Followers

Tuesday, December 30, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430

Awal Muharram 1430H pada kali ini membawa suatu dimensi baru yang jelas lebih segar buat sebuah universiti dalam taman iaitu USM. Alhamdulillah, selepas melalui pelbagai cabaran dan dugaan, malah mungkin juga sekian banyak tohmahan dan cercaan serta andaian yang sengaja dicetuskan, kini USM sedang melangkah gagah dalam sebuah ruang lingkup baharu yang bukan sahaja penuh ranjau menanti, malah tidak keterlaluan jika diujarkan bahawa terdapat ratusan malah ribuan onak tercacak, jelas dan kabur, tersirat dan tersurat, sedia memerangkap di sepanjang jalan tersebut. Dalam ruang lingkup ini juga, sebagai mewajarkan kenyataan ini, sudah berdiri tembok paradigma yang tersangat kukuh yang perlu dipecahkan bagi membuka sebuah jalan yang lebih gilang-gemilang di sebelah sana. Tembok itu tentu sekali ialah “kebiasaan”, dan yang dibuka pula tentulah “keluarbiasaan”. Saya tinggalakn dua situasi ini untuk difikirkan oleh rakan-rakan APEX sekalian, kerana ruang lingkup yang sedang kita masuki bersama ini sudah barangkali tentu anda semua maklum, iaitulah kerangka APEX itu sendiri. Fahami, dan anda harus berbangga dengannya. Penghormatan, dan anda wajar diberikan rasa tersebut. Percayalah!

Melihat kembali kepada sirah, adalah suatu yang amat perlu untuk kita semua, sebagai Islam, dengan nikmat kesejahteraan akliah ini, untuk memahami sebenar-benarnya erti hijrah yang telah sudah dikerjakan dengan jayanya oleh Baginda Nabi Muhammad dan para sahabat. Pertama, kerja Nabi itu adalah jalan yang dibukakan. Dan kedua, jalan itu juga adalah hikmah kebijaksaan yang harus kita nisbahkan dengan sebetul pemahaman bahawa Nabi dan sekalian sahabatnya tidak membuka jalan hijrah tanpa rencanaan yang terlalu amat jitu, memungkinkan segala ketidakmunasabahan akal dengan kuasa Maha Kaya, dengan jalan mukjizat tertentu, yang akhir sudahnya ialah supaya kita semua berfikir bahawa hendak seribu daya, insya-Allah pasti jaya. Simpulannya di sini yang mungkin kita boleh ambil ialah, setiap kerja itu harus digerakkan melalui perancangan yang halus dan jitu. Saya yakin dan percaya, rakan-rakan sekalian memahami akan maksud ujaran saya ini.

Salam Maal Hijrah 1430.

SIMPOSIUM KAMI

( mendaulat bahasa bangsa)


bila Kami ditanya
tentang siapa dia?
Kami jawab
dia hanyalah figura celaka, sungguh.

bila Kami disoal
tentang apa dia?
Kami jawab
sekerat, pernah dia cabuli Kami.

bila Kami digasak
tentang kenapa dia?
Kami jawab
laknat, dia bejat lupa darjat, sungguh.

bila Kami jumpa dia
apa Kami bisa tunduk hormat?
Tidak, bahkan. Akan
Kami hantar surat tanpa alamat.
Tanah ini masih belum kiamat, dan dia, nah!
tak punya lagi tempat untuknya menyadar harap,
kerana dosa ini, adalah nanah sebangsa
hancur seluruh cita punah segala usaha
menjunjung titah-titah mulia seri bahasa Kami.



rizuan mh.
Dis. 08.
USM

KONVENSYEN PALING BINGIT

Har… Har... Har…
Hari ini hari apa?
Mau… Mau… Mau…
Mau Tanya siapa?

Ahhh…
Nyah segala.
Hoi !!!
Persetan semua.

Encik Mar riuh bingit.
Encik Haien ganas bangkit.
Kain terselak nampak anunya lembik.

Maruah kau Mar?
Tanya Haien, pernah.
“Tiada. Dalam kain pun ia layu!” jawab Mar.

Har… Har… Har…
Dan Haien cuba ketawa oleh gurau Mar yang bernada tewas,
sambil meraba anunya yang sudah pun lembik itu.

Bingit.
Riuh.
Tak berbangkit.



rizuan mh.
Disember 2008
USM.

Thursday, November 6, 2008

Ranking THES-QS Tidak Tepat

ARKIB : 05/11/2008 http://utusan.com.my/


Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Para pentadbir universiti diminta tidak terlalu mengambil berat tentang ranking universiti dunia yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Supplement-Quacquarelli Symonds (THES-QS) kerana ia tidak tepat sepenuhnya.
Naib Canselor Universiti James Cook, Profesor Sandra Harding berkata, kajian yang dilakukan oleh pakar di Australia mendapati ranking THES-QS adalah berdasarkan tinjauan pendapat yang masih boleh dipertikaikan serta tidak menggambarkan pencapaian sebenar universiti berkenaan.
"Ranking yang dibuat oleh THES-QS tidak boleh dipercayai kerana ia berubah-ubah setiap tahun sedangkan kita tahu pencapaian sesebuah universiti dan kemudahan yang terdapat di situ tidak mudah berubah dalam masa singkat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Pada sidang akhbar semalam, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mendakwa ranking universiti negara ini seperti yang dinilai oleh THES-QS adalah lebih buruk daripada universiti di Indonesia.
Menurut Harding, kajian pihaknya mendapati ranking universiti dunia yang boleh dipercayai dan telus setakat ini ialah yang dikeluarkan oleh Shanghai Jiao Tong University (SJTU).
"Ranking yang dibuat SJTU adalah lebih dipercayai kerana pihak penilai mendedahkan metodologi yang digunakan bagi mengukur universiti antaranya bidang penyelidikan yang dilakukan dan anugerah yang diterima di peringkat antarabangsa.
"SJTU juga mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh mereka untuk membuat penilaian ke atas setiap universiti," ujarnya.
Sementara itu, Idris meminta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mengadakan program pertukaran pensyarah dengan universiti asing selaras dengan dasar kementerian untuk mengantarabangsakan bidang pendidikan tinggi di negara ini.
"Pertukaran setakat ini hanya melibatkan pelajar, jadi saya mahu ia dikembangkan untuk turut membabitkan pensyarah bagi membolehkan mutu pendidikan di IPTA terus meningkat," ujarnya.
Bagi memastikan program itu dapat dijalankan dengan lancar, ujarnya, IPTA perlu menyediakan peruntukan khusus untuk membayar gaji dan elaun tugas luar kepada pensyarah yang dihantar ke negara asing.
Katanya, pensyarah asing yang bertugas di IPTA berkenaan pula akan dibayar gaji dan elaun oleh universiti asal mereka.

Tuesday, November 4, 2008

baris-baris senyap

Cuma sebaris ayatmu yang tinggal
untuk aku telaah. Dan komentar jiwa tentang citra bangsa
yang berkurun berabad dilipat rapat, helaian demi helaian,
lembaran,cuma senyap. Kaku. Bisu. Sungguh, wahai teman
baris-baris ini sedang senyap. Sungguh, aku beritahu kamu
inilah rupa kita bangsa yang pernah gah
menjarah hektar dan ekar, inci tanah sepelosok nusantara
dengan citra agung, konon kita ini agung, tetapi hari ini
kita sedang senyap. Dan baris-baris ini sedang senyap temanku.
Sejarah, keagungan, citraan kepada sebuah kealpaan
untuk anak bangsa kita rangkapkan dalam bait-bait kata
kita karang dalam putih kanvas minda-minda mentah
kita sogokkan betapa bangsa ini suatu masa dahulu bersuara
gempita. Tetapi, kita lupa temanku
hari ini baris-baris ini kian senyap.

Dan,
kita semakin senyap selepas segalanya.


rizuan mh.
usm
nov.2008

Gersik Gurindam Marzuki Ali

Tanggal 5hb Ogos yang lalu telah menjadi saksi kehebatan seorang lelaki bernama Marzuki Ali. Nama yang begitu gah ini sekali lagi tampil mendeklamasikan bait-bait indah puisi yang digarapnya sendiri. Bertempat di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia, beliau berdiri penuh pesona dan aura dalam sebuah majlis yang diberi nama “Sejenang Di Wakaf Poetika” dan lantang menghamburkan bicara madahnya lewat beberapa buah puisi yang pernah diterbitkan sebelum ini.
Saya merupakan antara penggemar yang berkesempatan menancapi keunggulan deklamator ini dan tentunya, puisi bertajuk “Gurindam- Belajar Dari Sejarah” menjadi santapan halwa yang paling istimewa buat saya pada pagi itu. Tentunya, sebagai pendatang baru, saya belum pernah mengikuti secara dekat program seumpama ini, apatah lagi hadir untuk mendengar sebuah gurindam disampaikan oleh seorang penggiat sastera yang begitu tersohor, secara langsung betul-betul di hadapan mata. Umpama bonus!
Gurindam seperti yang saya fahami merupakan sebuah bentuk puisi yang bercerita tentang sesuatu hal dan duduk istimewanya dapat dilihat melalui kaedah penyampaian yang digunakan. Dewasa ini barangkali tidak ramai yang arif ataupun bijaksana dalam mereka menyampaikan gurindam mengikut lunas yang asal seperti yang disampaikan oleh Saudara Marzuki Ali. Dan ternyata beliau hadir mengukuhkan fahaman saya itu, sekaligus membuktikan betapa bentuk puisi tradisional masih mampu membawa mood dan suasana baru kepada khalayak pada hari ini.
Saudara Marzuki Ali seperti yang diketahui oleh jagat kesusasteraan baik di tanah air mahupun di Indonesia, malah mungkin juga di Singapura dan Brunei ( mungkin kerana saya belum benar-benar mengenali beliau), ialah seorang deklamator yang punya suara-suara yang nyaring lagi keras sewaktu mendeklamasikan sesebuah puisi. Hal ini jelas ketika beliau mengalunkan gurindam tersebut. Dalam alunan yang gersik, suaranya jelas lantang sekaligus ‘menimbulkan’ bait-bait yang digunakan sehingga mudah ditancap oleh khalayak. Jelasnya tidak sukar untuk menghayati gurindam tersebut kerana kualiti tone suara yang beliau pilih begitu jelas didengar dan tebal dengan penekanan-penekanan pada daerah tertentu bait madahnya.
Lebih daripada itu, keunikan alunan suara oleh Saudara Marzuki Ali juga berjaya mengheret saya untuk turut menyelami dan menyoroti kisah di sebalik gurindam tersebut. Sepintas lalu, Gurindam- Belajar Dari Sejarah cuba mengajak khalayak supaya mengambil pedoman dan iktibar daripada sejarah jatuh bangun Kerajaan Melayu Melaka suatu masa dahulu. Hal ini disampaikan melalui kiasan dan ibarat serta muatan contoh tertentu tentang peristiwa-peristiwa yang pernah menghiasi zaman tersebut sejak dari saat kelahirannya hinggalah era kejatuhan empayar Melayu itu.
Kesimpulannya, Saudara Marzuki Ali telah berjaya membuktikan bahawa bentuk puisi tradisional khususnya gurindam masih mampu menghadirkan elemen baru yang penuh kelainan dan mood yang tersendiri jika disampaikan dengan kaedah yang betul. Buat kita, belajarlah daripada mereka yang tahu selagi ada ruang dan waktu.

Sejadah Usang

Tuhan..
hulur tangan-Mu ku rindu
Bersenandung sendu sejauh perjalanan
sunyi….
Tuhan ..
rintih tangis ini bukan lagi bersahaja.
Serasa seluruh sendi kaku lesu,
rapuh tiris di hujung di tepi di segenap lapis
semangat
tersisih jauh
hati sepi
mulut bicara ini mati
dan jua bicara yang lepas-lepas terlerai bait-bait ertinya luruh
bagai puing-puing asing
bagai puing-puing asing
legar tegar di dada langit siang panjang.

Tuhan
beri aku erti firman-Mu
maksud-maksud kabur yang berselirat tersirat rapat.
Beri aku faham
sejauh perjalanan malam yang singkat

Tuhan
apakah aku sempat?
menghambur puji-pujian walau sesaat buat-Mu empunya Iradat?
Di atas sajadah inilah
di atas sajadah inilah ku harap,
nafas tersekat kan tamat.




rizuan mh.
usm
ogos 2008

Sunday, November 2, 2008

ingin mohon maaf.

ini mungkin kenyataan biasa-biasa, dan harus berbunyi begini kerana ini mungkin lahir dari rasa hati yang dingin, yang sedang gundah, yang sedang gelisah, menanti datang 3 Nov.
jika ada satu tarikh lain, pasti ada, namun jika ada kuasa, harus wajib ada, dan andai aku punya daya, mahu sahaja aku ganjak tarikh ini, dan sederetan tarikh lain yang akan mengikutinya selepasnya. mahu juga ingin rasa, tarikh lain yang lebihsegarmulus. mahu juga rasa ingin bernafas dalam hari-hari lain yang lebih indahsegartebus hari-hari yang sial.
ada bisik-bisikgersikhalus di telinga tak capang aku dengar. dengan tarikh 3 Nov itu apa ada? barangkali, sudah siap jadualnya, dan semahunya aku mahu menunjukkan jadual tersebut untuk menjawab kata tanya itu.
pada tarikh itu, di USM universiti dalam taman yang amat aku sayang dan kasih dan cinta ini, adalah hari mula bagi hari-hari yang semua siswanya akan menekuni lembaran-lembaran putih berisi soalan-soalan kritis bertaraf apex, iaitulah hari mulanya sesi peperiksaan bagi sidang akademik 2008/09 bagi semester pertama.
buat siswa siswai tahun satu, siaga siap kalian dengan peperangan ini.
maaf semua.

selamat menduduki peperiksaan!
Aku Unggas.


Ini alam sudah tua
barangkali ratus, barang kali juta,
usia..
dan pohon-pohon, larat bangka,
lara..
dan ranting-ranting, juntai, liut-liut mendap,
sarat..
dan daun-daun, hijau, dan kering, dan layu, lalu gugur,
terbang..
dan daunan, terbang, bertebar seluruh belantara, bukan kota.
Tapi alam, kerana alam ini, adalah alam;
Siang, malam, adalah alam.
Dan ruang-ruang, di perbatasanwaktu, jadi zaman, jadi alam
dan masa-masa, yang lalu, yang lepas, yang sedang, yang akan,
yang mimpi…
juga adalah alam.
Ini adalah alam; dan
alam yang sudah tua ini
sedang mengalami erti dirinya, erti alam.
Dan aku,
adalah secebis dari wataknya, dalam cerita
tentang alam.


rizuan mh.
USM.
30 Okt. 2008

alir

kerana yang jernih itu
yang paling sukar dimengerti
dan paling indahmulus.
Hijab kanvas pun
tak bisa diwarnai dengan ertinya.


rizuan mh.
USM
Nov. 2008

Sunday, October 19, 2008

ulasan karya nan indah


Ulasan Karya nan Indah
Ulasan ini muncul di Berita Harian (Singapura). Klik sini.

Buku: Karya Nan Indah oleh Faisal TehraniPenerbit: Al-Ameen Serve Holdings Sdn BhdANDA


Ingin menjadi penulis? Anda ingin bergelar pengarang kreatif? Anda tidak kenal orang atau sasterawan yang boleh mengajar anda merealitikan impian anda? Sebagai permulaan, bacalah buku ini!Buku panduan penulisan kreatif 336 halaman ini bukan ditulis oleh sebarang orang. Penulisnya, Faisal Tehrani, ialah penerima anugerah tertinggi kerajaan Malaysia dalam bidang penulisan skrip drama pentas iaitu Anugerah Seni Negara 2006.Dua buah novel beliau, Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu, meraih hadiah pertama Sayembara Mengarang sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka.Sebelum anda memulakan langkah pertama ke dunia penulisan kreatif, Faisal mengingatkan: Tugas pengarang yang paling penting dalam karya seninya ialah humanisasi atau memanusiakan kembali manusia.Wah, berat rasanya! Siapa kata kerja karang-mengarang itu mudah? Ia boleh menjadi mudah kalau kita mempunyai 'alat' yang betul dan cukup untuk melaksanakan. Ia akan menjadi mudah, seterusnya indah dan akhirnya berfaedah untuk manusia.Pesanan kedua Faisal ialah: Buat mereka yang benar-benar berminat menjadi pengarang, hal pertama yang harus ditubi ialah memperkasa ilmu pengetahuan (ini bermakna banyak membaca apa jua disiplin ilmu), menghayati falsafah (dalam sejarah dunia, penulis tanpa dasar ideologi atau falsafah tidak akan bertahan lama) di samping mengukuhkan akar umbi budaya dan agamanya.Pada keseluruhannya, Faisal memberi 14 panduan untuk menjadi penulis yang berjaya. Tidak kurang penting ialah persoalan yang diungkapkannya di dalam panduan bab 1.3 (Ingatan Ketiga) iaitu kenapa aku mahu menjadi penulis?Kata Faisal jika anda berasakan yang anda mahu menjadi pengarang kerana mahu berkongsi ilmu yang ada (mencurah ilmu dan beramal dengannya adalah wajib dan satu nilai mulia), kemudian anda berasakan ia satu amanah dan tanggungjawab kerana tentulah Tuhan tidak memberikan bakat dan kebolehan kepada anda tanpa sebab; atau anda berasa dengan berkarya anda dapat menyumbang buat negara, bangsa dan agama, maka silakanlah terus membaca buku ini, kalau tidak, cukuplah sampai di sini.Seperkara yang menarik tentang buku panduan ini ialah pengarang menyertakan sembilan buah cerpennya yang menarik sebagai contoh perbincangan dan perbandingan. Sembilan cerpen menarik ini yang saya anggap sebagai bonus pembaca/pembeli buku ini ialah Anastasia, Talang, Catan Si Tenggang, Kerana Manisnya Epal, Sentuhan Midas, Menanti Yun Mui, Cikgu Tomok, Malam ini Philadelphia Menangis dan Mampir di Beijing.Kerja mengarang, sambung beliau, tidak melibatkan ramai orang. Sesetengah pengarang berpendapat kerja menulis adalah kerja yang paling individualistik. Justeru anda tidak perlu menunggu sesiapa.Sekiranya anda tidak bermula, selagi itu anda tidak tahu apa kelemahan dan kebolehan yang anda ada. Anda tidak akan berasa kemegahan berlari kalau anda tidak 'memaksa diri' untuk memulai langkah pertama. Selagi anda tidak memulai mengarang, selagi itulah anda tidak tahu bagaimana untuk bermula.

sesalan (malam bercerita kepada siang)

cerita ini untukmu siang,
dilakonkan aku kala malam datang
ku harap biar jadi sempadan waktu
takut aku andai datang lagi malam itu

bermula kisah dengan skrip yang sempurna
tiada cacat tiada tempang
segala babak hampir saja aku jitukan
nah, serangkap pujian aku tuliskan
buat diri yang perasan budiman

pada diri dan prinsip bagaimana aku cabuli
satu per satu benteng aku runtuhkan
membiar saja runtun mengusik jiwa

tapi nafsu terus bermaharajalela
dan akal meronta mahu bicara sama jiwa
cari resolusi untuk menegur sang berahi.

tapi apakan daya, datang dua bisikan;
satu mahuku agar pulang,
satu mahuku terus menerewang
dan madah sang hasutan
inilah malam seribu peluang...

sesalan
pada siang yang panjang,
ku harap ia berpanjangan
sampai malam ini jelang
bina harga diri yang hakiki
dalam resolusi yang tiada berahi lagi

rizuan mh.

terima kasih

ibu
terima kasih kerana:
memberi secebis erti
tentang tulus hatimu
tentang jernih kasihmu
tentang jujur
setiamu
beri aku fahami
erti hatimu dan madahmu
terima kasih
sehingga
kini kau masih
disisiku.


rizuan mh.

Saturday, October 18, 2008

kenali jin yang boleh bernyanyi


Novel ini merupakan karangan yang berkisarkan sebuah pengambaraan panjang seorang remaja yang dikenali sebagai Sulaiman Hilmi, seorang peniup Ney (sejenis alat muzik). Kisah ini banyak membongkarkan sejarah awal muzik yang telah ditemui oleh orang Islam semasa zaman kegelapan di Barat.Kajian terhadap makhlus halus yang dikenali sebagai jin juga dapat menarik minat pembaca, pelbagai info mengenai makhluk tersebut telah dihuraikan di sini. Apapun, saya amat tertarik dengan novel ini kerana ia berjaya menggabungkan beberapa elemen penting mengenai kehidupan remaja, alam jin, muzik yang diadun bersama dengan pandangan Islam itu sendiri.Saya juga telah mempelajari sesuatu mengenai souti sarmad, meskipun masih samar-samar mengenainya. Persembahan muzik yang menarik hati Jin Bertindik Satu itu sebenarnya dikenali sebagai Sema.Baca lagi di sini!Kalau susah jumpa di kedai buku, beli di sini!

salam aspirasi untuk mahasiswa bersatu

menjelang januari 19, insya-Allah kita warga mahasiswa universiti Apex ini akan mula membuang undi bagi memilih kepimpinan pelajar yang baharu dan menggantikan kepimpinan sedia ada yang sedang dipangku oleh MPP sidang 2007/08. Ingatan ini adalah perlu : ayuh bangun dari tidur, ayuh gerakkan tangan, kaki dan akal sihat, siasahlah setiap calon yang akan bertanding dengan setiap indera, fikir dan nilai kesannya, dan buatlah pilihan yang terbaik. Sisih singkir sejauh yang boleh segala emosi durja dan pusatkan tekad sepusar kebajikan kita para mahasiswa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...