Thursday, November 6, 2008

Ranking THES-QS Tidak Tepat

ARKIB : 05/11/2008 http://utusan.com.my/


Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Para pentadbir universiti diminta tidak terlalu mengambil berat tentang ranking universiti dunia yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Supplement-Quacquarelli Symonds (THES-QS) kerana ia tidak tepat sepenuhnya.
Naib Canselor Universiti James Cook, Profesor Sandra Harding berkata, kajian yang dilakukan oleh pakar di Australia mendapati ranking THES-QS adalah berdasarkan tinjauan pendapat yang masih boleh dipertikaikan serta tidak menggambarkan pencapaian sebenar universiti berkenaan.
"Ranking yang dibuat oleh THES-QS tidak boleh dipercayai kerana ia berubah-ubah setiap tahun sedangkan kita tahu pencapaian sesebuah universiti dan kemudahan yang terdapat di situ tidak mudah berubah dalam masa singkat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Pada sidang akhbar semalam, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mendakwa ranking universiti negara ini seperti yang dinilai oleh THES-QS adalah lebih buruk daripada universiti di Indonesia.
Menurut Harding, kajian pihaknya mendapati ranking universiti dunia yang boleh dipercayai dan telus setakat ini ialah yang dikeluarkan oleh Shanghai Jiao Tong University (SJTU).
"Ranking yang dibuat SJTU adalah lebih dipercayai kerana pihak penilai mendedahkan metodologi yang digunakan bagi mengukur universiti antaranya bidang penyelidikan yang dilakukan dan anugerah yang diterima di peringkat antarabangsa.
"SJTU juga mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh mereka untuk membuat penilaian ke atas setiap universiti," ujarnya.
Sementara itu, Idris meminta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mengadakan program pertukaran pensyarah dengan universiti asing selaras dengan dasar kementerian untuk mengantarabangsakan bidang pendidikan tinggi di negara ini.
"Pertukaran setakat ini hanya melibatkan pelajar, jadi saya mahu ia dikembangkan untuk turut membabitkan pensyarah bagi membolehkan mutu pendidikan di IPTA terus meningkat," ujarnya.
Bagi memastikan program itu dapat dijalankan dengan lancar, ujarnya, IPTA perlu menyediakan peruntukan khusus untuk membayar gaji dan elaun tugas luar kepada pensyarah yang dihantar ke negara asing.
Katanya, pensyarah asing yang bertugas di IPTA berkenaan pula akan dibayar gaji dan elaun oleh universiti asal mereka.

Tuesday, November 4, 2008

baris-baris senyap

Cuma sebaris ayatmu yang tinggal
untuk aku telaah. Dan komentar jiwa tentang citra bangsa
yang berkurun berabad dilipat rapat, helaian demi helaian,
lembaran,cuma senyap. Kaku. Bisu. Sungguh, wahai teman
baris-baris ini sedang senyap. Sungguh, aku beritahu kamu
inilah rupa kita bangsa yang pernah gah
menjarah hektar dan ekar, inci tanah sepelosok nusantara
dengan citra agung, konon kita ini agung, tetapi hari ini
kita sedang senyap. Dan baris-baris ini sedang senyap temanku.
Sejarah, keagungan, citraan kepada sebuah kealpaan
untuk anak bangsa kita rangkapkan dalam bait-bait kata
kita karang dalam putih kanvas minda-minda mentah
kita sogokkan betapa bangsa ini suatu masa dahulu bersuara
gempita. Tetapi, kita lupa temanku
hari ini baris-baris ini kian senyap.

Dan,
kita semakin senyap selepas segalanya.


rizuan mh.
usm
nov.2008

Gersik Gurindam Marzuki Ali

Tanggal 5hb Ogos yang lalu telah menjadi saksi kehebatan seorang lelaki bernama Marzuki Ali. Nama yang begitu gah ini sekali lagi tampil mendeklamasikan bait-bait indah puisi yang digarapnya sendiri. Bertempat di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia, beliau berdiri penuh pesona dan aura dalam sebuah majlis yang diberi nama “Sejenang Di Wakaf Poetika” dan lantang menghamburkan bicara madahnya lewat beberapa buah puisi yang pernah diterbitkan sebelum ini.
Saya merupakan antara penggemar yang berkesempatan menancapi keunggulan deklamator ini dan tentunya, puisi bertajuk “Gurindam- Belajar Dari Sejarah” menjadi santapan halwa yang paling istimewa buat saya pada pagi itu. Tentunya, sebagai pendatang baru, saya belum pernah mengikuti secara dekat program seumpama ini, apatah lagi hadir untuk mendengar sebuah gurindam disampaikan oleh seorang penggiat sastera yang begitu tersohor, secara langsung betul-betul di hadapan mata. Umpama bonus!
Gurindam seperti yang saya fahami merupakan sebuah bentuk puisi yang bercerita tentang sesuatu hal dan duduk istimewanya dapat dilihat melalui kaedah penyampaian yang digunakan. Dewasa ini barangkali tidak ramai yang arif ataupun bijaksana dalam mereka menyampaikan gurindam mengikut lunas yang asal seperti yang disampaikan oleh Saudara Marzuki Ali. Dan ternyata beliau hadir mengukuhkan fahaman saya itu, sekaligus membuktikan betapa bentuk puisi tradisional masih mampu membawa mood dan suasana baru kepada khalayak pada hari ini.
Saudara Marzuki Ali seperti yang diketahui oleh jagat kesusasteraan baik di tanah air mahupun di Indonesia, malah mungkin juga di Singapura dan Brunei ( mungkin kerana saya belum benar-benar mengenali beliau), ialah seorang deklamator yang punya suara-suara yang nyaring lagi keras sewaktu mendeklamasikan sesebuah puisi. Hal ini jelas ketika beliau mengalunkan gurindam tersebut. Dalam alunan yang gersik, suaranya jelas lantang sekaligus ‘menimbulkan’ bait-bait yang digunakan sehingga mudah ditancap oleh khalayak. Jelasnya tidak sukar untuk menghayati gurindam tersebut kerana kualiti tone suara yang beliau pilih begitu jelas didengar dan tebal dengan penekanan-penekanan pada daerah tertentu bait madahnya.
Lebih daripada itu, keunikan alunan suara oleh Saudara Marzuki Ali juga berjaya mengheret saya untuk turut menyelami dan menyoroti kisah di sebalik gurindam tersebut. Sepintas lalu, Gurindam- Belajar Dari Sejarah cuba mengajak khalayak supaya mengambil pedoman dan iktibar daripada sejarah jatuh bangun Kerajaan Melayu Melaka suatu masa dahulu. Hal ini disampaikan melalui kiasan dan ibarat serta muatan contoh tertentu tentang peristiwa-peristiwa yang pernah menghiasi zaman tersebut sejak dari saat kelahirannya hinggalah era kejatuhan empayar Melayu itu.
Kesimpulannya, Saudara Marzuki Ali telah berjaya membuktikan bahawa bentuk puisi tradisional khususnya gurindam masih mampu menghadirkan elemen baru yang penuh kelainan dan mood yang tersendiri jika disampaikan dengan kaedah yang betul. Buat kita, belajarlah daripada mereka yang tahu selagi ada ruang dan waktu.

Sejadah Usang

Tuhan..
hulur tangan-Mu ku rindu
Bersenandung sendu sejauh perjalanan
sunyi….
Tuhan ..
rintih tangis ini bukan lagi bersahaja.
Serasa seluruh sendi kaku lesu,
rapuh tiris di hujung di tepi di segenap lapis
semangat
tersisih jauh
hati sepi
mulut bicara ini mati
dan jua bicara yang lepas-lepas terlerai bait-bait ertinya luruh
bagai puing-puing asing
bagai puing-puing asing
legar tegar di dada langit siang panjang.

Tuhan
beri aku erti firman-Mu
maksud-maksud kabur yang berselirat tersirat rapat.
Beri aku faham
sejauh perjalanan malam yang singkat

Tuhan
apakah aku sempat?
menghambur puji-pujian walau sesaat buat-Mu empunya Iradat?
Di atas sajadah inilah
di atas sajadah inilah ku harap,
nafas tersekat kan tamat.




rizuan mh.
usm
ogos 2008

Sunday, November 2, 2008

ingin mohon maaf.

ini mungkin kenyataan biasa-biasa, dan harus berbunyi begini kerana ini mungkin lahir dari rasa hati yang dingin, yang sedang gundah, yang sedang gelisah, menanti datang 3 Nov.
jika ada satu tarikh lain, pasti ada, namun jika ada kuasa, harus wajib ada, dan andai aku punya daya, mahu sahaja aku ganjak tarikh ini, dan sederetan tarikh lain yang akan mengikutinya selepasnya. mahu juga ingin rasa, tarikh lain yang lebihsegarmulus. mahu juga rasa ingin bernafas dalam hari-hari lain yang lebih indahsegartebus hari-hari yang sial.
ada bisik-bisikgersikhalus di telinga tak capang aku dengar. dengan tarikh 3 Nov itu apa ada? barangkali, sudah siap jadualnya, dan semahunya aku mahu menunjukkan jadual tersebut untuk menjawab kata tanya itu.
pada tarikh itu, di USM universiti dalam taman yang amat aku sayang dan kasih dan cinta ini, adalah hari mula bagi hari-hari yang semua siswanya akan menekuni lembaran-lembaran putih berisi soalan-soalan kritis bertaraf apex, iaitulah hari mulanya sesi peperiksaan bagi sidang akademik 2008/09 bagi semester pertama.
buat siswa siswai tahun satu, siaga siap kalian dengan peperangan ini.
maaf semua.

selamat menduduki peperiksaan!
Aku Unggas.


Ini alam sudah tua
barangkali ratus, barang kali juta,
usia..
dan pohon-pohon, larat bangka,
lara..
dan ranting-ranting, juntai, liut-liut mendap,
sarat..
dan daun-daun, hijau, dan kering, dan layu, lalu gugur,
terbang..
dan daunan, terbang, bertebar seluruh belantara, bukan kota.
Tapi alam, kerana alam ini, adalah alam;
Siang, malam, adalah alam.
Dan ruang-ruang, di perbatasanwaktu, jadi zaman, jadi alam
dan masa-masa, yang lalu, yang lepas, yang sedang, yang akan,
yang mimpi…
juga adalah alam.
Ini adalah alam; dan
alam yang sudah tua ini
sedang mengalami erti dirinya, erti alam.
Dan aku,
adalah secebis dari wataknya, dalam cerita
tentang alam.


rizuan mh.
USM.
30 Okt. 2008

alir

kerana yang jernih itu
yang paling sukar dimengerti
dan paling indahmulus.
Hijab kanvas pun
tak bisa diwarnai dengan ertinya.


rizuan mh.
USM
Nov. 2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...