Ketika dalam perjalanan pulang ke kampus dengan menaiki bas Rapid Penang semalam, saya dan teman baik saya telah ditakdirkan bertemu dengan keluarga malang Mohd Ikmal Hafifi berusia enam bulan yang baru saja kematian kedua-dua ibu bapanya.
Ibunya meninggal dua hari selepas adik Ikmal dilahirkan. Dalam usia yang begitu muda, Ikmal kehilangan insan yang bertanggungjawab membawanya ke dunia ini. Tidak lama kemudian, iaitu baru-baru ini, ayahnya pula pulang ke rahmatullah selepas dipercayai lemas di laut. Malangnya saya tidak berkesempatan mengikuti laporan berita kematian ayahnya itu di dada akhbar.
Saya sendiri langsung tidak menyangka akan bertemu adik Ikmal bersama adik-beradiknya yang lain. Mereka enam beradik kini dipelihara oleh nenek yang cukup tabah saya kira. Melalui nenek Ikmal inilah kami mengetahui cerita susah payah yangsedang ditanggung oleh keluarga ini.
Sedikit tentang Ikmal ingin saya kongsikan di sini. Dalam tempoh yang singkat, kami berdua seolah-olah kagum dengan anak kecil ini yang kelihatan cukup bersemangat dan ceria. Mungkin Ikmal belum faham apa-apa tentang makna kehidupan, namun saya percaya, anak sekecil ini juga punya harapan untuk merasai realiti kehidupan yang sedang menantinya di hadapan. Bukan hanya Ikmal, tetapi abang-abang dan kakak-kakaknya juga perlu melalui kehidupan mereka.
Saya bukanlah hendak menjadi jaguh dengan membawa kisah keluarga malang ini. Saya tidak pasti apakah bantuan kepada mereka sekeluarga yang telah dihulurkan oleh mana-mana pihak. Tetapi hati saya cukup tersentuh dan sehingga kini masih terbayang-bayang wajah penuh harapan adik Ikmal khususnya bila memikirkan masa depannya kelak.
Harapan saya semoga pihak-pihak yang berkenaan dapat menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Difahamkan juga melalui nenek Ikmal, mereka kini tinggal secara percuma di flat Sri Pinang. Justeru sekiranya ada pihak yang bersimpati dengan Ikmal dan adik beradiknya, bantulah dalam bentuk apa-apa pun.
Apa-apa pun saya percaya, adik Ikmal hanyalah satu contoh daripada sekian banyak realiti kesempitan dan kesusahan rakyat bawahan di negara ini bahkan di mana-mana saja. Tanggungjawab pemimpin masyarakatlah untuk memastikan nasib mereka terus terbela.
No comments:
Post a Comment