Tunku mungkin tidak pernah menduga betapa kemerdekaan yang diusahakan oleh beliau dan rakan-rakan serta seluruh penduduk Tanah Melayu (kecuali juak-juak komunis) dahulu akan melahirkan sebuah negara bernama Malaysia seperti yang boleh dilihat pada hari ini.
Tunku tidak bijak berkata-kata. Setiap patah bicara yang terbit dari mulutnya biasa-biasa sahaja. Malah Tunku pernah diperlekehkan kerana pidatonya tidak berapi-api seperti pemimpin-pemimpin di Indonesia, Filiphina, Pakistan dan sebagainya lagi yang juga bergelut menuntut kemerdekaan negara masing-masing. Tunku pasti kalah, mungkin, jika diajak berpidato melawan Bung Karno yang diagung-agungkan oleh warga Indonesia.
Tunku darah keturunan Raja. Tunku tak kenal erti hidup susah atau makan ubi kayu rebus dan kelapa parut. Tunku tak bersama rakyat jelata menentang komunis yang juga gilakan kuasa mahu memerintah negara. Ketika ditanya dengan apa kemerdekaan itu akan diisi, Tunku memberikan jawapan yang langsung tidak menggambarkan kemegahan bagi sebuah negara baru.
Tunku takut dengan kemerdekaan. Tuntu kata, kita akan isi kemerdekaan dengan dua perkara, membasmi kemiskinan dan membasmi buta huruf. Tunku bina dasar-dasar untuk membantu orang-orang kampung yang miskin-miskin. Tunku bagi buku-buku kepada orang-orang dewasa. Kelas Dewasa yang pernah Tunku jayakan dipersendakan. Tunku tak peduli bila orang tanya, kenapa disekolahkan orang-orang tua yang sedang menanti waktu mati? Kenapa tidak diajarkan saja orang-orang tua dan dewasa ini dengan ilmu kubur?
Nama Tunku, Rahman. Tunku seorang yang penyayang kepada bangsa dan rakyatnya. Tunku tidak ajar pemimpin-pemimpin yang bakal mewarisinya dengan sikap tinggi diri atau terlalu bercita-cita besar. Tunku tak tekankan pandai berpidato atau bijak berkata-kata di hadapan rakyat yang buta huruf tak kenal ABC atau 123. Tunku tak asuh pemimpin selepasnya supaya menjual negara.
Dalam Rahman itu hadir semua pemimpin yang mewarisi kebijaksanaan Tunku bagi mempertahankan kemerdekaan negara yang diusahakannya. Hari ini, ada yang berkata, selepas cukup Rahman itu, legasi Tunku akan berakhir. Tunku pasti sedih kerana ada rakyat yang begitu bodoh mengaitkan namanya dengan takdir Tuhan. Tunku seorang yang cukup realistik. Tunku tidak pijak bendera musuh walaupun Tunku mampu. Tetapi kenapa hari ini, ada rakyat yang kononnya berjiwa merdeka, sanggup melakukan sesuatu yang Tunku tidak pernah mahu lakukannya dahulu?
Kenapa ada pemimpin yang berani mencabar kedaulatan negara sendiri? Kenapa ada pemimpin yang tergamak menjual maruah negara di mata luar? Cerdikkah mereka ini berbanding Tunku? Merdekakah jiwa mereka ini berbanding Tunku? Benarlah, kemerdekaan itu sesuatu yang menakutkan. Buat Tunku, terima kasih. Bersemadilah dengan aman.
3 comments:
Terima Kasih... Tunku...
salam kemerdekaan che wan,
try buat pembacaan ttg malayan union 1946-1957. pasti menarik dan pasti akan lebih mengenal jalan cerita kemerdekaan.
Yang pasti bukan tunku mengorak jalan kemerdekaan. Tapi tunku hanya semata - mata "JALAN CERITA" kemerdekaan.
-aYaD-
salam ayad...terima kasih ye..tulisan c.wan ni actly memang tak menyeluruh..perlukan penelitian secara ilmiah klu nak tulis kesemuanya..tentunya makan masa dan ruang..c.wan tulis ni sekadar aprisiasi untuk Tunku terhadap apa yg Tunku buat untuk mengisi kemerdekaan, yakni selepas 1957..sejarah kita terlalu panjang klu nak tgk perjalanan meraih kemerdekaan tu secara holistik..tp tempoh yg ditempa oleh Tunku dan pemimpin-pemimpin selepasnya dlm 53 tahun spt yg kita lihat hari ini juga penting kerana dlm tempoh itulah kemerdekaan diisi..perjalanan meraih kemerdekaan itu catatan sejarah yg penting dan bermakna untuk dikenang setiap masa dan perjalanan selepas 1957 itu pula penting kerana ia menjadi tempoh kelahiran sebuah negara baru.. =)
Post a Comment