Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Para pentadbir universiti diminta tidak terlalu mengambil berat tentang ranking universiti dunia yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Supplement-Quacquarelli Symonds (THES-QS) kerana ia tidak tepat sepenuhnya.
Naib Canselor Universiti James Cook, Profesor Sandra Harding berkata, kajian yang dilakukan oleh pakar di Australia mendapati ranking THES-QS adalah berdasarkan tinjauan pendapat yang masih boleh dipertikaikan serta tidak menggambarkan pencapaian sebenar universiti berkenaan.
"Ranking yang dibuat oleh THES-QS tidak boleh dipercayai kerana ia berubah-ubah setiap tahun sedangkan kita tahu pencapaian sesebuah universiti dan kemudahan yang terdapat di situ tidak mudah berubah dalam masa singkat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Pada sidang akhbar semalam, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mendakwa ranking universiti negara ini seperti yang dinilai oleh THES-QS adalah lebih buruk daripada universiti di Indonesia.
Menurut Harding, kajian pihaknya mendapati ranking universiti dunia yang boleh dipercayai dan telus setakat ini ialah yang dikeluarkan oleh Shanghai Jiao Tong University (SJTU).
"Ranking yang dibuat SJTU adalah lebih dipercayai kerana pihak penilai mendedahkan metodologi yang digunakan bagi mengukur universiti antaranya bidang penyelidikan yang dilakukan dan anugerah yang diterima di peringkat antarabangsa.
"SJTU juga mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh mereka untuk membuat penilaian ke atas setiap universiti," ujarnya.
Sementara itu, Idris meminta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mengadakan program pertukaran pensyarah dengan universiti asing selaras dengan dasar kementerian untuk mengantarabangsakan bidang pendidikan tinggi di negara ini.
"Pertukaran setakat ini hanya melibatkan pelajar, jadi saya mahu ia dikembangkan untuk turut membabitkan pensyarah bagi membolehkan mutu pendidikan di IPTA terus meningkat," ujarnya.
Bagi memastikan program itu dapat dijalankan dengan lancar, ujarnya, IPTA perlu menyediakan peruntukan khusus untuk membayar gaji dan elaun tugas luar kepada pensyarah yang dihantar ke negara asing.
Katanya, pensyarah asing yang bertugas di IPTA berkenaan pula akan dibayar gaji dan elaun oleh universiti asal mereka.
1 comment:
ybavbdmcjzsobxdjcqlv, http://nailfunguscurecuretreatment.com nail Fungus cure, teSgRKQ!
Post a Comment