Monday, November 30, 2009

Mantik Politik

POLITIK Malaysia harus menerima hakikat bahawa terdapat seorang lelaki yang sangat berpengaruh ketika ini yang telah banyak mencorakkan suasananya. Lelaki yang dimaksudkan itu juga baru-baru ini telah disenaraikan sebagai antara pemuka berpengaruh di dunia Islam sekali gus melonjakkan politic valuesnya. Di mata dunia, beliau juga bukan lagi figura asing.

Jika disenaraikan lagi, maka ramai yang beranggapan lelaki itu ialah Anwar Ibrahim. Sebenarnya, beliau setanding barangkali dengan Anwar Ibrahim. Kedua-duanya mempunyai pengaruh yang besar baik di negara ini mahupun di dunia Islam, bahkan termasuk di Barat juga. Sempadan hegemoni politik mereka ada kalanya dikagumi dan dihormati pihak kawan dan lawan. Ada kalanya juga, kedua-dua mereka begitu disegani oleh musuh.

Jika kita mahu bercakap tentang Anwar Ibrahim, maka saya orang pertama yang akan mengundurkan diri. Saya lebih berminat dengan lelaki pertama yang saya maksudkan sebentar tadi, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Pada saya, meskipun hegemoni politik kedua-duanya agak seimbang khususnya jika diukur dari sudut kekuatan pengaruh dan sokongan masing-masing, namun saya melihat wujud perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Ia berkenaan dengan nilai politik. Anwar membina pengaruh umumnya melalui kredibiliti dan persepsi sementara Tuan Guru, pengaruhnya datang dari gelarannya itu sendiri. Beliau membina sesuatu yang tiada pada Anwar. Ada masanya, yang tiada pada Anwar itu menjadi kekuatan yang cukup luar biasa bagi Tuan Guru.

Dalam juak Pakatan Pembangkang sendiri, kedua-dua Anwar dan Tuan Guru mempunyai stands yang berbeza. Walaupun boleh berkongsi platform yang sama, namun Anwar harus terima hakikat bahawa Nik Aziz ialah Tuan Guru dan Mursyidul Am kepada sebuah parti politik yang tunjangnya satu kaum sahaja iaitu Melayu Islam. Tuan Guru mempunyai kekuatan yang cukup besar jika beliau berjaya memegang tunjang itu dan menjaganya serta menentukan hala tuju tumbuhnya mengikut ajarannya. Sedang Anwar, meskipun beliau adalah Ketua Umum, namun beliau lebih banyak bermain dengan perjudian nasib dan akibat. Politik yang beliau bina dalam juaknya sendiri sebenarnya lebih banyak dicorakkan oleh persepsi. Kepelbagaian kaum dengan matlamat asasi serta ideologi dan nilai moral dan keagamaan yang kompleks adalah cabaran yang cukup berat lagi payah untuk ditangani oleh seorang ketua seperti Anwar.

Anwar harus risau jika beliau gagal memuaskan semua akar politiknya. Pada masa yang sama, beliau juga harus akur bahawa setiap akar yang menghidupkan politiknya itu sentiasa mahu bergerak. Tunjangnya mungkin sudah digagaskan melalui perancangan survivor politicnya selama ini, namun setiap akar itu, yang kadang-kadang boleh bertindak liar menjalar tanpa panduan, boleh menggugat seluruh sistem yang dibina. Sudah banyak contoh yang menunjukkan betapa akar-akar dalam perjuangan politik Anwar berani melencongi wadah perjuangan beliau sendiri. Peristiwa di Sabah umpamanya, adalah isyarat jelas betapa Anwar belum mampu menandingi kebijakan Tuan Guru dalam beliau menangangi permasalah pokok yang timbul. Siri perletakkan jawatan, pengunduran keluar ADUN tertentu dan pembubaran ranting yang semakin parah juga menunjukkan Anwar belum berjaya mewujudkan kemandirian dalam sistem politiknya.

Tidak keterlaluan, jika semua itu dipanjangkan lagi, untuk mengatakan bahawa ada masanya Anwar menumpang pengaruh Tuan Guru dan PAS dengan hajat untuk menguatkan kembali perjuangan beliau sendiri. Malah ada ketikanya, Anwar bertindak lebih bijak sedikit dengan memperlihatkan kepada umum betapa perjuangannya adalah fleksibel dan boleh diseiringkan dengan perjuangan politik PAS. Ketika PAS diheret ke dalam Pakatan, sebenarnya ramai yang menduga hal ini. Ada yang sinis melihat PAS tertipu. Natijahnya apa? Seperti yang terlihat hari ini, PAS sebenarnya semakin bermasalah baik dalaman mahupun luaran. Sistem yang dibina dan diamalkan oleh PAS selama ini sudah banyak yang dicabuli oleh Anwar dan parti-parti lain dalam Pakatan. PAS dilihat gagal memegang tunjang perjuangannya seperti sebelum ini, kecuali Nik Aziz yang semakin dihormati dan disegani.

Namun, jika dibaca dari sudut bahasa politik, adakah Tuan Guru dihormati dan disegani zahir dan batin? Inilah persoalan yang bukan sahaja bermain di minda musuh, tetapi juga dalam kalangan penyokong PAS sendiri. Bahkan, dalam minda sesetengah yang lain pula, khususnya pihak atas pagar, musuh itu sendiri sebenarnya tidak jelas. Ramai yang sahih bahawa UMNO ialah musuh politik utama bagi kedua-dua lelaki ini. Tuan Guru sendiri berulang kali menyatakan kebenciannya terhadap UMNO. Ia bahkan menyeluruh. Begitu juga dengan Anwar yang sudah mengishtiharkan perang terhadap PM DS Najib. Mungkin Anwar sendiri lupa bahawa semboyan perang itu turut menempiasi seluruh ahli UMNO kerana Najib ialah kepalanya. Seluruh badan pasti bergetar sama. Pada masa yang sama, ada yang beranggapan Anwar cuma mahu beretorik lagi terutamanya bagi menutup kembali lubang yang terbuka luas berkaitan isu Azmin dan Shamsidar.

Namun, tidak diketahui dengan jelas, adakah Tuan Guru semakin dihormati dan disegani ketika partinya sendiri sedang bergelut dengan pelbagai masalah. Nik Aziz terus bercakap tentang isu-isu tertentu yang ada kalanya, memperlihatkan kerendahan nilai Tuan Guru itu sendiri. Umum juga tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dinginkan oleh Nik Aziz ketika ini? Kuasa atau dakwahnya? Banyak kenyataan Nik Aziz terpaksa diperbetulkan kembali khususnya apabila ia mula menunjukkan akan menimbulkan polemik. Hal ini sebenarnya menimbulkan persoalan lain iaitu adakah Nik Aziz bercakap berdasarkan keperluan atau beliau bercakap kerana beliau seorang Mursyidul Am? Adakah kerana beliau seorang pemimpin umum, maka beliau berhak bercakap apa-apa sahaja yang difikirkan perlu? Jika begitu, mana nilai integriti kepartian yang ada dalam PAS? Mana suara Presiden dan Timbalannya?

Terbaru, ialah kenyataan Nik Aziz yang bersedia mendoakan kelaknatan terhadap pemimpin negara sendiri. Isu ini mungkin baru dan masih belum menjadi polemik politik. Beliau sendiri sudah memperbetulkan kenyataan itu dengan memberikan definisi yang lebih sedap didengar. Persoalannya, adakah rakyat begitu dungu untuk menerima apa sahaja cakap beliau, sehingga beliau dengan senang mengubah kembali kenyataan-kenyataan sebelumnya? Rakyat yang sudah bijak menilai juga tertanya-tanya, sejauh mana kebencian Tuan Guru terhadap UMNO sedang UMNO tunjangnya adalah Melayu Islam? Kenapa wujud persilangan yang ketara antara sikap dan persepsi Tuan Guru terhadap parti ini, sedangkan pernah satu ketika juga beliau sendiri menyelar sahabat-sahabat politiknya dalam Pakatan? Jika doa laknat itu sampai ke pengetahuan dunia Islam justeru apakah pula tanggapan mereka terhadap Malaysia kelak? Semua ini tentunya bukan sesuatu yang enak dibincangkan, namun kerana ia keluar daripada mulut Nik Aziz, adalah dibimbangi political polemics akan timbul juga kelak.

Jika hal ini berlaku maka besar padahnya. Seperti yang dibincangkan sebentar tadi, pengaruh politik Tuan Guru sangat besar. Malah beliau sudah pun membentuk kelompok penyokong tegar dan taksub yang sanggup mempertahankan apa-apa saja keputusan atau tindakannya termasuk dalam isu-isu sensitif seperti ini. Di satu sudut yang lain pula, isu ini juga akan meninggalkan kesan yang pastinya lebih besar dalam kalangan penyokong PAS. Ia akan membentuk persepsi umum, kemudiannya diyakini dan akhirnya dipegang sebagai benar bahawa Nik Aziz melakukan tindakan tersebut kerana beliau seorang ulamak yang tinggi penilaiannya. Anwar pula mendapat keuntungan yang cukup lumayan. Bukan sahaja semboyan perang itu sudah disambut, tetapi lebih penting ia disambut oleh seorang mursyidul am sekali gus mengukuhkan lagi hegemoninya. Strategi politik Anwar ternyata begitu menjadi ketika ini. Setiap isu yang membelenggu pokoknya akan dicantas dengan mencipta isu-isu baru yang lebih berimpak tinggi.

Justeru politik Malaysia juga harus menerima hakikat bahawa sebarang tindakan oleh Nik Aziz sering menguntungkan kem Anwar, namun tidak semua tindakan Anwar akan memberikan nilai yang sama kepada PAS atau Nik Aziz. Inilah bezanya, kerana PAS tersepit dengan perjuangan Islamnya sementara Anwar dan partinya lebih liberal. Adalah mustahil untuk PAS mahupun Nik Aziz untuk turut meliberalkan seluruh sistem yang telah dibina. Hanya pada bahagian tertentu sahaja unsur tersebut masih boleh diselitkan walaupun ia akhirnya mewujudkan perdebatan. Pun tentu, kedua-duanya tetap berkongsi wadah yang sama iaitu untuk menjahanamkan musuh meraka, PM DS Najib dan UMNO keseluruhannya.

Thursday, November 26, 2009

SELANGOR HARAMKAN BTN - TAKUT BAYANG-BAYANG RUPANYA

Tersenyum dalam kepenatan. Kisahnya, Kerajaan Pakatan Pembangkang telah memutuskan untuk mengharamkan sebarang aktiviti atau kursus yang dikelolakan oleh Biro Tatanegara atau glamornya, BTN, di negeri tersebut.

Kebetulan , saya dan rakan-rakan baru sahaja pulang dari mengikuti Kursus BTN Lanjutan - Kepimpinan Mahasiswa. Tidak dinafikan, BTN mempunyai hubungan yang rapat dengan mahasiswa IPTA seluruh negara. Modul-modul yang dirangka oleh biro di bawah Jabatan Perdana Menteri ini telah berjaya merobah minda dan persepsi mahasiswa kita khususnya dalam isu-isu politik dan kenegaraan.

Sama ada yang terobah itu lebih menjurus kepada persepsi politiking atau persepsi personal terhadap BTN sendiri, saya tidak mampu menjawab secara tepat. Malah, ada yang langsung menyokong pembangkang selepas sekali mengikuti kursus BTN. Setiap peserta pastinya mempunyai penilaian masing-masing. Saya percaya di luar sana masih ramai yang tidak tahu apakah peranan BTN. Malah yang takut-takut dan bimbang dengan kesan akibat menyertai kursus BTN juga masih ramai.

Berdasarkan pemerhatian umum, ternyata mahasiswa rata-ratanya belum dapat menerima kerelevan program sebegini. Tidak semua mahasiswa di mana-mana IPTA berpeluang terpilih menyertainya. Ruang keelitan ini kemudiannya bercambah menjadi satu lagi persepsi kononnya BTN mempunyai agenda tertentu yang halus lagi berbahaya terhadap mahasiswa. Yang langsung menuduh BTN sebagai alat propaganda UBN juga tidak sedikit. Semua ini secara tidak langsung akan memalitikan imej yang negatif terhadap BTN.

Antara tuduhan paling biasa didengar ialah, BTN telah digunakan oleh UBN sebagai medium kempen dan penerangan dan juga sebagai alat menyebarkan pengaruhnya terhadap mahasiswa. Sudahlah AUKU juga dituduh menyekat kebebasan mahasiswa, kini BTN pula dijadikan gandar memasang pengaruh UBN dalam kalangan intelektual muda. Justeru ketika Buletin Utama sebentar tadi melaporkan tentang berita pengharaman ini, lantas saya merumuskan bahawa ia dibuat sebagai respon langsung kepada tekanan demi tekanan yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Pakatan Pembangkang ketika ini. Alasan kononnya kursus –kursus BTNmenyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat pada saya sangat dangkal dan tidak cerdik sama sekali.

Saya tidak pasti apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Kerajaan Selangor melalui alasan tersebut. Jika ia adalah strategi reverse psychology terhadap tekanan politik yang dikenakan oleh UBN, maka saya kira keputusan tersebut tidak dibuat secara menyeluruh sebaliknya lebih bersifat membalas dendam politik semata-mata. Ia adalah keputusan semerta yang lebih bersifat seperti lelaki besar yang takut kepada bayang-bayangnya sendiri. Siapa lelaki besar itu? Tentunya penasihat mereka sendiri yang sebenarnya menjadi antara pengasas kepada BTN suatu ketika dahulu sebelum disepak keluar daripada UMNO dan kerajaan BN.

Strategi menyerang balas dengan pukulan maut seperti ini sebenarnya sudah diduga. Pengharaman BTN di Selangor yang meliputi semua peringkat termasuk staf kerajaan telah disusuli dengan penubuhan SPIES yang diumumkan oleh salah seorang Anggota Exco Kerajaan Negeri. Ketika mendapat berita ini, senyum saya semakin lebar. Mahu saja ketawa. Kenapa begitu mendadak? Nampak benar wujudnya nilai-nilai permusuhan dalam strategi yang digunakan. Namun seperti biasa, apalah yang nak dihairankan kerana mereka adalah pembangkang UBN. SPIES yang kononnya lebih komprehensif dicadangkan dengan hujah bahawa ia tidak akan memupuk sebarang unsur perpecahan dalam kalangan peserta. Saya tertanya-tanya apakah justifikasi yang digunakan untuk mendakwa BTN telah menyebabkan rakyat Malaysia berpecah selama ini.

Sepanjang saya menyertai kem atau kursus sebelum ini, saya tidak pernah dihadapkan dengan modul-modul yang berbentuk perkauman dan sebagainya. Sebaliknya, setiap fasilitator akan bercakap berdasarkan fakta yang kadang-kala diselitkan dengan unsur sejarah, moral dan keagamaan. Tidak pernah kami disuruh membenci mana-mana kaum, sebaliknya, patriotism menjadi semakin tebal dan toleransi juga berjaya dipupuk dengan lebih baik. Beberapa kem dan kursus yang saya sertai sebelum ini juga disertai oleh pelajar bukan Melayu. Mereka sendiri mengakui program sebegini mempunyai nilai-nilai yang sangat positif dalam membina satu bangsa yang berkongsi pelbagai citra iaiti bangsa Malaysia yang bertunjangkan perlembagaan.

Kesimpulannya, saya yakin dan percaya kursus-kursus BTN akan terus relevan dalam suasana sosio-politik dan ekonomi negara yang semakin mencabar ini. Rakyat perlu difahamkan dengan tatanegara. Bahkan, kitab-kitab besar karangan ulama tersohor pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu dahulu juga banyak berbicara tentang adab bernegara. Justeru tiada salahnya jika hal yang sama turut dipraktikan pada masa ini.

BTN juga banyak membantu membentuk set kepimpinan peringkat pelajar dan NGO lain. Melalui BTN, budaya fikir, budaya kerja dan budaya bersosial dalam kalangan pemimpin pelajar contohnya, berupaya dibentuk dan dijadikan panduan. Justeru kenapa masih mahu melebihkan penilaian terhadap sisi negatifnya sahaja jika nilai-nilai baik masih lagi banyak? Saya dimaklumkan bahawa pihak PMI sendiri mempunyai kursus yang mirip BTN tetapi lebih dikenali sebagai Tamrin. Modul-modulnya menurut bekas peserta yang saya kenal lebih tebal dengan nilai rasis dan mengajar pelajar membenci pemerintah. Begitu juga, pihak SPF, PBT, DEMA dan sebagainya lagi turut mempunyai program mereka sendiri yang lebih banyak memupuk kebencian terhadap pelajar Melayu di kampus-kampus. Justeru, siapa sebenarnya yang rasis?

Saturday, November 21, 2009

Anak-anak 1Malaysia Buktikan Sistem Pendidikan Negara Berkualiti

Tidak tergambar perasaan di hati apabila mata dan telinga melihat dan menyaksikan kisah-kisah kejayaan anak-anak 1Malaysia mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, UPSR baru-baru ini.

Mata dan telinga yang melihat dan mendengar inilah menjadi saksi, bahawa segala dakyah dan tohmah Hishamuddin Rais, pemikir songsang yang cuba membina persepsi bahawa sistem pendidikan di negara ini tidak cekap dan tidak berkualiti, adalah salah sama sekali.

Sebagai bakal guru yang turut akan membantu mencorak hala tuju anak-anak 1Malaysia ini suatu hari nanti, sudah semestinya saya berasa cukup berbangga dengan kejayaan generasi muda tersebut. Tidak dinafikan, masih wujud kelemahan tertentu dalam sistem pendidikan yang kita ada, namun ia sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa supaya hasil yang ingin dicapai berada pada tahap terbaik.

Pihak kerajaan melalui kementerian yang terbabit juga pastinya berusaha memantapkan sistem pendidikan nasional. Tidak cukup hanya dengan merangka dasar dan matlamat seperti yang digariskan dalam FPK atau Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebaliknya, penambahbaikan terhadap sukatan mata pelajaran serta kaedah pengajaran dan pembelajaran juga sentiasa diberikan perhatian, sekaligus memungkinkan pencapaian-pencapaian cemerlang sebegini boleh direalisasikan dengan jayanya.

Dalam buku beliau, Internet – Keganasan dan Penipuan, Hishamuddin Rais antara lainnya menempelak sistem yang digunakan dalam proses pendidikan di negara ini sebagai gagal melahirkan generasi intelek yang komprehensif sementelah masih terdapat pihak-pihak atau golongan rakyat, yang saya yakin cuma segelintir, terpinggir daripada arus kependidikan negara. Persoalannya, adakah ia benar seratus peratus? Adakah kerajaan mewujudkan sesuatu sistem dan pada masa yang sama, mahu meminggirkan pula segelintir rakyatnya daripada menerima implikasi dan keuntungan daripada sistem tersebut? Atau adakah golongan tersebut terpinggir kerana mereka tidak berusaha mengikut arus sistem berkenaan?

Cerita tentang kejayaan generasi baru Malaysia dalam bidang pembelajaran mereka adalah bukti bahawa jika sistem yang diimplimentasikan dengan baik itu diterima oleh rakyat tanpa mengira latar belakang kehidupan mereka, maka tidak akan timbul isu ada golongan yang terpinggir atau dipinggirkan seperti yang didakwa. Pada saya, dakwaan tersebut lebih bersifat politik berbanding mengemukakan realiti sebenar kepada umum, dan ternyata ia dilakukan dengan mengambil kesempatan di atas kekurangan rakyat marhaien sendiri.

Yang menjadi masalahnya adalah kerana sikap dan persepsi golongan yang segelintir itu terhadap kepentingan pendidikan dalam kehidupan anak-anak mereka sendiri. Pastinya isu tidak timbul sebelum keputusan sesuatu peperiksaan diumumkan, atau tepatnya semasa proses pendidikan itu berlangsung. Ia hanya dibangkitkan sejurus keputusan diumumkan dengan dakwaan-dakwaan kononnya masih ada rakyat umumnya dan para pelajar khususnya yang tercicir daripada kejayaan yang dicapai. Pada waktu itu tentunya kita akan bertanya, apakah lagi yang boleh dilakukan ketika sejumlah besar yang lain semakin laju melangkah ke hadapan? Di pihak kerajaan tentunya akan dilaksanakan langkah-langkah paling wajar kerana ia memang sudah menjadi tanggungjawab sebagai pemerintah. Namun, isunya ialah di pihak ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajara terbabit. Ia tetap berkaitan dengan sikap dan pemikiran.

Saya juga tidak nampak saranan oleh Hishamuddin Rais sendiri, dan mungkin daripada pihak-pihak tertentu yang lain juga supaya dipercumakan sistem pendidikan nasional hingga ke peringkat tertinggi sebagai sesuatu yang relevan. Dalam konteks pendidikan hari ini, adalah sesuatu yang kurang bijak sekiranya sistem yang digunakan disubsidikan secara total. Meskipun ia akan memberikan kesamarataan dari segi hak dan peluang pembelajaran terhadap semua golongan pelajar di semua peringkat pendidikan, namun implikasi lain tetap akan timbul malah mungkin menjadi isu major di kemudian harinya.

Soal keberupayaan untuk bersaing dalam kalangan guru dan pelajar, soal kesediaan para guru untuk melonjakkan prestasi mereka apabila mengajar di dalam kelas, soal motivasi diri sama ada di pihak guru mahupun pelajar sendiri dan sebagainya lagi pasti akan timbul sedikit demi sedikit. Isu sama ada pihak kerajaan mampu ataupun tidak, tidak harus timbul. Namun apa yang boleh difikirkan di sini ialah mentaliti rakyat di negara ini akan terus terikat dengan subsidi sedangkan ia merupakan sesuatu yang sedang susut. Natijahnya amat besar sekiranya pada satu tahap, pasti, kerajaan terpaksa menarik balik subsidi dalam pendidikan yang dipercumakan itu. Yang untung tentunya pemimpin-pemimpin politik kerana boleh menjadi hero rakyat pada waktu tersebut.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia haruslah membuka mata dan minda mereka bahawa pendidikan di negara ini, melalui sistem-sistem yang fleksibal yang digunakan dari masa ke masa, sudah berjaya melahirkan golongan cerdik pandai dan profesional tempatan. Dakwaan kononnya sistem kita ketinggalan dan tidak komprehensif haruslah di sangkal kerana saban tahun, kita dihadapkan dengan angka-angka yang jelas menunjukkan anak-anak Malaysia sebenarnya boleh. Hanya mereka yang melihat hakikat ini dari jurus pandang politik yang sempit sahaja akan menolaknya. Saya yakin, jika hari ini Pakatan Rakyat memerintah negara, mereka juga tidak mampu mempercumakan pendidikan nasional hingga ke peringkat tertinggi. Hanya idealis songsang sahaja merasakannya wajar.





Dua orang adik yang cemerlang dalam kepayahan. Semoga mereka terus berjaya dalam kehidupan masing-masing, insya-Allah.

Banjir Di Selama Terburuk Dalam 13 Tahun

Ketua Pemuda Larut bersama dengan YB Dato' Hamzah, Ahli Parlimen Larut sedang melawat mangsa banjir.


Salah sebuah rumah di Kg Sg Bayor yang roboh dibawa arus banjir.

Realiti kemusnahan akibat banjir yang berlaku.





Situasi ini memerlukan langkah segera untuk memulihkannya. Larut merupakan kubu kuat UMNO dan BN sejak zaman merdeka lagi namun masih ketinggalan dalam banyak segi.



Ketika ini saya sedang bermesyuarat bersama-sama Penggerak-penggerak Aspirasi USM. Dalam kehangatan berhujah dan berdebat, sempat juga saya menziarah blog Pemuda UMNO Larut yang mana saya merupakan anak jati parlimen ini. Berita yang dipaparkan sungguh menyayat hati iaitu berkaitan dengan masalah banjir yang sedang melanda kawasan Selama, daerah termundur di Perak yang juga merupakan tanah kelahiran saya. Berikut merupakan petikan laporan daripada blog tersebut ;

13 Nov. Kejadian banjir yang berlaku di Selama kali ini , saya difahamkan adalah yang terburuk dalam tempoh 13 tahun . Saya telah pergi melawat ke sekitar kawasan yang terlibat bersama - sama ahli parlimen . Terlalu banyak kerugian dan kemusnahan telah dialami oleh penduduk yang terlibat dengan bencana banjir kali ini . Saya dan YB Dato Hamzah yang pergi melawat ke beberapa rumah turut sempat melihat sebuah rumah di Kpg Tapah yang runtuh kerana dilanda arus deras banjir . Mujurlah tuan rumah tersebut sempat terjun dan menyelamatkan diri. begitu pun sebahagian rumahnya ranap menyembah bumi .

Sebuah jambatan gantung di Sg Seputeh juga turut musnah sama sekali akibat arus deras sungai . YB Dato Hamzah telah mengarahkan supaya pembinaan semula jambatan berkenaan di uruskan segera oleh Jabatan Saliran Daerah . Saya percaya lebih 300 keluarga yang terlibat dengan banjir , walaupun hanya sebahagian sahaja yang dipindahkan . Menurut rakan - rakan di Selama , mereka terpaksa berenang ke sebuah rumah warga tua untuk menyelamatkannya daripada dihanyut arus banjir pada awal pagi khamis . Tahniah dan syabas atas kesungguhan mereka menyelamatkan ramai keluarga yang tiba - tiba diterperangkap dalam banjir yang naik mendadak .

YB Dato Daud juga hadir pada malam kejadian , saya difahamkan beliau hanya pulang pada jam 6 pagi tadi . Bagi pihak Pemuda UMNO Bahagian Larut , saya sempat menghulurkan bantuan kepada beberapa keluarga dan pusat perpindahan yang dibuka . Insallah , Pemuda UMNO Bahagian akan terus membantu seberapa yang mampu kepada mangsa banjir dari masa ke semasa . Kerajaan BN sekarang sedang mengkaji kaedah yang perlu untuk menghalang banjir ini dari berulang . Perbelanjaan dianggarkan melibatkan puluhan juta ringgit demi kesejahteraan rakyat. Sama - samalah kita berdoa kepada Allah swt , agar bencana seperti ini tidak lagi melanda kawasan kita .

Tuesday, November 17, 2009

Politik Persepsi Di Kampus

Tiga pemain utama politik kampus di USM ketika ini ialah Pro-Aspirasi, PMI dan SPF. SPF atau Student Progressive Front adalah cabang politik kepada Persatuan Bahasa Tionghua atau PBT, dan bersama-sama dengan PMI serta beberapa lagi pertubuhan, mereka telah membentuk satu pakatan yang dinamakan sebagai Pro-Mahasiswa. Matlamatnya adalah untuk menentang secara langsung gerakan Pro-Aspirasi Universiti.


Persatuan Mahasiswa Islam atau PMI merupakan persatuan berdaftar yang sangat aktif di USM. Ia terorganisasi dengan baik dan sering menganjurkan pelbagai program untuk mahasiswa USM. Sebagai sebuah pertubuhan persaudaraan yang mementingkan dakwah dan tarbiyah, PMI dilihat sangat memberi pengaruh dalam pakatan Pro-Mahasiswa. Namun begitu, pengaruh yang dibina tersebut seolah-olah terbatas dalam kalangan pelajar Melayu Islam saja. Hal ini turut disedari oleh rakan-rakan dalam pakatan Pro-Mahasiswa sendiri.


Situasi ini berbeza jika dibandingkan dengan peranan yang dimainkan oleh SPF. Sejak akhir-akhir ini, SPF kelihatan begitu agresif menjalankan kempen memburuk-burukkan kem Pro-Aspirasi Universiti yang menjadi pilihan mahasiswa USM sejak sekian lama. Beberapa siri artikel, flyers, poster dan sebagainya lagi lebih banyak menonjolkan imej SPF sebagai dominator dalam Pro-Mahasiswa. Ia sekali gus membuktikan laungan amaran kononnya mereka akan merampas tampuk kepimpinan MPP bukan satu perkara yang boleh dianggap mudah oleh Pro-Aspirasi.


Hal yang sama juga dilaungkan oleh pihak PMI. Menurut sumber yang diperoleh daripada orang kuat PMI sendiri, persatuan tersebut akan melancarkan gelombang besar dalam kempen pilihan raya kampus kelak. Sama ada ia sudah bermula atau pun tidak, jelas ia juga adalah satu amaran awal kepada jentera Pro-Aspirasi. Mereka juga memberikan keyakinan kepada mahasiswa USM bahawa PMI akan menguasai majoriti MPP sidang hadapan. Persoalannya, kenapa wujud dua kenyataan yang berbeza daripada Pro-Mahasiswa? Siapakah yang lebih menguasai pakatan tersebut?


Hal ini juga menjadi tanda-tanya dalam kalangan penyokong Pro-Mahasiswa sendiri. Dalam edaran artikel, flyers, poster dan sebagainya yang dibuat oleh Pro-Mahasiswa sejak akhir-akhir ini, hanya identiti SPF sahaja yang ditonjolkan atau dicetak. Ia berbeza sama sekali dengan strategi yang digunakan dalam kempen-kempen sebelum ini dimana nama-nama persatuan yang berada di bawah pakatan Pro-Mahasiswa akan dicetak bersama dimulai dengan PMI, SPF dan seterusnya. Persoalan yang diajukan ialah, apakah strategi yang digunakan dan adakah ia berkesan?


Sumber daripada MPP juga menyatakan perwakilan pelajar daripada Pro-Mahasiswa ketika ini gagal berfungsi dengan baik seperti mana yang dilaung-laungkan semasa kempen dahulu. Tidak ada suara daripada Pro-Mahasiswa yang diketengahkan melalui MPP sebaliknya sebarang isu lebih banyak dikepalai oleh persatuan-persatuan dinaungi mereka sendiri. Perwakilan pelajar daripada SPF pula langsung tiada kerana calon mereka telah ditolak dalam pilihan raya yang lalu. Justeru adakah perwakilan pelajar daripada PMI dalam MPP telah mengecewakan pihak SPF sehingga menyebabkan mereka mula bergerak sendirian dalam kempen kali ini?


Semua ini sudah pasti akan menimbulkan lebih banyak persoalan. Ketika ini sudah kedengaran suara-suara yang mempertikaikan peranan ‘Pro’- Mahasiswa. Adakah mereka benar-benar menyokong suara mahasiswa atau lebih banyak mencedok modus operandi kempen pihak pembangkang untuk diimplimentasikan dalam pilihan raya kampus? Adakah mereka hanya gemar menaburkan janji sahaja kepada mahasiswa sedangkan langkah konkrit yang diharapkan langsung tiada dalam kepala mereka? Adakah kelibat Pro-Mahasiswa hanya wujud sewaktu kempen pilihan raya sahaja dan hilang lenyap selepas pilihan raya berlalu?


Ia sama sekali berbeza dengan Pro-Aspirasi yang sentiasa bersama dengan pelajar dan universiti. Penglibatan para pelajar dalam aktiviti yang dijalankan oleh universiti telah membuktikan bahawa gerakan aspirasi yang bukan berstatus persatuan atau pertubuhan adalah lebih fleksibel, praktikal dan mesra kampus. Hal ini secara tidak langsung berjaya menangkis pandangan bahawa aspirasi adalah kelompok pelajar elit yang sombong dan tidak mesra dengan para pelajar lain. Mahasiswa USM juga semakin terbuka dengan dasar universiti yang sentiasa memerlukan sokongan daripada para pelajar dalam setiap aktiviti yang diadakan. Dalam hal ini, Pro-Aspirasi sentiasa ke hadapan dalam mengepalai peranan mahasiswa USM.


Sebagai contoh, program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia yang diadakan baru-baru ini adalah salah satu manifestasi langsung terhadap semangat cintakan universiti seperti yang didokong oleh Pro-Aspirasi selama ini. Melalui program tersebut, peranan mahasiswa telah dioptimumkan seiring dengan semangat patriotisme sekali gus menjadi wadah kepada para pelajar yang terlibat untuk menyumbang sesuatu kepada universiti. Sebahagian besar tenaga penggerak program tersebut adalah mereka yang sentiasa mendokong aspirasi universiti, yang sentiasa melebihkan tindakan berbanding bercakap kosong. Begitu juga dengan beberapa lagi program yang diadakan termasuk Kempen Dua Jam Tanpa Kenderaan Bermotor dan sebagainya.


Malangnya, sewaktu acara-acara ini diadakan, terdapat cakap-cakap daripada pihak Pro-Mahasiswa sendiri yang cuba mempertikaikan motif penganjurannya. Mereka mendakwa wujud pembaziran yang melampau, penuh hiburan yang melalaikan serta tidak mencerminkan minda APEX dalam kalangan mahasiswa USM. Pelbagai lagi tuduhan dilontarkan. Apa yang dikesalkan ialah, semua tuduhan tersebut kedengaran selepas acara diadakan. Mereka menuduh tanpa mengemukakan sebarang langkah atau cadangan pembaikan yang boleh dikongsikan. Semua ini seolah-olah membenarkan hakikat betapa Pro-Mahasiswa hanya tahu membangkang terhadap segala usaha universiti dalam menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam setiap aktiviti yang diadakan. Kenapa mereka tidak membangkang ketika di peringkat awal perancangan lagi? Kenapa tidak digunakan medium MPP untuk membangkang?


Justeru, setiap mahasiswa seharusnya berlaku adil dalam menyatakan pendirian masing-masing. Harus diingat, tidak semua yang kita buat itu betul dan tidak semua yang orang lain buat itu tidak betul. Jadilah pembangkang yang adil terhadap diri sendiri terlebih dahulu sebelum membangkang hak orang lain. Tidak baik pada anda tidak bermakna buruk juga pada orang lain. Ia hanya persepsi. Yang penting ialah keterlibatan.

Sunday, November 15, 2009

Inikah Sahaja Yang Mampu?

Ketika jenguk-jenguk ke beberapa laman blog mahasiswa baru-baru ini, saya sempat singgah ke satu blog yang agak menarik. Mahasiswakini kalau tak silap. Ada satu catatan isu yang mungkin menarik barangkali kepada penulisnya. Memang menarik sehingga saya sendiri tergelak. Isu yang diberi kepala tajuk - kalau tak silaplah – “Inikah Saja Imej Malaysia?”, benar-benar membuatkan saya tergelak sekejap dan geleng sekejap. Lucu.


Inikah saja yang mampu dibangkitkan? Saya tertanya-tanya. Kenapa isu yang begitu remeh nak dibahaskan. Penulis blog tersebut melaporkan tentang usaha kementerian tertentu menjana industri pelancongan negara. Promosi yang dibuat di luar negara tersebut, Kota London rasanya – maaf, ingat-ingat lupa – antara lain melibatkan persembahan tarian kebudayaan rakyat Malaysia di pentas yang disediakan. Banyaklah mata orang asing yang melopong melihat tarian tersebut.


Namun, penulis blog yang saya ziarah ini melihat dari perspektif yang jauh amat berbeza. Beliau nampak akan sisi negatif, kononnya pihak kementerian cuba mempromosikan sesuatu yang tidak global sekaligus mencerminkan imej negara yang penuh hibur-hiburan. Masakan tidak, di Kota London di pentas yang begitu internasional, kita hanya mampu mempersembahkan tarian tradisi untuk ditatap orang luar yang dah tinggi tamadunnya. Begitulah barangkali maksud penulis blog ini.


Yang saya rasa lucunya, konteks apakah justeru penulis itu menilai sedemikian? Inikan pentas kebudayaan. Inikan promosi pelancongan kebudayaan negara di tempat orang. Memang kita mahu tunjukkan kita juga punya aset yang perlu dibanggakan kepada dunia. Takkan pula hendak diheret semua benda alah tentang imej negara ke pentas sebegitu. Tak kenalah konteksnya. Silap-silap, digelakkan orang luar kononnya kita tak tahu beradab. Berseranah penganjur sebab tak ikut konteks acara yang ditetapkan. Malu.


Imej negara tak terjejas, bahkan makin melonjak melalui persembahan tersebut. Itulah kepelbagaian Malaysia yang jarang ada di tempat lain. Di Kota London, Malaysia memang sudah dikenali. Tak perlu pun ditarikan tarian-tarian sebegitu kalau kita berhajat nak promosikan nama negara semata. Di sana, Dato’ Lee Chong Wei bukan nama asing. Amirul Hamizam. Hafiz Hashim. Azizul Hasni. Ada banyak lagi nama atlet yang cukup terkenal di sana… Itu dalam bidang sukan. Konteksnya, sukan.


Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik muda USM pun dah memahat nama Malaysia di luar negara melalui hasil penyelidikan mereka yang menang tempat pertama. Itu dalam konteks kejuruteraan. Bidang sains dan teknologi. Tidak lama sebelum itu, dari USM juga, sekumpulan pelajar Pusat Pengajian Komputer turut menggapai anugerah terbilang melalui penyelidikan mereka. Itu pula dalam konteks pengkomputeran. Bidangnya, ICT. Tahun lepas, pelajar USM juga terpilih untuk kembara di kutub dunia melalui program Discovery. Dari IPTA lain pun sudah barangkali banyaknya.


Justeru, saya cukup terkilan sebenarnya dengan laporan penulis blog tersebut. Saya hormat hak beliau menulis. Itu adalah penilaiannya, tapi biarlah kondusif. Sudahlah tidak konklusif, tiada pula solusi yang diusulkan. Apa yang dapat saya simpulkan, kalau sudah ditarbiyah dengan doktrinisasi kepembangkangan, maka membangkang sahajalah golongan ini walapun terhadap usaha baik yang dilakukan oleh pihak kerajaan akan memberikan manfaat yang besar kepada negara dan seisi rakyat.


Ketika ini, rezeki melimpah ruah masuk ke Malaysia melalui pelbagai usaha menarik pelaburan asing ke dalam pelbagai sektor dan industri. Buletin Utama hampir tiap malam melaporkan PM bercakap tentang pelaburan-pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ke dalam negara. Kita tengok apa pula yang nak dilaporkan oleh penulis-penulis blog ini. Mungkin akan didakyahkan bahawa kementerian yang tertentu ini pula tidak cekap menguruskan sumber ekonomi negara. Lucu lagi. Geleng-geleng.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...