Sedikit gusar apabila Pro-Mahasiswa begitu beriya-iya mahukan peranan mahasiswa dimasukkan dalam proses merangka polisi universiti. Puas mencari di mana relevannya kehendak dan tuntutan mereka itu, meskipun dalam banyak manifesto yang diedarkan sejak beberapa tahun belakangan ini khususnya apabila menjelang pilihann raya kampus, tuntutan yang sama dikeluarkan.
Pilihanraya kampus bagi sidang ini pula akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja. Pro-Mahasiswa USM sekali lagi menggunakan isu ini sebagai tuntutan utama mereka. Dalam manifesto terbaru yang diedarkan dari bilik ke bilik, Pro-Mahasiswa menuntut supaya mahasiswa dibenarkan turut serta dalam proses merangka polisi-polisi universiti. Adakah ini sesuatu yang mampu melonjakkan kredibiliti mahasiswa jika dilaksanakan? Semudah itukah sahaja?
Sesuatu yang jarang diketahui oleh sebahagian besar mahasiswa sendiri ialah wujudnya jaringan tertentu antara gerakan Pro-Mahasiswa dengan pertubuhan politik tertentu di luar yang sentiasa berusaha menyebarkan spora pemikiran dan gaya kepolitikan luar kampus di universiti kita dan juga IPTA-IPTA lain.
Memikirkan hal inilah yang membuatkan saya sedikit hairan kerana sejak sekian lama tidak pernah berlaku tuntutan sedemikian. Aktivis mahasiswa sejak zaman Anwar Ibrahim sehinggalah ke era Saifuddin Abdullah misalnya, sentiasa faham berkenaan isu polisi universiti. Sejak akhir-akhir ini sahaja ia mula ditimbulkan tanpa asas yang kukuh dan jelas. Rata-rata mahasiswa hari ini juga belum faham tentang tujuan tuntutan tersebut. Adakah polisi universiti sedia ada menzalimi mahasiswa? Buktikanlah supaya jelas.
Saya juga bimbang, seandainya benar-benar berlaku (saya yakin tidak akan berlaku, kecuali jika sistem Parlimen Pelajar yang hendak dilaksanakan di USM turut menekankan tuntutan yang sama), akan ada tangan-tangan dan suara-suara ghaib yang membayangi peranan yang akan dimainkan oleh mahasiswa terbabit kelak.
Soalnya juga, adakah mahasiswa berkenaan faham dengan dasar dan kaedah yang digunakan? Apakah suara yang hendak dibawakan kelak? Adakah hanya berkisar dengan tuntutan-tuntutan politik semata-mata? Tidak cukupkan dengan peranan yang dimainkan oleh MPP yang berfungsi sebagai perwakilan pelajar?
Banyak lagi sebenarnya perkara yang mengelirukan di sebalik tuntutan ini. Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah, tuntutan tersebut karut, tidak relevan dan penuh agenda tersembunyi yang akan menguntungkan pihak tertentu. Ia ternyata berbeza sama sekali dengan prinsip Pro-Aspirasi yang sentiasa menekankan toleransi, rasional dan realistik. Alhamdulillah, MPP Aspirasi sentiasa faham dengan peranan dan batas-batas kuasa mereka sebagai pelajar dan sebagai perwakilan mahasiswa.
No comments:
Post a Comment