Earth Hour datang lagi. Kali ini, pestanya berskala lebih besar. Sejak dimulakan kira-kira tiga tahun dahulu, ia kini menjadi gerakan massa peringkat global atas dasar memastikan kelestarian hari esok. Seolahnya, ia seperti seekor semut bercita-cita menyeberang sebatang sungai yang besar lagi ganas. Justeru timbullah soalan-soalan sinikal seperti; mampukah? Berjayakah? dan sebagainya lagi.
Namun, sebagai sebuah wadah yang serius, gerakan ini terus dikembangkan dari tahun ke tahun. Cakap-cakap mengenainya bahkan sudah sampai ke Persidangan United Nation. Dalam hal ini, Malaysia juga tak terkecuali menjadi sebahagian daripada warganya. Kita prihatin, dan kerana sentiasa prihatinlah, kita mesti turut serta.
USM sebagai institusi terawal di negara ini yang melaksanakan program Earth Hour pada tahun 2007, sekali lagi menganjurkannya dalam skala yang lebih besar pada tahun ini. Tiada lagi usaha penjelasan yang panjang lebar dan kempen yang merumitkan seperti pada tahun 2007 diperlukan.
Ia pantas menjadi tradisi yang bakal berakar umbi sementelah USM sendiri terkenal dengan program Lestarinya. Teras pencapaian gelaran sebagai Universiti APEX pertama juga sebahagian besarnya disumbangkan oleh kesungguhan USM menjayakan impian Lestari ini, yang tentunya meliputi pelbagai sudut bukan saja berkisar dalam hal-hal alam sekitar semata-mata.
Dan pada malam ini, tepat jam 9.00 malam dan berakhir sejam kemudian, Earth Hour akan sekali lagi dijayakan di USM. ‘Kegelapan’ akan menyelubungi bumi Minden buat seketika demi kelestarian hari esok. Soal mampukah atau berjayakan program ini, pada saya, ialah persoalan mentaliti. Menjawabnya pun terpulang kepada mentaliti setiap individu.
Secara mental, yang sempit tentunya, program ini hanyalah retorik global yang diada-adakan sebagai menutup keghairahan negara-negara maju menjarah isi alam dalam mereka mengejar kemewahan dunia. Lalu sejam untuk bumi dicetuskan supaya manusia-manusia akan berasa sedikit prihatin, sambil pada masa yang sama, menghalalkan pemusnahan alam sekitar sebaik sahaja lampu-lampu dihidupkan selepas itu. Begitulah kita disenyapkan tanpa sedar.
Tetapi pada saya, tuntas program ini bukan terletak pada sejam ia dilaksanakan, tetapi pada mental kita untuk menutup suis-suis lampu yang kita pasang menerangi sekliling kita saban waktu, baik siang mahupun malam. Ia adalah kejayaan mental yang cukup penting untuk diraih. Di situ ialah kesediaan kita sebenarnya untuk turut berganding bahu mengasihi nasib dan masa depan generasi akan datang.
Lebih jauh, ia adalah tentang kelestarian, yang mencakupi segenap aspek fizikal dan mental. Jika kita berjaya mencapai matlamat ini pada malam ini, kita juga sebenarnya telah memberikan rehat yang cukup-cukup penting kepada bumi dan alam sekitar, yang pernah digambarkan sebagai seorang wanita tua dalam hadis Rasulullah SAW.
Usaha menjayakan impian kelestarian global seperti yang digerakkan oleh USM pada hari ini, pada saya juga, harus diterjemahkan oleh dunia sejagat sebagai kesungguhan sebuah komuniti kecil atas sifat dan atas dasar kesedaran serta keprihatinan yang sungguh-sungguh untuk mencipta sebuah dunia yang benar-benar aman, damai dan harmoni. Ia mesti digerakkan seoptimum mungkin dan segera disertai oleh masyarakat global tanpa lengah.
Lestari- Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?..
1 comment:
Saya mmg SOKONG n mlm ni mmg saya akn laksanakannya smbil nonton AF!! Hehe...
Taniah juga pada penulis sbb penulisan mmg mengkagumkan saya! Patah2 kata yang digunakan melambambangkan awak ni terpelajar orangnya... :)
Post a Comment