Wednesday, December 2, 2009

BN Semakin Tenat?

BN Perlu Segera Atasi Semua Masalah Dalaman

Ketika saya keluar ke pekan semalam, saya sempat singgah di sebuah toko buku dan sempat membelek-belek beberapa naskah tabloid pembangkang. Salah satunya, Buletin Rakyat, melaporkan ADUN Sungai Bakap sebagai berkata, “BN Semakin Tenat”. Ia frasa yang ringkas dan mudah. Pada awalnya saya tidak endah sangat memandangkan ia memang benar berlaku dalam BN ketika ini.

Walau bagaimanapun, ternyata laporan itu sedikit mengganggu saya. Kenapa ADUN tersebut mengeluarkan kenyataan begitu jika beliau tidak memegang faktanya. Beliau ada justifikasinya sendiri dan saya yakin, beliau bukan bercakap semberono. Beliau sendiri seorang ADUN yang tentunya faham benar dengan suasana politik negara.

Memang harus diakui juga oleh BN bahawa parti keramat Malaysia ini sedang bergelut. Banyak isu dan permasalahan yang belum selesai. Yang datang menggugah juga semakin besar hari ke hari. Adakah BN lemah? Atau BN semakin ditolak? Pasca pilihanraya 2008 adalah tempoh yang cukup getir buat BN. Ketika ini BN sedang melalui tempoh yang cukup menggoyahkan meskipun ada cubaan menutupnya.

Apa pun yang berlaku, BN harus diperkuatkan segera. Setiap komponen perlu mengambil inisiatif sendiri dalam mereka mendepani kemelut yang berlaku. Ternyata, selepas tsunami politik 2008, BN benar-benar diuji dengan ujian yang tidak kecil skalanya. Hampir seluruh komponen dibadai terutamanya UMNO dan dua lagi parti komponen terbesarnya.

Pun begitu, UMNO kelihatan lebih gegas melakukan proses pembinaan semula. Ketika ini, sudah nampak proses tersebut berjaya membangunkan imej UMNO yang lebih dekat dengan rakyat, yang boleh berada bersama golongan marhaien dan yang boleh menggugah kembali usikan musuh. Hari ini, UMNO boleh berkata ia semakin diterima semula khususnya selepas apa yang berlaku di Bagan Pinang.

Namun, pada masa yang sama, dua lagi parti major dalam BN seolahnya belum atau masih tercari-cari formula untuk membangunkan kembali perjuangan masing-masing. MCA ketika ini bergelut dengan krisis kepimpinan yang tak sudah-sudah. Sejurus selepas tsunami tersebut melanda, ia sudah pun melakukan rombakannya bahkan mendahului UMNO. Malangnya, perobahan itu tidak bertahan lama. Kini berlaku pula tsunami dalaman. Meskipun skalanya tidak besar, namun impaknya bisa mengocak ketenangan yang sedang diusahakan dalam BN.

Begitu juga MIC, parti keramat orang India di negara ini. MIC seperti juga MCA, sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan tanah bertuah ini yang dikepalai UMNO. Hal ini tidak dimiliki oleh pihak Pakatan Pembangkang. Namun kelebihan itu hari ini bukan lagi sesuatu yang boleh dibanggakan sementelah rakyat sudah ramai yang enggan peduli dengan cerita lama. MIC perlu melakukan sesuatu supaya ia terus relevan dengan keperluan dan kehendak seluruh masyarakat India di Malaysia. MIC perlu segera bertindak memenuhi aspirasi perjuangan kaum minoriti ini supaya mereka tidak rasa ditindas atau ditinggalkan. Pada masa yang sama, ia tidak boleh terus menyalahkan BN kononnya BN tidak berlaku adil sebaliknya, MIC sendiri perlu lebih garang sebagai sebuah parti komponen utama dalam BN.

“BN Semakin Tenat” pada saya adalah tajuk berita yang adil dengan situasi sebenar. Meskipun ia dilaporkan oleh tabloid pembangkang, pada saya, ia tetap mengandungi cerita dan kisah yang perlu direnungi oleh BN sendiri. Hari ini, musuh boleh bergerak bebas dalam kubu kita sendiri. Apa yang berlaku sudah jelas membuktikan betapa BN sedang diserang dari segala sudut.

Adakah BN masih boleh membina kembali strukur perjuangannya yang teruk dibadai tsunami politik 2008?

Saya optimis bahawa BN akan bangkit semula tetapi ia bukanlah proses yang mudah. Di negara ini, keupayaan BN sudah terbukti. BN adalah contoh sebuah gabungan kepimpinan multi-racial yang terunggul bukan sahaja di Malaysia, bahkan mengesani seluruh rantau dan semakin diakui dunia moden. Pihak Pakatan Pembangkang juga sebenarnya cemburu dengan kemampuan pentadbiran BN dalam ia mengemudi pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia hingga ke tahap sekarang. Saya tidak nampak bagaimana jika Pakatan Pembangkang mengambil alih teraju kepimpinan negara, apakah yang akan berlaku? Adakah negara akan lebih makmur atau selangkah ke belakang? Ini menunjukkan betapa tiada penanda aras yang boleh meyakinkan kita semua tentang keupayaan Pakatan Pembangkang untuk berkerja sebagai sebuah kerajaan kepada sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum ini.

“BN Semakin Tenat” juga bukan kerana Pakatan Pembangkang semakin kuat atau gagah. Statistik jelas menunjukkan bahawa sejak 2008, pertambahan ahli dalam PKR, PAS mahupun DAP tidaklah berlaku dalam angka yang harus menggerunkan BN. Mereka cuma dibuai oleh sokongan rakyat yang mahu memprotes prestasi kerajaan BN. Justeru jika ia diatasi segera, saya yakin sokongan itu pasti akan berbalik. Saya yakin, rakyat negara ini masih sayangkan BN kerana apa yang diberikan oleh BN selama ini kepada Malaysia adalah sesuatu yang begitu bermakna. Kemakmuran ekonomi dan sosial berada pada tahap tertinggi. Semuanya untuk rakyat.

“BN Semakin Tenat” adalah kerana struktur dalamannya semakin lemah. Apakah struktur-struktur tersebut? Ia tentunya parti-parti komponen dalam BN. Setiap parti harus kembali berkerja demi memastikan kelangsungan kemakmuran negara ini. Malaysia harus ditadbir berdasarkan situasinya sendiri. Malaysia sebagai sebuah negara yang unik perlu diperintah oleh sebuah kerajaan yang mampu mendokong keunikan tersebut, yang berasaskan nilai kemanusiaan dan kesejagatan, bukannya yang asyik bercakap tentang kesamarataan sedangkan pada masa yang sama, melakukan usaha penindasan.

“BN Semakin Tenat” pada saya harus diterima dan dinilai sebagai suatu realiti atau keadaan yang tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mesti segera diatasi. Usaha mengukuhkan kembali parti keramat ini harus dipercepatkan kerana dalam tempoh yang berbaki ini, rakyat pasti akan menilai sebaik mungkin sama ada BN harus dibiarkan terus berkuasa sebagai kerajaan ataupun perlu diganti segera. BN mesti ingat bahawa pihak Pakatan Pembangkang cukup pakar memainkan politik persepsi. Saya secara peribadi begitu risau jika berlaku lagi tsunami politik selepas ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...