Saya tidak menulis untuk UMNO, dan tidak juga untuk BN atau parti-parti lain dalam perikatan ini. Saya menulis utamanya untuk Islam dan orang Melayu.
Namun hati saya seperti dirobek bila melihat satu-satunya parti politik yang menggunakan jenama Islam di Malaysia semakin hari semakin kesasaran daripada matlamat asal perjuangannya. Puluhan tahun yang lalu, sekumpulan ulama keluar daripada UMNO lalu menubuhkan PAS, namun puluhan tahun selepas peristiwa tersebut, PAS nampaknya semakin bercitrakan liberalisme, jauh meninggalkan imej asal yang digagaskan oleh kumpulan ulama berkenaan.
Seperti membenarkan pendapat bahawa sejarah akan berulang bila tiba masanya, hari ini, kita melihat satu peristiwa yang cukup bersejarah, iaitu ‘kepulangan’ sejumlah besar ulama muda ke dalam bahtera perjuangan UMNO. Ia ibarat keterbalikan sejarah. Dalam istilahnya, jungkirbalik ini selalunya menidakkan kebenaran, tapi dalam hal ini, kita melihat satu demi satu kebenaran terserlah, antaranya, kenapa mereka memilih UMNO dan bukannya PAS yang memakai nama Islam dalam pertubuhannya itu?
Pakailah apa nama pun, wahabinya, salafinya, sunninya, pada saya, lebih utama sekiranya kita lihat pada ilmu mereka ini yang boleh memanfaatkan kita semua umat Melayu Islam di Malaysia, kerana daripada bilionan orang Islam di dunia ini, hanya di Malaysia ada UMNO dan PAS, yang kedua-duanya bertunjangkan bangsa Melayu beragama Islam. Kita jangan tanya apa mereka mahu, kerana itu hanya membunuh ruh baik yang dibawa ke dalam UMNO. Sebaliknya, lebih manis kalau kita tanya, apa yang mereka boleh bantu untuk merawat UMNO yang sedang sakit dengan pelbagai gejala, dari politik wang hinggalah ke politik sate yang terbaru ini.
Kita jangan lihat mereka sebagai kelompok biasa. Gerombolan ini selayaknya dialu-alukan kerana hadir mereka atas kapasiti yang harus kita sedar, bahawa, mereka tidak memerlukan UMNO pun kalau mereka hendak cari makan, atau berdakwah. Mereka memilih UMNO ketika UMNO sedang sakit. Itu hakikatnya. Mereka memilih UMNO ketika PAS sendiri sedang diperambut dengan pelbagai sanjungan oleh ulama-ulama mereka sendiri yang ternyata berjaya menarik sebegitu banyak sokongan. Tak percaya? Tengoklah setiap kali ceramah yang diadakan oleh mereka di seluruh negara. Ini yang UMNO kena tengok sebelum ‘diapa-apakan’ kumpulan ulama muda ini.
Pada masa yang sama, ahli UMNO, khususnya kepimpinan di setiap peringkat seharusnya tidak lepa dan hanya mengharapkan idea brilliant DS Najib semata-mata untuk memulihkan UMNO, baik dari dalam mahupun dari luar. DS Najib sudah banyak melakukan perubahan, tetapi malang sekali, ia tak banyak menyumbang impak yang optimum yang boleh melonjakkan kembali UMNO ke tahap sokongan seperti sebelum ini. Di kampung-kampung sendiri, masih banyak kepimpinan peringkat cawangan yang terkial-kial mengemudi kapal sendiri, jadi bagaimana nak sertai bahtera perubahan DS Najib? Jadi begini pun antara lain kerana maklumat yang tak kesampaian, satu alasan klise tahap hampas.
Namun, yang menghairankan, kenapa kita sendiri belum nampak satu anjakan yang mengagumkan berlaku dalam UMNO hingga ke hari ini?
PRU13 bukan lama sangat lagi pun. Dengan masa yang tak banyak ini, saya percaya, ramai yang mahu lihat sesuatu yang besar digerakkan oleh UMNO, diketuai oleh jentera Pemudanya. Jadi dalam ruang itu, saya amat berharap supaya ulama-ulama muda ini diberikan tempat yang signifikan dalam sayap Pemuda UMNO. Letakkanlah mereka di tempat yang sepatutnya, walaupun ia pahit dan menyukarkan, demi Melayu dan Islam di Malaysia. Pemuda perlu sedar tentang fakta bahawa pengundi muda di negara ini semakin bertambah jumlahnya, dan semakin cerdik pemikirannya.
No comments:
Post a Comment