Isu azan seolah memberikan peluru emas kepada juak-juak PAS untuk menghentam DS Najib dan pihak kerajaan. DS Najib yang selama ini semakin kebal membina perisai politiknya, tiba-tiba saja digasak maha hebat dengan pelbagai tuduhan seperti telah melakukan satu kesalahan yang maha besar kepada umat Islam di negara ini.
Tapi PAS jangan lupa, apa yang berlaku hari ini ada sumbangan sahamnya daripada tindak-tanduk mereka sendiri. Ahli PAS tidak boleh lupa, siapa yang begitu banyak memberikan muka kepada orang bukan Islam di negara ini untuk mencampuri urusan agama kita. Adakah UMNO yang sudah lama dituduh kafir oleh mereka? Atau PAS sendiri yang semakin meninggalkan prinsip perjuangan asalnya?
Ahli PAS mesti ingat, kerana ‘tolak-ansur’ murahan mereka selama inilah yang menyebabkan orang bukan Islam semakin berani dan terbuka menyerang institusi agama kita yang mulia ini. Baca Quran tanpa sahih kedudukan sucinya, tafsir isi Quran sewenang boleh, masuk ke ruang solat utama, berjoget bersenam di perkarangan masjid, berhimpun dan berdemo di kawasan masjid, apa lagi yang mereka tak buat? Semuanya mereka dah buat, tinggal mengucap syahadah dan solat berjemaah saja belum. Yang pasti, semuanya dilakukan dengan restu PAS, parti yang dianggap pejuang Islam tulen di Malaysia.
Ahli PAS jangan lupa, siapa yang berkata orang bukan Islam tak faham Islam justeru mereka harus melakukan perkara-perkara tersebut? Soalnya, kenapa sampai sekarang mereka masih tidak faham, malah semakin keliru pula? Apa yang PAS dah buat untuk memahamkan mereka? Bagi izin petik Quran sikit-sikit? Bagi izin ceramah di rostrum yang dibaluti bendera bulan? Adakah itu tindakan yang betul untuk mendekatkan mereka kepada Islam supaya mereka lebih faham Islam yang sebenar?
Malah, tertubuhnya sayap penyokong PAS dari kalangan bukan Islam juga nampaknya tak membantu ke arah memahami Islam yang hakiki, jauh sekali untuk mendakwahi mereka. Gobalakrishnan yang dulunya ditakbiri oleh ahli PAS dan didoakan pula supaya mendapat hidayah, sampai ke hari ini masih kafir. Benar ini soal hidayah Allah, tapi kenapa hidayah itu seolah-olah tertangguh?
Hari ini juga kita nampak, bila timbul insiden ini, PAS tidak pun bersungguh memperjuangkannya. Seolah play safe, buat kenyataan sedikit untuk semarakkan semangat menentang DS Najib dalam kalangan ahlinya saja. Semua ini berlaku kerana PAS takut untuk ke jalanan sebagai jaguh sebenar umat Islam di negara, takut kepada rakan-rakan kafirnya. Kalau betul, jihad fisabilillah sajalah kerana sudah jelas, mereka (bukan Islam) memang tidak faham, malah semakin jahil terhadap hak kita sebagai orang Islam dan orang Melayu di negara ini.
Ahli PAS juga kena sedar, semua ini berlaku kerana lemahnya institusi kita hari ini akibat permusuhan sesama sendiri. PAS dan UMNO harus bertanggungjawab bila timbul perkara begini kerana kegagalan untuk bersatu antara dua parti inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak gerun lagi dengan kehebatan institusi kita. Sultan selaku Ketua Agama Islam bahkan diperlekehkan. Justeru tidak hairanlah mereka berani mengemukakan tuntutan walaupun bersifat peribadi.
Kepada ahli PAS, sedarlah, sedarlah, sedarlah. Kembali saja kepada perjuangan asal, pulihkan kembali maruah anda. Kalau UMNO buat silap kerana bersengkongkol dengan kafir dalam BN, maka kenapa pula PAS mesti melakukan perkara yang sama dalam Pakatan Rakyat?
No comments:
Post a Comment