Universiti Sains Malaysia pada sidang lepas telah melancarkan kempen Keranda Putih atau lebih popular dengan nama White Coffin yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar khususnya di dalam kampus-kampus di universiti ini. Kempen ini menyasarkan matlamat untuk mengurangkan penggunaan plastik dan polisterina putih yang selama ini begitu popular penggunaannya dalam kalangan warga kampus sebelum mencapai matlamat untuk menguburkan terus bahan-bahan berbahaya ini dalam jangka masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekretariat.
Ternyata sejak kempen murni ini dilaksanakan ia telah mendapat maklum balas yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar dan warga kampus yang lain. Sebagai alternatif yang lebih sihat para pelajar sudah mula mengamalkan budaya makan menggunakan pinggan yang disediakan di kafeteria-kafeteria atau membungkus dengan menggunakan bekas sendiri. Malah ada sesetengah kafeteria yang menghentikan terus penggunaan bahan berasaskan plastik seperti straw minuman seperti yang dilakukan oleh kafeteria Desasiswa Bakti Permai. Hal ini secara tidak langsung telah memupuk sikap mesra alam dalam kalangan pelajar dan pengguna-penggunanya yang lain.
Dalam hal ini, soal drastik atau tidak tindakan yang diambil bukanlah menjadi isu yang perlu dibising-bisingkan. Memang ada sesetengah pelajar yang merungut dan mengkritik kempen ini. Yang ditimbulkan ialah kesesuaian pelaksanaanya dalam kalangan pelajar, staf dan tenaga pendidik yang sentiasa mengejar masa dan tenaga. Mereka seharusnya diberikan ruang yang lebih besar untuk memilih dan menentukan sendiri budaya hidup masing-masing.
Soal mereka lagi, apakah dengan terlaksananya kempen ini alam sekitar akan lebih baik dan sejahtera? Berapa keratkah sangat yang akan mengambil bahagian? Berapa persen sangatkah kesan yang akan diterima nanti? Bagi mereka kempen ini tidak lebih hanya satu momokan syok sendiri oleh MPP dan pihak sekretariat Kampus Sejahtera dalam rangka menggapai status Universiti APEX. Sudahnya yang susah hanyalah pelajar kerana terpaksa pula menanggung tambahan caj apabila alternatif kepada polisterina iaitu eco-pack yang diperkenalkan ternyata lebih mahal daripada polisterina itu sendiri.
Barangkali ini isu lama. Barangkali isu ini sudah tidak kedengaran. Barangkali juga, polisterina dan plastik-plastik yang lain sudah tersisih jauh dan tidak lagi wujud di kampus-kampus. Kalau ada pun kelibatnya tentu sudah tidak jenuh. Kempen menguburkan unsur-unsur ini barangkali semakin diterima dengan baik. Penerangan demi penerangan yang dilakukan barangkali berjaya mematahkan rungutan dan kritikan yang riuh pada peringkat awal. Biasalah, pembaharuan selalu tidak mesra apatah lagi jika dibuat secara drastik. Hati manusia juga pelbagai. Bukan mudah untuk memuaskan kesemuanya. Pun tentu, jika tidak dimulakan, bagaimana hasil boleh diduga.
Namun begitu, sejak dua menjak ini, ada sedikit kehairanan apabila berkunjung dan menjamu selera di kafeteria Desasiswa Fajar Harapan. Kempen ini seolah dilupakan apabila pihak penggerai yang menjual nasi ekonominya tidak lagi ghairah menggunakan bekas alternatif yang dicadangkan. Kelibat plastik untuk membungkus nasi kembali digunakan. Walaupun ia diselang-selikan dengan penggunaan eco-pack, namun kerap saja penjamu selera yang mahu membungkus makanan diberikan pilihan plastik khususnya pada sebelah petang. Perlu diingat tidak semua, khususnya pelajar, yang membawa bekas sendiri dengan andaian bahawa polisterina tidak akan disediakan juga.
Selain itu, ada rungutan lain yang semakin membingit sejak belakangan ini. Ia datang daripada mulut-mulut yang sering mengunyah sajian yang dijual di kafeteria ini sendiri. Paling banyak dan biasa adalah daripada para penghuni. Isunya, makanan yang dijual semakin mencekik. Mereka tidak membingit kosong apatah lagi merungut selepas kenyang semata-mata. Mereka mengemukakan fakta dan hujah dengan analisa perbandingan harga menu yang boleh disemak di seluruh kafeteria yang ada di USM ini.
Memang benar harganya standard dan selaras. Tapi yang ditimbulkan ialah kenapa wujud perbezaan yang ketara apabila makan di kafeteria Fajar Harapan dan Cahaya Gemilang atau Indah Kembara? Kadar berat dan seratnya sama saja tapi bila dihadap ke kaunter, pasti poket akan mengeluarkan jumlah not yang berbeza-beza. Jadi apa yang tidak kena di sini? Kalau pun pengusaha mahu mencari untung lebih, biarlah secara berhemah. Bukan semua pelajar senang. Makan pula bukan kerana menjamu selera tapi sekadar mengalas perut yang selalu berbunyi sementara menantikan waktu lapar yang seterusnya. Inilah putaran yang perlu dan wajib dilayan oleh setiap pelajar setiap hari. Kasihanlah kami.
Selain itu juga, ada desakan supaya tempoh operasi setiap kafeteria dilanjutkan lagi berbanding biasa. Ini perlu kerana ada sesetengah pelajar, yang jumlahnya bukan sedikit, yang terpaksa mengikat perut kerana mengejar masa untuk ke kelas pada sebelah malam. Mereka sering terlepas waktu bersantap di kafeteria kerana ruang masa yang terhad. Balik kuliah petang lewat, kemudian sebelum malam jam lapan sudah bergegas ke kuliah lain pula. Selalunya tamat pada jam sepuluh. Kafeteria-kafeteria sudah tentu tidak lagi beroperasi. Maka tanpa banyak ngomelan, kaki akan melangkah juga melintas pintu-pintu utama kampus untuk keluar mencari rezeki di gerai-gerai berhampiran. Bunyi perut tetap perlu dilayan. Kalau terlajak dilayan, maka manjalah ia. Kemudian, semakin dimanja semakin galaklah sebelum akhirnya menjadi biasa pula untuk keluar setiap malam. Banyak natijahnya, pasti.
Isu ini tentu menarik jika diselongkar oleh team penyiasat BK!
7 comments:
alah yg tulis ni pun selalu je mkn kat subedah..kaya la tu
a'ah..aku selalu je nmpak dia ni keluar mkn mlm2 kat Ivory
kalu x silap, kat Harapan ada amalkan budaya angkat sendiri bekas yg dah dimakan utk disimpan dlm kotak yg disediakan..kira baguslah tu.harga mahal jgn dikecohkan sgt sbb diorang nak berniaga je.kita cari makan so makan je la kan.tak nak mkn kat kafe Harapan gi je la kafe aman ke, bakti ke, cg ke..byk lg kan
rizuan ni berapi je tulis..
buatnye tidak...
Restu pun guna plastik pembungkus. Cuma untuk membungkus kemudian diikat dengan tali. Bila tanya pacik kafe kenapa tak guna eko-pek, dia cakap stok kadang2 ada kadang2 xde. Lepas tu kadang2 klu dapat eko-pek koyak dah, bukan siket, diorang rugi jugak. Niaga kafe tu bukan untung sangat tapi pelajar bekira,kalu makan luar mahal tak pulak nak bising.
Tak pecaya? cuba survey bila pt kuar, kafe lenggang, semua makan luar. Eko-pek pun ada masalah, bukan elok sangat, yang koyak2 tu yang rugi pacik kafe. Tapi skrg dh kurang guna plastik, kembali guna pembalut yang mcm plastik tp jnis eko-pek.
Harga makanan taklah mahal sangat sebenarnya. Cuma tanya pacik kafe, untung banyak sgt ke diorang? diorang kne ikut piawai harga usm letak, kalu niaga luar g untung, tu pun pelajar petikai macam2. Kita kne faham pengusaha kafe jugak.
Kalau cakap meniaga kat kafe RST 'tak untung sangat' mmg saya tak setuju...
Cuba kira berapa ramai penghuni RST? Kalau setiap kafe mampu tarik 10 peratus dari penghuni RST untuk berbelanja kat kafe dia, tu dah memang lebih dari cukup...
Kalau betul niaga luar lagi untung, dah lama pengusaha2 kafe ni pindah keluar. Tapi tak keluar2pun...tokei kafe2 kat Restu dari 5 tahun lepas masih org yang sama...
Saya setuju dgn penulis, harga kat kafe mmg mahal. Walaupun ada harga siling, tapi untung masih banyak. Kalau harga siling tu diturunkan 30-40 peratus lagi, masih boleh untung besar.
Cuba ambik nasi putih dengan telur dan sayur kobis kat kafe Restu, dan bandingkan dengan harga kat Kaleel. Tak ada beza.
Kaleel bayar lebih RM 10,000 sebulan untuk sewa kedai. Berapa sewa kafe Restu sampai nak caj pelajar tinggi2? Berapa banyak gaji pekerja Kafe kena bayar?
Kesimpulannya, Kafe Restu sucks.
kepimpinan mahasiswa USM sepatutnya bawa isu ini ke atas supaya nasib mahasiswa semua terbela.
makan adalah keperluan semua orang. tapi kalau mahal dan dijual secara komersial, dimana kebajikan untuk mahasiswa yg diperjuangkan. sama saja baik Aspirasi mahupun Pro-M.semua cakap berdegar. masa kempen aja nampak batang hidung.
PTPTN bukan banyak. untuk tampung makan hari-hari pun tak cukup. tu kalau x belanja dgn keperluan lain lagi.
berjimat memang satu amalan yg baik.tapi perlu disokong jugak oleh semua pihak terutamanya pihak pengusaha kafe.
lagi satu, kedai mahasiswa dlm USM tu terlampau cekik darah.kalau tak percaya cubalah buat perbandingan harga barang-barang yg dijual dgn kedai atau tesco di luar USM ni.
MANA HAK DAN KEBAJIKAN MAHASISWA???
Post a Comment