Wednesday, January 26, 2011

Perkara Yang Paling Ditakuti Dalam Politik Kampus


Bahan kempen terbaharu daripada jentera Pro-Mahasiswa USM seperti yang disebarkan hari ini melalui laman Facebook mereka mengundang banyak persoalan. Pertama, adakah Pro-Mahasiswa cuba membawa kembali budaya demonstrasi dan tunjuk perasaan dalam kalangan mahasiswa di kampus-kampus?

Kedua, keberanian wakil-wakil bukan Islamnya yang seolah-olah mengikut contoh sesetengah pemimpin DAP dan PKR dengan bertakbir bagi menyokong hujah mereka, adakah ia sebahagian daripada hasil dakwah rakan politik mereka iaitu Persatuan Mahasiswa Islam (PMI)?

Warga kampus khususnya para mahasiswa seharusnya peka dengan perubahan arus politik Pro-Mahasiswa di USM. Mereka ini bukanlah kumpulan pejuang yang sebenar kerana hanya muncul apabila menjelang pilihanraya kampus sahaja.

Dalam pilihanraya kampus yang lalu, kumpulan Pro-M gagal menghantar sebahagian besar calon mereka untuk bertanding menyebabkan kumpulan Pro-Aspirasi berjaya membentuk Majlis Perwakilan Pelajar dengan majoriti mutlak dengan mudah.

Adakah ini dikatakan pejuang? Untuk makluman mahasiswa di USM, kira-kira sebulan sebulan bermulanya kempen pilihanraya kampus sidang 2010/2011, Ketua Pro-Mahasiswa USM dilaporkan berkata bahawa mereka akan menyertai pilihanraya kampus yang diadakan. Malah, dalam kenyataan yang sama, beliau mendakwa mendapat sokongan 500 orang mahasiswa USM melalui satu perhimpunan yang telah diadakan. Tetapi tahukah anda, ia hanya retorik semata-mata?

Buktinya, dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blog mereka itu, langsung tidak dinyatakan siapakah barisan calon yang hendak diketengahkan, malah, kelibat 500 orang mahasiswa yang diuar-uarkan kononnya dihimpun dalam satu perjumpaan juga amat meragukan kerana tiada fakta tentang tempat dan sebagainya didedahkan. Tidakkah ini hanya satu retorik untuk membesar-besarkan cerita?

Sebenarnya, bagi yang faham, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sememangnya Pro-Mahasiswa sentiasa diasuh dan dididik oleh parti-parti politik pembangkang di luar kampus. Buktinya, yang terbaru, logo Pro-M itu sendiri. Warna latar dan imej yang ditonjolkan mirip sekali dengan logo Pakatan Rakyat yang berlatarbelakangkan warna oren dengan imej ketuanan rakyat.

Malah, ideologi dan budaya berpolitik mereka juga amat sama. Buktinya, budaya berdemonstrasi yang kononnya adalah lambang kebebasan bersuara begitu diagung-agungkan. Dalam satu pendedahan yang dilakukan oleh salah seorang aktivis mereka sendiri bernama Nur Melayu, satu video yang memaparkan gelagat mahasiswa haluan kiri termasuk para muslimah dengan bangganya merempuh sekatan pihak keselamatan untuk menyerbu pejabat Naib Canselor di Universiti Malaya. Hasilnya, video ini telah menimbulkan polemik dalam kalangan mahasiswa USM. Inilah sebenarnya wajah Pro-Mahasiswa di mana-mana kampus sekali pun.

Justeru apabila salah seorang orang kuat Pro-Mahasiswa USM yang bukan Islam bertakbir, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan, tetapi jelas sekali amat mengecewakan. Inilah yang ditakuti selama ini. Politik di kampus sudah menerima tempias yang dahsyat akibat kerakusan pemimpin-pemimpin politik di luar dalam mereka memancing undi rakyat.

Mahasiswa USM seharusnya buka mata dan celik secelik-celiknya. Lihatlah dan nilaikanlah, apa sebenarnya yang hendak dibawa oleh Pro-Mahasiswa. Mereka hanya tahu berpolitik dan berfikiran bahawa, dengan politik yang mengikut kaedah mereka sahajalah mahasiswa akan dilihat hebat. Politik acuan Pro-Mahasiswa pada mereka adalah amalan demokrasi tulen, bebas dan berimpak tinggi. Tetapi tulenkah kalau lebih banyak menimbulkan masalah kepada warga kampus?

Untuk makluman juga, kumpulan mahasiswa haluan kiri ini sebenarnya pernah memegang tampuk pemerintahan MPP di USM sebelum dijatuhkan oleh mahasiswa USM sendiri. Tiada kezaliman. Tiada penindasan. Sebaliknya, mahasiswa USM sendiri yang menolak ideologi politik dan budaya kepimpinan mereka yang dianggap tidak mesra dengan warga kampus sendiri. Buktinya, ketika memimpin MPP di era 90-an, mahasiswa tidak habis-habis diheret dan dilibatkan dalam kemelut politik antara MPP dengan HEPP dan pihak kerajaan.

Jangan tak tahu bahawa di USM juga sebenarnya pernah berlaku pelbagai siri demonstrasi. Jalan Sungai Dua itulah saksinya. Pelbagai tuntutan dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi mahasiswa, yang hakikatnya hanya merugikan mahasiswa sendiri. Tiada hasil pun yang dibawa untuk kita nikmati pada hari ini. Justeru, janganlah dipersoalkan kenapa mahasiswa USM saban tahun memilih calon-calon yang sederhana, penuh toleransi dan realistik. Kami menolak penuh pendekatan demonstrasi dan juga idealisme yang terlalu tinggi.

1 comment:

Anonymous said...

hakikatnya saudara pun meyokong bn.. dengan jelas kalau kita lihat blog saudara ni, penuh kenyataan yg menyokong bn.

janganlah kata pro mahasiswa ada dokongan dari pembangkang sahaja, saudara pun dapat dokongan dari bn juga.. :)

saya lebih gembira kalau lihat mahasiswa totally neutral.. ingatkan saudara sebegitu, tetapi tidak juga..

sebenarnya, mahasiswa TAK PEDULI pun pasal MPP ni.. berdasarkan tinjauan saya, mereka tak ambik peduli pun.. mereka nak tamat belajar ajer..

jadi janganlah fikir saudara dapat dokongan kuat dari pelajar.. the turth is they don't care. "jangan kau kacau hidup aku sudah.."

gerakan pelajar di usm, mengingatkan saya tentang politik di malaysia sebelum tsunami politik 2008.

orang menyokong aspirasi bukan sebab dia bagus, tapi sebab pro mahasiswa tak kuat.

itu sahaja. :)

-pelajar biasa-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...