Tuesday, October 27, 2009

SURAT TERBUKA UNTUK SEMUA YDP MPD

Edisi Khas.



MPD Harus Juarai Pelajar.


Assalamualaikum.


Kepada: Semua YDP MPD,


Dewasa ini banyak sekali timbul cakap-cakap tentang masalah dalam MPD. Hampir kebanyakan desasiswa berhadapan dengan masalah, sama ada dalaman (kalangan MT dan exco-exco) mahupun luaran membabitkan pelajar dan penghuni lain.


2. Walaupun saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan sudah pun melepaskan jawatan sebagai NYDP desasiswa saya baru-baru ini (atas sebab-sebab peribadi), namun saya masih mengikut rapat perkembangan MPD-MPD yang sedang mentadbir desasiswa masing-masing.


3. Justeru apabila tersiar surat dalam ruangan forum BK yang diutus oleh salah seorang exco junior (tidak dinyatakan dari MPD mana), pada saya, ia sudah memasuki tahap baru. Hal ini tidak pernah berlaku selama ini. Adakah ia bagus? Saya melihatnya sebagai sesuatu yang negatif dan membimbangkan.


4. Masalah dalam MPD harus diselesaikan dengan sedaya mungkin. Setiap YDP harus matang dan melebihkan pertimbangan akal, bukannya emosi. Tidak perlu timbul isu senioriti justeru menyebabkan anda mesti bersikap pilih kasih. Anda sudah memilih pasukan anda sendiri maka letakkanlah sepenuh kepercayaan terhadap mereka.


5. Terdapat juga YDP yang lebih sudu dari kuah, menyerang pihak lain atas kepentingan peribadi. Apakah kelayakan beliau? Itu yang saya pertikaikan.


6. Setiap YDP harus faham kedudukan mereka sendiri. YDP tidak mempunyai autoriti yang begitu mutlak dan tinggi. Mereka dilantik oleh Majlis Penggawa untuk memimpin Majlis Penghuni masing-masing di samping membantu membina hubungan yang lebih mapan dengan MPP. Justeru sebagai koordinator yang dilantik, besar tanggungjawab dan amanah yang disandarkan. Mereka tidak boleh bermegah-megah.


7. YDP juga harus faham dengan dasar universiti yang mahukan sebuah organisasi peringkat pelajar yang kritikal, tetapi bukannya kritikal tanpa sebab dan terlalu beremosi. MPD harus memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mengemudi aktiviti pelajar, menjalin kerjasama yang lebih erat antara desasiswa dan pada masa yang sama, mengurus semangat kedesaaan dengan bijak supaya tidak berlaku masalah hilang rasa hormat dan sebagainya.


8. MPD melalui kepimpinan YDP juga perlu menunjukkan simpati dan keprihatinan yang jitu terhadap usaha universiti dan pihak pengurusan desasiswa sendiri dalam mempupuk teras-teras dan prinsip dalam APEX yang kini sedang digemblengkan oleh USM ke peringkat yang optimum. Tanpa sokongan, walaupun kecil, terhadap program ini USM tidak mampu mencapainya dalam tempoh yang ditetapkan.


9. Bagaimana hal ini boleh dilakukan? Ia harus dari akarnya. Ia harus dimulakan dari dalam MPD sendiri. YDP harus dekat dengan MT dan exco-exconya. Buang jauh-jauh sikap tinggi diri dan syak wasangka yang selalu saja menyekat hak-hak orang lain. Berlaku adil juga sangat penting. Agihkan tugasan secara saksama.


10. YDP juga perlu bermuhasabah selalu. Ada teguran yang dipanjangkan oleh exco sendiri tetapi gagal diserap dan dicerna dengan baik lantaran wujudnya sikap skeptikalistik. YDP sendiri yang memandang serong terhadap exco. Apahal?


11. Justeru, seharusnya dan sedaya mungkin, setiap YDP perlu bersikap lebih toleran, matang dan tenang setiap kali membuat satu-satu keputusan penting. Anda tidak berada diatas jika anda tidak layak, tetapi kelayakan anda bukanlah yang teratas. Dongaklah setinggi mana yang anda mahu, tetapi kaki anda tetap berpijak di tanah nyata.


Teguran saya ini janganlah dipandang serong. Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan, tetapi sebagai salah seorang bekas exco yang telah lama berjiwakan organisasi penting ini, saya melihat perlunya kesatuan yang utuh diwujudkan dalam MPD. Dan lebih penting, ia mesti berlaku dari masa ke masa. Tak boleh ada waktu-waktu yang khas untuk kita bersatu.


Sekian, terima kasih.


1Siswa 1Apirasi ,1MPD 1Universiti

Nota: Memandangkan surat ini sudah agak tersebar, justeru saya mahu mengambil tanggungjawab yang sama untuk menyiarkan di blog saya. Terima kasih kepada yang memberikan perhatian.

1 comment:

Andin Muhammad Syukri said...

Salam..tahniah kerana berani menyatakan perkara yang hak..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...