam menyelesaikan kemelut tersebut?

Sultan Perak sebenarnya telah berlaku adil apabila baginda tidak mendengar hujah-hujah secara sebelah pihak sahaja. Baginda telah mengambilkira suasana semasa dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku antara pihak Kerajaan Pakatan Rakyat yang kehilangan majoriti dan kerajaan negeri yang baru dibawah teraju Barisan Nasional. Kerajaan Pakatan Rakyat sememangnya telah hilang sokongan majoriti untuk terus membentuk sebuah kerajaan negeri dan menguasai DUN setelah tiga orang ADUN-nya bertindak keluar parti dan menjadi ADUN Bebas. Justeru bagaimana BN boleh membentuk kerajaan pula? Hal inilah yang sukar diterima oleh pihak pembangkang kerana ketiga-tiga ADUN tersebut telah mengisytiharkan sokongan terhadap BN bagi membentuk sebuah kerajaan negeri. Secara matematik mudahnya, sokongan ketiga-tiga mereka serta kembalinya ADUN Bota ke pangkuan UMNO yang sebelum itu bertindak keluar parti dan menyertai kem pakatan telah menjadikan kedudukan BN sebagai pihak yang bermajoriti dalam DUN sekali gus layak membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru.

Timbul juga persoalan lain iaitu adakah Sultan Perak tidak mempedulikan suara rakyat yang telah turun ke jalanan mengadakan demonstrasi menuntut supaya pembubaran DUN dilakukan? Dalam hal ini, pertama harus dilihat siapakah sebenarnya yang menginginkan sebuah pilihanraya diadakan? Adakah rakyat yang benar-benar mahukan pemilihan semula atau ada pihak yang mendalangi semua usaha tersebut? Jika rakyat yang beriya-iya mahukan sebuah pilihanraya sehingga sanggup merusuh dan melakukan keganasan di jalanan, justeru kenapa hanya satu kaum sahaja iaitu Melayu yang melakukannya? Di mana suara protes daripada kaum-kaum lain yang menyokong Pakatan Rakyat? Adakah hal ini kerana isu tersebut melibatkan institusi kesultanan maka hanya orang Melayu sahaja yang perlu memprotes? Atau mereka diperkudakan? Sejak peristiwa tersebut berlaku, semakin hari semakin terserlah hakikat bahawa usaha menuntut pemilihan semula diadakan hanyalah satu permainan politik yang disengajakan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang dilakukan melalui suara rakyat semata-mata. Ternyata aspek kerasionalan telah disisihkan dalam hal ini.

Dalam konteks pembentukan sebuah negara, atau lebih tepat sebuah kerajaan, pandangan rakyat semata-mata tidak boleh diambil kira kerana hal tersebut sering berlandaskan kepada emosi dan persepsi yang kadang-kala sukar diadili secara rasional. Hanya dengan sedikit isu ataupun sentimen yang sengaja dimainkan sudah cukup untuk mempengaruhi keputusan mereka sama ada secara individu mahupun secara berkumpulan. Hal ini jugalah yang berlaku dalam politik Malaysia ketika ini apabila sentimen kepartian lebih banyak menguasai perjalanan demokrasinya. Lebih malang juga apabila ada parti yang bertindak mahu menjadi jaguh kepada satu-satu kaum sehingga sanggup melaga-lagakan perasaan rakyat semata-mata untuk menjamin sokongan yang berterusan. Kita boleh melihat natijahnya apabila PKR bertindak menyokong perjuangan pertubuhan yang diharamkan iaitu Hindraf sehingga mencetuskan ketidakstabilan dalam pelbagai sudut termasuk ekonomi negara. Mujurlah hal ini berjaya dikawal segera melalui tindakan-tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa.

Di samping itu, pihak pembangkang juga turut memainkan isu kononnya Sultan Perak telah dipengaruhi oleh BN khususnya oleh Dato’ Seri Najib yang ketika itu masih menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Hal ini demikian kerana tindakan beliau yang menghadap baginda Sultan dilihat agak terburu-buru sekali gus mengundang persoalan adakah Sultan sudah terpengaruh dengan TPM sehingga membuat keputusan untuk tidak membubarkan DUN sebaliknya memberi laluan atau restu kepada BN bagi membentuk sebuah kerajaan. Selain itu, baginda juga didakwa mempunyai kepentingan peribadi atau kekeluargaan semasa membuat keputusan pelantikan Menteri Besar yang baru. Sesungguhnya, ini semua hanyalah tohmahan semata-mata. Segala tindakan yang baginda lakukan atau putuskan adalah secara jelas berasaskan perundangan yang dibuat secara adil dan bertunjangkan fakta yang benar dan sahih.Dalam hal ini, baginda Sultan mempunyai tiga pilihan atau opsyen yang jelas iaitu:

1. Membubarkan DUN dan satu Pilihan Raya Kecil diadakan.
2. Mengadakan undi tidak percaya terhadap DS Nizar selaku MB.
3. Mengenal pasti dan membenarkan parti yang mendapat sokongan majoriti menubuhkan sebuah Kerajaan Negeri yang baru.

Sehubungan itu, baginda telah memilih opsyen yang ketiga iaitu memilih BN yang mendapat sokongan majoriti untuk membentuk pemerintahan baru. Seperti yang diketahui umum, baginda Sultan Perak adalah bekas Ketua Hakim Negara. Baginda seorang yang bijaksana, berilmu, berpengalaman dan sangat mendalam pengetahuannya dalam selok-belok sistem demokrasi negara ini. Justeru, dalam merungkai permasalahan dan kemelut yang berlaku ini, baginda telah berlaku adil apabila memberi masa yang secukupnya kepada DS Nizar untuk berfikir bagi melepaskan jawatan seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak Perkara 36 (5). Hal ini dilihat sangat penting supaya sebuah pilihan raya baru yang tentunya akan memakan wang dan keringat rakyat dapat dielakkan. Perlu diingat bahawa Perak bukanlah sebuah negeri yang mewah. Justeru segala wang ringit yang ada tidak harus dibazirkan begitu sahaja.

Seperkara yang menarik apabila kita melihat kemelut ini ialah tentang sikap tidak matang pihak pembangkang yang lebih banyak dikuasai emosi dan sentimen kepartian berbanding tuntutan menjaga kebajikan rakyat yang selama ini mereka laung-laungkan. Adakah mereka, khususnya PAS yang hanya memiliki enam kerusi sahaja dalam DUN tidak sedar bahawa baginda Sultan secara logiknya boleh mengisytiharkan BN (khususnya UMNO) sebagai kerajaan negeri Perak selepas keputusan PRU ke-12 yang lalu? Hal ini demikian kerana, BN sebagai sebuah parti atau pertubuhan yang sah di sisi undang-undang telah pun memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam DUN Perak. Jika Sultan atau keluarganya dikatakan mempunyai kepentingan dalam BN, maka sudah tentu pada ketika itu lagi Sultan sudah melantik BN untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Perak yang sah. Sebaliknya dengan pertimbangan yang adil dan berlandaskan undang-undang baginda melantik kerajaan parti campuran (Pakatan Rakyat) yang dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Perak yang baru dengan majoriti yang tipis sahaja. Dan perlu diingat, Pakatan Rakyat tidak pernah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah di negara ini. Perikatan yang dibentuk ini jelas sekali bermotifkan politik semata-mata iaitu untuk menafikan hak dan peluang BN.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini dan berulang kali ditegaskan oleh PM juga bahawa pilihan raya dan undi tidak percaya bukanlah satu-satunya kaedah penyelesaian bagi proses pembentukan Kerajaan dan pelantikan MB, sebaliknya Sultan mempunyai kuasa dan budi bicara yang tersendiri. Tuanku Sultan juga ternyata amat prihatin dengan perkembangan semasa yang sedang melanda negara umumnya dan Perak sendiri khususnya. Masalah ini sebenarnya lebih penting untuk ditangani berbanding kemelut politik yang sengaja dicetuskan. Apakah masalah tersebut? Tidak lain ialah masalah ekonomi yang bukan sahaja mengusutkan Malaysia malah seluruh dunia. Justeru rakyat haruslah matang dan boleh berfikir di luar pengaruh emosi dan meninggalkan segala pertelingkahan yang tidak menguntungkan seluruh isi negeri ini dengan segera. Rakyat perlu bersatu menyelamatkan kewangan negeri dan negara agar kita dapat keluar daripada belenggu malapetaka ini secepat mungkin dan membina kembali sistem ekonomi Malaysia yang lebih mapan.

Dalam hal ini, untuk mengadakan pemilihan semula ternyata bukanlah satu opsyen yang bijak kerana memerlukan bajet yang tinggi dan sama sekali tidak bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu. Jika pihak pembangkang terlalu obses dengan pilihan raya, tidakkah hal ini hanya akan menyerlahkan sikap mereka yang sebenar iaitu lebih suka menabur janji melalui kempen-kempen dan ceramah berbanding bekerja untuk rakyat seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN? Tidakkah mereka sedar bahawa menyelesaikan masalah ekonomi adalah tuntutan yang lebih penting ketika ini? Atau mereka memilih sikap untuk menyerahkan segala urusan tersebut kepada kerajaan BN sahaja? Jika inilah sikap mereka yang sebenar, maka amatlah merugikan sama sekali segala keringat dan wang ringgit rakyat selama ini yang memilih pemimpin-pemimpin daripada kalangan pembangkang. Kita boleh melihat contoh ini dengan jelas khususnya melalui pilihan raya kecil DUN Penanti yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pada masa yang sama, kita juga perlu bertanya kepada pihak pembangkang adakah dengan melaksanakan semula pilihan raya di Perak akan mampu merungkaikan segala ketidak-tentuan politik yang sedang berlaku ini? Apakah jaminan mereka bahawa jika BN menang tidak akan berlaku lagi gangguan-gangguan dan kekecohan seperti yang berlaku tidak lama dahulu? Ternyata kita tidak boleh mengharapkan semua itu mampu dikotakan oleh pembangkang khususnya apabila melibatkan para penyokong bawahan mereka sendiri. Selain itu, keputusan PRK juga mungkin hanya mendatangkan hasil yang tidak berbeza iaitu tidak ada satu pun parti politik yang akan mendapat majoriti dan layak menubuhkan sebuah kerajaan baru. Jika hal ini yang berlaku maka sia-sialah sahaja pilihan raya tersebut diadakan. Perkara inilah yang seharusnya dielakkan kerana noktah akhirnya hanya memberikan kesan buruk, sekurang-kurangnya.

Jika dilihat kepada kedudukan semasa dalam sidang DUN Perak juga jelas membayangkan ketidakpastian apakah dengan terlaksananya pilihan raya semula segala kekalutan yang berlaku akan mampu diatasi? Apakah Pakatan Rakyat yakin mereka merupakan sebuah perikatan yang kukuh yang mampu mentadbir negeri Perak jika berjaya membentuk semula kerajaan di negeri ini? Apakah rakyat boleh berasa yakin dengan perikatan ini berbanding BN? Hakikatnya, parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat ini hanyalah bersifat goyah baik di Perak, Selangor mahupun Kedah. Pakatan ini secara jelas juga bersifat sementara, longgar dan tidak mempunyai kesatuan dalam hala tuju yang dikongsi bersama. Tiada aspirasi tulen dalam arah perjuangan mereka yang dipersetujui secara kolektif melainkan hanyalah untuk menentang BN semata-mata. Permuafakatan yang mereka bentuk hanya berlaku ketika pilihan raya seperti yang boleh dilihat dalam sejarah pilihan raya sebelum ini. Sebagai contoh, parti-parti campuran ini pernah bersatu dalam PRU-10 tetapi kembali berpecah apabila usaha menjatuhkan BN yang dilancarkan gagal.

Dasar dan polisi dalam pentadbiran parti-parti ini juga sangat berkontradiksi antara satu sama lain. Orientasi perjuangan PAS misalnya tegar dengan dasar Kerajaan Islam. Meskipun ketika ini ia agak kurang dilaungkan berbanding motto ‘PAS For All’ namun sekurang-kurangnya perjuangan tersebut masih dipegang oleh sebahagian besar penyokong PAS, malah mereka yakin dan percaya dengan dasar perjuangan tersebut. Sementara DAP pula lebih berorientasikan matlamat menjadikan negara ini sebagai sebuah lagi negara Republik melalui perjuangan ke arah Malaysian Malaysia yang sekali gus akan menghapuskan institusi beraja. PKR pula, seperti yang diketahui umum, lebih kepada cita-cita Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang ingin menjadi Perdana Menteri (atau mungkin Presiden yang pertama) di negara ini. Ternyata, beliau tidak pernah lelah untuk menakluk tampuk kepimpinan Malaysia. Dengan agenda dan ideologi politik kepartian yang berbeza-beza ini apakah yang boleh diramalkan sekiranya matlamat menjatuhkan BN berjaya dicapai? Apakah yang akan berlaku antara ketiga-tiga parti politik ini? Mungkin Perak merupakan medan ujian yang bakal menyerlahkan hala tuju sebenar setiap kompenan Pakatan Rakyat, sama ada akan terus berada dalam kapal yang sama atau akan berlaku transit secara paksaan untuk menyingkirkan muatan yang tidak perlu? Ketika transit ini, mungkin rakyat akan diperlihatkan apakah faktor-faktor dan keadaan yang berlaku dalam kapal tersebut.

Kesimpulannya, tindakan Sultan Perak untuk tidak membubarkan DUN jelas sekali merupakan satu tindakan yang bijak dan tepat. Baginda tidak bertindak di luar bidang kuasa yang ditetapkan dan tidak pula di bawah pengaruh mana-mana pihak. Suatu yang pasti, walau apa-apa pun alasan yang dikumpul dan dihujahkan oleh mana-mana pihak, pembubaran DUN dan pilihan raya semula bukanlah satu-satunya opsyen yang ada, dan ia juga bukanlah satu opsyen yang terbaik di antara opsyen-opsyen yang ada.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...