Bahagian 1
Ada seperti nampaknya apung-apung. Itulah yang sedang berlaku hari ini. Ada semacam gangguan besar kepada usaha kerajaan untuk mencapai matlamat melalui pelaksanaan dasar PPSMI, dan gangguan ini beralun seperti gelombang yang sangat berani. Pantai sudah dihempas. Dan hari ini, mereka benar-benar menjadi Melayu yang boleh berfikir dengan menggunakan akar-akar akal falsafah nenek moyang iaitu jangan sampai nasi menjadi bubur. Ya, yang dimahukan mereka ialah nasi yang tidak akan menjadi sekali-kali seperti sudah bubur.
Ada tangga hendak memanjat tiang, malangnya aluran itulah yang mereka gunakan. Gelombang itu mereka amukkan di pesisir jalan tanpa menghiraukan kepentingan pembayar-pembayar cukai negara. Mereka gunakan segala yang boleh tanpa segan silu. Asalkan terlampias maksud suara yang terhambur. Tak cukup itu, ditempurkan penerima-penerima gaji yang sentiasa setia mempertahankan keamanan. Jika penerima-penerima gaji yang setia ini boleh bersuara menjerit-jerit seperti mereka, pasti akan terpacul nasihat supaya balik sahaja dan kembali berkerja untuk menyara anak-anak di rumah. Sehari, atau sepagi diluangkan di jalanan semata-mata untuk bermarah-marahan terhadap satu dasar yang akan menguntungkan anak-anak mereka sendiri kelak, adalah sesuatu yang hanya membuburkan nasi, dan mereka sekarang, saat ini, tentu sedang sedar akan nasi-nasi masa mereka yang telah menjadi bubur-bubur kenangan hitam yang bakal dibukukan sejarah.
Adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung. Ke mana hilangnya budi pekerti ini? Dengan tutup-tutup kepala yang putih bersih yang dipakai segelintir daripada mereka, yang dengan sekali pandang tahu oleh kita bahawa mereka ini tentu sekali Melayu yang Islam, kita seperti mahu bertanya Melayukah mereka ini dalam erti kata yang mereka cuba sampaikan melalui gelombang sepagi tersebut? Kalau benar Melayu yang Islam, tentu mereka tahu bahawa mengucapkan sesuatu pendapat dengan halus merupakan salah satu ciri orang yang beriman, berketurunan mulia dan berakhlak tinggi kerana itulah nilai sang Melayu. Apabila bermarah-marahan, menunjuk-nunjukkan perasaan di jalanan, bertempik bersorak di depan khalayak, Melayukah? Sedang tuan-tuan guru pun ada mentarbiahkan bahawa sifat si muslim bagus jika bercakap dan berhujah dengan sopan dan penuh santun dan tersimpul rasa malu di air muka dan sudut hati, tapi berani dan tajam kata-kata. Berdemonstrasi? Itu demokrasi barat.
No comments:
Post a Comment