Ketika seorang pemimpin DAP mencadangkan supaya Bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di Pulau Pinang dalam usaha memacu negeri tersebut menjadi bandar antarabangsa pada masa hadapan, tidak ramai yang mahu peduli dengan cadangan tersebut. Beberapa akhbar utama hanya melaporkan rentetan berita mengenainya selama beberapa hari, kemudian terus senyap. Begitu juga, segelintir blogger turut mengulas isu ini untuk seketika sebelum beralih kepada isu-isu lain yang lebih mendesak.
Ternyata, cadangan tersebut gagal menarik perhatian rakyat lantaran kerana kurangnya polemik yang dibangkitkan, malah dalam kalangan ahli dan tokoh bahasa juga, tidak gemar menyentuh isu ini lebih-lebih. Kebanyakan hanya memilih untuk tunggu dan lihat kemudian bertindak seperti yang berlaku terhadap episod hitam PPSMI. Pun begitu, seorang tokoh akademik terkemuka negara kemudiannya tampil membuat kenyataan selepas diwawancara dengan mengatakan, cadangan tersebut tidak akan ke mana-mana kerana pimpinan DAP sendiri tahu ia melibatkan aspek teknikal termasuk perlembagaan yang tentunya sukar untuk dilaksanakan.
Jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, hanya Bahasa Melayu atau kini disebut Bahasa Malaysia sahaja yang terpakai sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Berdasarkan kedudukan tersebut juga, bahasa yang dituturkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ini secara jelas, diiktiraf dan dipersetujui bersama oleh semua pemimpin kaum di negara ini untuk diletakkan pada kedudukan tertinggi sebagai bahasa utama dan tunggal yang perlu digunakan dalam urusan-urusan rasmi kebangsaan termasuk pendidikan. Ia juga jelas menyatakan, pada masa yang sama, bahasa-bahasa lain adalah bebas untuk dipraktikkan oleh siapa-siapa saja tanpa sebarang paksaan atau sekatan.
Justeru apabila timbulnya cadangan oleh pemimpin DAP berkenaan, ia perlulah diberikan perhatian yang sewajarnya. Perkara ini bakal melibatkan seluruh aspek pengurusan dan pentadbiran di negeri tersebut, malah meliputi seluas-luas perkara lain terutamanya dalam hal-hal perhubungan antara masyarakat di Pulau Pinang.
Kebimbangan ini perlu memandangkan komposisi kaum di negeri ini amat tidak seimbang. Dengan majoriti penduduknya adalah kaum Cina, tidak mustahil cadangan tersebut akan dipraktikkan walaupun tanpa melibatkan proses perlembagaan atau kelulusan Dewan Rakyat kerana rakyat di negeri ini kini ternyata lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama dalam komunikasi mereka. Itu tidak menjadi masalah yang besar sebenarnya, tetapi saya bimbang akan nasib sejumlah besar anak muda Melayu yang masih bergelar penduduk di negeri ini. Adakah mereka sudah cukup bersedia melalui transformasi ini?
Jika PPSMI ditentang habis-habisan kerana dianggap menganiayai anak-anak luar bandar, kini, jawapan kepada penentangan tersebut sedang dibayar cash sekali gus membuktikan tindakan Tun Mahathir dahulu berada di landasan yang betul. Tetapi sayangnya, sikap membuta-tuli segelintir tokoh bahasa dan sasterawan negara telah menyebabkan hasrat murni Tun terkubur begitu saja. Hari ini, tidak pula mereka hendak bersuara? Adakah mereka masih bersikap tunggu dan lihat kemudian bertindak?
Pada saya, idea menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Pulau Pinang walaupun dianggap mustahil pada masa ini, tetapi ia bukan sesuatu yang aneh untuk dilaksanakan samada melalui proses perlembagaan ataupun sebaliknya. DAP adalah kuasa dominan dalam kerajaan negeri dan kuasa serta pengaruh mereka ketika ini masih belum mampu digugah. Lambat laun, jika mereka terus berkuasa, ia boleh saja dilaksanakan. Kita juga sudah sedia maklum dengan ‘perjanjian syaitan’ untuk menyerahkan kuasa autonomi kepada kerajaan negeri jika Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan Pusat kelak. Lihat, tidak mustahil bukan? Ia bahkan bakal menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai hanya naskah sejarah negara!
Sekali lagi, pada saya, ia bukanlah suatu masalah yang besar. Tetapi apa yang perlu difikirkan ketika ini ialah, bagaimana dengan masa depan generasi muda Melayu yang masih bersisa di negeri ini? Jika tadi kita persoalkan adakah mereka sudah bersedia, kini ayuh kita fikirkan pula dengan peluang untuk mereka terus bermaustatin di neger ini, lebih-lebih lagi jika sudah berstatus bandar antarabangsa kelak. Saya yakin dan percaya, pada akhirnya, kita hanya akan bersetuju juga dengan idea ‘gila’ PPSMI oleh Tun dahulu, iaitu untuk masa depan dan peluang persaingan anak-anak luar bandar dan golongan tidak berkemampuan seperti orang Melayu di Pulau Pinang ini dalam bidang kerjaya dan kelangsungan hidup mereka.
Akhir kata, kepada segelintir pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat, berfikirlah, bermuhasabalah, turunlah ke padang dan lihatlah sendiri keadaan orang Melayu di negeri ini. Jangan sekali-kali perjudikan masa depan anak Melayu hanya kerana kuasa dan dendam. Usahlah bersikap terpilih dalam berjuang. Bertindaklah kerana agama, bangsa dan negara!
1 comment:
salam perkenalan kepada semua rakan blogger's.sila layari blog ambo penulis dari negeri pantai timur dan insyaallah akan sentiasa berkongsi cerita semasa yang berlaku di sini serta dapat berkongsi pendapat dengan segala isu dan permasalahan terkini.~Mj~
http://suaratimur.blogspot.com/
Post a Comment