Maka, ramailah yang akan mengambil kredit atas pengumuman DS Najib sebentar tadi untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Setelah dipinda pada tahun 2009, kini ia akan sekali lagi dikosmetikkan supaya mahasiswa kelihatan lebih kreatif dan kritis. Atas maksud itu, maka mahasiswa harus dibenarkan menjadi ahli parti politik. Mereka harus bebas dan setaraf dengan ahli-ahli politik, sedikit lebih tinggi daripada orang kebanyakan kerana lantaran mereka itu intelektual. Itulah harapan Najib dan sekalian ahli politik yang lain.
Mahasiswa dan politik. Ia bukan baru dibicarakan. Kerana politiklah, mahasiswa dibelenggukan oleh AUKU. Kemudian, mahasiswa seolah-olah terbisu. Mereka dikurung dalam pagar kampus dan diberikan segala layanan dan kebajikan yang sempurna, kalau tidak pun yang terbaik. Ditugaskan kepada mereka dengan pelbagai arahan yang bersifat ilmiah supaya golongan ini tidak berjinak-jinak lagi dengan politik dan permaslahatan masyarakat luar. Untuk suatu tempoh yang panjang, mahasiswa jadi enak dengan dunia kampus dan berasa diri selalu lebih tinggi daripada orang kebanyakan.
Tetapi seperti singa atau harimau yang berkawan-kawanan di dalam sangkar besar, lama kelamaan mereka tertanya-tanya juga apakah yang ada di sebalik pagar sangkar itu? Lalu berusahalah mereka mencari jawapan. Mereka berkelompok, berkomplot. Satu pihak mahu terus diam di dalam sangkar menikmati segala nikmat yang disediakan. Satu pihak lagi, mahu cabar sangkar itu atas nama hak dan kebebasan. Akhirnya, berseterulah kedua-duanya.
Itulah yang berlaku dalam jagat mahasiswa. Sejak sekian lama AUKU dipertahankan atas manfaat yang diberikan, akhirnya ia alah juga pada desakan demi desakan sekelompok mahasiswa yang mahu akta ini dimansuhkan, atau setidaknya dipinda. Semuanya atas nama hak dan kebebasan mahasiswa. Persoalannya, adakah kelompok mahasiswa yang menuntut pemansuhan AUKU ini mewakili suara majoriti? Belum ada pungutan suara untuk menentukan jawapan bagi persoalan ini.
Lalu, baru-baru ini, apabila isu AUKU sekali lagi bingit, Timbalan Perdana Menteri dengan sikap terbuka menyerahkannya pada mahasiswa sendiri untuk menentukan hala tuju AUKU. Sama ada ia perlu dipinda, dimansuh atau dikekalkan, mahasiswa sendiri yang akan tentukan. Sekali dengar, ada rasional yang besar daripada sikap terbuka TPM itu. AUKU menyangkut dunia mahasiswa, maka biarlah mahasiswa sendiri menentukannya.
Namun, segalanya seperti buih yang diterbangkan angin apabila Perdana Menteri hari ini mengumumkan keputusan untuk membuat pindaan bagi Seksyen 15 tanpa mengambil kira pandangan seluruh mahasiswa. Dewan Perundingan Pelajar (DPP) USM yang mirip Parlimen Malaysia baru-baru ini sudah pun mengumumkan hasil undian ahli dewannya di mana majoriti menolak AUKU dipinda atau dimansuhkan. Begitu juga beberapa IPTA lain melalui MPP masing-masing turut menyuarakan pandangan yang sama. Tetapi Najib seolah-olah membelakangkan aspirasi majoriti tersebut. Ia juga seolah-olah mengesampingkan saranan timbalan beliau sendiri sebelum ini.
Adakah Najib berkira-kira mahasiswa akan menyokong keputusan tersebut? Sebahagian mungkin ya, sebahagian yang lain tentu tidak. Tetapi beliau silap besar jika syok sendiri dengan menganggap keputusan itu akan merobah corak sokongan mahasiswa terhadap kerajaan BN sekarang. Ia bersifat popular, tetapi kosong. Mahasiswa yang menuntut Seksyen 15 ini dipinda atau dimansuhkan sama sekali tidak akan berhijrah menyertai kem Najib, apatah lagi menunjukkan simpati di atas keterbukaan beliau. Bahkan, mereka akan mengambil kredit yang besar daripada keputusan ini dengan mendakwa perjuangan mereka di pihak yang benar! Maka kian kuatlah mereka menentang Najib selepas ini.
Di dalam kampus, sudah ada budaya politik kepartian yang hebat di mana mahasiswa yang ghairah dengan ‘kuasa’ ini terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi. Kedua-duanya, kalau boleh diumpamakan, seperti pembangkang dan kerajaan. Realitinya, memang itulah yang berlaku di mana Pro-Mahasiswa sering didokong oleh pembangkang. Hal ini bukan rahsia lagi. Setiap kali menjelang pilihan raya kampus, portal-portal pro-pembangkang secara terang-terangan mempromosikan kumpulan ini, malah segelintir pemimpin mereka turut menyatakan sokongan secara langsung kepada kumpulan Pro-M ini. Situasi ini tidak berlaku bagi Pro-A yang selalunya terkial-kial sendirian berjuang.
Adakah Najib dan para pemimpin dari kem beliau memahami situasi ini dengan sebenar-benarnya? Adakah Khairy Jamaludin berdamping dengan mahasiswa seperti Ketua Pemuda PAS yang diketahui mesra dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa Pro-M?
Najib sepatutnya menerima pandangan semua mahasiswa sebelum bertindak. Yang akan menangung implikasinya nanti ialah mahasiswa, bukan ahli politik. Memang benar kebebasan dan hak asasi mahasiswa penting, tetapi apa yang lebih penting ialah mengawal perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih baik. Tidak semua berminat dengan politik. Tidak semuanya mahu jadi ahli politik. Tetapi mereka yang tidak berminat ini tidak dapat lari daripada menerima palitan yang sama kelak apabila budaya politik kepartian menular ke dalam kampus. Perpecahan, juga pasti akan bertambah besar.
Adakah Najib juga lupa, sebahagian besar pemimpin beliau ketika ini lahir daripada acuan AUKU sendiri? Adakah mereka dungu dan tidak pandai berpolitik? Realiti politik seharusnya dibiarkan menjadi ilmu luar kuliah untuk mahasiswa supaya mereka tahu membezakan apa yang perlu dan tidak perlu, apa yang penting dan tidak penting dan apa yang benar dan tidak benar, secara intelektual, bebas dan eksklusif tanpa campur tangan parti politik! Pada akhirnya, meraka akan kenal budaya politik sebenar dan paling layak diikuti sebagai wadah perjuangan. Selagi mana ia parti, selagi itulah ia ada kekurangan.
1 comment:
nice article =)
Post a Comment