Thursday, December 24, 2009

Anwar dan Labu-labunya

Suasana politik negara begitu kalut sehari dua ini. Macam-macam isu ditimbulkan. Ada antaranya begitu sengaja dikeluarkan supaya musuh segera lemah. Ada yang lekas latahnya, tambah keliru rakyat jadinya. Trend untuk menolak satu sumber dan taksub kepada satu sumber semata juga semakin kuat dalam minda rakyat terbanyak. Semua ini hanya akan mencetuskan satu situasi, iaitu perpecahan. Adakah ini yang dinginkan oleh ahli-ahli politik kita terutamanya pembangkang?


Saya terbaca satu artikel yang cukup menginsafkan, sebagai rakyat negara ini yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Artikel ini menjemput saya untuk lebih dalam memikirkan untung nasib bangsa saya di masa depan, kerana hari ini, bangsa saya ini begitu dilanyak bertubi-tubi, dari seganap arah dan sudut, dari dalam dan luar. Saya terpanggil untuk merenungi, kenapa masih ada bangsa saya sendiri yang mahukan bangsa ini dipermainkan oleh orang lain? Kenapa bangsa yang menganuti agama yang satu ini rela membiarkannya dipermainkan demi kuasa yang hanya sementara? Kenapa perlu ada hasad dengki sesama sendiri sedang kita belum pun mencapai sebarang kejayaan yang boleh dibangga-banggakan?


Saya menemui semuanya di dalam artikel ini, jawapan yang perlu juga diinsafi oleh kita semua orang Melayu dan Islam. Kenapa mesti kita cakap soal perkauman, kalau kita sering saja dipermainkan, dalam soal ekonomi dan kuasa misalnya?


Sungguh berbaloi setiap perkataan dan ayat dalam artikel ini untuk ditelitikan. Langsung dari; http://penpusaka.blogspot.com/


Meniti Ranjau, Membaiki Labu!



Gambar diatas adalah diantara ilustrasi kepayahan yang sedang menimpa rakyat Palestine.Kepayahan yang menggambarkan betapa umat Palestine hidup didalam penghinaan Zionis Yahudi.Gambar ini menunjukkan betapa rakyat Palestine terseksa zahir dan batin. Dihina dengan sekatan pemeriksaan tentera Zionis Israel, untuk masuk menunaikan ibadat di Baitul Mukaddis. Rakyat Palestine hidup terkepung dengan tembok konkrit yang dibina oleh Zionis Yahudi, ditanah yang dahulunya adalah berasal milik mereka. Kini terasing, dikelilingi tembok konkrit, dan dihalang dari menikmati kebebasan ditanah air sendiri. Merempat dan melarat di Kem-Kem penempatan, menuntut hak yang dirampas. Apakah perjuangan rakyat Palestine yang berbilang agama itu, sebuah perjuangan agama semata-mata? Tentu sekali tidak kerana dipihak Zionis Yahudi juga bukan sebenarnya sebuah penaklukan agama. Apa yang sedang berlaku disana adalah sebuah perjuangan tanah air diantara penduduk Palestine yang beragama Islam dan Kristian dengan regim Zionis Yahudi yang mahu menegakkan Negara Zionis Israel diatas tanah yang mulanya mereka hanya menumpang bersama. Bagi rakyat Palestine beragama Islam, hilang kuasa keatas Tanah Air bermakna hilang keupayaan untuk mengurus dan menegakkan syiar Islam dan berakhirlah diri terhina dan maruah dipijak-pijak oleh penakluk kuasa tanpa ada kemampuan untuk mengatasinya baik atas nama apa sekalipun, samaada demi Tanah Air mahupun demi Agama.


"Daulat pemimpin kerana pengikut" bermaksud jika hendak tahu kehebatan pemimpin itu lihatlah betapa ramai,taat dan kuatnya pengikut. Begitu jugalah hebatnya sesebuah Negara, hancur lebur bila rakyatnya tidak kukuh bersatu. Bila rakyatnya yang majoriti Islam menjadi lemah, Islam sebagai agama juga akan ditenggelamkan oleh musuhnya, apabila umat yang mendokonginya lemah dan tidak lagi berkemampuan kerana tidak ada kekuatan yang padu dan kuasa!


Hari ini kita baca akhbar THE STAR m/s N31 bertajuk "Dramatic changes bring back old faces". Pendokong PKR bernafas lega kerana kemelut dalaman telah kononnya dapat diatasi dengan satu kompromi diantara kem Pengerusi Negeri Ahmad Thamrin Jaini dan puak Dr.Jeffry Kitingan dan Christina Liew.Ini berita bagus dalam usaha PKR dan rakan-rakannya mahu merampas kuasa di Sabah dan juga melangsungkan hajat Pakatan 3 Sekawan melunaskan impian Anwar Ibrahim merampas kuasa di peringkat Persekutuan.


Namun ada kompromi yang lebih besar dan ianya boleh dilihat didalam kata-kata Dr.Jeffry Kitingan berbunyi, "However, he said he would pursue with the PKR leadership to consider giving political autonomy for the party in Sabah and Sarawak in line with the Malaysia Agreement which puts the two states as partner with then Malaya". Seterusnya beliau menambah "the PKR leadership had indicated comitment towards the proposal for autonomy but we have to see their sincerity".


"as partner with then Malaya" Benar sekali, tetapi kenapa takut Dr.Jeffry Kitingan hendak menyebut "Persekutuan Tanah Melayu" sebaliknya menyebut "Malaya"? Benar, mulanya Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari British dengan nama Negaranya, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU pada 31 Ogos 1957. Selepas itu, enam (6) tahun kemudian, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menganjurkan gabungan lebih besar dan tertubuhlah sebuah gabungan diantara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah,Sarawak dan Singapura dan menjadi sebuah Negara bernama PERSEKUTUAN MALAYSIA pada 16 September 1963.


Sejarah juga merakamkan bagaimana tiga kaum utama penduduk Tanah Melayu berunding mencapai kesepakatan didalam rundingan kemerdekaan. Diantaranya yang menjadi asas kepada kepelbagaian kaum di Malaysia ialah persepakatan untuk memberikan taraf kerakyatan yang dikenali dengan "jus soli' kepada 1 juta penduduk bukan melayu sebagai tolak ansur memperaku dan bersetuju tanpa berbelah-bahagi kepada kedaulatan Bahasa, Agama serta Raja-Raja Melayu. Persepakatan yang membawa mereka kedalam kewarganegaraan Tanah Melayu merdeka itu, tidak langsung mempersoal apatah lagi mempertikaikan sebarang hak keistimewaan orang melayu sebagai pribumi Semenanjung Tanah Melayu sebelum penjajahan keatas Negeri-Negeri Kerajaan Melayu bermula 1511 hingga 1957. Yang menjadi asas tuntutan mereka hanyalah hak untuk menjadi warga negara, hak untuk meneruskan bahasa ibunda dan agama mereka. Hak itu diberi dan termaktub didalam Perlembagaan yang terhasil dari persepakatan ini yang dikenali sebagai "kontrak sosial".


Kata-kata Dr.Jeffry Kitingan itu menggambarkan isi hati beliau dan itulah landasan perjuangan beliau yang ingin dibawa didalam melangsungkan perjuangannya, perjuangan PKR dan dalam masa yang sama takut pula untuk menyebut atau menekankan perkataan "Persekutuan Tanah Melayu". Sebaliknya menyebut "Malaya" sahaja. Kenapa, takut? Takut akan menyedarkan banyak pihak akan sejarah yang hakiki. Takut akan mengecewakan rakan-rakan di Semenanjung Tanah Melayu, yang sedang berusaha keras untuk mencabar dan melemahkan semangat Perlembagaan? Bukankah dikalangan mereka sedang rancak sekarang mempersoalkan hak orang melayu, soal agama orang melayu, kedaulatan Raja juga diremehkan dan berbagai lagi kerja "biadap" yang sedang dilakukan oleh rakan-rakan Pakatan tujuan untuk mengelirukan orang akan keutuhan Perlembagaan?


Begitulah halusnya serangan yang sedang dirancang keatas keutuhan negarabangsa ini dan "target" utamanya ialah meruntuhkan kebenaran "ketuanan melayu". Selagi hakikat itu masih terpacak kuat dikalangan umat melayu yang majoriti, selagi itulah "sosial kontrak" yang telah dihasilkan oleh bapa-bapak kemerdekaan tidak akan dapat dirombak. Jika itu tidak diruntuhkan, impian untuk melemahkan Barisan Nasional tidak akan berlaku. Orang melayu yang berpakat-pakat dengan "kerja dosa" ini adalah orang melayu yang sanggup menggadaikan bangsa dan agama semata-mata untuk mendapat kuasa politik, bukan untuk bangsa dan bukan untuk agama, tetapi untuk parti dan kelompok.


Sekarang berlindung disebalik berbagai momokkan mereka sedang bekerja keras untuk menghilangkan keyakinan asas ini dan orang melayu masih bersabar dan bertindak wajar, mengambil kira ia sebagai hanya mainan politik pembangkang. Kesabaran ini umpama meniti jejak menuju bahaya. Kesabaran ini tidak perlu sebenarnya, kerana "sudah terang lagi bersuluh", jangan nanti sebab "lembu seekor terpalit lumpur, habis pula lembu sekandang".


Anwar Ibrahim, didalam satu ucapan sewaktu menjelang pilihanraya ke12, di Klang kini terkenal dengan ucapan menghasut beliau "Malaysia,bukan Melayu yang punya". Ucapan politik bertujuan mengambil hati kaum lain bahawa jangan takut bangkit menentang, kerana menentang bersama kami bermakna menentang UMNO. Menentang UMNO bermakna menentang melayu. Dan jangan takut menentang melayu kerana Malaysia ini bukan melayu yang punya!


Kompromi didalam PKR Sabah itu tidak perlu kita ambil kisah. Tetapi kompromi yang telah berlaku sesama Pakatan 3 Sekawan dalam memperjuangkan impian Anwar Ibrahim, itu yang perlu kita awasi. Taruhannya ialah "ketuanan melayu" mesti digadai untuk menjayakan perjuangan. Perjuangan untuk melepaskan Anwar Ibrahim dari kemelut peribadi dengan memastikan kerajaan Barisan Nasional tumbang dan Anwar Ibrahim mengambil tempat di Putrajaya dan kawan-kawan DAP serta PAS dapat menumpang kejayaan itu sekaligus.


Adakah puak melayu Islam didalam pakatan haram ini sedar akan kerugian yang bakal menimpa mereka? Sejarah akan mengajar mereka diatas kelalaian ini dan penyesalan tidak akan ada gunanya. Janganlah mereka leka dengan "alunan sumbang" rakan kafir mereka "membaca Al Quran". Janganlah mereka berkhayal hanya kerana rakan kafir mereka menyebut-nyebut "sirah nabi". Tidakkah mereka ingat akan ingatan Allah tentang bagaimana puak-puak musuh akan berkata-kata setakat cukup, demi untuk melunakkan pendengaran dan melalaikan kamu sedangkan mereka itu sebenarnya memusuhi agama mu?


Juga Firman Allah Surah Ash Shaff yang memberi ingatan bermaksud:-


"Bertasbihlah kepada Allah apa saja yang ada dilangit dan apa saja yang ada dibumi, dan Dia lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana",

"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?"

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan",

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh".


Bersama-samalah kita fikirkan dan bandingkan samaada konvensyen pakatan yang kononnya bertujuan menyusun barisan berpakat-pakat untuk menghasut fikiran rakyat bagi menumbangkan Barisan Nasional pimpinan UMNO, adalah satu barisan yang di redhai Allah, sedangkan kita semua boleh melihat dengan 'ainul yakiin bagaimana umat majoriti negara yang berkat ini sedang diserang dari berbagai arah dan momokkan semata-mata untuk melemahkannya atas nama keadilan, kebebasan dan berbagainya lagi, yang hanya merupakan senjata untuk melekakan dan melalaikan orang melayu daripada kekuatan yang sedia ada padanya.


Jika anda fikir bahawa anda serba pandai, jangan pula jadi umpama "tikus membaiki labu".


Manusia menjadi jahat kerana rasa cukup, dan tidak mensyukuri nikmat, Surah Al'Alaq Ayat 6-7 berbunyi:-


"Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas",

"Kerana dia melihat dirinya serba cukup".


Sebelum kita keliru dan lemah sebagaimana umat Islam di Palestine, elakkanlah dari dikelirukan hingga menggadai bangsa dan Tanah Air hanya dek kerana mendengar "guruh dilangit, air setempayan dicurah ketanah". Kemudian kita akan menangis dan meraung menuntut apa yang hilang sedang sebelumnya kita kufur nikmat!

Nik Aziz berkata bahawa konvensyen Pakatan baru-baru ini adalah umpama mendapat bunga baru. Tidak terfikir kah dia bahawa bunga itu beracun? Janganlah seronok gembira macam "beruk dapat bunga". Fikir-fikirkanlah dan kembalilah kedalam satu barisan yang kukuh, bukan bersatu untuk lawan yang lagi satu!



Dipetik daripada

Zainal Abidin Ahmad

http://penpusaka.blogspot.com/



Thursday, December 10, 2009

Peranan Stesen Televisyen dalam Pembentukan Minda Kelas Pertama 1Malaysia

Televisyen merupakan mesin hiburan paling mudah, murah dan cepat bagi kebanyakan manusia. Di Malaysia, peranan televisyen juga sangat besar di samping menjadi wadah sebaran informasi. Sekian banyak program hiburan tersiar di layar kaca ini, dari siang membawa ke malam membawa ke siang. Begitulah sehari-hari ia berfungsi. Rumah tanpa televisyen bahkan dianggap primitif, terkebelakang.

Secara peribadi, saya tidak mempunyai masalah dengan perkembangan ini. Namun, sejak belakangan ini ada semacam keghairahan daripada stesen-stesen televisyen untuk memainkan drama-drama dan cerita seram mistikal. Ada antaranya bahkan begitu karut, langsung menyimpang daripada norma manusia waras serta tiada kelogikan yang boleh dipegang.

Perkara ini pernah dibincangkan oleh para ulamak dan cerdik pandai negara. Beberapa gesaaan telah dikeluarkan, begitu juga teguran yang berisi garis panduan juga sudah banyak diberikan supaya cerita-cerita seram yang hendak dipaparkan di televisyen termasuk juga di layar perak tidak melampaui batas keagamaan dan kelogikan. Lebih mustahak juga, ia haruslah berwadahkan ketimuran. Namun, adakah ia berhasil?

Bagi yang biasa menonton slot Lagenda di TV3 setiap petang pasti maklum akan hakikat ini. Tidak cukup dengan itu, slot Seram yang bersiaran setiap Khamis malam turut memaparkan kisah tahyul-mahyul. Lebih menyedihkan, slot Sinetron yang kerap memainkan drama dari seberang hampir kesemuanya menyelitkan unsur kurafat yang pada saya, tidak perlu langsung bagi pembentukan minda masyrakat Malaysia alaf baru ini.

Kenapa perkara ini perlu diberikan perhatian, pada saya, adalah sesuatu yang mesti. Jika kerajaan komited dengan usaha membentuk minda kelas pertama dalam kalangan rakyat, maka ia haruslah juga disertakan oleh peranan daripada media-media utama yang ada pada hari ini. Pun tentu, yang menjadi benteng ialah hasrat mengaut untung lebih sehingga kerap meminggirkan aspek intelek. Persoalannya, sampai bilakah paradigma komersial ini hendak menguasai pemain-pemain media tersebut?

Kita tahu bahawa kebanyakan taikun yang menguasai ekuiti dalam syarikat-syarikat terbabit adalah daripada kalangan cerdik pandai. Selain itu, pihak yang diberikan amanah menerajui perjalanan operasi stesen-stesen ini juga terdiri daripada intelektual bumiputra yang cukup dikenali. Malangnya, untuk memilih program yang boleh mengenyangkan minda penonton, atau rakyat marhaien, nampaknya mereka begitu cuai, atau tidakpun, sambil lewa saja.

Sekali lagi, apa perlunya cerita-cerita tahyul sebegitu ditayangkan? Sungguhpun ada penonton yang menonton dan rating yang direkodkan pula tinggi, tetapi bolehkah ia diukur sebagai sesuatu yang mesti ada atau satu keperluan dalam konteks berhibur? Saya yakin, penonton tidak meminta. Ia lebih kepada strategi test market, kemudian berjaya kerana adanya reaksi yang positif lalu akhirnya menjadi formula yang menguntungkan. Saya juga yakin, penonton tidak akan terkesan jika drama-drama berkenaan tidak ditayangkan.

Adalah malang sekali jika nilai komersial diletakkan di puncak. Namun itulah juga sebenarnya yang berlaku menyebabkan hari ini kita dapat melihat sekian ramai anak muda yang begitu terkial-kial untuk bercakap tentang perkara-perkara serius. Di dalam kelas sebagai contoh, ramai sekali pelajar Melayu yang tidak mampu memberikan contoh terhadap sesuatu isu atau perkara yang dibincangkan dengan konkrit, kreatif dan kritis. Ini adalah masalah pokok yang pada saya akan jadi barah. Ini adalah masalah yang berkaitan dengan minda generasi 1Malaysia. Malangnya, yang telalu terkesan ialah anak-anak Melayu.

Benar, tidak semuanya berpunca daripada televisyen. Banyak lagi faktor seperti kekeluargaan, sikap individual dan sebagainya. Tetapi siapa yang berani menidakkan kenyataan bahawa televisyen jugalah punca utamanya? Semuanya keluar daripada mesin tersebut hingga menyebabkan minda masyarakat begitu dibentuk oleh perkara-perkara yang tidak serius. Yang terkesan akhirnya tetap anak-anak kecil dan muda-mudi kita. Sampai bila hal ini mesti terus berlaku?

Kenapa di Malaysia, semuanya mesti diadaptasi atau ditiru daripada luar? Ke mana perginya daya kreatif orang Malaysia hari ini?

Televisyen meski dianggap juga sebagai alat kecil yang mengeratkan silaturrahim sesama manusia khususnya dalam soal kekeluargaan, namun realitinya, berapa ramai ibu-bapa yang serius berkira untuk menentupilih rancangan yang sesuai untuk anak-anak? Saya lihat sendiri betapa ghairahnya sesetengah keluarga, dari bapa hingga ke anak-anak, bahkan dari datuk nenek hingga ke cucu-cucu, menekuni cerita-cerita tahyul-mahyul tersebut. Pada saya ini terlalu menyedihkan. Ia berlaku dalam keluarga Melayu.

Hari ini kita tidak perlu hanya bercakap tentang peranan orang itu atau orang ini. Jangan lekas juga menuduh ulamak-ulamak dan para ilmuan kita semakin tidak peka dengan kebejatan sosial yang melanda masyarakat di Malaysia khususnya orang Melayu. Yang lebih perlu ialah ketegasan penguatkuasaan daripada pihak berwajib untuk membendung akar punca kepada setiap masalah. Tak guna terus ke pucuk, mencatas ranting yang rosak, atau meruntuhkan dahan-dahan yang mereput kalau di akarnya ada baja yang jahat dibiarkan terus meresapi seluruh pohon.

Tuesday, December 8, 2009

To Nazri Aziz - BTN Tak Perlu Dirombak

Isu berkaitan kursus Biro Tatanegara nampaknya belum selesai. Ia masih dipolemikkan dan menjadi modal politik baru bagi pihak Pakatan Pembangkang. Yang paling lantang tentunya DAP. Di Selangor dan Pulau Pinang, DAP dilihat menjadi pihak paling bertangunggjawab di sebalik keputusan kerajaan negeri masing-masing mengharamkan kursus terbabit. Kenapa DAP begitu takut dengan BTN?

Menurut Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guang Eng, kursus BTN telah dijadikan medan oleh kerajaan pusat untuk menyemai sikap perkauman dan mengajak peserta membenci pembangkang khususnya DAP. Namun apabila dipelawa oleh TPM sendiri untuk menyertai kursus tersebut, Lim Kit Siang telah menolaknya pula.

Sebagai rakyat yang rasional, saya pasti ramai yang menantikan tuduhan tersebut dibuktikan oleh Kit Siang dan anaknya. Namun penolakan tersebut telah menunjukkan bahawa DAP sebenarnya tidak ikhlas dalam memperjuangkan isu ini, sebaliknya bertujuan menjuarai persepsi golongan bukan Melayu bahawa BTN mesti dihapuskan kerana menyemai sikap perkauman. DAP mahu menjadi juara isu ini.

Sepanjang penyertaan saya dalam beberapa siri kursus dan kem yang dianjurkan oleh BTN, secara jujur saya tidak pernah diseru supaya membenci mana-mana pihak termasuk DAP. Saya pasti ramai lagi individu yang pernah menyertai kursus BTN bersetuju dengan pandangan saya ini, namun mereka tidak mempunyai saluran yang betul untuk mengetengahkan pandangan masing-masing.

Rakyat perlu sebenarnya untuk diberitahu tentang kebenaran di sebalik isu ini. Rakyat perlu diberitahu tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sebalik pagar kem-kem BTN, bahawa semuanya adalah berkaitan dengan kenegaraan dan patriotisme. Kenapa mesti dirombak modul-modul yang digunapakai jika ia terbukti mengubah minda dan persepsi peserta selama ini terhadap nilai-nilai bertatanegara yang betul?

Adakah DAP takut rakyat Malaysia mempunyai nilai jati diri yang tinggi dan tebal semangat kebangsaan dalam diri masing-masing? Adakah DAP-PKR-PAS, Lim Kit Siang, Lim Guang Eng, Khalid Ibrahim,Mansur Osman dan Halimah Ali tidak berani berhadapan dengan rakyat yang berpatriotik, yang arif dengan fakta dan kebenaran dalam soal politik dan kenegaraan?

Tun Mahathir turut menyatakan pandangan beliau bahawa modul-modul yang digunapakai selama ini tidak perlu dirombak kerana ia tidak berlaku seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang. Tun sendiri pernah bersyarah di pentas BTN, justeru mana mungkin seorang PM (ketika itu) hendak mengajak peserta kursus, yang juga rakyat beliau sendiri untuk membenci rakyatnya yang lain? Tak masuk akal.

Kenyataan Tun pada saya perlu diberikan perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab khususnya oleh Nazri Aziz. Hal ini penting supaya kerajaan tidak sekali lagi dilihat sebagai pemerintah yang lemah, yang tunduk pada tekanan pembangkang hingga memungkinkan lebih banyak kesilapan dilakukan. Biarlah era Tun Abdulllah dikenang sebagai pemerintahan BN yang paling lemah, sekali itu saja.

Isu BTN perlu ditangani dengan halus. Ia mungkin akan menjadi bom jangka yang diperam oleh DAP dan Pakatan Pembangkang, menunggu masa yang sesuai untuk diletupkan. Jika dibiarkan, pasti ia akan jadi isu nasional melebihi modal di pentas politik, atau setidaknya, menjadi bunga api kepada letupan yang lebih besar kelak iaitu isu perkauman.

BTN tidak perlu dirombak, apatah lagi dihapuskan. Apa yang perlu dilakukan mungkin penambahbaikan tehadap kualiti modul supaya selari dengan gagasan semasa. Ia sama juga seperti dasar pendidikan kebangsaan. Yang ditranformasikan hanyalah perkara-perkara berkaitan teknik, kaedah, kemahiran dan sebagainya. Perkara berkaitan dasar adalah cerminan kepada produk, yang harus ditetapkan supaya mencapai matlamat perlaksanaanya.

Kalau dasar BTN untuk memupuk patriotisme dirombak, justeru apakah yang boleh digantikan kelak supaya selari dengan kehendak DAP? Apakah salah atau berbahaya memupuk patriotisme di sebuah negara seperti Malaysia?

Wednesday, December 2, 2009

BN Semakin Tenat?

BN Perlu Segera Atasi Semua Masalah Dalaman

Ketika saya keluar ke pekan semalam, saya sempat singgah di sebuah toko buku dan sempat membelek-belek beberapa naskah tabloid pembangkang. Salah satunya, Buletin Rakyat, melaporkan ADUN Sungai Bakap sebagai berkata, “BN Semakin Tenat”. Ia frasa yang ringkas dan mudah. Pada awalnya saya tidak endah sangat memandangkan ia memang benar berlaku dalam BN ketika ini.

Walau bagaimanapun, ternyata laporan itu sedikit mengganggu saya. Kenapa ADUN tersebut mengeluarkan kenyataan begitu jika beliau tidak memegang faktanya. Beliau ada justifikasinya sendiri dan saya yakin, beliau bukan bercakap semberono. Beliau sendiri seorang ADUN yang tentunya faham benar dengan suasana politik negara.

Memang harus diakui juga oleh BN bahawa parti keramat Malaysia ini sedang bergelut. Banyak isu dan permasalahan yang belum selesai. Yang datang menggugah juga semakin besar hari ke hari. Adakah BN lemah? Atau BN semakin ditolak? Pasca pilihanraya 2008 adalah tempoh yang cukup getir buat BN. Ketika ini BN sedang melalui tempoh yang cukup menggoyahkan meskipun ada cubaan menutupnya.

Apa pun yang berlaku, BN harus diperkuatkan segera. Setiap komponen perlu mengambil inisiatif sendiri dalam mereka mendepani kemelut yang berlaku. Ternyata, selepas tsunami politik 2008, BN benar-benar diuji dengan ujian yang tidak kecil skalanya. Hampir seluruh komponen dibadai terutamanya UMNO dan dua lagi parti komponen terbesarnya.

Pun begitu, UMNO kelihatan lebih gegas melakukan proses pembinaan semula. Ketika ini, sudah nampak proses tersebut berjaya membangunkan imej UMNO yang lebih dekat dengan rakyat, yang boleh berada bersama golongan marhaien dan yang boleh menggugah kembali usikan musuh. Hari ini, UMNO boleh berkata ia semakin diterima semula khususnya selepas apa yang berlaku di Bagan Pinang.

Namun, pada masa yang sama, dua lagi parti major dalam BN seolahnya belum atau masih tercari-cari formula untuk membangunkan kembali perjuangan masing-masing. MCA ketika ini bergelut dengan krisis kepimpinan yang tak sudah-sudah. Sejurus selepas tsunami tersebut melanda, ia sudah pun melakukan rombakannya bahkan mendahului UMNO. Malangnya, perobahan itu tidak bertahan lama. Kini berlaku pula tsunami dalaman. Meskipun skalanya tidak besar, namun impaknya bisa mengocak ketenangan yang sedang diusahakan dalam BN.

Begitu juga MIC, parti keramat orang India di negara ini. MIC seperti juga MCA, sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan tanah bertuah ini yang dikepalai UMNO. Hal ini tidak dimiliki oleh pihak Pakatan Pembangkang. Namun kelebihan itu hari ini bukan lagi sesuatu yang boleh dibanggakan sementelah rakyat sudah ramai yang enggan peduli dengan cerita lama. MIC perlu melakukan sesuatu supaya ia terus relevan dengan keperluan dan kehendak seluruh masyarakat India di Malaysia. MIC perlu segera bertindak memenuhi aspirasi perjuangan kaum minoriti ini supaya mereka tidak rasa ditindas atau ditinggalkan. Pada masa yang sama, ia tidak boleh terus menyalahkan BN kononnya BN tidak berlaku adil sebaliknya, MIC sendiri perlu lebih garang sebagai sebuah parti komponen utama dalam BN.

“BN Semakin Tenat” pada saya adalah tajuk berita yang adil dengan situasi sebenar. Meskipun ia dilaporkan oleh tabloid pembangkang, pada saya, ia tetap mengandungi cerita dan kisah yang perlu direnungi oleh BN sendiri. Hari ini, musuh boleh bergerak bebas dalam kubu kita sendiri. Apa yang berlaku sudah jelas membuktikan betapa BN sedang diserang dari segala sudut.

Adakah BN masih boleh membina kembali strukur perjuangannya yang teruk dibadai tsunami politik 2008?

Saya optimis bahawa BN akan bangkit semula tetapi ia bukanlah proses yang mudah. Di negara ini, keupayaan BN sudah terbukti. BN adalah contoh sebuah gabungan kepimpinan multi-racial yang terunggul bukan sahaja di Malaysia, bahkan mengesani seluruh rantau dan semakin diakui dunia moden. Pihak Pakatan Pembangkang juga sebenarnya cemburu dengan kemampuan pentadbiran BN dalam ia mengemudi pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia hingga ke tahap sekarang. Saya tidak nampak bagaimana jika Pakatan Pembangkang mengambil alih teraju kepimpinan negara, apakah yang akan berlaku? Adakah negara akan lebih makmur atau selangkah ke belakang? Ini menunjukkan betapa tiada penanda aras yang boleh meyakinkan kita semua tentang keupayaan Pakatan Pembangkang untuk berkerja sebagai sebuah kerajaan kepada sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum ini.

“BN Semakin Tenat” juga bukan kerana Pakatan Pembangkang semakin kuat atau gagah. Statistik jelas menunjukkan bahawa sejak 2008, pertambahan ahli dalam PKR, PAS mahupun DAP tidaklah berlaku dalam angka yang harus menggerunkan BN. Mereka cuma dibuai oleh sokongan rakyat yang mahu memprotes prestasi kerajaan BN. Justeru jika ia diatasi segera, saya yakin sokongan itu pasti akan berbalik. Saya yakin, rakyat negara ini masih sayangkan BN kerana apa yang diberikan oleh BN selama ini kepada Malaysia adalah sesuatu yang begitu bermakna. Kemakmuran ekonomi dan sosial berada pada tahap tertinggi. Semuanya untuk rakyat.

“BN Semakin Tenat” adalah kerana struktur dalamannya semakin lemah. Apakah struktur-struktur tersebut? Ia tentunya parti-parti komponen dalam BN. Setiap parti harus kembali berkerja demi memastikan kelangsungan kemakmuran negara ini. Malaysia harus ditadbir berdasarkan situasinya sendiri. Malaysia sebagai sebuah negara yang unik perlu diperintah oleh sebuah kerajaan yang mampu mendokong keunikan tersebut, yang berasaskan nilai kemanusiaan dan kesejagatan, bukannya yang asyik bercakap tentang kesamarataan sedangkan pada masa yang sama, melakukan usaha penindasan.

“BN Semakin Tenat” pada saya harus diterima dan dinilai sebagai suatu realiti atau keadaan yang tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mesti segera diatasi. Usaha mengukuhkan kembali parti keramat ini harus dipercepatkan kerana dalam tempoh yang berbaki ini, rakyat pasti akan menilai sebaik mungkin sama ada BN harus dibiarkan terus berkuasa sebagai kerajaan ataupun perlu diganti segera. BN mesti ingat bahawa pihak Pakatan Pembangkang cukup pakar memainkan politik persepsi. Saya secara peribadi begitu risau jika berlaku lagi tsunami politik selepas ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...