Wednesday, August 26, 2009

Keganasan, Penipuan & Internet. Tanda Soal.

Khas untuk Mr. Imran
....................


Dalam sebuah buku (saya kira bukan ilmiah) yang ditulis oleh Hishamuddin Rais (selepas ini disebut orang ini sahaja) yang diberi tajuk lebih kurang begini; Keganasan, Penipuan & Internet (saya rasa ramai yang dah baca, atau mungkin juga lebih ramai yang tak tahu pun wujud buku ini – saya pun kebetulan saja terkelih pandang), dalam satu bab awal (mual nak habiskan seluruh penulisan ini) yang diberi kepala tajuknya iaitu Sekolah dan Kapal Selam, orang ini telah menyimpulkan bahagian ini dengan berkata;

“Semenjak saya belajar di universiti lagi saya memiliki pandangan dan cadangan bahawa pembelajaran wajib diberikan secara percuma. Melihat kepada kacau-bilau yang sedang berlaku hari ini maka pandangan dan cadangan saya ini amat susah untuk dipatahkan. Jika ada yang cuba menolak pandangan saya ini dengan alasan bahawa negara kita tidak mampu untuk memberi pelajaran percuma maka saya akan menjawab – kita memiliki kemampuan ekonomi yang lumayan. Hanya pemimpin kita yang salah fokus. Rakyat tidak pernah memerlukan kapal selam. Apa yang orang ramai perlukan ialah seratus buah lagi sekolah dan universiti. Antara kapal selam dan Fakulti Perubatan mana yang lebih mendatangkan faedah?"
(Hishamuddin Rais, t.t.i:20)

Pertama, saya tertanya-tanya, demikian apakah justifikasinya bagi orang ini untuk menyimpulkan segala perbincangannya dalam bahagian ini, dengan pandangan seperti di atas? Seluruh isi perbincangannya nampak jelas benar bias di merata tempat.

Memandangkan ini negara demokrasi yang membenarkan siapa sahaja berhujah dan mengkritik sesama sendiri (inilah juga yang diperju-wang-kan oleh spesis-spesis kerabat penulis buku ini rasanya – kebebasan bersuara! – baca: untuk RM), maka saya terpanggil untuk bercakap-cakap tentang pandangan orang ini, berpaksikan dari jurus pandang saya sendiri tentunya (jangan malu dengan ilmu yang cetek).

Saya mahu bertanya, jika boleh, pada frasa awal ayat orang ini, dia katakan bahawa semenjak awal dia belajar di universiti – di sini, saya ada satu lagi soalan, yang didasarkan kepada kenyataan dia sebelum itu bahawa dalam ramai-ramai kawan yang masuk sekolah, hanya dua orang sahaja yang masuk universiti, dan seorangnya tentu dia kerana dia memang graduan dari sebuah IPTA, jadi, apakah pertimbangan dia secara holistik untuk menggeruhkan hakikat bahawa sistem pendidikan kita telah berjaya, sekurang-kurangnya kepada dirinya sendiri? – jadi, adakah justifikasi orang ini hanya bersandarkan kepada pengalaman dan pengamatannya sendiri lalu terbit analisa yang akhirnya disimpulkan sedemikian sekali?

Orang ini juga ada pandangan bahawa pembelajaran WAJIB diberikan percuma – mak cik dan pak cik boleh bergembira untuk mengundi orang ini jika dia calon Presiden UMNO lima tahun akan datang – dan, cadangan tersebut cuba dipaksakan kepada orang lain (pembaca) seolah-olah dia ada solusi yang cukup baik, ampuh dan pasti berkesan.

Soalan saya, adakah orang ini ahli pendidikan yang berada dalam sistem pendidikan nasional – di negara ini ada falsafah pendidikan yang dilaksanakan oleh pemerintah melalui dasar-dasar yang cukup praktikal – untuk membenarkan dia berpandangan sedemikian? Saya sangat tidak faham, kerana setahu saya, orang ini agak berpengaruh.
Saya tidak mahu segera berprejudis (walaupun ada sebab yang boleh) dengan mengatakan bahawa buku ini ditulis atas semangat kekomersialan semata-mata kerana/walaupun memang banyak sisi yang tempang jika diukur dari sudut studinya.

Misalnya, pada ayat yang sama juga, orang ini menyatakan pada pandangannya, pendidikan WAJIB diberikan percuma, dan dia ada sebab yang sukar sekali dipatahkan oleh siapa-siapa pun – termasuk Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, dan tentu sekali Menteri Pelajaran – untuk menolak cadangan tersebut. Tapi apakah butir-butirnya? Saya tak jumpa. Kesal.

Prejudis jujurnya semakin mula menebal dengan hasil isi buku ini. Mungkin ayat yang berikutnya sedikit menjawab, iaitu kita punya hasil ekonomi yang lumayan. Saya sekali lagi hendak bertanya, apakah justifikasinya? Hasil ekonomi lumayan adalah satu hal, pendidikan pula adalah satu hal.

Hasil ekonomi adalah hasil yang kita peroleh, yang memberikan kita kekayaan ataupun kemiskinan daripada usaha yang kita kerjakan, yang juga memberikan kita kuasa untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti lain. Tapi pendidikan?

Saya berfikiran, adalah perlu juga untuk dikesampingkan dulu ideologi sosialis – kerana orang ini sosialis rasanya – sebelum kita lihat suasana sosio-ekonomi dan politik negara ini. (TAHUKAH ANDA BAHAWA: Memberikan pendidikan yang percuma adalah salah satu aspek dalam perju-wang-an sosialis?).

Dan mari kita analatikal dengan berfikir berlandaskan situasi sebenar, iaitu, mampukah kita percumakan pendidikan – ambil kira kos – dengan hanya bergantung kepada hasil ekonomi yang dianggap oleh orang ini sebagai lumayan? Saya nak tanya, orang ini berfikir dalam korpus minda zaman kolonialkah, iaitu era ketika kita memang punya hasil mahsul yang lumayan (yang ketika itu memang diangkut semuanya oleh pemerintah/penjarah)? Kesalnya.

Saya memilih untuk keluar dari kelompok kelogikan – jika ada pun – hujah orang ini. Saya memilih untuk berpandangan betapa pendidikan percuma kalau pun boleh dilaksanakan, pasti lambat laun, ada harga yang cukup mahal terpaksa kita bayarkan.

Kita terpaksa melangsaikan banyak hal hanya semata-mata untuk memberikan sesuatu yang percuma yang kononnya dapat membantu rakyat marhaein dan orang-orang kampung yang totok perlukan bantuan. Pada saya, negara berkebajikan sekali pun belum mampu untuk memberi percuma pendidikannya kepada anak bangsa. Banyak yang perlu difikirkan lagi.

Saya juga hairan, kenapa orang ini begitu mahukan supaya pendidikan di negara ini dipercumakan kepada rakyat? Bukankah dia tahu yang tahun-tahun kebelakang sudah ada anjakan yang dibuat demi rakyat oleh pihak pemerintah kita, misalnya, penghapusan beberapa jenis yuran pengajian di peringkat sekolah, buku-buku teks percuma, pengurangan caj perkhidmatan PTPTN dan sebagainya lagi?

Saya tidak juga mahu berprejudis dengan mengatakan orang ini terkena badi sumpahan akibat pemulauan media arus perdana sehingga dia jadi begitu sempit sekali. Saya percaya, dengan status ilmu dan kenalan-kenalan politik yang dia ada, tentunya dia lebih maklum akan hal ini - kalau mamak warung pun tahu, tak kan dia ni tak tahu pulak.

Kisah pendidikan percuma juga setahu saya bukan benda baru. Dalam politik tanah air, ia begitu dimodalkan. Tapi yang sangat saya hairankan – tak kira parti mana pun atau dari mulut siapa pun – adakah orang-orang itu (termasuk orang ini) langsung tidak memikirkan tentang implikasi-implikasi yang boleh timbul kelak sekiranya sistem ilmu yang disandarkan harapan menggunung untuk mencapai falsafah pendidikan kebangsaan ini dipercumakan?

Adakah mereka suka untuk terus menyangkakan atau berpendapat bahawa pihak pemerintah terlalu zalim dan kejam lagi tidak berperikemanusiaan hanya kerana tidak mampu menyediakan satu sistem pendidikan yang percuma kepada rakyat ketika ekonominya dalam kondisi yang baik? Kesal sekali jika benar begitu. Semberono. Melulu.

Sebelum saya diterima masuk sebagai warga penuntut IPTA dua tahun yang lalu– selepas berjaya melepasi halangan demi halangan dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah sejak dari darjah satu – saya terlebih dahulu menerima sepucuk surat tawaran yang disertakan juga dengan maklumat am program pengajian saya.

Dalam maklumat tersebut, tertera juga – saya dimomokkan bahawa ia hanya satu propoganda daripada kerajaan – satu jadual tentang kos pengajian yang harus saya tanggung dan juga yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan.

Saya agak tidak menyangka. Kos pengajian saya, jika benar seperti yang dicatatkan, adalah sangat tinggi dan tentu sekali saya tidak mampu untuk menyediakan wang sejumlah itu jika pihak kerajaan yang dianggap zalim ini tidak menanggung sebahagiannya. Saya percaya banyak rakan lain yang setuju dengan kenyataan saya ini. Ia berkaitan dengan KOS.

Justeru saya sangat tidak faham sekiranya orang-orang di luar sana masih menganggap pihak pemerintah kita zalim kerana tidak mahu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya sendiri. Saya tidak faham kenapa ia hendak dijadikan isu pada hari ini.

Jika pun dipercumakan, yang bersenang-senang sudah pasti rakyat tetapi yang menanggung segala kos berkait kelak sudah PASTI kerajaan. Lambat laun boleh papa kedana juga rasanya – orang pandai semakin bertambah.

Sebagai contoh, untuk bidang pengajian kejuruteraan, kos keseluruhan pengajian yang WAJIB ditanggung oleh pelajar ialah RM53,130 (IPTA). Namun, pihak kerajaan yang zalim ini telah menanggung sebanyak RM46,630 daripada keseluruhan kos tersebut. Jadi, berapakah kos yang perlu ditanggung oleh pelajar? Orang ini rasanya ada cukup kalkulator – kalau dia perlukanlah – untuk menghitung angka-angka mudah ini.

Ketika negara kita cuba bertatih dahulu selepas keluar daripada zaman gerhana pasca-merdeka (ketika penjarah-penjarah pulang bergaya ke negara asal mereka), kita hanya dikenal oleh segelintir rakan sebagai negara yang sangat sedang berusaha membangunkan dirinya. Kita cuba lepasi peringkat sukar kemelut demi kemelut – ekonomi, sosial dan politik – yang bercampur aduk sehingga merungsingkan pihak kerajaan.

Namun pada waktu itu, rakyat berpadu hati dan enggan berkerat rotan menuntut bukan-bukan kerana semuanya faham situasi yang dialami (kecuali 13 Mei). Isu pendidikan memang menjadi antara isu penting. Tetapi selain isu ini, negara juga jarus berdepan dengan banyak lagi isu. Dan sehingga hari ini, kekal, pendidikan menjadi sebahagian daripada isu yang menarik perhatian banyak pihak.

Dalam situasi yang menarik perhatian inilah barangkali orang ini menggunakan istilah kacau-bilau. Saya faham. Saya mengerti gelandangan gelojak fikirnya. Saya tahu maksudnya kerana saya juga rakyat negara ini. Tetapi saya kesal kerana dalam kecanggihan teknologi berbahasa, dan dalam sedemikian banyak istilah yang ada, orang ini akhirnya memilih ‘kacau-bilau’ hanya untuk memesrakan para pembacanya (yang totok pasti terkekeh-kekeh).

Saya rasa kacau-bilau hanya satu istilah yang sengaja-sengaja dibobrokkan. Nah, kalau di situ ada kacau-bilau, pasti juga ada pengacaunya, atau tukang kacaunya. Saya mahu bertanya, siapakah orang-orang itu? Melihat kepada akhir-akhir ini juga – sesuai juga dengan maksud ayat orang ini – saya rasakan bahawa pengacau-pengacau dan tukang-tukang kacau itu sebenarnya ialah puak-puak sealiran dengan orang ini sendiri.

Misalnya, isu pendidikan telah diheret ke jalanan ketika pihak kerajaan – yang menggubal dasar – telah pun berjanji akan mengkaji isu-isu berbangkit tersebut. Jadi, soalnya sekarang, siapakah sebenarnya yang mewujudkan suasana kacau-bilau tersebut? Pak-pak Menteri?

Saya hendak tergelak tetapi rasa macam kurang ajar, tetapi hakikatnya, sebagai sebuah kerajaan, saya yakin tidak pernah terdetik sedikit pun di hati pak-pak Menteri ini untuk menjahanamkan nasib anak bangsa. Mereka sentiasa mencari jalan terbaik jika di situ ada masalah yang berbangkit, kerana prinsip asas manusia itu sendiri tidak dapat lari daripada kesilapan.

Namun yang menjadi kacaunya apabila setiap kesilapan itu akan dilihat sebagai peluang, atau umpan oleh puak-puak pengacau ini untuk menyerang balas. Memang benar, menjadi pengkritik lebih mudah daripada menjadi penghasil. Orang ini telah membuktikannya melalui buku ini.

Dan lagi, saya juga rasa geli hati apabila membaca frasa orang ini yang seterusnya. Katanya, hanya pemimpin kita yang salah fokus. Wah!!! Hebat betul orang ini. Kagum betul saya dengan orang ini – dahulu saya langsung tidak kenal malah tak ingin pun hendak tahu tentang orang ini – sehingga mampu mengeluarkan sedemikian justifikasi. Saya rasa, hukuman itu terlalu umum.

Dalam konteks pendidikan – tentunya – kesalahfokusan yang cuba dimaksudkan oleh orang ini bagi saya, hanya kerana dia melihat ada pincang dan simpang siur yang sepatutnya tidak berlaku dalam sistem, tetapi dilakukan oleh pihak pemerintah. Saya ingin juga bertanya, sedari awal bab ini, saya hanya temukan satu saja contoh yang bunyinya agak sahih iaitu berkenaan dengan masalah penempatan dan permohonan pelajar perubatan.

Pun, saya masih tercari-cari dimanakah orang ini sorokkan fakta-fakta yang seharusnya dia tampilkan bagi melengkapkan bukunya itu, berhubungan dengan kenyataan tersebut (Fakulti Perubatan), tetapi tetap juga tak jumpa. Kesalnya. Terasa seperti membaca sebuah novel politik yang penuh unsur rumours.

Ahkir, mungkin, saya ingin menyatakan sedikit keterujaan dengan persoalan yang ditinggalkan oleh orang ini iaitu, antara Fakulti Perubatan dan kapal selam, yang manakah lebih penting? Soalannya begitu.

Namun, soalnya sekarang, apakah pertimbangan yang dia gunakan sehingga akhirnya ditanyakan kepada kita yang demikian? Apakah kondisi situasi yang telah beliau fahamkan? Apakah petanda-petanda yang dia dapat, atau wahyu dari langit mana yang beliau – maaf, dia - terima sebelum tergerak hati menimbulkan sedemikian persoalan?

Sengaja hendak mencetuskan polemik barangkali (khusus dalam minda-minda rakyat yang malas hendak fikir dalam-dalam). Saya yakin dan percaya bahawa orang ini tahu yang soalannya itu tak wajar sama sekali. Pada saya, soalan ini harus dilihat terpisah kerana tidak adil rasanya kita menolak salah satu daripadanya (lebih-lebih kalau kita ambil kira segala faktor dan aspek persekitaran yang wujud).

Antara Fakulti Perubatan dan kapal selam, pada saya, kedua-duanya sama penting. Tetapi yang lebih penting ialah kita mesti tahu sungguh-sungguh bahawa pihak pemerintah melihat kedua-duanya dari sudut yang berbeza tapi tetapi tetap sama dari segi peri pentingnya, dan segala usaha digerakkan seiring untuk memastikan kedua-duanya sama-sama memberi manfaat kepada rakyat.

Pada saya juga, sebuah pemerintah yang baik haruslah lebih terkehadapan dalam menyelami dan memahami kehendak rakyat, dan bukannya hanya menunaikan permintaan yang dibuat pada masa-masa yang tertentu sahaja. Dalam erti kata lain, pemerintah itu haruslah tahu apa yang terbaik untuk rakyatnya malah kalau perlu, melangkaui batas masa dan batas jangkaan minda dalam kalangan rakyatnya itu sendiri.

Jika kita bercakap dari sudut kesihatan, sudah tentu kita akan berpendapat bahawa Fakulti Perubatan lebih penting. Tetapi apabila kita bercakap soal keselamatan, pertahanan negara dan ancaman-ancaman lainnya, kita akan setuju bahawa kapal selam itu juga penting sebagai salah satu kelengkapan persenjataan. Dan jika kita bercakap tentang kedua-duanya sekali gus, kita pasti menerima hakikat bahawa kedua-duanya sama penting. Untuk siapa? Rakyat. PASTI.

Saya kesal jika terpaksa menutup cakap-cakap ini dengan prejudis masih bertamu di hati. Saya enggan membiarkan semua rasa prejudis ini terus wujud lantas saya bertekad untuk lebih mengenali orang ini khususnya pemikiran-pemikiran yang beliau komentarkan. Bukan apa, mungkin boleh juga dijadikan lelucon minda yang penat. Boleh bergeli hati lagi, mungkin.

5 comments:

Mr. Imran said...

Entry khas untuk sy :-). Sayang benar anda dengan PM 1 Malaysia kita nampaknya. Saya tidak perlu berbalah dengan anda tentang isu pendidikan percuma ini kerana sememangnya kita mampu memberikan pendidikan percuma.

Jika tidak diperingkat IPT, sekolah-sekolah boleh memberikan pendidikan percuma dan ini telah banyak dilakukan oleh negara-negara luar.

Jika anda kata HR menulis secara bias, begitu juga anda. Semua idea yang anda tulis adalah idea orang yang begitu kuat di momokkan dengan kerajaan sedangkan anda sendiri melihat betapa bobroknya negara kita di pimpin oleh kerajaan yang sedia ada.

"Bukan apa, mungkin boleh juga dijadikan lelucon minda yang penat. Boleh bergeli hati lagi, mungkin". - Begini perasaan saya apabila membaca entry ini. Dan, ini sudah saya jangkakan ideanya. Tidak ada yang baru.

Terima kasih untuk entry ini :-)

helanghijau said...

sy sokong dgn pendapat tuan punya blog ini..

baik jangan said...

mr.imran, sedare bley kot buke mate tu elok2 sket..

saye pun setuju dgn tuan blog ni

Anonymous said...

baca kesimpulan penulis buku tu pun dah terase geli hati kan cik wan.memang kelakar betul pemikiran puak-puak sosialis ni

karim jabbar said...

Betul tu....
aku setuju dgn pandangan penulis blog ni,apehal pulak nak bagi free education utk anak2 kat Malaysia.
lebih baik dana harta hasil cukai duit rakyat tu kite buat bende lain spt :
a)Setelah BN kalah PRU 12 bagi DUN Perak. UMNO-BN mengunakan wang dan Istana untuk merampas DUN Perak dari Pakatan Rakyat.

b)Menhilangkan enjin jet F5E bernilai RM100 juta

c)UMNO-BN mengunakan wang rakyat untuk 'membeli' wakil rakyat Pakatan Rakyat. Dibuktikan dengan beberapa wakil rakyat disimpan dirumah Najib Razak.

d)Duit rakyat bole digunakan utk merasuah hakim,polis dan yng penting digunakan semasa perwakilan umno.

d)Buat projek gajah putih spt Stadium Sultan MIzan & akhirnya roboh Stadium itu. "Satu lagi projek Barisan Nasional.

e)Buat jambatan 1malaysia utk membunuh rakyat(3 orang pelajar t'korban)

f)1001 lagi cara duit rakyat boleh dibazirkan drp bagi free education kat rakyat....

Syabas KAPITALIS!!!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...