Suasana politik negara begitu kalut sehari dua ini. Macam-macam isu ditimbulkan. Ada antaranya begitu sengaja dikeluarkan supaya musuh segera lemah. Ada yang lekas latahnya, tambah keliru rakyat jadinya. Trend untuk menolak satu sumber dan taksub kepada satu sumber semata juga semakin kuat dalam minda rakyat terbanyak. Semua ini hanya akan mencetuskan satu situasi, iaitu perpecahan. Adakah ini yang dinginkan oleh ahli-ahli politik kita terutamanya pembangkang?
Saya terbaca satu artikel yang cukup menginsafkan, sebagai rakyat negara ini yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Artikel ini menjemput saya untuk lebih dalam memikirkan untung nasib bangsa saya di masa depan, kerana hari ini, bangsa saya ini begitu dilanyak bertubi-tubi, dari seganap arah dan sudut, dari dalam dan luar. Saya terpanggil untuk merenungi, kenapa masih ada bangsa saya sendiri yang mahukan bangsa ini dipermainkan oleh orang lain? Kenapa bangsa yang menganuti agama yang satu ini rela membiarkannya dipermainkan demi kuasa yang hanya sementara? Kenapa perlu ada hasad dengki sesama sendiri sedang kita belum pun mencapai sebarang kejayaan yang boleh dibangga-banggakan?
Saya menemui semuanya di dalam artikel ini, jawapan yang perlu juga diinsafi oleh kita semua orang Melayu dan Islam. Kenapa mesti kita cakap soal perkauman, kalau kita sering saja dipermainkan, dalam soal ekonomi dan kuasa misalnya?
Sungguh berbaloi setiap perkataan dan ayat dalam artikel ini untuk ditelitikan. Langsung dari; http://penpusaka.blogspot.com/
Gambar diatas adalah diantara ilustrasi kepayahan yang sedang menimpa rakyat Palestine.Kepayahan yang menggambarkan betapa umat Palestine hidup didalam penghinaan Zionis Yahudi.Gambar ini menunjukkan betapa rakyat Palestine terseksa zahir dan batin. Dihina dengan sekatan pemeriksaan tentera Zionis Israel, untuk masuk menunaikan ibadat di Baitul Mukaddis. Rakyat Palestine hidup terkepung dengan tembok konkrit yang dibina oleh Zionis Yahudi, ditanah yang dahulunya adalah berasal milik mereka. Kini terasing, dikelilingi tembok konkrit, dan dihalang dari menikmati kebebasan ditanah air sendiri. Merempat dan melarat di Kem-Kem penempatan, menuntut hak yang dirampas. Apakah perjuangan rakyat Palestine yang berbilang agama itu, sebuah perjuangan agama semata-mata? Tentu sekali tidak kerana dipihak Zionis Yahudi juga bukan sebenarnya sebuah penaklukan agama. Apa yang sedang berlaku disana adalah sebuah perjuangan tanah air diantara penduduk Palestine yang beragama Islam dan Kristian dengan regim Zionis Yahudi yang mahu menegakkan Negara Zionis Israel diatas tanah yang mulanya mereka hanya menumpang bersama. Bagi rakyat Palestine beragama Islam, hilang kuasa keatas Tanah Air bermakna hilang keupayaan untuk mengurus dan menegakkan syiar Islam dan berakhirlah diri terhina dan maruah dipijak-pijak oleh penakluk kuasa tanpa ada kemampuan untuk mengatasinya baik atas nama apa sekalipun, samaada demi Tanah Air mahupun demi Agama.
"Daulat pemimpin kerana pengikut" bermaksud jika hendak tahu kehebatan pemimpin itu lihatlah betapa ramai,taat dan kuatnya pengikut. Begitu jugalah hebatnya sesebuah Negara, hancur lebur bila rakyatnya tidak kukuh bersatu. Bila rakyatnya yang majoriti Islam menjadi lemah, Islam sebagai agama juga akan ditenggelamkan oleh musuhnya, apabila umat yang mendokonginya lemah dan tidak lagi berkemampuan kerana tidak ada kekuatan yang padu dan kuasa!
Hari ini kita baca akhbar THE STAR m/s N31 bertajuk "Dramatic changes bring back old faces". Pendokong PKR bernafas lega kerana kemelut dalaman telah kononnya dapat diatasi dengan satu kompromi diantara kem Pengerusi Negeri Ahmad Thamrin Jaini dan puak Dr.Jeffry Kitingan dan Christina Liew.Ini berita bagus dalam usaha PKR dan rakan-rakannya mahu merampas kuasa di Sabah dan juga melangsungkan hajat Pakatan 3 Sekawan melunaskan impian Anwar Ibrahim merampas kuasa di peringkat Persekutuan.
Namun ada kompromi yang lebih besar dan ianya boleh dilihat didalam kata-kata Dr.Jeffry Kitingan berbunyi, "However, he said he would pursue with the PKR leadership to consider giving political autonomy for the party in Sabah and Sarawak in line with the Malaysia Agreement which puts the two states as partner with then Malaya". Seterusnya beliau menambah "the PKR leadership had indicated comitment towards the proposal for autonomy but we have to see their sincerity".
"as partner with then Malaya" Benar sekali, tetapi kenapa takut Dr.Jeffry Kitingan hendak menyebut "Persekutuan Tanah Melayu" sebaliknya menyebut "Malaya"? Benar, mulanya Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari British dengan nama Negaranya, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU pada 31 Ogos 1957. Selepas itu, enam (6) tahun kemudian, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menganjurkan gabungan lebih besar dan tertubuhlah sebuah gabungan diantara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah,Sarawak dan Singapura dan menjadi sebuah Negara bernama PERSEKUTUAN MALAYSIA pada 16 September 1963.
Sejarah juga merakamkan bagaimana tiga kaum utama penduduk Tanah Melayu berunding mencapai kesepakatan didalam rundingan kemerdekaan. Diantaranya yang menjadi asas kepada kepelbagaian kaum di Malaysia ialah persepakatan untuk memberikan taraf kerakyatan yang dikenali dengan "jus soli' kepada 1 juta penduduk bukan melayu sebagai tolak ansur memperaku dan bersetuju tanpa berbelah-bahagi kepada kedaulatan Bahasa, Agama serta Raja-Raja Melayu. Persepakatan yang membawa mereka kedalam kewarganegaraan Tanah Melayu merdeka itu, tidak langsung mempersoal apatah lagi mempertikaikan sebarang hak keistimewaan orang melayu sebagai pribumi Semenanjung Tanah Melayu sebelum penjajahan keatas Negeri-Negeri Kerajaan Melayu bermula 1511 hingga 1957. Yang menjadi asas tuntutan mereka hanyalah hak untuk menjadi warga negara, hak untuk meneruskan bahasa ibunda dan agama mereka. Hak itu diberi dan termaktub didalam Perlembagaan yang terhasil dari persepakatan ini yang dikenali sebagai "kontrak sosial".
Kata-kata Dr.Jeffry Kitingan itu menggambarkan isi hati beliau dan itulah landasan perjuangan beliau yang ingin dibawa didalam melangsungkan perjuangannya, perjuangan PKR dan dalam masa yang sama takut pula untuk menyebut atau menekankan perkataan "Persekutuan Tanah Melayu". Sebaliknya menyebut "Malaya" sahaja. Kenapa, takut? Takut akan menyedarkan banyak pihak akan sejarah yang hakiki. Takut akan mengecewakan rakan-rakan di Semenanjung Tanah Melayu, yang sedang berusaha keras untuk mencabar dan melemahkan semangat Perlembagaan? Bukankah dikalangan mereka sedang rancak sekarang mempersoalkan hak orang melayu, soal agama orang melayu, kedaulatan Raja juga diremehkan dan berbagai lagi kerja "biadap" yang sedang dilakukan oleh rakan-rakan Pakatan tujuan untuk mengelirukan orang akan keutuhan Perlembagaan?
Begitulah halusnya serangan yang sedang dirancang keatas keutuhan negarabangsa ini dan "target" utamanya ialah meruntuhkan kebenaran "ketuanan melayu". Selagi hakikat itu masih terpacak kuat dikalangan umat melayu yang majoriti, selagi itulah "sosial kontrak" yang telah dihasilkan oleh bapa-bapak kemerdekaan tidak akan dapat dirombak. Jika itu tidak diruntuhkan, impian untuk melemahkan Barisan Nasional tidak akan berlaku. Orang melayu yang berpakat-pakat dengan "kerja dosa" ini adalah orang melayu yang sanggup menggadaikan bangsa dan agama semata-mata untuk mendapat kuasa politik, bukan untuk bangsa dan bukan untuk agama, tetapi untuk parti dan kelompok.
Sekarang berlindung disebalik berbagai momokkan mereka sedang bekerja keras untuk menghilangkan keyakinan asas ini dan orang melayu masih bersabar dan bertindak wajar, mengambil kira ia sebagai hanya mainan politik pembangkang. Kesabaran ini umpama meniti jejak menuju bahaya. Kesabaran ini tidak perlu sebenarnya, kerana "sudah terang lagi bersuluh", jangan nanti sebab "lembu seekor terpalit lumpur, habis pula lembu sekandang".
Anwar Ibrahim, didalam satu ucapan sewaktu menjelang pilihanraya ke12, di Klang kini terkenal dengan ucapan menghasut beliau "Malaysia,bukan Melayu yang punya". Ucapan politik bertujuan mengambil hati kaum lain bahawa jangan takut bangkit menentang, kerana menentang bersama kami bermakna menentang UMNO. Menentang UMNO bermakna menentang melayu. Dan jangan takut menentang melayu kerana Malaysia ini bukan melayu yang punya!
Kompromi didalam PKR Sabah itu tidak perlu kita ambil kisah. Tetapi kompromi yang telah berlaku sesama Pakatan 3 Sekawan dalam memperjuangkan impian Anwar Ibrahim, itu yang perlu kita awasi. Taruhannya ialah "ketuanan melayu" mesti digadai untuk menjayakan perjuangan. Perjuangan untuk melepaskan Anwar Ibrahim dari kemelut peribadi dengan memastikan kerajaan Barisan Nasional tumbang dan Anwar Ibrahim mengambil tempat di Putrajaya dan kawan-kawan DAP serta PAS dapat menumpang kejayaan itu sekaligus.
Adakah puak melayu Islam didalam pakatan haram ini sedar akan kerugian yang bakal menimpa mereka? Sejarah akan mengajar mereka diatas kelalaian ini dan penyesalan tidak akan ada gunanya. Janganlah mereka leka dengan "alunan sumbang" rakan kafir mereka "membaca Al Quran". Janganlah mereka berkhayal hanya kerana rakan kafir mereka menyebut-nyebut "sirah nabi". Tidakkah mereka ingat akan ingatan Allah tentang bagaimana puak-puak musuh akan berkata-kata setakat cukup, demi untuk melunakkan pendengaran dan melalaikan kamu sedangkan mereka itu sebenarnya memusuhi agama mu?
Juga Firman Allah Surah Ash Shaff yang memberi ingatan bermaksud:-
"Bertasbihlah kepada Allah apa saja yang ada dilangit dan apa saja yang ada dibumi, dan Dia lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana",
"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?"
"Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan",
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh".
Bersama-samalah kita fikirkan dan bandingkan samaada konvensyen pakatan yang kononnya bertujuan menyusun barisan berpakat-pakat untuk menghasut fikiran rakyat bagi menumbangkan Barisan Nasional pimpinan UMNO, adalah satu barisan yang di redhai Allah, sedangkan kita semua boleh melihat dengan 'ainul yakiin bagaimana umat majoriti negara yang berkat ini sedang diserang dari berbagai arah dan momokkan semata-mata untuk melemahkannya atas nama keadilan, kebebasan dan berbagainya lagi, yang hanya merupakan senjata untuk melekakan dan melalaikan orang melayu daripada kekuatan yang sedia ada padanya.
Jika anda fikir bahawa anda serba pandai, jangan pula jadi umpama "tikus membaiki labu".
Manusia menjadi jahat kerana rasa cukup, dan tidak mensyukuri nikmat, Surah Al'Alaq Ayat 6-7 berbunyi:-
"Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas",
"Kerana dia melihat dirinya serba cukup".
Sebelum kita keliru dan lemah sebagaimana umat Islam di Palestine, elakkanlah dari dikelirukan hingga menggadai bangsa dan Tanah Air hanya dek kerana mendengar "guruh dilangit, air setempayan dicurah ketanah". Kemudian kita akan menangis dan meraung menuntut apa yang hilang sedang sebelumnya kita kufur nikmat!
Nik Aziz berkata bahawa konvensyen Pakatan baru-baru ini adalah umpama mendapat bunga baru. Tidak terfikir kah dia bahawa bunga itu beracun? Janganlah seronok gembira macam "beruk dapat bunga". Fikir-fikirkanlah dan kembalilah kedalam satu barisan yang kukuh, bukan bersatu untuk lawan yang lagi satu!
Dipetik daripada
Zainal Abidin Ahmad
http://penpusaka.blogspot.com/