Alhamdulillah. Hanya itu yang dapat diluahkan bagi menggambarkan lega di hati. Kerja keras selama tiga hari, dalam suntuk waktu yang diberikan tanpa senggang, akhirnya berjaya juga dilunaskan. Lebih manis, mencapai pula KPI yang ditetapkan.
Posting ini bukanlah untuk mengangkat setinggi mahu mana-mana pihak ataupun individu. Mungkin kedengaran agak emosional, namun itulah sebenarnya juga yang mahu saya kongsikan kali ini. Jarang saya menulis begini, tetapi isu kali ini saya dedikasikan khas buat sahabat-sahabat yang telah berjaya menjadikan perancangan tiga hari dan gerak kerja ad-hoc sebagai satu kenyataan. Isu ini adalah berkaitan dengan Program Motivasi Pecutan Terakhir Peperikasaan.
Secara jujur, saya yang terlibat secara langsung dalam program ini, perlu mengakui bahawa inilah gerak kerja gila yang dibuat dalam tempoh waktu yang sangat singkat. Proses kelulusan projek berjaya diselesaikan dalam masa sehari termasuk urusan mendapatkan bajet, dan terus digerakkan dengan mesyuarat pertama bagi men‘draft’kan segala keperluan, pengisian dan sebagainya lagi.
Mesyuarat kedua pula dilakukan secara informal tetapi penuh tertib pada malam berikutnya. Ia juga merupakan mesyuarat gila pernah saya sertai bagi sebuah projek yang agak besar dan penting begini. Manakan tidak, Saudara Shafiq dengan selamba mengajak kami berbincang di Permatang Pelajar berhadapan Pusat Pengajian Seni. Tidak ada meja tidak ada kerusi dan tanpa suluhan cahaya yang terang-benderang, kami hanya duduk bersila di atas laluan permatang. Bukannya tidak ada tempat yang lebih selesa tetapi Shafiq sengaja memilih persekitaran yang lebih terbuka, tenang dan santai supaya kepala tidak menjadi berserabut dan dikawal mood yang tertekan pula.
Mesyuarat juga tidak mengambil masa yang terlalu lama. Hanya perkara penting sahaja dibincangkan. Segala hal berbangkit diserahkan sepenuhnya kepada setiap daripada kami yang hanya berjumlah tujuh orang. Pengarah Projek Saudara Romiko Ronaldo pula telah menguruskan banyak perkara sekali gus memudahkan urusan perancangan program ini. Begitu juga bantuan daripada Saudara Afiff, Saudari Elfarida dan Saudari Fadzilah sangat-sangat membantu melicinkan lagi tugas ini. Dan tak lupa kepada Saudari Bazilah yang tak pernah penat membantu segala program kelolaan MPP.
Selesai mesyuarat ad-hoc tersebut, kami terus bergerak dari desa ke desa bagi urusan publisiti. Poster-poster perlu dinaikkan segera memandangkan masa yang tinggal kurang 48 jam boleh merencatkan segala perancangan jika publisiti gagal dioptimumkan. Penat perlu diletak jauh-jauh. Kami perlu all out untuk program ini, demi adik-adik bak kata YDP. Bermula di Cahaya Gemilang, kami bergerak ke semua desa dengan kekuatan yang cukup kecil. Namun semangat sentiasa berkobar-kobar. Tugas menampal poster mesti dilunaskan termasuk di sekitar foyer Kompleks Dewan Kuliah. Tindak harus pantas, gegas harus tangkas.
Siap semua urusan, kami keluar makan sebentar. Dan pulangnya, terus bergerak ke foyer bagi melunaskan kerja menampal poster di setiap pintu dewan kuliah. Sesekali terasa seolah sedang dalam mood kempen pilihan raya kampus juga.
Dan lebih kurang beberapa jam yang lalu sebelum saya menulis posting ini, program tersebut telah pun berkahir. Seperti yang diharapkan, penyertaan daripada pelajar tahun pertama yang juga merupakan generasi sulung APEX adalah sangat positif. Hal ini ternyata sangat mengujakan kami. Tambah membanggakan apabila kehadiran dua orang penceramah iaitu Saudara Ramanathan (mantan NYDP 3 MPP USM sidang lepas) dan juga Dr. Jafri (ayahandanya si Saudara Afiff) berjaya membangkitkan suasana program. Wakil daripada HEPP pula iaitu Cik Mansur yang hadir agak lewat sempat meminta mikrofon untuk menyampaikan sedikit pesanan kepada mahasiswa tentang situasi sebenar peperiksaan dalam kampus USM.
Secara keseluruhan, pada saya, dan mungkin juga bagi kami semua, program motivasi ini telah pun berjaya direalisasikan sebaik mungkin. Team yang agak kecil tetapi mempunyai semangat kerja yang cukup tinggi adalah faktor utama yang memungkinkan perancangan program ini berjalan dengan lancar hingga ke penghujung acara. Selain itu, pengalaman menguruskan atau terlibat dengan program-program besar sebelum ini yang dimiliki oleh segelintir daripada kami sendiri turut membantu mengurangkan kesilapan sepanjang ia berlangsung.
Akhir kata saya ingin mengambil kesempatan di ruang ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada sahabat-sahabat dan juga para peserta yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan program ini. Semoga usaha kita semua dibalas dengan ganjaran yang setimpal oleh Yang Maha Kaya.
No comments:
Post a Comment