Wednesday, September 23, 2009

Siapa di sebalik Facebook?



Artikel saya sebelum ini tentang Facebook mendapat reaksi yang baik daripada rakan-rakan. Banyak emel yang saya terima menyatakan pandangan masing-masing. Ada yang melampirkan maklumat lanjut tentang laman sosial ini dan tak kurang juga yang mengkritik saya kononnya anti-sosial, menolak kemajuan dan sebagainya. Namun itu semua tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk mencari kebenaran tentang agenda di sebalik Facebook yang begitu popular ketika ini, meskipun jika saya terpaksa bersendirian.

Salah satu emel yang saya terima daripada seorang rakan dari UIA, ada menyatakan tentang pengasas laman sosial ini iaitu seorang yang berbangsa Yahudi-Amerika bernama Mark Zuckerberg. Saya lantas meng‘google’ identiti lelaki ini dan alhamdulillah, berhasil menemui profilnya. Maklumat sedia ada tentang lelaki ini sebelum ini sangat sedikit, malah saya hampir-hampir buntu mencarinya. Capaian memang banyak tetapi hampir kesemuanya menceritakan tentang kejayaan Zuckerberg membangunkan Facebook sehingga ke tahap sekarang.

Tidak dinafikan, Zuckerberg memang telah mencapai tahap yang tertinggi sebagai seorang pemuda Yahudi. Kejayaannya mencipta dan mengasaskan laman sosial ini telah meletakkan beliau sebaris dengan tokoh-tokoh besar dunia hari ini. Majalah Time misalnya telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke-52 daripada 101 orang tokoh paling berpengaruh di dunia pada tahun 2008. Hampir separuh atau lebih individu yang disenaraikan terdiri daripada bangsa Yahudi. Ini juga merupakan antara agenda tersembunyi pihak Yahudi melalui cabang medianya, khususnya di bawah naungan Fox Corp., untuk mengangkat bangsa tersebut setinggi mungkin di mata dunia. Malah, penyokong-penyokong Yahudi dan agenda-agenda mereka juga biasanya akan diberikan ‘ranking’ oleh majalah-majalah seperti Time termasuk dari Malaysia.

Sementara itu, pada tahun yang sama juga, majalah Forbes Top 400 yang sering mengeluarkan statistik individu terkaya dunia saban tahun telah menyenaraikan Zuckerberg sebagai manusia ke-321 terkaya daripada 400 individu yang disenaraikan di Amerika Syarikat. Hal ini telah meletakkan Zuckerberg sebagai individu termuda pernah disenaraikan oleh majalah tersebut iaitu ketika usianya mencecah 24 tahun (pada 2008) dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1.5 bilion, satu jumlah yang sangat besar untuk seorang lelaki muda.

Dari mana beliau mendapat semua kekayaan tersebut? Sudah tentu ia datang daripada Facebook. Menurut perangkaan yang dikeluarkan, Facebook telah menjana pendapatan hingga AS$300 juta pada tahun 2008 sahaja. Pada tahun 2007, syarikat gergasi komputer Microsoft Inc. telah membeli sebanyak 1.6 peratus kepentingan dalam Facebook dengan nilai sebanyak AS$240 juta. Sebuah syarikat Rusia pula, iaitu Digital Sky, baru-baru ini telah melabur sebanyak AS$200 juta dalam dalam web Facebook sekali gus meningkatkan nilai keseluruhan syarikat kepada AS$15 bilion.

Maklumat di atas mungkin pada sesetengah orang hanyalah perangkaan dalam urusan bisnes yang memang berlaku di mana-mana saja. Ada yang sinis menyindir saya kononnya saya tidak faham bisnes. Pelaburan merupakan sesuatu yang normal hari ini apabila peluang menjana keuntungan terbuka luas. Siapa pun yang berduit akan melabur, lalu tak perlulah diperbesar-besarkan. Memang agak sukar untuk bercakap tentang normaliti, apatah lagi jika sudah dianggap rutin. Manusia mencari kekayaan memang normal, bahkan pak-pak Arab di Dubai, Kuwait, Qatar dan sebagainya juga kaya-kaya bahkan sering menduduki carta teratas dalam senarai orang-orang kaya.

Saya ingin mengajak anda semua berkenalan dengan Zuckerberg secara personal. Mark Zuckerberg dilahirkan dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester Country, New York sebagai anak bangsa Yahudi yang berhijrah ke Amerika selepas peristiwa penyembelihan bangsa tersebut oleh Nazi Jerman seperti yang pernah dicatatkan dalam sejarah moden. Orang tuanya bernama Edward dan Karen Zuckerberg. Bapanya merupakan seorang doktor gigi sementara ibunya pula seorang pakar perubatan. Umum mengetahui Zuckerberg seorang yang genius komputer sejak kecil lagi. Pada usia lapan tahun beliau sudah mampu menghasilkan permainan komputer yang dinamakan Risk dan juga permainan muzik, Synapse.

Sejarah terciptanya Facebook sememangnya unik. Pada 4 Februari 2004, ia telah dilancarkan oleh Zuckerberg dari bilik asramanya sewaktu beliau masih bergelar mahasiswa di Universiti Harvard. Pada waktu itu, Facebook hanyalah bertujuan untuk memudahkan para pelajar Harvard berhubung sesama sendiri. Namun siapa sangka, ia akhirnya diterima dengan baik dan mendapat permintaan supaya dikembangkan hingga ke universiti-universiti lain di sekitarnya. Facebook terus menerima keahlian baru dan semakin berkembang pesat dari masa ke masa sekali gus melonjakkan nama Zuckerberg. Sewaktu di Harvard, Zukerberg juga terkenal kerana pernah menggodam sistem web universiti untuk mendapatkan data peribadi para pelajar lain.

Kenapa kita perlu berhati-hati dengan Facebook dan lelaki bernama Mark Zuckerberg ini? Inilah poin saya yang sebenar dalam artikel ini. Biar saya mulakan dengan menceritakan secara lebih rinci tentang identiti sebenar lelaki ini. Mark Zuckerberg juga sama seperti mahasiswa lain yang menuntut di universiti, bahkan sama seperti kita di USM. Beliau seorang yang aktif. Salah satu pertubuhan peringkat mahasiswa atau universiti yang beliau sertai sewaktu di Harvard ialah AEPi atau Alpha Epilson Pi. Dan hari ini Mark Zuckerberg adalah salah seorang alumni yang aktif dan giat menyokong segala gerakan persatuan tersebut. Tahukah kita apakah AEPi dan apakah kaitannya dengan Facebook serta Yahudi? Teruskanlah membaca jika anda belum tahu, dan teruskan juga membaca walaupun anda sudah tahu.

Alpha Epilson Pi merupakan sebuah pertubuhan persaudaraan Mahasiswa Yahudi yang kuat pengaruhnya di Amerika Syarikat dan Kanada, dan semakin berkembang ke negara-negara lain. Hubung kaitnya dengan Israel khususnya dan Yahudi amnya bermula apabila ia dikatakan sebagai pertubuhan persaudaraan Israel pertama dan yang satu-satunya ditubuhkan sehingga hari ini. Ia membuka keahlian kepada seluruh pelajar universiti berbangsa Yahudi di AS. Menurut Norimanah Seman yang menulis artikel tentang Facebook dalam Al-Islam keluaran September 2009, asas utama pertubuhan ini adalah untuk membina semangat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa Yahudi sekali gus menjadi pelapis kepada kepimpinan bangsa itu pada masa hadapan yang benar-benar memahamai idea, nilai dan etika Yahudi secara totok.

AEPi sama juga seperti gerakan-gerakan keyahudian yang lain yang bertujuan memupuk nilai persaudaraan dalam kalangan bangsa tersebut. Pun begitu, harus diingat, kebanyakan gerakan tersebut mempunyai pelbagai agenda tersembunyi dan sering mendukung idea-idea dan falsafah serta matlamat Freemason. Tidak ramai juga yang tahu bagaimanakah gerakan-gerakan ini menyulam jarum halus ke dalam dunia global, dan ramai sekali yang tidak tahu gerakan Freemason mempunyai sembilan teras atau falsafah utama yang sangat-sangat berbahaya terhadap dunia Islam amnya.

Secara sepintas lalu, AEPi diasaskan untuk membantu lelaki-lelaki Yahudi mencari pasangan Yahudinya. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan mengekalkan idealisme Yahudi supaya sentiasa terpelihara. Hubungan secara langsung AEPi dengan Israel pula terjalin melalui Ikatan Inisiatif Israel. Namun begitu, ada satu lagi perkara yang harus kita tahu iaitu gerakan persaudaraan ini sebenarnya turut mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan kebanyakan pertubuhan Yahudi Zionis global seperti AIPAC, Hillel, Israel on Campus Coalition, Aish HaTorah, Chabad on Campus, Hasbara Fellowships, B’inai Brith International, Shaare Zedek, Chai Lifeline, Holocaust Museum, dan Gift of Life.

Jika hubung kait ini belum cukup kuat untuk anda memahami perkaitan antara Zuckerberg dan Facebook dengan Yahudi/Zionis dan Israel, ayuh baca kutipan fakta berikut yang saya petik daripada Al-Islam. Sewaktu perang antara Israel dan Palestin yang hebat berlaku baru-baru ini, seorang wartawan Yahudi terkemuka telah memanfaatkan sepenuhnya laman Facebook miliknya untuk membakar semangat tentera Israel. Joel Layden, pemilik Israel News Agency telah mencipta akaun Facebooknya sendiri tiga jam selepas serangan tentera Israel ke atas Gaza dilakukan. Laman Facebooknya itu kemudian terus memuncak dan menjadi medan menghambur segala kata semangat dan perangsang untuk tentera-tentera Zionis oleh para pengunjung.

Pada 30 Disember tahun lalu kenalan Joel Layden telah mencapai angka 17000 orang. Bagaimanakah Layden memanfaatkan ruang Facebooknya? Jika anda mempunyai akaun sendiri, anda bolehlah mengunjungi laman Layden untuk mengetahui secara lebih dekat strategi yang beliau gunakan. Layden mengambil peluang mempengaruhi dunia bahawa Israel mempertahankan negaranya dari serangan pengganas Muslim di semenanjung Gaza. Malah, Layden juga telah memuatkan video You Tube bagi memberikan penerangan yang lebih halus kenapa Israel wajar dan perlu melancarkan serangan peluru dan roket serta menceroboh wilayah Gaza. Layden bahkan turut mengemukakan hujah kenapa penduduk Gaza mesti dibunuh kerana dilabelkan sebagai pengganas.

Pada masa yang sama, Zuckerberg dan team pengurusannya telah menutup akaun-akaun yang didapati boleh menimbulkan ancaman terhadap dunia Barat khususnya Israel dan Yahudi serta Amerika Syarikat sendiri. Adakah ini sesuatu yang adil dalam konteks hubungan sosial global? Mari kita lihat situasi berikut. Tujuan saya hanya satu iaitu untuk mengajak anda semua membuat pertimbangan yang seadilnya dan bukannya meminta anda memboikot. Segalanya terpulang pada pertimbangan anda. Di Indonesia, dua buah laman sosial kendalian Facebook milik pejuang jihad siber telah dipadam kerana kelantangan mereka memperjuangkan kebenaran dan keadilan sejagat. Kedua-dua akaun tersebut iaitu milik Kumpulan Cyber Jihad dan Arrahmah dikatakan mempunyai kenalan terbanyak di Indonesia sebelum ditutup oleh pengurusan Facebook.

Sekali lagi, adakah ini sesuatu yang adil? Ketika akses kepada Facebook milik Joel Layden dibiarkan menyebarkan spora pemikiran ganas Zionis Israel ke seluruh dunia, suara-suara pengimbang dari pihak yang tertindas iaitu pejuang-pejuang Islam sebaliknya segera disekat kononnya untuk mengelakkan ancaman keganasan global. Sedangkan kedua-dua belah pihak mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk membakar semangant juang masing-masing. Inilah yang harus kita fikirkan bersama. Minda kita harus kritis dan tidak boleh memandang hanya kepada nilai-nilai keseronokan sahaja.

Dan akhir sekali saya ingin menyentuh tentang bagaimana Facebook menjana keuntungan yang begitu tinggi sehingga mampu menarik jumlah pelaburan yang besar. Dalam hal ini, Norimanah Seman telah memetik sumber daripada laman blog Rizki Yudhistira, seorang pakar IT, yang menyatakan bahawa pendapatan utama Facebook adalah daripada iklan-iklan yang banyak dipaparkan di laman sosial tersebut. Antara sistem pengiklanan yang biasa digunakan termasuklah CPC atau ‘cost perclick’. Sistem ini adalah contoh mudah bagaimana untung yang besar dan segera mampu dikumpul di mana dengan hanya sekali klik pada satu iklan yang dipaparkan pihak pengurusan Facebook sudah berupaya memperoleh $0.50. Jadi bayangkanlah jika terdapat 1000 orang yang klik pada iklan-iklan yang dipaparkan setiap hari. Jumlah pembeli tapak iklan pula bukannya sedikit, malah pelbagai jenis iklan kecil dan besar disewakan di laman sosial ini.

Akhirul kalam, marilah kita sama-sama merenungi hal ini.Tidak dinafikan mempunyai kenalan yang ramai dari serata pelosok dunia adalah sesuatu yang menyeronokkan tapi kita juga harus berhati-hati kerana musuh-musuh Islam tidak pernah duduk diam. Mereka sentiasa berusaha meracuni budaya dan pemikiran kita. Akibatnya, Islam akan dengan sendiri menjauhi para penganutnya sekali gus memudahkan pihak musuh menyerang kita. Maka, ayuh ambillah tanggung jawab ini untuk sama-sama menyedarkan diri kita sendiri dan rakan-rakan supaya berwaspada dengan serangan-serangan halus musuh-musuh global kita yang semakin rancak dewasa ini. Nauzubulillah.

Sepintas lalu, tahukah anda;

1. Facebook telah difatwakan haram oleh Majlis Ulama Indonesia pada Jun 2009 kerana didapati menjadi penyebab kepada perlakuan tidak senonoh dan seks sebelum nikah dalam kalangan remaja di negara tersebut.

2. Sebelum itu, pada 23 Mei 2009, kerajaan Iran telah menyekat akses Facebook bagi menghalang penyalahgunaannya semasa kempen pilihan raya Presiden. Israel begitu ghairah dan sangat berminat dengan politik Iran. Langkah teknikal ini berjaya membendung wujudnya pengaruh langsung daripada dunia luar khususnya Zionis Israel.

3. Bill Gates, pengasas Microsoft dan juga individu kedua terkaya di dunia telah menutup akaun Facebooknya selepas menerima lebih 10,000 permintaan kenalan baru. Ia dilakukan tidak lama selepas syarikat gergasi tersebut melabur dalam Facebook dengan nilai AS$240 juta iaitu kira-kira 1.6% daripada nilai semasanya.


Sekian, Assalamualaikum wbt.

3 comments:

IZZUDDIN said...

Saya suka dengan entry anda kali ini. Keep Up blogging...

Anonymous said...

dapat pengetahuan br hr nie..trima ksh dgn pmbongkarn kisah ini..sgt menarik..

Anonymous said...

thats good...hampir sama dengan apa yg diperkatakan oleh blog2 di indonesia dan iran. kepada pakar ict malaysia, buat la world book pulak. heh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...