Ketika ini, di USM, iklimnya agak berkecamuk.
Sekejap hujan – renyai-lebat-renyai – dan sekejap lagi panas dan panas.
Itu cuaca alam.
Iklim dalam kalangan pelajarnya lebih berkecamuk.
Ini minggu-minggu kritikal.
Semua pelajarnya sedang menekuni lembaran-lembaran nota, tugasan esei, handout, dan sebagainya.
Apa saja yang tertulis sebagai nota pasti akan diselak dibelek ditekuni.
Apa saja catatan yang diyakini bermanfaat, pasti akan ditenung diperhati dan diingati baik-baik.
Ini minggu kerajinan.
Ini minggu kesungguhan.
Ini minggu keberusahaan menjadi maksimum.
Paras minat untuk mengulangkaji melonjak tinggi.
Mood baik mengatasi mood kusam dan malas (walaupun dalam keterpaksaan).
Ini minggu ketuk-mengetuk memori menjadi bingit.
Kalau boleh mahu dipecah kepala untuk mengorek di sudut mana memori tersudut.
Kalau tiada, pasti diadakan kembali.
Rakan-rakan akan dimesrai.
Mulut menjadi ramah bertanya dan berbincang.
Minda tepu sarat akan disaratkan lagi dengan kesaratan rujukan kuliah.
Buku-buku bukan lagi bayangan gerun.
Yang dicari ialah panduan.
Rangka-rangka kursus akan disapa supaya tiada yang terasa tertinggal atau tidak disentuh.
Ini minggu yang penuh keazaman.
Yang bakal menamatkan pengajian pasti terlebih rajinnya.
Inilah masanya menebus sisa-sisa terakhir perjuangan yang akan selesai di bumi Minden ini.
Inilah minggu yang bakal mencorak catatan pada gulungan graduasi kelak.
Tapi itu bukan soalnya.
Yang penting ialah minggu-minggu ini mesti disudahi dengan jaya.
Iklim hanya iklim.
Biar hujan biar panas biar sejuk.
Hujan akan diredah dengan payung.
Panas akan ditentang dengan henjutan langkah.
Kalau malas menapak ada bas.
Sejuk dewan keramat bukan halangan tegar.
Lembaran penting mesti dihadap.
Pena tak perlu diasah.
Yang perlu dikerah cuma minda.
Yang perlu diterjah cuma akal percuma ini sahaja.
Apa pun yang menerpa, inilah minggunya untuk menduga usaha selama ini dimana sudahnya.
Semoga berjaya!!
1 comment:
Blog baru berkaitan AJK PKR Putrajaya bernama Jamil Ismail di http;//jamilismail.blogspot.com
Hantam produk munafik itu cukup cukup
Post a Comment