Tuesday, December 30, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430

Awal Muharram 1430H pada kali ini membawa suatu dimensi baru yang jelas lebih segar buat sebuah universiti dalam taman iaitu USM. Alhamdulillah, selepas melalui pelbagai cabaran dan dugaan, malah mungkin juga sekian banyak tohmahan dan cercaan serta andaian yang sengaja dicetuskan, kini USM sedang melangkah gagah dalam sebuah ruang lingkup baharu yang bukan sahaja penuh ranjau menanti, malah tidak keterlaluan jika diujarkan bahawa terdapat ratusan malah ribuan onak tercacak, jelas dan kabur, tersirat dan tersurat, sedia memerangkap di sepanjang jalan tersebut. Dalam ruang lingkup ini juga, sebagai mewajarkan kenyataan ini, sudah berdiri tembok paradigma yang tersangat kukuh yang perlu dipecahkan bagi membuka sebuah jalan yang lebih gilang-gemilang di sebelah sana. Tembok itu tentu sekali ialah “kebiasaan”, dan yang dibuka pula tentulah “keluarbiasaan”. Saya tinggalakn dua situasi ini untuk difikirkan oleh rakan-rakan APEX sekalian, kerana ruang lingkup yang sedang kita masuki bersama ini sudah barangkali tentu anda semua maklum, iaitulah kerangka APEX itu sendiri. Fahami, dan anda harus berbangga dengannya. Penghormatan, dan anda wajar diberikan rasa tersebut. Percayalah!

Melihat kembali kepada sirah, adalah suatu yang amat perlu untuk kita semua, sebagai Islam, dengan nikmat kesejahteraan akliah ini, untuk memahami sebenar-benarnya erti hijrah yang telah sudah dikerjakan dengan jayanya oleh Baginda Nabi Muhammad dan para sahabat. Pertama, kerja Nabi itu adalah jalan yang dibukakan. Dan kedua, jalan itu juga adalah hikmah kebijaksaan yang harus kita nisbahkan dengan sebetul pemahaman bahawa Nabi dan sekalian sahabatnya tidak membuka jalan hijrah tanpa rencanaan yang terlalu amat jitu, memungkinkan segala ketidakmunasabahan akal dengan kuasa Maha Kaya, dengan jalan mukjizat tertentu, yang akhir sudahnya ialah supaya kita semua berfikir bahawa hendak seribu daya, insya-Allah pasti jaya. Simpulannya di sini yang mungkin kita boleh ambil ialah, setiap kerja itu harus digerakkan melalui perancangan yang halus dan jitu. Saya yakin dan percaya, rakan-rakan sekalian memahami akan maksud ujaran saya ini.

Salam Maal Hijrah 1430.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...