Friday, June 25, 2010

Tembak Harimau : Chua Soi Lek Jangan Berlagak

Harimau yang ditembak mati.



Beberapa buah akhbar hari ini melaporkan berita mengenai tindakan seorang anggota Rela menembak mati seekor harimau berusia dua tahun di Kampung Ulu Damak, Selama, Perak.

Harian Metro misalnya melaporkan mengenai keputusan pihak Perhilitan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan manakala The Star pula memetik kenyataan daripada Presiden MCA sebagai sumber utamanya dalam mengulas insiden ini.

Apa signifikannya kes ini kepada saya? Untuk makluman, Kampung Ulu Damak merupakan kampung kelahiran saya dan saya mengikuti kes ini dengan dekat sekali. Mendukacitakan sekali apabila membaca laporan-laporan berita tersebut kerana pihak editorial hanya memfokuskan laporan mereka kepada kesalahan yang dilakukan tanpa memikirkan kenapa atau apakah implikasi yang timbul jika anggota Rela tersebut tidak mengambil langkah drastik tersebut?

Ini bukan kali pertama harimau menceroboh masuk ke kawasan kampung. Di kawasan Selama, terdapat beberapa buah kampung yang secara geografinya bersambungan dengan Banjaran Bintang di samping memiliki beberapa buah air terjun yang sering menjadi tumpuan ramai sebelum ini.

Penduduk kampung juga sudah beberapa kali melaporkan insiden pencerobohan tersebut kepada pihak Perhilitan namun tidak ada tindakan yang efektif diambil selama ini sehingga memaksa penduduk mengambil tindakan sendiri.

Adakah ini berbaloi? Pada saya, ia lebih penting berbanding menggunakan kaedah alternatif moden yang penuh taktikal dan memakan masa sedangkan pada masa yang sama, nyawa penduduk diancam secara terang-terangan. Adakah pihak Perhilitan sedar akan situasi yang sedang dilalui ini?

Kampung Damak juga bukanlah sebuah kampung yang mewah ekonominya. Penduduk kampung di sini rata-ratanya masih bergantung hidup kepada hasil hutan di samping menjalankan kegiatan pertanian, menoreh getah dan menanam kelapa sawit. Hampir 80 % lebih kawasan di sini dan Selama amnya diliputi kawasan hutan hujan Simpan Kekal Bintang Hijau. Adakah Presiden MCA sedar akan realiti ini sebelum mengeluarkan kenyataan beliau?

Saya bukan ingin menjadi jaguh atau menaikkan nama lelaki terbabit agar dilihat sebagai hero. Yang salah tetap salah. Hukuman tetap hukuman. Tapi biarlah berlandaskan perikemanusiaan dan keprihatinan.

Satu soalan bodoh kepada Presiden MCA, antara nyawa penduduk kampung dan harimau, mana yang lebih penting? Kalau nak tahu, datanglah ke pedalaman dan lihatlah sendiri susah payah orang kampung mencari sesuap nasi.

2 comments:

Anonymous said...

nyawa penduduk juga penting, tapi kita pun kena ingat, kita ni khalifah di bumi - tanggungjawab menjaga and memelihara hidupan di bumi juga tanggungjawab kita. Kalau haiwan buas mula berkeliaran di penempatan manusia, itu maksudnya penempatan dirinya dah terancam. Ada cause dan effect. Kita ada akal, haiwan tu ada kekuatan tapi takda akal. Adakah kita pun nak menunujuk kekuatan kita pada sesuatu yang patut kita lindungi? Bagi saya, biarpun niat pekerja RELA tu baik, tapi menembak haiwan itu adalah kejam and tidak berperikemanusiaan juga.

Anonymous said...

kepada saudara yg mmberi komen di atas,harimau bukanlah binatang seperti kucing atau ayam yang boleh dihalau dengan mulut..tindakan yg sama yg akan anda lakukan bila berhadapan degn situasi di atas..ajal dan maut adalah ketentuan ilahi..bagaimana cara dan di mana tempat kematian adalah rahsia nya..semua makhluk akan merasainya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...