Monday, June 8, 2009

Taring Tuan Presiden.

Konsep Kerajaan Perpaduan yang cuba digagaskan oleh Presiden PAS meskipun ditangguhkan sekali lagi usulnya, sedikit sebanyak telah membuka pintu polemik baru dalam politik nasional. Ia bakal didebatkan oleh segenap lapis masyarakat baik di peringkat tertinggi kepimpinan hinggalah ke strata terendah rakyat, baik di puncak pemerintahan di Putrajaya hinggalah ke warung-warung kopi tanpa bintang di seluruh pelosok negara, baik oleh si cerdik politik mahupun yang hingus-hingusan baru hendak kenal ertinya.

Namun bagi saya, ada suatu pertanyaan mudah apabila idea ini ditimbulkan semula iaitu apakah persona Tuan Presiden yang seorang ini mampu menyejukkan aura Harapan Baru yang dibawa oleh ‘Tuan Penasihat-nya’ dalam perpakatan yang dianggotai mereka bersama? Sungguh, dua nama ini meskipun dalam arus yang sama, tapi mereka tidak berkongsi citra kepimpinan yang searah. Bak langit dan bumi. Berbanding Tuan Penasihat, saya lebih mengagumi Tuan Presiden.

Seperkara yang lain pula, saya melihat, Tuan Presiden, dan partinya itu sebenarnya mempunyai peluang yang amat besar untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam lanskap politik tanah air. Peluang ini harus segera disedari dan disambar oleh beliau dan anggota-anggotanya yang lain demi survivor politik bangsa dan agama. Tuan Presiden pada saya belum hilang taringnya, bahkan semakin menyengat dengan pasukan kepimpinan yang baru sahaja dibentuk usai muktamar baru-baru ini.

Ketika ini, trenda politik nasional cenderung untuk melihat BN sebagai berohkan UMNO sehingga imej parti dominan Melayu ini sering memayungi kompenan-kompenan BN yang lainnya. Suasana ini segera diterjemah sebagai sesuatu yang tidak disenangi oleh rakyat, sebagai suatu yang boleh menjadi ancaman, lalu PRU baru-baru ini digunakan sebaik mungkin untuk menyatakan semua kerisauan dan ketidakpuasan tersebut.

Sementara pada masa yang sama, dalam kem Pakatan pula, imej DAP ternyata lebih wibawa. Suara kaum Cina dan India dalam perpakatan ini tidak boleh dinafikan sangat dominan namun masih diseimbangkan oleh dua lagi parti iaitu PAS dan PKR. Dari segi agihan kerusi misalnya hal ini jelas terserlah. Pun juga, jika dilihat dari segi sokongan berdasarkan komposisi kaum, tidak banyak yang boleh diharapkan.

Di sini maka tersedialah ruang yang cukup penting untuk dimasuki oleh PAS dan ia mesti disegerakan, iaitu sebagai kuasa pengimbang kepada hala tuju politik negara dan lebih penting tentunya, hala tuju perpaduan seluruh rakyat di negara ini. Kita terpaksa bersetuju bahawa orang ramai khususnya mereka yang terdiri daripada kaum bukan Melayu akan terus melihat UMNO sebagai sebuah parti Melayu dan hal ini sebenarnya menjadi semakin sukar untuk diperjelaskan.

Pada masa yang sama, PKR dilihat tidak mampu menjadi sebuah kuasa yang boleh mewujudkan keseimbangan secara total antara kaum apatah lagi, para pemimpin dan penyokongnya sendiri sering tidak searah dalam banyak hal. Justeru, antara UMNO dan PKR sentiasa wujud jurang yang besar dan sebaliknya, antara PAS dan UMNO pula, setidak-tidaknya kedua-dua parti ini masih ditunjangi oleh orang Melayu iaitu kaum dominan di negara ini (untuk keterangan lanjut boleh rujuk perangkaan yang dikeluarkan oleh EPU, JPM bagi tahun 2008).

Justeru idea gagasan Kerajaan Perpaduan yang dibawa secara berani oleh Tuan Presiden seharusnya diambil maklum oleh semua pihak. Ia harus diterjemah sebagai satu alternatif kepada masalah yang timbul ketika ini. Malah, Tuan Presiden sendiri mengakui tahap perpaduan di negara ini semakin rapuh dan boleh menjadi satu ancaman yang serius jika tidak segera diatasi. Terima kasih Tuan Presiden atas keprihatinan anda. Semoga Tuan dapat pula melihat dimana punca-punca yang mencetuskan keadaan tersebut selepas ini.

Dalam hal ini, PAS tidak semestinya meninggalkan kapal yang sedang dinaikinya sekarang. PAS mungkin tidak perlu mengorbankan prinsip perjuangan yang sedang dikongsi ‘bersama’ dalam Pakatan. Sebaliknya, PAS boleh memainkan peranan sebagai pembina semula jambatan yang telah dan sedang runtuh ketika ini antara rakyat dengan menghubungkan kembali suara-suara kepimpinan di peringkat atasan terlebih dahulu sebagai contoh teladan yang terbaik.

Akhir kata, tahniah buat Tuan Presiden dan anggota pasukannya.

1 comment:

hasellusiby said...

salam tumpang ziarah. jika ada yang berminat dengan teori konspirasi, sejarah nusantara yang hilang, sufism, kebangkitan akhir zaman..sila lah ke nusanaga.blogspot.com

harap salam ukhwah akan bertaut demi masa depan..sekian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...