Saturday, November 20, 2010

Kenapa ISA Perlu Dipertahankan? Bah. 1


Musim kita berbincang tentang akta kontroversi ISA datang lagi. Seperti dilaporkan, esok (Ahad, 21hb Nov 2010) bertempat di Komtar Walk, Pulau Pinang, akan dianjurkan program memperingati ‘kekejaman’ akta tersebut oleh SUARAM dan DAP di samping mendesak supaya ia dimansuhkan segera.

Kebiasaannya, program sedemikian diadakan di luar pagar Kem Tahanan Sementara di Kemunting, Taiping tetapi venuenya berubah kali ini. Hal ini mungkin kerana faktor sokongan kuat daripada kerajaan DAP di Pulau Pinang sendiri yang begitu bersungguh-sungguh menentang akta yang pernah berjasa besar menghalang penyebaran pengaruh komunisme di negara ini suatu ketika dahulu. Sukar dipastikan apakah ada sebab lain kenapa DAP begitu anti dengan akta ini selain faktor dendam lampau, melainkan kita boleh membuat hepotesis alternatif iaitu bagi meraih laba politik dengan cara terus-terusan menekan kerajaan pusat sehingga tunduk dan akur dengan kehendak mereka.

ISA bukanlah akta yang perlu ditakuti oleh rakyat Malaysia sebenarnya. Tiada istilah menyekat kebebasan atau hak asasi meskipun metodologi penahanannya dilihat tidak adil. Pihak yang menentang akta ini hanya berpaksikan hujah bahawa setiap penahanan yang dilakukan tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menuduh dan mengesyaki seseorang itu terlibat dengan jenayah yang berpotensi mengganggu-gugat kepentingan rakyat negara ini.

Mereka juga marah kerana akta ini dikatakan membelakangi kuasa kehakiman dengan menyerahkan kuasa yang ‘istimewa’ kepada Menteri Dalam Negeri, tetapi adakah mereka sedar bahawa sehingga kini, sudah berapa ramai yang ditahan sewenang-wenangnya tanpa sebarang asas? Melainkan mereka yang benar-benar jelas asasnya saja ditahan seperti yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan kes penyeludupan manusia di negara ini.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, Islam juga ada menggariskan kuasa-kuasa tertentu kepada pemerintah untuk dipraktikkan jika bersabit dengan hal-hal kepentingan umum atau keselamatan negara, ketenteraman orang ramai, ekonomi, pengangkutan, perniagaan dan sebagainya. Kuasa yang disebut sebagai hisbah tersebut dimiliki oleh pihak kerajaan walaupun pada masa yang sama, masih ada badan kehakiman yang menjalankan asas-asas keadilan.

Dalam Islam, badan eksekutif atau Asultatu al-Tanfiziah dan badan perundangan atau Asultatu al-Kadhoiyyah mempunyai bidang kuasa yang saling berbeza antara satu sama lain. Dalam hal atau urusan menjaga keselamatan negara, kuasa hisbah itu boleh digunakan walaupun jika diukur dari sudut perundangan sekular, seolah-olah menidakkan proses kehakiman. Ibnu al-Qayyim pernah mengatakan bahawa hukum-hukum yang dilaksanakan di bawah hisbah ialah hukum syarak yang jika tanpanya, kepentingan umat atau rakyat mungkin tidak mampu dipelihara dengan sempurna (Ibnu al-Qayyim, al-Thuruqul Hukmiyyah).

Justeru daripada keterangan beliau ini, mengikut kuasa hisbah, maka jelaslah ia menunjukkan bahawa kuasa pemerintah antaranya boleh mengenakan tahanan terhadap seseorang tanpa berlakunya perbicaraan atas sebab musabab untuk menjaga kepentingan umum dan keselamatan negara sama seperti yang dipraktikkan melalui ISA. Tambahan pula, ISA di negara ini amat jelas sekali digunakan secara berhemah, iaitu berdasarkan keperluan dan bukannya disalahguna untuk kepentingan politik pemerintah seperti yang dimomokkan oleh pihak pembangkang di negara ini. Malah, tidak sedikit bekas tahanan yang mengakui keberkesanan akta ini terhadap pesalah seperti mereka.

Pun tentu, jika kita menggunakan hujah-hujah begini, pasti akan dipatahkan pula dengan cara mengaitkan kedudukan Ulil Amri atau pemerintah itu berdasarkan tuntutan Islam. Memang tidak dinafikan, sistem pemerintahan di negara ini beracuankan British. Selepas mencapai kemerdekaan, sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan di sini dibahagikan kepada tiga komponen iaitu badan perundangan, kehakiman dan eksekutif. Tetapi kita jangan lupa, kemajmukan penduduk di negara ini sentiasa memainkan peranan penting yang turut mempengaruhi kesemua komponen tersebut.

Justeru adalah tidak adil untuk mengatakan pihak eksekutif atau pemerintah hari ini iaitu kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO menolak hukum Islam sepenuhnya. UMNO walaupun menguasai Barisan Nasional sejak dari awal penubuhannya tetapi ia bukanlah parti yang mendominasi perikatan tersebut, sebaliknya mengamalkan toleransi dan perkongsian kuasa serta saling menghormati keperluan setiap kaum. Selain itu, UMNO juga bukan parti dominan di dalam komponen perundangan atau legistlatif (Parlimen) yang bertindak sebagai badan penggubal undang-undang negara. Justeru adalah bebal bagi mereka yang berpendirian UMNO menolak mentah hukum Islam selama ini tanpa memahami terlebih dahulu situasi sebenar!

Berbalik kepada isu ISA, kita juga perlu melihat dari sudut yang lebih luas, khususnya dalam situasi dunia global hari ini. Ancaman keselamatan daripada pihak-pihak yang bencikan keamanan sentiasa wujud di mana-mana. Justeru adalah tidak masuk akal untuk kita fikirkan proses perundangan biasa mampu menangani impak segera daripada sebarang ancaman yang timbul, melainkan kita perlu bergantung sepenuhnya kepada tindakan awal yang berasaskan hasil risikan daripada pihak-pihak yang pakar mengenainya. Di sinilah ISA diperlukan. Juga, jangan sesekali fikir Malaysia ini bebas daripada sebarang ancaman keselamatan!

Isu Bahasa Rasmi Kedua : Emel dari Pembaca.

Duhai, dimanakah kalian?

Baru-baru ini seorang pembaca mengirimkan emel kepada saya berhubung isu bahasa rasmi kedua di Pulau Pinang yang pernah saya sentuh sebelum ini klik sini. Walaupun masih di peringkat cadangan, nampaknya ia telah meraih perhatian segelintir rakyat yang prihatin dengan nasib dan masa depan Bahasa Melayu di negara ini.

Saya lampirkan dahulu emel tersebut seperti di bawah ;

Bro Rizuan

Saya Rizal Yusof dari Bandar Baru Bangi, Selangor. Saya amat tertarik dan bersetuju dengan pandangan tuan terhadap geng2 pejuang bahasa yg dulu sebok memperjuangkan dasar Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik. Kini mereka senyap menikus tak terkata bila DAP cuba untuk menaikkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ke-2. Lantas, saya copy tuan punya ayat dan paste di halaman Facebook A. Samad Said spt berikut

DAP PENANG : INGGERIS BAHASA KE 2 ?

Soalnya sekarang, ke mana pergi semua pendokong-pendokong bahasa seperti Datuk Hassan dan A. Samad Said? Mana pergi pejuang-pejuang bahasa yang...sanggup bertempur dahulu dengan pihak keselamatan semata-mata hendak membantah PPSMI? Allah Maha Adil. Dalam masa yang cukup singkat, ia dibalas. Hari ini, sudah timbul cadangan yang secara jelas jika dilaksanakan, akan cuba menyaingi status perundangan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi di Malaysia.

Ini jauh lebih berbahaya berbanding PPSMI. Ia bakal mewujudkan persaingan secara total meliputi segenap bidang, bukan hanya pendidikan. Bahasa Melayu bakal lenyap atau disisihkan secara perlahan-lahan sementelah penggunaannya hari ini pun minimal di negeri ini. Ia hidup pun kerana masih ada orang Melayu di sini. Justeru, bangkitlah wahai pejuang-pejuang (kononnya) Bahasa Melayu. Jangan bersikap terpilih dan tak usahlah berhujah-hujah lagi.

Ini soal survivor bahasa kita yang sebenar!

Baru sebentar tadi, ada 2 orang yang memberi respons seperti berikut


1. Gary Francis - Memang sesetengah orang dilahirkan suka mencucuk kerana hatinya sudah busuk dimamah hawa nafsunya. Encik Rizal, saya tahu sekarang mengapa bangsa kita ini susah sangat hendak maju. Hentikanlah PHD tuan dan insaflah kerana kelak tuan juga akan dipersoalkan.


2. Salam Tuan Rizal.

Allah Maha Adil juga menunjukkan betapa sesetengah manusia itu sering melulu menuduh. Tuan harus ingat, ini cadangan dan belum dilaksanakan. Janganlah menjatuhkan hukuman dengan andaian. Jika tuan percaya akan perlembagaan...negara bukankah kerajaan dan perkasa sudah beri jaminan? Mengapa tuan tidak tanya kerajaan atau pun perkasa? Tuan tidak percaya kepada kerajaan dan perkasa yang sudah berjanji mempertahankan perlembagaan? Benarkah tuan bangsa Melayu? Kalau tuan bangsa Melayu mengapa tuan sendiri tidak turun padang? Mengapa tuan masih mengharapkan pada bapa saya yang sudah berumur 75 tahun untuk berjuang untuk bangsanya? Tuan tidak bacakah tulisan-tulisannya? Memang saya yakin Melayu akan lenyap sekiranya semua bangsa Melayu berperangai seperti tuan.

Tidak malukah tuan masih mengharapkan bapa saya yang sudah berumur 75 tahun untuk turun padang sedangkan tuan guna soal PPSMI untuk lekehkan dia? Tuan buat apa? Guna agama jatuhkan hukuman? Janganlah berselindung wahai tuan. Cukuplah bercakap kosong saja. Kalau tuan seorang yang prihatin dan tidak mahu bahasanya sendiri lenyap, tuan turunlah berjuang.

Tuan kata tuan risau. Ini soal "survival" bahasa, tetapi tuan hanya lebih senang duduk goyang kaki menaip di komputer mengutuk orang tua yang berumur 75 tahun ini. Kenapa tidak tuan anjurkan satu gerakan membantah jika tuan seorang Melayu yang risau tentang bahasanya?

Memang benar Allah Maha Adil tuan. Tidak payah lihat jauh, entri tuan ini saja menyatakan segalanya.

Helmy Samad

Pentadbir Ruangan A. Samad Said


Maka, A.Samad Said sebenarnya pada pandangan saya telah ‘dibeli’ oleh AL-Juburi nampaknyer. hehehe. Kalau blh tuan sebarkan dalam blog tuan. Biar semua orang tahu. Terima kasih.

Menariknya di sini ialah dua komentar langsung yang diterima hasil tindakan pembaca berkenaan ‘menyerang’ akaun Facebook tokoh sastera tersohor negara tersebut. Lalu kepada Tuan Rizal, saya kirimkan pandangan ini ;

Salam Bro Rizal (mungkin saya jauh lebih muda berbanding Bro Rizal dan masih mentah..)

Berhubung isu bahasa kedua tersebut, saya bukanlah berniat memperkecilkan atau memperlekehkan tokoh2 berkenaan. Tetapi saya kesal kerana mereka bersikap terpilih kali ini. Kalau PPSMI ditentang bagai nak rak, kenapa dalam isu ini, sehingga ke hari ini, mereka berdua masih diam menyepi? Kita sebagai khalayak amat menantikan pandangan ilmiah mereka. Kita tahu, seperti kata Prof. Emeritus Khoo baru2 ini bahawa cadangan tersebut sekadar cadangan, yang jika secara perundangan, memang tidak mampu dilaksanakan. Itu benar. Tetapi soalnya sekarang, cadangan tersebut pada saya amat jelas telah menghina Bahasa Melayu yg telah diperakui sebagai bahasa rasmi kebangsaan (tentulah jika kita menggunakan point ini maka riuh rendah puak-puak lain yg akan bangkit dengan hujah dan contoh tipikal masing-masing yg lainnya).

Pada saya, walaupun sekadar cadangan, tetapi cadangan tersebut bukan satu perkara yg mudah semudah mencadangkannya kerana ia terbit dari mulut seorang peguam (kalau tidak silap saya iaitu YB Dato Keramat dr DAP). Individu berkenaan sudah pasti tahu posisi cadangannya dr sudut teknikal, tetapi kenapa dia tetap juga mengusulkan cadangan tersebut, itulah yg seharusnya kita perdebatkan, khususnya oleh para pejuang bahasa seperti kedua-dua tokoh berkenaan.

Di sini, jelas, individu terbabit telah dengan biadap dan secara sedar telah merendahkan kedudukan BM di negara ini, khususnya di Pulau Pinang. Saya sekarang bermaustatin di negeri ini dan saya amat maklum kadar penggunaan BM dalam kalangan rakyat negeri ini. Minimal sekali. Minimal sekali. Cadangan itu dilihat amat praktikal pula, sementelah status penggunaannya yg kalau boleh saya katakan, rata-rata orang di sini khususnya kaum Cina, seolah berasa bodoh jika bertutur dalam bahasa Melayu! A. Samad Said tidak berada di sini, dan karya-karyanya tidak dibaca pun oleh kaum asing.

Pada saya, ia jelas satu pendedahan halus/awal kepada rancangan jangka panjang pimpinan DAP untuk menjadikan negeri ini, dan Malaysia umumnya, sebagai wilayah Singapura dari segi sosio-politik dan ekonomi. DAP adalah kuasa dominan dalam PR, tidak mustahil ia akan dilaksanakan juga pada akhirnya melalui penggubalan undang-undang baru jika ditakdirkan mereka berkuasa kelak. Natijahnya, samada jadi atau pun tidak, BM dalam Perlembagaan Persekutuan bakal kekal sebagai dokumensejarah negara saja.

Inilah yg saya bimbangkan dan kesalkan. Bimbang akan nasib dan masa depan anak bangsa sendiri yg masih ketinggalan dari segi pendidikan tinggi, dan kesal kerana sikap 'terpilih' tokoh-tokoh bahasa yang menentang PPSMI dahulu. Kesal juga kerana mereka gagal memahami visi dan misi Tun Mahathir, negarawan yg jauh lebih tinggi nilainya berbanding sasterawan seperti mereka berdua. Kita tidak menafikan kepentingan menjaga, memeliharan dan mendaulatkan BM, tetapi PPSMI tidak pernah sekali-kali cuba membunuh BM seperti yg dimomokkan (melainkan untuk tujuan politik sempit!). PPSMI cuma seputar isu pendidikan, tetapi bahasa kedua ini, impaknya menyeluruh.

Hari ini, PPSMI sudah pun menjadi catatan sejarah negara. Catatan kegagalan, pada saya. Gagal sebelum kita mula bergerak lebih jauh. Gagal kerana adanya sikap terpilih sebegini. Hari ini BM nampaknya amat dicabargugah. Tokoh-tokoh seperti A. Samad Said berbicara tentang karya kreatif yg khalayaknya terbilang pada jari sahaja, tetapi PPSMI yang mereka kerandakan dan kuburkan dahulu, berbicara tentang hala tuju dan masa depan seluruh generasi muda negara tanpa mengira kaum. Ia tidak membunuh manusia kreatif. Orang Sains juga boleh bersajak, berpuisi dan bersyair kerana karya kreatif lahir dari naluri manusia. PPSMI adalah untuk kepentingan hidup yang pada hari ini, sudah pun dibuktikan secara tidak langsung melalui cadangan tersebut! Sebab itu saya katakan, dibayar cash. Mereka menentang PPSMI tetapi hari ini, dari kalangan mereka juga, tampil cadangan yg menceritakan segalanya tentang kepentingan bahasa Inggeris. Saya tidak memperjuangkan bahasa ini, tetapi saya cukup kesal kerana sehingga kini, mereka masih bersikap terpilih, masih bersikap tunggu dan lihat.

Akhir sekali, saya amat bersetuju dengan pandangan Bro juga betapa A. Samad Said telah dipergunakan, atau boleh saja (kalau diikutkan hati yg marah), dilembukan untuk meraih sokongan politik dr rakyat jelata! Sayang seribu kali sayang, tetapi ia telah pun berlaku. Saya amat berharap, kedua-dua insan berjiwa patriotis ini bakal tampil menyatakan pandangan mereka. Jangan lihat ia sebagai sekadar cadangan. DAP berkuasa dan mereka telah melakukan banyak perkara dengan kuasa yg ada ketika ini. Datang dan lihatlah sendiri di PP ini. Saya juga pernah mengajukan soalan yg sama kepada Faisal Tehrani yg pernah sama-sama ke jalanan dahulu bertempur dgn masa depan anak bangsa sendiri semata-mata mahu mempertahankan periuk nasi mereka (kerana saya pernah juga beranggapan nakal, jika anak-anak muda kelak sudah bijak bahasa inggeris, pasti karya-karya mereka tidak akan laku lagi dan mereka tidak mampu menikmati royalti yg banyak, justeru mereka perlu menentang PPSMI habis-habisan!), tetapi beliau tidak pula menjawab atau mengulasnya.

Apa-apa pun, saya tetap berpendirian tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Apa yang menariknya di sini ialah komen balas yang diterima daripada Pentadbir Ruangan A. Samad Said tersebut yang juga merupakan anak beliau iaitu Helmy Samad. Saya tidak pasti sama ada pandangan beliau itu bersifat peribadi untuk mempertahankan ayahandanya ataupun atas kapasiti formal sebagai pengendali.

Saya tidak mahu mengulas panjang. Tujuan saya bukan untuk memperlekehkan usaha mana-mana pihak dalam mendaulatkan bahasa Melayu di negara ini, tetapi lebih kepada pernyataan kekesalan kerana wujudnya sikap terpilih daripada tokoh-tokoh terbabit berhubung isu ini. Kami rakyat marhein sentiasa diinspirasikan oleh karya-karya besar mereka, lalu menjadi ikutan sebahagian daripada kami, tetapi kenapa kali ini kami diminta berusaha sendiri sedangkan kami bukanlah siapa-siapa berbanding suara emas A. Samad Said dan Datuk Hassan sendiri?

Kalau dulu anda mendayakan the bottom billions untuk bertempur di jalanan pada usia anda yang sudah lanjut begitu, jadi apa yang tidak bolehnya kali ini, sekurang-kurangnya untuk menyatakan pandangan? Kami tidak minta diajak bertempur lagi, tapi cukuplah menjadi perwakilan kepada suara-suara kami yang tidak berkuasa ini. Inspirasikan kami supaya boleh bertindak secara natural.

Thursday, November 18, 2010

Bahasa Rasmi Kedua Serlah Muslihat DAP di Pulau Pinang.


Ketika seorang pemimpin DAP mencadangkan supaya Bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di Pulau Pinang dalam usaha memacu negeri tersebut menjadi bandar antarabangsa pada masa hadapan, tidak ramai yang mahu peduli dengan cadangan tersebut. Beberapa akhbar utama hanya melaporkan rentetan berita mengenainya selama beberapa hari, kemudian terus senyap. Begitu juga, segelintir blogger turut mengulas isu ini untuk seketika sebelum beralih kepada isu-isu lain yang lebih mendesak.

Ternyata, cadangan tersebut gagal menarik perhatian rakyat lantaran kerana kurangnya polemik yang dibangkitkan, malah dalam kalangan ahli dan tokoh bahasa juga, tidak gemar menyentuh isu ini lebih-lebih. Kebanyakan hanya memilih untuk tunggu dan lihat kemudian bertindak seperti yang berlaku terhadap episod hitam PPSMI. Pun begitu, seorang tokoh akademik terkemuka negara kemudiannya tampil membuat kenyataan selepas diwawancara dengan mengatakan, cadangan tersebut tidak akan ke mana-mana kerana pimpinan DAP sendiri tahu ia melibatkan aspek teknikal termasuk perlembagaan yang tentunya sukar untuk dilaksanakan.

Jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, hanya Bahasa Melayu atau kini disebut Bahasa Malaysia sahaja yang terpakai sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Berdasarkan kedudukan tersebut juga, bahasa yang dituturkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ini secara jelas, diiktiraf dan dipersetujui bersama oleh semua pemimpin kaum di negara ini untuk diletakkan pada kedudukan tertinggi sebagai bahasa utama dan tunggal yang perlu digunakan dalam urusan-urusan rasmi kebangsaan termasuk pendidikan. Ia juga jelas menyatakan, pada masa yang sama, bahasa-bahasa lain adalah bebas untuk dipraktikkan oleh siapa-siapa saja tanpa sebarang paksaan atau sekatan.

Justeru apabila timbulnya cadangan oleh pemimpin DAP berkenaan, ia perlulah diberikan perhatian yang sewajarnya. Perkara ini bakal melibatkan seluruh aspek pengurusan dan pentadbiran di negeri tersebut, malah meliputi seluas-luas perkara lain terutamanya dalam hal-hal perhubungan antara masyarakat di Pulau Pinang.

Kebimbangan ini perlu memandangkan komposisi kaum di negeri ini amat tidak seimbang. Dengan majoriti penduduknya adalah kaum Cina, tidak mustahil cadangan tersebut akan dipraktikkan walaupun tanpa melibatkan proses perlembagaan atau kelulusan Dewan Rakyat kerana rakyat di negeri ini kini ternyata lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama dalam komunikasi mereka. Itu tidak menjadi masalah yang besar sebenarnya, tetapi saya bimbang akan nasib sejumlah besar anak muda Melayu yang masih bergelar penduduk di negeri ini. Adakah mereka sudah cukup bersedia melalui transformasi ini?

Jika PPSMI ditentang habis-habisan kerana dianggap menganiayai anak-anak luar bandar, kini, jawapan kepada penentangan tersebut sedang dibayar cash sekali gus membuktikan tindakan Tun Mahathir dahulu berada di landasan yang betul. Tetapi sayangnya, sikap membuta-tuli segelintir tokoh bahasa dan sasterawan negara telah menyebabkan hasrat murni Tun terkubur begitu saja. Hari ini, tidak pula mereka hendak bersuara? Adakah mereka masih bersikap tunggu dan lihat kemudian bertindak?

Pada saya, idea menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Pulau Pinang walaupun dianggap mustahil pada masa ini, tetapi ia bukan sesuatu yang aneh untuk dilaksanakan samada melalui proses perlembagaan ataupun sebaliknya. DAP adalah kuasa dominan dalam kerajaan negeri dan kuasa serta pengaruh mereka ketika ini masih belum mampu digugah. Lambat laun, jika mereka terus berkuasa, ia boleh saja dilaksanakan. Kita juga sudah sedia maklum dengan ‘perjanjian syaitan’ untuk menyerahkan kuasa autonomi kepada kerajaan negeri jika Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan Pusat kelak. Lihat, tidak mustahil bukan? Ia bahkan bakal menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai hanya naskah sejarah negara!

Sekali lagi, pada saya, ia bukanlah suatu masalah yang besar. Tetapi apa yang perlu difikirkan ketika ini ialah, bagaimana dengan masa depan generasi muda Melayu yang masih bersisa di negeri ini? Jika tadi kita persoalkan adakah mereka sudah bersedia, kini ayuh kita fikirkan pula dengan peluang untuk mereka terus bermaustatin di neger ini, lebih-lebih lagi jika sudah berstatus bandar antarabangsa kelak. Saya yakin dan percaya, pada akhirnya, kita hanya akan bersetuju juga dengan idea ‘gila’ PPSMI oleh Tun dahulu, iaitu untuk masa depan dan peluang persaingan anak-anak luar bandar dan golongan tidak berkemampuan seperti orang Melayu di Pulau Pinang ini dalam bidang kerjaya dan kelangsungan hidup mereka.

Akhir kata, kepada segelintir pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat, berfikirlah, bermuhasabalah, turunlah ke padang dan lihatlah sendiri keadaan orang Melayu di negeri ini. Jangan sekali-kali perjudikan masa depan anak Melayu hanya kerana kuasa dan dendam. Usahlah bersikap terpilih dalam berjuang. Bertindaklah kerana agama, bangsa dan negara!

Friday, November 12, 2010

Artikel Yang Perlu Dibaca Oleh Melayu, Cina dan India!


Artikel ini saya pilih untuk ditampalkan di blog kerana sangat tertarik dengan hasil penulisannya. Bukan kerana bahasanya yang mudah difahami tetapi kerana misi dan visi yang cuba diketengahkan oleh penulisnya berhubung soal perpaduan rakyat di negara ini.

Wahai Cina, India dan Melayu, ke mana haluan kita?

1. "KENAPA sekarang dan tidak dahulu?" Pertanyaan itu sebenarnya soalan seorang warga emas berbangsa Cina, beragama Islam yang juga adalah emak saya. Sungguhpun beliau sudah memeluk Islam lebih 30 tahun lalu, namun beliau tetap seorang Cina.

2. Sebagai seorang Cina, emak selalu berbahas kerana saya membela Melayu, emak tetap membela Cina. Semalam, saya dipancing dengan dua soalan daripada emak. Soalan pertama: Apakah salah budak sekolah hingga dirotan kerana membawa bekal daging babi ke sekolah? Soalan kedua: Mengapa kini ramai pengetua Melayu bertindak racist, kenapa tidak dari dahulu?

3. Jawapan saya pada soalan pertama -- budak tersebut adalah mangsa dan beliau langsung tidak bersalah. Malah, mimpi ngeri yang beliau alami akan mengubahnya dari dalam diri, menjadi seorang yang bencikan Malaysia. Jika nasibnya baik, sudah pasti dia akan berhijrah dari Malaysia, negara yang dibencinya.

4. Soalan kedua sebenarnya adalah soalan bonus, kerana jawapannya akan menjelaskan semua perilaku orang Melayu biasa yang digelar sebagai rasis.

5. Jawapan "kenapa sekarang dan tidak dahulu," adalah kerana sekarang Cina dan India begitu lantang mempersoalkan hak Melayu dan Raja-raja. Lebih berani lagi, Cina dan India juga begitu terbuka mencabar kesucian agama Islam termasuk isu Kalimah Allah, Namewee mempersendakan laungan azan, berucap dalam masjid, membaca petikan al-Quran, kes kepala babi di Masjid, menyimbah cat ke surau kerana ditegur, menghina Allah dan Nabi Muhammad dalam Facebook dan Internet, mempersendakan solat, menderma wang judi, menggunakan wang zakat, menyaman kerajaan kerana tidak membenarkan kad pengenalan Lina Joy dibuang perkataan agama Islam, menuduh Islam sebagai pengganas dengan melakukan ethnic cleansing dan banyak lagi.

6. Kesemua perlakuan Cina dan India ini langsung tidak dikenakan tindakan. Pada saat ini, undi Cina dan India adalah 'Tuhan' kepada parti politik terutama Pas yang kelihatan begitu menyembah dua kaum itu supaya beri undi kepada mereka.

7. Kerajaan pula terpaksa mengikut rentak Pas dengan berlembut terhadap Cina dan India dan semua pihak yang mencabar Islam dibiarkan bebas. Perkembangan ini masih dapat mendiamkan Melayu, tetapi apakah Cina dan India benar-benar fikir Melayu diam bererti Melayu takut?

8. Oleh kerana kerajaan dan pemimpin politik Islam dari pakatan pembangkang tidak mampu mempertahankan kesucian Islam, maka sebagai rakyat biasa, sebagai hamba kepada Allah, pengetua di Johor, di Kedah, dua beradik membakar gereja dan ramai lagi telah bertindak sendiri.

9. Sifat amarah mereka meningkat setiap kali Cina dan India menghina Allah, Rasul dan agama Islam.

10. Kenapa tidak dahulu pengetua yang sudah menginjak usia 50 tahun ini bertindak sedemikian? Kerana dahulu, Pas adalah jaguh mempertahankan Islam dan kerajaan pula begitu tegas terhadap mana-mana individu yang dilihat bukan sahaja mengancam, tetapi memprovokasi agama lain.

11. Soalan akhir kepada emak saya, jika Namewee, Cina dan India, Dr. Chua Soi Lek, Lina Joy murtad, gereja yang memohon guna kalimah Allah, wakil rakyat Cina masuk ke masjid dan membaca petikan al-Quran tidak memulakan dahulu tindakan provokasi mereka, apakah Melayu yang lemah lembut ini akan memulakannya?

12. Lebih malang lagi Melayu yang disiat-siat kesabarannya, setiap kali orang Melayu atau akhbar Melayu mengeluarkan kenyataan, mereka akan dikenakan tindakan tetapi bila Cina, India dan akhbar mereka, jawapan yang kita dapat adalah sedang disiasat.

13. Tepuk dada, tanyalah selera wahai Cina, India dan Melayu, ke mana haluan kita? Tetapi percayalah, pilihan dalam tangan kanan kita adalah yang terbaik, yakni marilah kita sama-sama belajar menghormati undang-undang yang sudah termaktub dan tertulis hak Melayu dan marilah kita menghormati kesucian semua agama di Malaysia. Jika tidak, buruk padahnya.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN

Batu Caves, Selangor.

Wednesday, November 10, 2010

Macam-macam PAS - Hanya Mereka Yang Mulia!


UMNO dikafirkan, UMNO diyahudikan, UMNO di-APCO-kan, dan hari ini UMNO dinajiskan. Semuanya terbit dari mulut pemimpin-pemimpin bertaraf ulamak PAS.

Apa sudah jadi dengan pemimpin-pemimpin Islam kita? Inikah cerminan Islam yang digunapakai oleh mereka, iaitu untuk menghukum sesama agama dan sesama bangsa? Jelas sekali, kerana kuasa politik, Islam dipandu sesuka hati!

Macam-macam PAS - Salah Hukum Orang Islam Makan Babi?

Dewan Rakyat, sebuah dewan mulia yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin rakyat, kecoh lagi. Kali ini tiba giliran seorang YB PAS bersuara. Yang diperdebatkan ialah isu pihak sekolah merotan seorang pelajar Islam kerana membawa dan memakan daging babi serta sosej tidak halal ke sekolah.

Apa yang dibangkitkan pada awalnya oleh YB Zul sepatutnya dibernaskan lagi, bukannya terus mempertikaikan apa yang cuba diketengahkan. Tetapi inilah mentaliti politik dalam PR hingga pemimpin PAS sendiri terpaksa bertindak defensif bagi mempertahankan tindakan jahil rakan dalam gabungan mereka.

Kalau dulu, ibu-bapa menyanjung tinggi peranan yang dimainkan oleh guru-guru dan pihak sekolah dalam mendidik anak-anak mereka, tetapi hari ini, pemimpin rakyat pula yang bertindak di luar kebiasaan seperti yang dilakukan oleh YB PAS tersebut.

Kenapa hendak dipertikaikan hukuman rotan yang dikenakan? Ia bukannya hukuman sebat, tetapi cuma rotan yang memang sesuai digunakan oleh golongan pendidik terhadap anak muridnya, apatah lagi dalam soal halam haram begini. Kalau di rumah ibu bapanya sudah gagal, maka menjadi tanggungjawab gurulah pula di sekolah untuk mendidik. Ini bukan kesalahan terpencil yang boleh dipandang enteng.

Saya sendiri pernah dirotan ketika di sekolah rendah, tetapi bila sampai ke pengetahuan emak, dia pula yang tibai saya!

YB PAS itu juga sepatutnya sedar akan tekanan yang dihadapi oleh segelintir tengaja pengajar di kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak di mana masyarakatnya masih mengamalkan percampuran budaya akibat kepelbagaian agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh mereka. Mungkin inilah tindakan paling kena pada tempat, waktu dan ketikanya yang boleh diambil oleh pihak sekolah terbabit.

Apa-apa pun jangan pula selepas ini Nazri ambil tindakan gantung tugas terhadap guru-guru berkenaan!

Khidmat Pejuang Bahasa Dituntut Segara!

Masih membisu?

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan daripada Tokoh Akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berhubung cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Pulau Pinang.

Menurut Nik Safiah, hanya Bahasa Melayu yang layak diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini, tidak ada yang kedua atau yang ketiga. Pada masa yang sama, bahasa-bahasa lain termasuk bahasa ibunda diberikan ruang dalam perlembagaan untuk dipraktikkan dengan bebas tanpa sebarang sekatan.

Justeru beliau secara jelas tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang diutarakan oleh Jagdip Singh Deo, seorang wakil rakyat berstatus peguam terkemuka, yang sepatutnya lebih celik perlembagaan negara ini.

Soalnya sekarang, ke mana pergi semua pendokong-pendokong bahasa seperti Datuk Hassan dan A. Samad Said? Mana pergi pejuang-pejuang bahasa yang sanggup bertempur dahulu dengan pihak keselamatan semata-mata hendak membantah PPSMI?

Allah Maha Adil. Dalam masa yang cukup singkat, ia dibalas. Hari ini, sudah timbul cadangan yang secara jelas jika dilaksanakan, akan cuba menyaingi status perundangan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi di Malaysia.

Ini jauh lebih berbahaya berbanding PPSMI. Ia bakal mewujudkan persaingan secara total meliputi segenap bidang, bukan hanya pendidikan. Bahasa Melayu bakal lenyap atau disisihkan secara perlahan-lahan sementelah penggunaannya hari ini pun minimal di negeri ini. Ia hidup pun kerana masih ada orang Melayu di sini.

Justeru, bangkitlah wahai pejuang-pejuang (kononnya) Bahasa Melayu. Jangan bersikap terpilih dan tak usahlah berhujah-hujah lagi. Ini soal survivor bahasa kita yang sebenar!


Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi - Nik Safiah

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.

"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.

Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.

Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.

"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.

Tuesday, November 9, 2010

RM 150 ribu Untuk Seunit Rumah Mampu Milik?


Rumah mampu milik di Pulau Pinang bakal berharga RM 150 ribu? Jika perkara yang diumumkan oleh KM PP sendiri dalam belanjawan negerinya baru-baru ini menjadi kenyataan, maka piawaian perumahan di negeri ini khususnya di bahagian pulau akan berubah secara drastik!

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 60 juta bagi membina sekurang-kurangnya 400 buah unit kediaman mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah di bahagian pulau, atau dalam istilah matematiknya, RM 150,000 untuk setiap unit.

Berdasarkan satu kaji selidik yang belum diumumkan dapatannya, yang mana saya sendiri terlibat secara langsung dalam menganalisa kajian tersebut, unit rumah pada harga RM 150,000 diklafikasikan sebagai rumah kos sederhana. Ia jarang sekali didiami oleh golongan berpendapatan rendah khususnya di Pulau Pinang ini.

Justeru berita ini pastinya akan menimbulkan lebih banyak persoalan kelak. Kerajaan negeri pimpinan KM sekarang terlalu banyak mencetuskan isu dan kontroversi ke atas rakyatnya sendiri berbanding berusaha secara ikhlas menyelesaikan setiap masalah yang dibangkitkan.

Pada harga RM 150 ribu, adalah jelas, ia bukan suatu penyelesaian yang bijak terhadap masalah tempat tinggal yang membelenggu golongan berpendapatan kecil di sini. Masyarakat gelandangan juga masih belum mampu ditangani secara efektif sebaliknya semakin serius terutamanya di kawasan Komtar dan sekitar Georgetown. Malah, ia boleh dilihat di mana-mana.

Bukanlah nak pertikaikan usaha murni beliau kerana sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menyediakan penempatakan kepada rakyat yang tidak berkemampuan, tetapi biarlah realistik. Ini tidak, belum apa-apa lagi, sudah timbul pelbagai andaian termasuk yang menyentuh hal-hal berbaur perkauman sekali gus menjelaskan lagi keraguan rakyat terhadap kemampuan urus tadbir dan perancangan kerajaan negeri sekarang.

Kerajaan negeri sepatutnya lebih jelas dengan permasalahan golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang kerana di sini, semuanya mahal. Diharap slogan kerajaan berkebajikan yang dimanifestokan dahulu benar-benar direalisasikan.

Selamatkan Perjuangan Anti Islam Liberal AIDC!


Di luar sana, mungkin masih ramai yang belum mengenali AIDC tetapi bagi yang sudah mesra, weblog ini boleh dikatakan sebagai sumber politik paling ilmiah yang menyediakan info-info tentang DS Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia yang juga pemimpin de facto PKR.

Pendedahan demi pendedahan, pembongkaran demi pembongkaran yang dilakukan oleh portal ini hingga kini tidak pernah dijawab oleh Anwar sendiri atau mana-mana cyber troopersnya. Hal ini menyebabkan AIDC terus diyakini kredibilitinya, bahkan dengan mengemukakan pelbagai fakta yang tidak terdapat dalam laporan media mainstream negara, AIDC sudah beberapa kali muncul di muka depan akhbar-akhbar utama nasional.

Inilah uniknya AIDC. Ia digerakkan oleh segelintir pejuang cyber yang sedia duduk bersama-sama membongkar sisi lain Anwar Ibrahim. Perjuangan mereka utamanya adalah untuk menentang gerakan Islam Liberal yang cuba diserap masuk ke nagara ini melalui pelbagai jaringan termasuk dari luar negara yang semuanya mempunyai kaitan langsung dengan Anwar sendiri. Rakyat yang tidak tahu apakah aktiviti Anwar setiap kali berkunjung ke luar negara akhirnya mendapat info yang sebenar, sekali gus memberikan lebih banyak ruang untuk menilai siapakah lelaki ini.

Namun, hari ini, sudah tersebar ura-ura yang mengatakan AIDC akan ditutup kerana berhadapan dengan masalah kewangan. Sejak seminggu yang lalu tiada lagi berita baru yang dikeluarkan menyebabkan ramai yang tertanya-tanya status portal ini. Pengunjung setia seperti saya yang sentiasa dahagakan laporan dari team AIDC pastinya mengeluh. Pastinya kami tidak rela melihat Anwar terus-terusan membawa proksi Islam Liberal ke negara ini dengan mudah tanpa sebarang tentangan.

Saya mengenali AIDC mungkin masih baru, tetapi dengan rahmat Allah, saya berpeluang berkenalan rapat dengan salah seorang pengendalinya yang bagi saya, juga manusia biasa di negara ini. Beliau berkerja untuk agama, bangsa dan tanah air, untuk Malaysia utamanya. Adalah sesuatu yang cukup merugikan jika komuniti Islam di Malaysia yang kuat berpegang kepada Sunnah Wal Jamaah hilang daie seperti beliau dan rakan-rakan yang istiqamah menentang penyebaran Islam Liberal, dengan cara mereka sendiri.

Justeru, saya menyertai sahabat-sahabat blogawan yang lain, tampil menyatakan sokongan kepada AIDC. Teruskanlah perjuangan walau dengan apa jua cara sekali pun demi alif, ba dan ta. Pihak-pihak yang berkemampuan di luar sana, khususnya pihak kerajaan sendiri, sepatutnya menyalurkan bantuan terbaik kepada AIDC yang selama ini cukup membantu memulihkan sokongan rakyat seperti kami kepada BN dan UMNO sendiri.

Selamatkan AIDC demi Agama, Bangsa dan Tanah Air!!

Sunday, November 7, 2010

Seorang makhluk ditakdirkan hidup

Sekadar hiasan.

Ini antara tulisan Awang yang paling bermakna rasanya. Semoga rakan-rakan di luar sana yang tidak suka dengan tulisan beliau atau tidak membaca Utusan dapat sama-sama merenungi hujah bernas beliau dalam catatan ini, insya-Allah.

Untung Sabut Timbul

KETIKA sedang bersembang dengan kawan-kawan pelbagai kaum, ertinya ada Melayu, Cina dan India; tiba-tiba timbul pertanyaan kepada penulis: Adakah kamu Malay first, Malaysian first atau Muslim first?

Maknanya adakah penulis ini menganggap diri sebagai seorang Melayu dulu, rakyat Malaysia dulu atau sebagai seorang Islam dulu, baru yang lain. Tidakkah soalan ini nakal?

Kalau penulis kata Melayu dulu, tentu rakan Cina dan India berasa hati, seolah-olah penulis menganggap menjadi rakyat Malaysia adalah soal kedua dan bukannya utama. Kalaulah penulis kata penulis menganggap diri sebagai warganegara Malaysia dulu, barulah Melayu, maka tentu kawan Melayu itu akan tersinggung juga, seolah-olah penulis ini tidak mengutamakan bangsa sendiri.

Tetapi tanggapan mengenai Muslim first lagi menyusahkan. Sebagai seorang Islam tentulah orang Islam akan mengutamakan agamanya daripada yang lain. Apa yang lebih penting daripada agama dan Tuhan? Tidak ada lain yang lebih penting daripada agama. Soal bangsa dan negara jatuh ke bawah berbanding agama.

Tetapi apabila disebut Muslim first, orang Melayu boleh menerimanya dengan menganggap bahawa seorang Melayu mestilah Islam, jadi Melayu dan Islam itu seiringan. Tetapi bagi orang bukan Islam apabila mendengar Muslim first tentu mereka berasa tersinggung dan terpinggir.

Tidakkah boleh seseorang itu sebut sebagai Malaysian first, yang bererti seorang itu boleh jadi Melayu, Cina dan India, serta beragama Islam atau bukan Islam tetapi kesemuanya terkandung ke dalam Malaysian first. Oleh itu orang Melayu dan Islam tidak harus berasa tersinggung apabila ada orang menyatakan dirinya Malaysian first dan tidak Malay first kerana dalam Malaysian ada Melayu.

Kalau hendak pergi lebih jauh, apabila ditanya sama ada penulis ini Malays first, Malaysian first atau Muslim first maka jawapan yang wajar diberikan ialah “Saya ini manusia dulu, human first” baru yang lain-lain.

Maksudnya sebagai manusia, dengan perasaan kemanusiaan, anggaplah semua manusia itu setaraf dan sama. Tidak kiralah mereka itu rakyat Malaysia atau tidak. Sama ada mereka itu Cina atau India. Sama ada mereka itu beragama Islam atau tidak. Kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan kemanusiaan.

Kita tidak memilih untuk menjadi Melayu, Cina dan India. Kebanyakan daripada kita juga tidak memilih untuk menjadi rakyat Malaysia atau tidak.

Sedar-sedar kita dilahirkan sebagai Melayu di bumi Malaysia dan jadilah warganegara Malaysia. Kalau tidak berhijrah ke negara-negara lain atas sebab-sebab tertentu, maka kita terus menjadi warganegara Malaysia sampai ke akhir hayat.

Pengaruh

Malah agama begitu juga. Walaupun boleh memilih anutan agama kita, tetapi umumnya besar kemungkinan seseorang itu akan menuruti agama ibu bapa mereka. Tentulah pengaruh ibu bapa amat kuat bagi seseorang untuk memeluk sesuatu agama. Maka kebanyakan anak orang Islam akan menjadi orang Islam. Kebanyakan anak bukan Islam akan menjadi bukan Islam. Ada kalanya berlakulah pertukaran agama. Ada yang menjadi mualaf dan ada yang murtad. Tetapi umumnya masing-masing berpegang pada agama ibu bapa masing-masing.

Itu kita ditakdirkan sebagai seorang manusia. Jika Allah SWT takdirkan sesuatu nyawa menjadi haiwan, maka apa yang boleh dilakukan? Tentulah sesuatu makhluk tidak boleh berubah menjadi makhluk lain. Manusia akan menjadi manusia sepanjang hayatnya. Begitu juga dengan haiwan lain. Itu adalah takdir.

Sebagai makhluk, kita hanya mengikut fitrah seperti yang sudah ditakdirkan.

Maka ditakdirkan kita dilahirkan di bumi Malaysia, maka jadilah rakyat Malaysia. Tidak timbul Malaysian first. Tidak perlu kita benci negara-negara lain. Walau macam mana kita suka kan sesebuah negara lain, tetapi kita sudah ditakdirkan lahir dan menetap serta mencari rezeki di Malaysia, maka kita rakyat Malaysia.

Begitu juga apabila sudah ditakdirkan menjadi Melayu, Cina atau India, tidak perlu membenci kaum-kaum lain. Maka tidak timbul soal Malay first atau Chinese first dan Indian first.

Dalam Islam sudah jelas ajarannya mengenai perbezaan bangsa, ia hanya untuk kenal mengenal di antara satu sama lain. Tidak lebih daripada itu. Semua manusia itu setaraf. Perbezaan hanyalah pada iman dan takwa, yang ukurannya hanyalah pada sisi Allah SWT.

Menurut sains pula, manusia semuanya berasal daripada satu bangsa di Afrika. Kemudian semuanya berhijrah keluar, jadilah pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum serta berlainan kulit.

Tamadun muncul dan tumbang dan akhirnya manusia sepakat untuk mewujudkan negara-negara yang diuruskan dengan masing-masing menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tujuan negara hanyalah untuk mengurus penduduk di dalamnya supaya aman, makmur dan bertamadun. Semua negara adalah setaraf kerana manusia adalah setaraf. Tidak ada negara yang lebih baik daripada lain.

Manusia bebas berhijrah menurut kesukaannya jika diterima oleh penduduk negara di mana dia hendak menetap.

Rebutan untuk sumber kekayaan adalah lumrah. Justeru sistem-sistem dalam negara dan peringkat antarabangsa digubal supaya pengagihan dibuat secara aman dan adil. Walaupun tidaklah sempurna tetapi umumnya berjalan lancar dalam zaman moden ini.

Kalau adik-beradik sekalipun boleh bergaduh kerana berebut harta pusaka, maka apa hendak dihairankan apabila golongan yang berbeza berebut untuk mendapatkan kekayaan di sesebuah negara.

Cuma rebutan itu wajar dilandaskan mengikut undang-undang dan peraturan bagi mengelak berbunuhan sesama sendiri seperti pada zaman silam.

Sejarah manusia begitu panjang hingga membolehkan keamanan dan kemakmuran yang diwujudkan di seluruh dunia pada hari ini. Kemiskinan, kesusahan dan kebuluran masih berlaku tetapi ia disedari dan usaha sentiasa dijalankan oleh pelbagai pihak yang mempunyai perikemanusiaan. Kita hanya makhluk.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...