Esok, 10hb Oktober 2023, para pengundi di Pelangai
akan memilih wakil rakyat mereka yang baru. Tiga orang calon telah disiapkan
untuk dipilih mewakili blok Perpaduan (kerajaan), Perikatan Nasional
(pembangkang) dan Bebas.
Senario yang berbeza ditempuhi dan dibawa oleh ketiga-tiga blok sepanjang tempoh berkempen kali ini. Kerajaan Perpaduan yang diwakili calon dari Barisan Nasional memasuki pilihanraya dalam mood berkabung setelah kehilangan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023.
Calon PN, Kasim Samat (tengah) diapit calon BN, Datuk Amizar Abu Adam (kiri) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli (kanan). |
Berbanding tekanan yang dihadapi oleh Barisan
Nasional, blok pembangkang melihat PRK ini sebagai peluang untuk mengukuhkan
kedudukan mereka di Pahang. Jika menang, mereka akan mendapat tambahan satu kerusi
sekaligus menjadikan blok Perikatan Nasional memiliki 18 kerusi, berkelebihan
dua kerusi mengatasi Barisan Nasional (16) selaku komponen utama Kerajaan
Perpaduan Pahang.
Sejak hari pertama tempoh berkempen dibuka lagi PN telah memanipulasikan situasi ini sebalik mungkin dalam usaha mereka memenangi sokongan pengundi. PN telah mencipta naratif bahawa Kerajaan Perpaduan Pahang akan tumbang dan Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Tuan Ibrahim Tuan Man hampir pasti akan dipilih sebagai Menteri Besar yang baharu.
Persoalannya, bagaimana angan-angan PN ini boleh direalisasikan? Adakah dengan 18 kerusi sudah memadai untuk menguasai DUN Pahang? Jika dinisbahkan kepada bilangan kerusi yang dimiliki oleh Barisan Nasional, tentulah boleh. 18 tentulah lebih besar daripada 16. Tetapi yang akan menggagalkan rancangan PN ini ialah fakta dan hakikat bahawa mereka sedang berlawan dengan kerajaan Perpaduan, bukan Barisan Nasional!
Inilah bahagian penting yang disorok dalam naratif yang dijual oleh PN kepada para pengundi Pelangai. BN yang kehilangan majoriti ketika PRU15 telah mendapat sokongan 8 kerusi daripada PH sekaligus membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk di Pahang. 16 campur 8, bukankah nilainya lebih besar daripada 18?
Sekalipun PN berjaya memenangi Pelangai esok, hakikatnya, mereka masih memerlukan sekurang-kurangnya 4 kerusi lagi sebagai prasyarat majoriti mudah di DUN Pahang yang menyediakan keseluruhan 42 kerusi. Dari mana sokongan 4 kerusi ini akan mengisi kelompangan yang dihadapi PN? Ironinya mereka sendiri pun tidak pasti dan tidak berani menyatakannya secara terbuka melainkan sekadar menabur janji dan harapan yang palsu kepada para pengundi berbekalkan pengalaman tebuk atap yang pernah dijayakan sebelum ini.
16 Adun BN ikrar setia kepada parti. Mana
PN nak cari 4 kerusi lagi?
Lebih lucu, belum pun tiba hari mengundi, kesemua 16
orang ADUN BN Pahang telah menyatakan kesetiaan mereka kepada parti dan
menyokong penuh kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Situasi menjadi lebih kelam buat PN apabila Pengerusi BN yang juga Timbalan
Perdana Menteri 1, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapannya
ketika berkempen di Pelangai menyatakan bahawa ada beberapa orang ADUN PN akan
menyokong Kerajaan Perpaduan selepas tamat PRK Pelangai ini.
Jika hal ini berlaku maka amatlah malang nasib yang dihadapi oleh Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin. Bak kata pepatah orang Melayu, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula keciciran.
Bagi para pengundi di Pelangai esok, buatlah keputusan yang tepat bersandarkan pertimbangan-pertimbangan yang jelas, sahih dan menyeluruh. Paling penting, jangan memilih dengan emosi kerana keputusan yang didasarkan kepada emosi sering menatijahkan kerugian dan penyesalan.
Anda lebih tahu siapa yang lebih layak untuk dipilih dan diangkat sebagai wakil rakyat Pelangai.