Saya akan terus menjawab persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh pihak SPF melalui buku Black or White mereka baru-baru ini. Dalam artikel saya sebelum ini, saya telah menyentuh berkenaan dengan isu AUKU yang didakwa telah menjadi penyebab kelesuan mahasiswa hari ini. Dan kali ini saya akan sentuh pula tentang isu ISA yang dianggap zalim dan tidak bertamadun. Soal benar atau tidak inilah yang akan saya kupas.
Kenapa saya menulis tentang ISA? Pertama, bukan kerana hendak mempertahankan mana-mana pihak. Pada saya, mahasiswa mesti berfikiran seimbang, tidak segera menghukum, tidak lekas menuduh. Mahasiswa mesti mencari fakta dan kebenaran. Kerana itulah saya menulis, iaitu untuk mendedahkan hal yang sebenar lebih-lebih lagi bila saya melihat wujud simpang-siur yang ketara dalam artikel yang disediakan oleh SPF melalui buku tersebut.
Dan keduanya, saya mahu wacana mahasiswa didengar. Wacana itu harus inklusif dan disebar dalam medium yang kondusif. SPF menulis dan menyebarkan wacana mereka melalui medium bercetak. Mereka mengedarkan risalah tersebut di serata tempat di USM. Tetapi saya tidak mempunyai kemampuan sebegitu, maka saya wajib menjawab tuduhan mereka melalui saluran ini. Harapan saya ialah mereka dan para pelajar lain akan membaca artikel saya ini, bukan kerana saya yang menulis tetapi kerana apa yang saya tulis. ISA wajib difahami oleh kita semua dari segenap sudut.
Umum tahu bahawa ISA ialah akta. Ia merupakan satu akta yang bertujuan menjaga keselamatan negara amnya dan rakyat khususnya. Akta ini mempunyai kuasa untuk menahan siapa-siapa sahaja, baik individu atau kumpulan, yang dikenalpasti boleh menimbulkan ancaman keselamatan terhadap orang ramai di negara ini. Proses penahanan ini pula tidak perlu melalui rutin perbicaraan seperti yang biasa dilakukan terhadap pesalah-pesalah undang-undang yang lain. Inilah sebenarnya yang membezakan akta ini dengan akta-akta lain yang digunapakai dalam sistem perundangan negara. Dan hal ini jugalah yang sering menjadi isu sehingga dituduh sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Tuduhan ini tidak timbul kosong. Mereka yang menentang akta ini, termasuk mahasiswa sendiri, sering menggunakan pengalaman individu yang pernah ditahan di bawah ISA sebagai modal untuk menyalahkan pelaksanaan akta tersebut. Cerita-cerita tentang kezaliman dalam pelaksanaan siasatan misalnya, yang dilakukan di bawah akta ini, barangkali sudah acab kali benar kita baca dan dengar. Saya sendiri mengakui bahawa pada tahap tertentu, proses tersebut agak keterlaluan dan menidakkan nilai kemanusiaan. Apatah kita percaya bahawa setiap yang dituduh tidak boleh disabitkan dengan kesalahan selagi ia tidak didapati bersalah dari sudut perundangan.
Hakikat ini kemudian saya panjangkan pula dengan membandingkan beberapa pandangan daripada tokoh berkaliber tentang akta ini. Apakah yang mereka komentarkan? Pertama, saya tertarik dengan pandangan Dr. Kassim Ahmad. Beliau telah mengemukakan sekurang-kurangnya tiga asas penting iaitu antaranya; prinsip undang-undang ISA ialah kemudaratan kecil diharuskan untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar. Menurut beliau, perkara tersebut bukan sahaja diiktiraf dalam Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia bahkan ia juga diiktiraf dalam Quran.
Sebelum saya mengupas lebih lanjut akan hal ini, perlu ditegaskan sekali lagi bahawa walaupun wujud pertentangan yang ketara dalam Pengishtiharan Universal Hak Asasi Manusia berhubung dengan prinsip di atas (sila rujuk Artikel 9), namun ia harus dibaca bersama dengan Artikel 30 yang memberikan kenyataan yang lebih jelas serta berisi pengecualian yang dibenarkan dari lunas perundangan antarabangsa. Artikel ini juga membataskan secara tidak langsung Artikel 9. Lihat petikan Artikel 30 seperti berikut; “Tiada suatu pun dalam Perisytiharan ini boleh ditafsirkan sebagai bermakna mana-mana Negara, kumpulan atau orang mempunyai apa-apa hak untuk mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti atau melakukan sesuatu perbuatan yang ditujukan untuk merosakkan mana-mana hak dan kebebasan yang dinyatakan di sini.”
Justeru jelaslah di sini bahawa dakwaan yang mengatakan ISA menindas hak asasi manusia dari sudut perundangan masih lagi boleh dihujahkan, juga dari sudut perundangan. Hal ini demikian kerana, prinsip mencegah seperti yang dinyatakan di atas tadi telahpun diperakui dalam konteks perundangan sejagat sebagai langkah yang berkesan untuk membendung lebih banyak kemudaratan apatah jika ia berpotensi melibatkan kepentingan orang ramai. Adakah situasi ini begitu sukar untuk difahami? Kenapa kita masih terus skeptikal? Adakah menjadi kesalahan jika pihak berkuasa menahan individu atau kumpulan yang dilihat berpotensi mengancam keselamatan orang ramai? Tidakkah tindakan tersebut boleh didefinisikan sebagai langkah pencegahan?
Saya suka untuk sekali lagi memetik contoh yang diberikan oleh Kassim Ahmad. Beliau telah mengemukakan satu situasi yang diambil daripada Al-Quran iaitu tentang kisah Nabi Musa berguru dengan hamba yang diberi ilmu oleh Allah (lihat Al-Quran 18: 60-82). Dalam cerita ini, salah satu kejadian yang disaksikan oleh Nabi Musa ialah guru itu tidak semena-mena membunuh seorang pemuda yang tidak berdosa. Reaksi Nabi Musa ialah memarahi beliau. Akhirnya, guru itu menerangkan kepada Musa bahawa ibu-bapa pemuda itu orang mukmin (bertakwa) yang baik, tetapi pemuda ini akan menjadi suatu bebanan besar kepada mereka, kerana kejahatan dan kekafirannya. Guru itu menambah bahawa perbuatannya (membunuh pemuda tersebut) bukan datang dari dirinya sediri, tetapi dari Yang Maha Mengetahui.
Kenapa cerita ini ditampilkan? Ia antara lain untuk menyatakan bahawa langkah mencegah kemudaratan yang lebih besar dibenarkan seandainya kita tahu potensinya memang wujud dan memang benar-benar memberikan ancaman. Dalam konteks ISA pula, apa yang lebih penting khususnya apabila terdengar desas-desus penambahbaikkan akan dibuat tidak lama lagi ialah, ia harus dipastikan tidak menjadi undang-undang yang boleh dikawal secara langsung oleh pihak Eksekutif. Kuasa ini harus dibataskan. Akta ini juga harus dibebaskan daripada pengaruh langsung pihak kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan manipulasi terhadap perlaksanaanya.
Pada masa yang sama, kita tentu tertanya-tanya, apakah bentuk siasatan yang dijalankan di bawah akta ini sehingga masyarakat begitu lantang menuntut pemansuhannya? Adakah ia benar-benar menzalimi hak asasi manusia? Tetapi adakah kita juga sedia untuk mencari jawapan jika ditanya; apakah ada cara yang lebih baik untuk melayan pengganas atau mereka yang berpotensi menimbulkan keganasan misalnya?
Saya akan melanjutkan perbincangan ini dalam bahagian seterusnya selepas ini, insya-Allah.
8 comments:
Salam
terpanggil untuk komen. Adakah kita ingin menghukum org yang memperjuangkan agama Allah s.w.t. Kalau nk baca tafsir quran, jangan ambil satu part dan meninggalkan part yg lain. urm..elok benar saudara meletakkan gambar best frenz saudara yang seorang 'muslimah' itu di blog..batas pergaulan ada juga disentuh dlm al-Quran.hebat berhujjah bab ISA tp, bab lain ditinggalkan.Fikir-fikirkan.
hmmm...i byk bce article yg mne kbnykn pengamal undg2 xsuka mgenai isa..well...smpi pernh lakukn bnthn bertulis...if im not mistaken la...n diorg ni memperjuangkn mgenai kebebasa hak asasi...menuntut isa di mnsuhkn...lect pn pernh ckp...ad la member2 dia yg kna tgkp di bwh isa tnpa thu ap salah diorg..
hmm...dr satu sudut myb isa ni nmpk bad..tp honestly...isa ni sbnrny ditubuhkn tuk bnteras mereka2 yg leh ancam keselamatn ngra... as a student...raseny isa ni pentg tp perlu ad amendment...spy penindasan tu xde... atau lbh tepat lg...biarkn ia berfungsi sprti yg sepatutny tnpa perlu dislh gunakn...esp tuk tujuan politik...=) tp kekadang kebnyk org politik pn leh mudaratkn ngr hehe opssss sori kalo terslp bicara...sush nk cri yg btol2 bersih...=)
Salam. Kalau saya katakan ISA ini adalah talian hayat pemrintah macam mana ya? Untuk lebih adil sila lawati laman-laman yg membicarakan tentang isu ini khususnya kepada para isteri, anak-anak, ibu dan bapa yang anak dan keluarga mereka pernah meringkuk dibawah akta ini. Siapa saja boleh ditahan tanpa bicara kerana alasan mengugat keselamatan negara mudah saja digunakan.
salam
kalau boleh bacalah penderitaan2 tahanan ISA. Kalau terkena dekat batang hidung sendiri, barulah kita menegerti apa ertinya memperjuangkan pemansuhan ISA. Jgn tengok di sebelah pihak.
aku x amik pot pun pasal artikel ko ni..x kisahla ko ni sokong isa or x..tp aku sokong je isa ni ..tp kan..kelakar r ko ni...hehe..bab2 isa or politik ni pndai plak ko ckp siap masukkan ayat al-quran lak..aku lawak gler...ko ni pun satu agak2 r nak ckp...kelakar r ko g letak gambar minah mana lak...terguling2 aku gelak...hehehe...
Salam perjuangan
teringin untuk memberi komen berkenaan dengan hal ini. Bagi saya, kebanyakan mahasiswa masih lagi tidak faham apa sebenarnya ISA atau AUKU yang dilaksanakan sejak dari dulu. Mereka ini hanya terikut2 dengan kata2, ceramah2 yang seakan2 memberikan mereka keyakinan bahawa akta ini membebankan sesiapa sahaja.
Salam..
saya tidak berminat hendak mengulas mengenai serangan peribadi yg dilakukan oleh segelintir pihak yg kekurangan isu..
merujuk kepada ISA, sebenarnya ISA adalah akta yang diperuntukan untuk mencegah.. saya akui bahawa ISA adalah peninggalan penjajah tetapi pernahkah kita berfikir bahawa sistem pilihanraya & demokrasi juga merupakan peninggalan penjajah? yg elok kita ikutlah..
secara peribadi saya menyokong ISA dikekalkan tetapi ISA perlu lebih mesra kepada mereka yg ditahan..
alasan tidak tahu mengapa mereka ditahan dibawah ISA adalah alasan yg jahil..kerajaan tidak akan bertindak sebodoh itu untuk menutup mulut musuh2 politik. Hanya mereka yg cuba mengugat ketenteraman negara akan diISAkan..
ISA zalim? YB Teresa Kok dan wartawan akhbar ditahan ISA kemudian dibebaskan walaupun belum tempoh 'matang'..YB Teresa yg zalim & menjijikan kerana melabel makanan telur goreng sebagai makanan untuk anjing..
jika kita tidak melakukan kesalahan kenapa perlu takut? saya jamin jika ISA dihapuskan maka akan muncullah puak2 yg ingin menghuru-harakan negara ini.
saya akui kita perlu mendengar rintihan keluarga mereka yg ditahan dibawah ISA, saya juga simpati dengan mereka..tetapi adakah mereka yg ditahan itu turut sama bersimpati dengan nasib keluarga mereka?
kita juga perlu mendengar apa yg diluahkan oleh mereka yg pernah ditahan di bawah ISA. ada juga dalam kalangan mereka mengatakan bahawa ISA banyak mendidik & menginsafkan mereka selama ini..anda carilah sendiri video berkenaan perkara ini.
apa yg perlu dilakukan ialah bukannya memansuhkan ISA tetapi memindanya supaya lebih mesra tahanan & meletakkan ISA dibawah Suruhanjaya..
berilah cadangan & bukannya sekadar membantah..perlu diketahui bahawa blog2 kita ini turut dilawati oleh mereka yg berkepentingan..bukan hanya sekadar 'kita' yg hanya tahu menyerang peribadi..
Salam Ukhwah untuk semua..
Tertarik dengan post kali ini.satu isu yg memang akan menimbulkan byk pihak tampil utk membacanya atau untuk mengulasnya sama ada +ve atau -ve.
Saya setuju dgn saudara Mohd Syukri,Bila bc part comment seolah-olah ada beberapa pihak yg tidak bijaksana dalam mengatur bicara.Maaf kalau ada yang terasa hati,tp pd sy wpun tidak sependapat kita perlu menjadi org yg bijaksana dan berhikmah di dalam menghuraikn hujah2 atau pendapat kita.Biar kita judge org tu dengan judge yg sebenarnya bukan dgn tomahan2 yg rapuh sehingga menyentuh perkara2 yg tak sepatutnya dan mampu menyemai fitnah.kalau benar2 ingin menjadi pejuang,berjuanglah seperti Rasulullah..Bila dibaling tahi dibalas dengan bunga.Tutur bicara dijaga dan tidak mengasari org lain wpun dia adalah musuh. buang yang keruh ambil yg jernih..
Post a Comment