Followers

Wednesday, October 28, 2009

Imej Nepotisme dan Kronisme Akan Hancurkan PKR.

Jika persepsi dibenarkan sebagai satu faktor menilai kepimpinan seseorang, maka PKR di bawah kepimpinan Wan Azizah dan suaminya akan berdepan kehancuran. Ini kerana, pergolakan demi pergolakan yang berlaku dalam parti itu ketika ini khususnya selepas tsunami politik baru-baru ini, semuanya bertitik tolak daripada faktor yang sama iaitu kepimpinan tertingginya.


Setidaknya, ada tiga individu yang selalu dikaitkan setiap kali masalah berlaku, iaitu Anwar, Azizah dan Azmin yang ketika ini digelar bateri 3A. Mereka sering kali dirujuk sebagai punca utama krisis dalaman yang berlaku dalam PKR, meski media-media rasmi mereka sedaya mungkin menyembunyikan situasi yang melanda parti itu. Terkini ialah isu perletakkan jawatan Jefrry Kitingan.


Semua ini sebenarnya akan memberikan tanggapan yang negatif terhadap keupayaan parti itu sebagai parti alternatif nasional. Orang ramai sudah mula berfikir dan bercakap-cakap tentang pergolakan dalaman PKR. Mereka sudah mula mempertikaikan beberapa keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi yang dilihat agak mengelirukan, menghairankan dan sebagainya lagi. Ia menjadi semakin pelik apabila media pakatan menyalurkan berita-berita yang sebaliknya seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat. Apa yang berlaku? Itu yang mereka hendak tahu.


Justeru, tidak mustahil jika berlaku gelombang penolakkan terhadap parti itu oleh penyokong mereka sendiri. Anwar perlu sedar bahawa beliau tidak boleh selamanya meniup angin penipuan yang mengaburkan orang ramai. Dalam pilihan raya umum yang lalu, orang ramai memberikan undi yang cukup tinggi kepada pakatan di bawah kepimpinannya kerana Anwar menjanjikan pelbagai pembaharuan dan harapan, malangnya, selepas berkuasa, macam-macam masalah kepartian timbul mengatasi masalah rakyat sendiri.


Orang ramai juga sudah mula nampak betapa kronisme dan nepotisme adalah imej yang semakin jelas membayangi PKR. Siapa tidak tahu betapa akrabnya Anwar dengan Azmin, Hussam Musa dan sebagainya lagi. Jika dahulu mereka mungkin dilihat sebagai tulang belakang perjuangan menuntut keadilan bagi Anwar, tetapi kini peranan individu-individu terbabit mula menjadi persoalan. Anwar seolahnya tidak nampak orang lain dalam partinya. Yang dicarinya tetap beberapa kerat yang itulah. Maka bagaimana Anwar hendak mengurus negara kelak jika beliau sentiasa melebihkan individu-individu tertentu saja? Kita boleh membayangkan dan mengagak apa yang akan berlaku.


Selain itu, orang ramai juga sudah sedar perjuangan PKR bukan untuk rakyat sebaliknya untuk perut-perut tertentu saja. Hal ini mungkin sudah banyak kali diperkatakan, tetapi tidak ramai yang mahu ambil peduli. Akhir-akhir ini saja ia diperkatakan semula dengan versi baru pendedahan demi pendedahan oleh bekas pemimpin PKR sendiri. Semua ini pasti akan menggoyahkan lagi struktur parti tersebut, dan mungkin akan mempercepatkan proses kehancuran PKR keseluruhannya. Nantikan saja.

PKR Pula

Ketika window blogging sebentar tadi, sempat juga menapak ke AIDC. Ada berita menarik, tetapi langsung tidak mengejutkan. Jeffry Kitingan dah letak jawatan, semua jawatan dalam PKR. Namun beliau masih ahli PKR – buat masa ini.


Seperti yang dijangka, akhirnya Jeffry melangkah keluar juga, walaupun masih belum melepasi pintu sepenuhnya. Tapi siapa duga apa akan jadi pula lepas ini. Persoalannya, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Jeffry mahu protes?


Ada beberapa isyarat jelas yang terkelihatan daripada episod ini. Pertama, Anwar perlu menerima hakikat bahawa kepimpinannya sangat bermasalah. Satu per satu melanda sekali gus melondehkan imej parti yang kononnya dipimpin oleh mereka yang professional, tetapi hakikatnya, dibarisi pemimpin yang kecewa dan penuh kepentingan peribadi. Adakah ini yang ditawarkan oleh Anwar kepada rakyat?


Selain itu, perletakkan jawatan Jeffry juga membayangkan Anwar bukanlah kebal dalam partinya sendiri. Justeru, bagaimana beliau hendak menangani Pakatan Rakyat keseluruhannya jika dalam partinya pun sudah gagal? Bagaimana beliau hendak mentadbir seluruh negara jika hal di Sabah, yang cuma di peringkat atasan saja, pun berkecamuk? Barangkali selepas ini makin ramai yang akan melawan cakap Anwar dan isterinya.


Dan yang pasti, Anwar perlu menerima hakikat bahawa politik di Sabah dan Sarawak mempunyai suasana yang sama sekali berbeza dengan semenanjung. Siapa Anwar untuk berlagak pandai di sana? Siapa Azmin untuk berpencak di sana? Siapa Azizah untuk menjadi jaguh di sana? Hanya orang Sabah dan Sarawak yang tahu apa yang mereka perlukan. Bukan Anwar, bukan Azmin dan bukan Wan Azizah.



Mungkin akan ada EGM dalam PKR pula lepas ini..

Tuesday, October 27, 2009

Ulamak PAS Tetap Akan Salahkan UMNO

Suatu ketika, cyber troopers telah menyebabkan UMNO mendapat susah yang begitu banyak. Golongan tentera ini ada yang tak berwajah, tetapi sangat menakutkan apabila mereka mula bergerak. Strategi mereka begitu menjadi, bahkan berjaya merobek kubu-kubu kuat UMNO. Turut menjadi mangsa ialah parti-parti lain dalam BN. Kemuncak perang taktikal mereka ialah apabila BN hilang banyak kerusi dalam PRU yang lepas dan menurut hasil post-motem yang dilakukan, cyber troopers merupakan antara faktor utama kejatuhan UMNO dan BN umumnya.


Cyber troopers kini menjadi antara jentera penting kepada parti-parti politik bagi melawan asakan-asakan pihak musuh. Ada kalangan ahli politik yang mempunyai pasukan cyber troopers mereka sendiri, dan ada juga yang langsung berperang. Hal ini sekali gus membuktikan peranan tentera maya sangat penting dalam arena baru politik tanah air pasca-tsunami PRU baru-baru ini. Kenapa ia penting? Antaranya, adalah untuk menjuarai minda dan suara generasi muda yang akan membentuk majoriti penting dalam pilihanraya yang diadakan. Golongan inilah yang paling dekat dengan alam maya, yang mudah mengakses maklumat daripada media baru berbanding ‘orang lama’.


Namun apabila Ketua Penerangan PAS Pusat mengeluarkan kenyataan tentang wujudnya manipulasi internet oleh cyber troopers UMNO, adakah ia kedengaran konklusif atau hanya andaian semata-mata? Sebagai Ketua Penerangan, beliau mungkin mempunyai maklumat yang cukup sebelum membuat kenyataan tersebut, tetapi tidakkah tindakan itu seolah-olah menunjukkan bahawa beliau cuba memperlihatkan PAS dalam situasi ditekan, ditindas dan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu setelah ‘ribut’ melanda parti tersebut? Tidakkah beliau sedar bahawa UMNO juga turut menjadi mangsa akibat durjana tulisan cyber troopers Pakatan Rakyat sendiri? Ini adalah permainan dalam politik alaf siber apabila akses kepada maklumat dan penerangan menjadi begitu terbuka.


Pada saya, kenyataan itu mungkin benar jika beliau bertujuan mencari salah orang lain dan pada masa yang sama, menutup kelemahan dalam partinya. Tidak susah untuk ahli politik seperti beliau menunding jari setiap kali berlaku satu-satu masalah. Lihat misalnya apabila PAS Melaka segera menuduh kononnya kekalutan dalam PAS yang berlaku ketika ini berpunca daripada UMNO. Tanpa rasa bersalah dan insaf, mereka tetap akan menunding jari dan menuduh pihak lain sebagai punca segala masalah yang melanda parti itu. Barangkali inilah mentaliti pemimpin PAS yang ada hari ini.

SURAT TERBUKA UNTUK SEMUA YDP MPD

Edisi Khas.



MPD Harus Juarai Pelajar.


Assalamualaikum.


Kepada: Semua YDP MPD,


Dewasa ini banyak sekali timbul cakap-cakap tentang masalah dalam MPD. Hampir kebanyakan desasiswa berhadapan dengan masalah, sama ada dalaman (kalangan MT dan exco-exco) mahupun luaran membabitkan pelajar dan penghuni lain.


2. Walaupun saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan sudah pun melepaskan jawatan sebagai NYDP desasiswa saya baru-baru ini (atas sebab-sebab peribadi), namun saya masih mengikut rapat perkembangan MPD-MPD yang sedang mentadbir desasiswa masing-masing.


3. Justeru apabila tersiar surat dalam ruangan forum BK yang diutus oleh salah seorang exco junior (tidak dinyatakan dari MPD mana), pada saya, ia sudah memasuki tahap baru. Hal ini tidak pernah berlaku selama ini. Adakah ia bagus? Saya melihatnya sebagai sesuatu yang negatif dan membimbangkan.


4. Masalah dalam MPD harus diselesaikan dengan sedaya mungkin. Setiap YDP harus matang dan melebihkan pertimbangan akal, bukannya emosi. Tidak perlu timbul isu senioriti justeru menyebabkan anda mesti bersikap pilih kasih. Anda sudah memilih pasukan anda sendiri maka letakkanlah sepenuh kepercayaan terhadap mereka.


5. Terdapat juga YDP yang lebih sudu dari kuah, menyerang pihak lain atas kepentingan peribadi. Apakah kelayakan beliau? Itu yang saya pertikaikan.


6. Setiap YDP harus faham kedudukan mereka sendiri. YDP tidak mempunyai autoriti yang begitu mutlak dan tinggi. Mereka dilantik oleh Majlis Penggawa untuk memimpin Majlis Penghuni masing-masing di samping membantu membina hubungan yang lebih mapan dengan MPP. Justeru sebagai koordinator yang dilantik, besar tanggungjawab dan amanah yang disandarkan. Mereka tidak boleh bermegah-megah.


7. YDP juga harus faham dengan dasar universiti yang mahukan sebuah organisasi peringkat pelajar yang kritikal, tetapi bukannya kritikal tanpa sebab dan terlalu beremosi. MPD harus memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mengemudi aktiviti pelajar, menjalin kerjasama yang lebih erat antara desasiswa dan pada masa yang sama, mengurus semangat kedesaaan dengan bijak supaya tidak berlaku masalah hilang rasa hormat dan sebagainya.


8. MPD melalui kepimpinan YDP juga perlu menunjukkan simpati dan keprihatinan yang jitu terhadap usaha universiti dan pihak pengurusan desasiswa sendiri dalam mempupuk teras-teras dan prinsip dalam APEX yang kini sedang digemblengkan oleh USM ke peringkat yang optimum. Tanpa sokongan, walaupun kecil, terhadap program ini USM tidak mampu mencapainya dalam tempoh yang ditetapkan.


9. Bagaimana hal ini boleh dilakukan? Ia harus dari akarnya. Ia harus dimulakan dari dalam MPD sendiri. YDP harus dekat dengan MT dan exco-exconya. Buang jauh-jauh sikap tinggi diri dan syak wasangka yang selalu saja menyekat hak-hak orang lain. Berlaku adil juga sangat penting. Agihkan tugasan secara saksama.


10. YDP juga perlu bermuhasabah selalu. Ada teguran yang dipanjangkan oleh exco sendiri tetapi gagal diserap dan dicerna dengan baik lantaran wujudnya sikap skeptikalistik. YDP sendiri yang memandang serong terhadap exco. Apahal?


11. Justeru, seharusnya dan sedaya mungkin, setiap YDP perlu bersikap lebih toleran, matang dan tenang setiap kali membuat satu-satu keputusan penting. Anda tidak berada diatas jika anda tidak layak, tetapi kelayakan anda bukanlah yang teratas. Dongaklah setinggi mana yang anda mahu, tetapi kaki anda tetap berpijak di tanah nyata.


Teguran saya ini janganlah dipandang serong. Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan, tetapi sebagai salah seorang bekas exco yang telah lama berjiwakan organisasi penting ini, saya melihat perlunya kesatuan yang utuh diwujudkan dalam MPD. Dan lebih penting, ia mesti berlaku dari masa ke masa. Tak boleh ada waktu-waktu yang khas untuk kita bersatu.


Sekian, terima kasih.


1Siswa 1Apirasi ,1MPD 1Universiti

Nota: Memandangkan surat ini sudah agak tersebar, justeru saya mahu mengambil tanggungjawab yang sama untuk menyiarkan di blog saya. Terima kasih kepada yang memberikan perhatian.

Sunday, October 25, 2009

Nik Aziz flip-flop lagi


caye cayang islam


Buletin Utama tadi melaporkan kenyataan flip-flop dari Nik Aziz. Tiada EGM tetapi perjumpaan khas peringkat pusat akan diadakan. Isunya masih sama dan keluar dari mulut yang sama. Mungkin mesyuarat itu kelak juga akan mendetailkan lagi usaha Nik Aziz yang berkeras hendakkan EGM dibuat.


Ada banyak sekali tafsiran dibuat apabila Nik Aziz mengusulkan sebuah EGM dilakukan dalam partinya. Gesaan itu sungguh segera dan sungguh memeranjatkan. Selama ini PAS sentiasa menyorok dalam kelambu, tetapi kali ini nyamuk sudah bermain dalam kelambu itu. Nik Aziz mahu menghalaunya.


Namun, pendapat atau teori – kerana belum dibuktikan secara empirikal – bahawa Nik Aziz sedang termakan dengan strategi juak Erdoganis dalam PAS ternyata lebih popular. Sama ada benar ataupun sebaliknya, hal ini masih sukar dipastikan. Barangkali hanya Nik Aziz dan orang-orang kanannya saja yang tahu.


Pada saya, isu ini sangat menarik. Mungkin juga akan menguntungkan para pengkritik dan penganalisis politik apabila wartawan berlumba mendapatkan ulasan mereka. Sebagai pemain politik, tindakan Nik Aziz itu juga seharusnya dibaca dalam laras politik, melebihi laras agama. EGM yang digesakan itu memang luar biasa dan hanya boleh difahami oleh pengikut politik saja.


Di satu sudut, Nik Aziz barangkali serius dengan nasib partinya. Mana boleh seorang pemimpin yang lebih banyak senyap menjadi ketua kepada sebuah parti yang lantang seperti PAS. Setidaknya, mesti mencontohi beliau sendiri. Mana boleh juga, sang Presiden dan timbalannya, berpakat menyanggahi semangat penentangan terhadap bangsa seagama dalam UMNO, kerana UMNO membawa ISLAM yang retorik pada Nik Aziz.


Justeru sebagai mursyid agung dalam PAS, hatta Presiden pun mesti mendengar cakapnya. Nik Aziz terlalu bijaksana. Pemikirannya tajam sekali. Presiden dan timbalannya pun dibudakkan oleh Nik Aziz. Kultus yang diberikan oleh pengikutnya melayakkan Nik Aziz berasa demikian. EGM yang dipanggil oleh beliau seharusnya dijawab segera.


Dan si satu sudut yang lain, barangkali teori yang diperkatakan sekarang iaitu Erdoganis dalam PAS sedang memasak bubur khas untuk Nik Aziz, benar. Barangkali, Nik Aziz suka dengan resipi tersebut. Persoalan haram atau halal juga tidak jadi isu kerana keenakkan bubur itu menandingi rasa was-was. Memutus atau menghalang pedamaian sesama bangsa dan sesama agama adalah dibenarkan pada beliau. Itulah resipi utama dalam bubur tersebut yang kini menjadi kesukaannya pula.


Adakah Nik Aziz sedar atau masih ingat tentang khutbah yang disampaikan oleh Timbalannya sendiri suatu ketika dahulu?



Saturday, October 24, 2009

Nik Aziz keluarkan Haji Hadi dari List ke Syurga?


Bergocoh ko??

Ketika jalan-jalan ke Alor Setar siang tadi, saya sempat beli senaskah akhbar cakna Sinar. Sengaja saya beli Sinar kerana muka depannya terpampang dua orang tokoh yang tidak asing lagi di negara ini iaitu Nik Aziz dan Haji Hadi. Isunya ialah Nik Aziz mahu melupuskan sampah dalam parti keramatnya.


Saya yakin, ramai yang dah maklum siapa dan apakah sampah-sampah tersebut. Nik Aziz mungkin betul pada pandangannya. Kalau dah sampah, kenapa nak disimpan? Nanti membusuk, berulat. Kalau dah menyusahkan, kenapa perlu didisiplinkan lagi? Sampah-sampah itu bukannya kecil, dah besar, dah matang.


Dan seperkara lagi, kalau dah sampai peringkat melupuskan, pada saya, samalah seperti menyingkirkan terus. Sebagai pemegang kunci syurga, dan berdasarkan neraca timbangan Nik Aziz, maka sudah pastilah individu-individu yang nak dilupuskan itu nanti tak akan dapat cium bau syurga.


Kenapa demikian? Pertama, kerana mereka cuba-cuba mengikat tali persaudaraan dan perpaduan dengan sesama agama dan sesama bangsa. Pada Nik Aziz, itu haram dan tak boleh dibenarkan berlaku. Islam milik PAS. Islam yang dipegang dan diimani oleh UMNO adalah palsu dan cuma mengetuk pintu neraka.


Kedua, kerana mereka cuba menegah kemudaratan yang boleh timbul sekiranya arak dijual ditempat orang Islam ramai. Pada Nik Aziz, semua orang Islam di Selangor dan mungkin di tempat lain kuat-kuat imannya. Mereka tak akan ambil minuman haram macam tu. Sebab itulah usaha menegah dan mencegah tidak diperlukan. Tindakan itu akan merugikan ekonomi.


Mungkin ada banyak lagi sebab kenapa Nik Aziz nak ‘sweeping’ individu-individu tersebut. Saya tertanya-tanya, adakah Nik Aziz cuba menguasai PAS dengan ‘memilikkeluargakan’ parti tersebut? Mungkin juga Tuan Guru cuba mengurus PAS seperti sebuah syarikat dengan beliau adalah pemiliknya? Kita tunggu sajalah esok apa pula ceritanya.


Apa-apa pun, buat ahli-ahli UMNO, siap sedialah jika anda terpaksa mengusung jenazah individu-individu yang dimaksudkan oleh Tuan Guru. Anda perlu kasihani mereka, sebab mereka pernah kasihan dan peduli dengan nasib bangsa dan agama kita ini.



p/s# Suka dengan orang-orang Kedah khususnya di Alor Setar..tenang dan tak kalut macam kat Penang.

Thursday, October 22, 2009

Studi 'Last Minutes' dan Mahasiswa.

Alhamdulillah. Hanya itu yang dapat diluahkan bagi menggambarkan lega di hati. Kerja keras selama tiga hari, dalam suntuk waktu yang diberikan tanpa senggang, akhirnya berjaya juga dilunaskan. Lebih manis, mencapai pula KPI yang ditetapkan.


Posting ini bukanlah untuk mengangkat setinggi mahu mana-mana pihak ataupun individu. Mungkin kedengaran agak emosional, namun itulah sebenarnya juga yang mahu saya kongsikan kali ini. Jarang saya menulis begini, tetapi isu kali ini saya dedikasikan khas buat sahabat-sahabat yang telah berjaya menjadikan perancangan tiga hari dan gerak kerja ad-hoc sebagai satu kenyataan. Isu ini adalah berkaitan dengan Program Motivasi Pecutan Terakhir Peperikasaan.


Secara jujur, saya yang terlibat secara langsung dalam program ini, perlu mengakui bahawa inilah gerak kerja gila yang dibuat dalam tempoh waktu yang sangat singkat. Proses kelulusan projek berjaya diselesaikan dalam masa sehari termasuk urusan mendapatkan bajet, dan terus digerakkan dengan mesyuarat pertama bagi men‘draft’kan segala keperluan, pengisian dan sebagainya lagi.


Mesyuarat kedua pula dilakukan secara informal tetapi penuh tertib pada malam berikutnya. Ia juga merupakan mesyuarat gila pernah saya sertai bagi sebuah projek yang agak besar dan penting begini. Manakan tidak, Saudara Shafiq dengan selamba mengajak kami berbincang di Permatang Pelajar berhadapan Pusat Pengajian Seni. Tidak ada meja tidak ada kerusi dan tanpa suluhan cahaya yang terang-benderang, kami hanya duduk bersila di atas laluan permatang. Bukannya tidak ada tempat yang lebih selesa tetapi Shafiq sengaja memilih persekitaran yang lebih terbuka, tenang dan santai supaya kepala tidak menjadi berserabut dan dikawal mood yang tertekan pula.


Mesyuarat juga tidak mengambil masa yang terlalu lama. Hanya perkara penting sahaja dibincangkan. Segala hal berbangkit diserahkan sepenuhnya kepada setiap daripada kami yang hanya berjumlah tujuh orang. Pengarah Projek Saudara Romiko Ronaldo pula telah menguruskan banyak perkara sekali gus memudahkan urusan perancangan program ini. Begitu juga bantuan daripada Saudara Afiff, Saudari Elfarida dan Saudari Fadzilah sangat-sangat membantu melicinkan lagi tugas ini. Dan tak lupa kepada Saudari Bazilah yang tak pernah penat membantu segala program kelolaan MPP.


Selesai mesyuarat ad-hoc tersebut, kami terus bergerak dari desa ke desa bagi urusan publisiti. Poster-poster perlu dinaikkan segera memandangkan masa yang tinggal kurang 48 jam boleh merencatkan segala perancangan jika publisiti gagal dioptimumkan. Penat perlu diletak jauh-jauh. Kami perlu all out untuk program ini, demi adik-adik bak kata YDP. Bermula di Cahaya Gemilang, kami bergerak ke semua desa dengan kekuatan yang cukup kecil. Namun semangat sentiasa berkobar-kobar. Tugas menampal poster mesti dilunaskan termasuk di sekitar foyer Kompleks Dewan Kuliah. Tindak harus pantas, gegas harus tangkas.


Siap semua urusan, kami keluar makan sebentar. Dan pulangnya, terus bergerak ke foyer bagi melunaskan kerja menampal poster di setiap pintu dewan kuliah. Sesekali terasa seolah sedang dalam mood kempen pilihan raya kampus juga.


Dan lebih kurang beberapa jam yang lalu sebelum saya menulis posting ini, program tersebut telah pun berkahir. Seperti yang diharapkan, penyertaan daripada pelajar tahun pertama yang juga merupakan generasi sulung APEX adalah sangat positif. Hal ini ternyata sangat mengujakan kami. Tambah membanggakan apabila kehadiran dua orang penceramah iaitu Saudara Ramanathan (mantan NYDP 3 MPP USM sidang lepas) dan juga Dr. Jafri (ayahandanya si Saudara Afiff) berjaya membangkitkan suasana program. Wakil daripada HEPP pula iaitu Cik Mansur yang hadir agak lewat sempat meminta mikrofon untuk menyampaikan sedikit pesanan kepada mahasiswa tentang situasi sebenar peperiksaan dalam kampus USM.


Secara keseluruhan, pada saya, dan mungkin juga bagi kami semua, program motivasi ini telah pun berjaya direalisasikan sebaik mungkin. Team yang agak kecil tetapi mempunyai semangat kerja yang cukup tinggi adalah faktor utama yang memungkinkan perancangan program ini berjalan dengan lancar hingga ke penghujung acara. Selain itu, pengalaman menguruskan atau terlibat dengan program-program besar sebelum ini yang dimiliki oleh segelintir daripada kami sendiri turut membantu mengurangkan kesilapan sepanjang ia berlangsung.


Akhir kata saya ingin mengambil kesempatan di ruang ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada sahabat-sahabat dan juga para peserta yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan program ini. Semoga usaha kita semua dibalas dengan ganjaran yang setimpal oleh Yang Maha Kaya.




Poster program.



Elfarida Syahfitri, Exco MPP turut membantu menampal poster di sekitar kampus USM.



Elfarida dan Bazilah.



Saudara Afiff, Exco MPP juga turut membantu.



Mee bandung Pak Hussein.




Sekretariat ad-hoc Pendaftaran, Mat@Gadafi



Saudara Romiko Ronaldo, Exco MPP merangkap Pengarah Projek.




Sebahagian peserta yang sempat dirakamkan sedang tekun mendengar penerangan daripada Encik Mansur tentang peraturan peperiksaan USM.




Peserta lelaki yang datang agak lewat terpaksa duduk di belakang.

Tuesday, October 20, 2009

DUA JAM TANPA KENDERAAN MENGUJI KESUNGGUHAN MAHASISWA/I USM JAYAKAN KEMPEN KELESTARIAN


BOLEHKAH kita berkompromi dalam menjaga kelestarian alam sekitar?




Tahukah anda, setiap warga USM yang membawa kenderaan bermotor menyumbang lebih kurang 8.9 tan gas karbon dalam masa setahun?


Bertitik tolak atas kesedaran tersebut, MPP USM akan menganjurkan kempen Dua Jam Tanpa Kenderaan Bermotor di Kampus Induk USM, Minden pada 20hb Oktober 2009. Berlangsung selama dua jam bermula 2.30 petang hingga 4.30 petang, kempen ini dilihat sebagai satu kesinambungan kepada kempen yang sama yang diadakan pada sidang lepas.


Walau bagaimanapun menurut pengarah projek bagi kempen ini, Saudara Ahmad Wafi, kali ini ia diadakan secara lebih agresif dan mempunyai matlamat yang lebih besar dengan sasaran yang jauh lebih komprehensif berbanding kempen pada sidang lepas.


Justeru adalah menjadi harapan seluruh tenaga kerja dan sekretariat untuk melihat sokongan yang padu daripada warga USM tanpa mengira status sama ada pelajar, staff akademik mahupun staff biasa termasuk orang ramai yang berurusan di dalam kampus terhadap kempen ini.


Ia juga harus dilihat sebagai usaha manifestasi kesungguhan warga USM untuk menjayakan salah satu teras dalam program APEX iaitu kelestarian dengan tumpuan utama terhadap alam sekitar. Walaupun mungkin ada yang sinis dengan keberkesanannya, namun kita harus rasional dengan melihat dari sudut yang lebih positif.


Kita mungkin tidak mampu mengatasi secara total masalah pencemaran karbon di udara, tetapi kita sentiasa berupaya untuk mengurangkannya. Soalnya, adakah kita sedar dan bersedia melakukannya?






Sebahagian tenaga kerja yang akan terlibat secara langsung menjayakan kempen ini.



YDP MPP USM, Saudara Shafiq Aziz sedang berbincang dengan sekretariat kempen.



Saudara Shafiq Aziz sedang memberikan taklimat ringkas kepada sukarelawan kempen Dua Jam Tanpa Kenderaan Bermotor.



Sukarelawan yang terlibat yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi USM dari pelbagai peringkat umur dan pusat pengajian.



LESTARI
-KALAU BUKAN SEKARANG, BILA LAGI??..-

Thursday, October 15, 2009

Menjelang Pilihan Raya Kampus USM - Mahasiswa Kena Faham ISA

BAHAGIAN 1.


Saya akan terus menjawab persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh pihak SPF melalui buku Black or White mereka baru-baru ini. Dalam artikel saya sebelum ini, saya telah menyentuh berkenaan dengan isu AUKU yang didakwa telah menjadi penyebab kelesuan mahasiswa hari ini. Dan kali ini saya akan sentuh pula tentang isu ISA yang dianggap zalim dan tidak bertamadun. Soal benar atau tidak inilah yang akan saya kupas.


Kenapa saya menulis tentang ISA? Pertama, bukan kerana hendak mempertahankan mana-mana pihak. Pada saya, mahasiswa mesti berfikiran seimbang, tidak segera menghukum, tidak lekas menuduh. Mahasiswa mesti mencari fakta dan kebenaran. Kerana itulah saya menulis, iaitu untuk mendedahkan hal yang sebenar lebih-lebih lagi bila saya melihat wujud simpang-siur yang ketara dalam artikel yang disediakan oleh SPF melalui buku tersebut.


Dan keduanya, saya mahu wacana mahasiswa didengar. Wacana itu harus inklusif dan disebar dalam medium yang kondusif. SPF menulis dan menyebarkan wacana mereka melalui medium bercetak. Mereka mengedarkan risalah tersebut di serata tempat di USM. Tetapi saya tidak mempunyai kemampuan sebegitu, maka saya wajib menjawab tuduhan mereka melalui saluran ini. Harapan saya ialah mereka dan para pelajar lain akan membaca artikel saya ini, bukan kerana saya yang menulis tetapi kerana apa yang saya tulis. ISA wajib difahami oleh kita semua dari segenap sudut.


Umum tahu bahawa ISA ialah akta. Ia merupakan satu akta yang bertujuan menjaga keselamatan negara amnya dan rakyat khususnya. Akta ini mempunyai kuasa untuk menahan siapa-siapa sahaja, baik individu atau kumpulan, yang dikenalpasti boleh menimbulkan ancaman keselamatan terhadap orang ramai di negara ini. Proses penahanan ini pula tidak perlu melalui rutin perbicaraan seperti yang biasa dilakukan terhadap pesalah-pesalah undang-undang yang lain. Inilah sebenarnya yang membezakan akta ini dengan akta-akta lain yang digunapakai dalam sistem perundangan negara. Dan hal ini jugalah yang sering menjadi isu sehingga dituduh sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.


Tuduhan ini tidak timbul kosong. Mereka yang menentang akta ini, termasuk mahasiswa sendiri, sering menggunakan pengalaman individu yang pernah ditahan di bawah ISA sebagai modal untuk menyalahkan pelaksanaan akta tersebut. Cerita-cerita tentang kezaliman dalam pelaksanaan siasatan misalnya, yang dilakukan di bawah akta ini, barangkali sudah acab kali benar kita baca dan dengar. Saya sendiri mengakui bahawa pada tahap tertentu, proses tersebut agak keterlaluan dan menidakkan nilai kemanusiaan. Apatah kita percaya bahawa setiap yang dituduh tidak boleh disabitkan dengan kesalahan selagi ia tidak didapati bersalah dari sudut perundangan.



Di sebalik pagar duri ini usaha pembinaan semula insan berlaku.


Hakikat ini kemudian saya panjangkan pula dengan membandingkan beberapa pandangan daripada tokoh berkaliber tentang akta ini. Apakah yang mereka komentarkan? Pertama, saya tertarik dengan pandangan Dr. Kassim Ahmad. Beliau telah mengemukakan sekurang-kurangnya tiga asas penting iaitu antaranya; prinsip undang-undang ISA ialah kemudaratan kecil diharuskan untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar. Menurut beliau, perkara tersebut bukan sahaja diiktiraf dalam Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia bahkan ia juga diiktiraf dalam Quran.


Sebelum saya mengupas lebih lanjut akan hal ini, perlu ditegaskan sekali lagi bahawa walaupun wujud pertentangan yang ketara dalam Pengishtiharan Universal Hak Asasi Manusia berhubung dengan prinsip di atas (sila rujuk Artikel 9), namun ia harus dibaca bersama dengan Artikel 30 yang memberikan kenyataan yang lebih jelas serta berisi pengecualian yang dibenarkan dari lunas perundangan antarabangsa. Artikel ini juga membataskan secara tidak langsung Artikel 9. Lihat petikan Artikel 30 seperti berikut; “Tiada suatu pun dalam Perisytiharan ini boleh ditafsirkan sebagai bermakna mana-mana Negara, kumpulan atau orang mempunyai apa-apa hak untuk mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti atau melakukan sesuatu perbuatan yang ditujukan untuk merosakkan mana-mana hak dan kebebasan yang dinyatakan di sini.”


Justeru jelaslah di sini bahawa dakwaan yang mengatakan ISA menindas hak asasi manusia dari sudut perundangan masih lagi boleh dihujahkan, juga dari sudut perundangan. Hal ini demikian kerana, prinsip mencegah seperti yang dinyatakan di atas tadi telahpun diperakui dalam konteks perundangan sejagat sebagai langkah yang berkesan untuk membendung lebih banyak kemudaratan apatah jika ia berpotensi melibatkan kepentingan orang ramai. Adakah situasi ini begitu sukar untuk difahami? Kenapa kita masih terus skeptikal? Adakah menjadi kesalahan jika pihak berkuasa menahan individu atau kumpulan yang dilihat berpotensi mengancam keselamatan orang ramai? Tidakkah tindakan tersebut boleh didefinisikan sebagai langkah pencegahan?



Kem Tahanan (Kemta) Kemunting.

Saya suka untuk sekali lagi memetik contoh yang diberikan oleh Kassim Ahmad. Beliau telah mengemukakan satu situasi yang diambil daripada Al-Quran iaitu tentang kisah Nabi Musa berguru dengan hamba yang diberi ilmu oleh Allah (lihat Al-Quran 18: 60-82). Dalam cerita ini, salah satu kejadian yang disaksikan oleh Nabi Musa ialah guru itu tidak semena-mena membunuh seorang pemuda yang tidak berdosa. Reaksi Nabi Musa ialah memarahi beliau. Akhirnya, guru itu menerangkan kepada Musa bahawa ibu-bapa pemuda itu orang mukmin (bertakwa) yang baik, tetapi pemuda ini akan menjadi suatu bebanan besar kepada mereka, kerana kejahatan dan kekafirannya. Guru itu menambah bahawa perbuatannya (membunuh pemuda tersebut) bukan datang dari dirinya sediri, tetapi dari Yang Maha Mengetahui.


Kenapa cerita ini ditampilkan? Ia antara lain untuk menyatakan bahawa langkah mencegah kemudaratan yang lebih besar dibenarkan seandainya kita tahu potensinya memang wujud dan memang benar-benar memberikan ancaman. Dalam konteks ISA pula, apa yang lebih penting khususnya apabila terdengar desas-desus penambahbaikkan akan dibuat tidak lama lagi ialah, ia harus dipastikan tidak menjadi undang-undang yang boleh dikawal secara langsung oleh pihak Eksekutif. Kuasa ini harus dibataskan. Akta ini juga harus dibebaskan daripada pengaruh langsung pihak kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan manipulasi terhadap perlaksanaanya.


Pada masa yang sama, kita tentu tertanya-tanya, apakah bentuk siasatan yang dijalankan di bawah akta ini sehingga masyarakat begitu lantang menuntut pemansuhannya? Adakah ia benar-benar menzalimi hak asasi manusia? Tetapi adakah kita juga sedia untuk mencari jawapan jika ditanya; apakah ada cara yang lebih baik untuk melayan pengganas atau mereka yang berpotensi menimbulkan keganasan misalnya?


Saya akan melanjutkan perbincangan ini dalam bahagian seterusnya selepas ini, insya-Allah.


Menjelang Pilihan Raya Kampus USM - Anjing Gampang Menyalak dalam Kampus

Sekali lagi pihak pro-M cuba memainkan isu yang basi menjelang pilihan raya kampus USM tidak lama lagi. Mereka cuba tampil sebagai jaguh dan mahu menjuarai beberapa isu yang antara lain tentunya berkaitan dengan hak dan kebajikan pelajar.


Apakah mereka ketinggalan selama ini kerana isu-isu tersebut sebenarnya sudahpun diusahakan oleh pihak MPP yang ditunjangi oleh pemimpin pro-Aspirasi sejak sekian lama? Adakah mereka lupa yang mereka cuma mengulangi skrip lama perjuangan yang ditolak oleh para pelajar USM?


Walaupun tidak dinyatakan siapakah yang bertanggungjawab menyebarkan risalah haram terbaru ini (yang mula diedarkan sejak 14 Okt.), namun tidaklah sukar untuk mengenali ‘penulisnya’. Kita faham benar siapa yang menghasilkan risalah tersebut. Tidak lain dan tidak bukan tentunya SPF.


Persoalannya, kalau anda benar-benar pejuang mahasiswa, kenapa hendak berselindung? Kenapa setengah jam saja buka kaunter kemudian tutup? Tercapaikah matlamat anda sebagai pejuang? Apa hasil yang anda dapat? Apa hasil yang pelajar lain dapat daripada usaha dan tindakan anda itu?


Siapa SPF? (Definisi literal dan konseptual tentang siapa mereka ada saya ulas dalam artikel terdahulu). Mereka adalah kumpulan upahan (anjing) yang makan bersuap dan penyuapnya ialah pihak-pihak tertentu yang selalu saja cuba ‘memasuki’ arena politik kampus. Adakah mereka pemain ‘catur’ politik? Di dalam kampus, mereka jelas sekali berpolitik tanpa asas dan pengetahuan yang jelas.


Dan sebagai anjing pula, sudah tentu mereka lapar dan dahaga. Mereka tidak duduk diam. Mereka akan cari peluang untuk melepaskan rasa tidak puas hati terhadap perkara-perkara tertentu (yang sebenarnya tidak ada ‘benda’ pun). Malangnya, isu yang mereka ‘kerumuni’ kali ini tidak ada yang baru melainkan sisa-sisa yang basi-basi saja.


Tetapi begitulah mereka diajar – memakan kesempatan di atas kekurangan musuh ketika musuh masih berusaha membaiki keadaan tersebut. Merekalah suara-suara yang ‘kufur’, yang tidak pernah mahu bersyukur, yang tidak pernah terfikir untuk berterima kasih, yang selalu menidakkan kebenaran.


PMI, anda pun terlibat sama selagi anda berada di bawah pro-M.





Kata artikel ini, pilihlah mereka yang dapat berinteraksi dengan pihak universiti, meluahkan suara hati pelajar dan membantah segala perkara yang yang membatasi hak pelajar. Setiap undi yang memihak kepada pro-M 'mungkin' :

1. Meningkatkan perkhidmatan sistem bas komuter.

2. Tidak perlu risau tentang masalah perkhidmatan wifi.
3. Meningkatkan tahap hidup dalam kampus.

4. Mempunyai lebih autonomi.


Tapi sedarkah wahai pro-M, wahai SPF bahawa;

1. 20 buah bas yang bergerak dalam kampus sekecil USM ini setiap masa lebih daripada cukup?

2. Perkhidmatan wifi sentiasa dipertingkatkan. Baru-baru ini MPP telah menganjurkan dialog bersama pihak pengurusan. SPF paling banyak bertanya pada sesi dialog tersebut. Pihak pengurusan juga mengumumkan peruntukan berjuta ringgit untuk mempertingkatkan kualiti sediaan wifi di seluruh desasiswa dengan tumpuan utama di RST. Tak cukup lagi ke?

3. Tahap hidup di dalam kampus sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Kualiti penginapan misalnya sentiasa diberi perhatian. CCTV dengan pemantauan 24 jam sudah bersepah di sekitar kampus. Tak cukup lagi? Cari sendiri.


4. Lebih autonomi? Setiap masa para pelajar melalui persatuan yang diwakili menganjurkan program dan aktiviti mereka. Pelajar bebas menyatakan pandangan mereka. AUKU yang dipinda juga membenarkan pelajar lebih aktif. Yang menjadi lesu, terkongkong adalah kerana sikap mereka sendiri. Jangan salahkan MPP atau universiti jika usaha anda memancing perhatian pelajar terhadap aktiviti 'haram' anda gagal setiap kali diadakan.





SPF juga 'memberi jaminan' jika pelajar mengundi pro-M, desasiswa pasti dapat. Masalah berkaitan penginapan tidak akan timbul. Semua pelajar akan diberikan kunci bilik.

Tapi tahukah SPF, urusan penginapan bukannya urusan kerja MPP? MPP hanya memperjuangkan hak pelajar. Dalam isu penginapan yang berlaku sidang lepas, MPP yang didokong oleh pro-Aspirasilah yang paling gigih berjuang menuntut kembali kunci-kunci bilik. Adakah anda faham situasi yang berlaku? Cukupkah dengan hanya menghantar reforandum, memo dan sebagainya?

Adakah SPF, dan pro-M amnya, faham bahawa terdapat kriteria tertentu untuk melayakkan pelajar mendapat bilik? Ini zaman kompetitif. Pelajar harus bersaing kerana tiada jaminan sepenuhnya untuk mereka mendapat keistimewaan sebagai penghuni 'dalam'. Bagaimana? Melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti dan desasiswa sendiri. Adakah ini adil? Terpulang kepada inidividu sendiri untuk menilai. Tetapi yang jelas, ia sistem yang praktikal.



Ini mungkin bahagian yang paling sinis dalam artikel ini. Bukan bernada sinis, tetapi meninggalkan persepsi sinis kepada pembaca bahawa ia hanyalah retorik semata-mata.

Tahukah SPF bahawa amalan demokrasi di kampus USM merupakan antara yang terbaik dalam kalangan IPTA yang ada di Malaysia ketika ini di mana suara dan hak pelajar sentiasa mendapat tempat dalam sistem yang diterjemahkan semasa pilihan raya diadakan? Sejak sekian lama, pilihan raya telah memberikan ruang kepada pelajar memilih pemimpin dalam MPP. Justeru kenapa hendak dipertikaikan lagi?

Tahukah SPF bahawa pilihan raya kampus jugalah yang pernah memberikan peluang kepada pr0-M 'berkuasa' dalam MPP tidak lama dahulu? Tetapi apa hasilnya? Kalau MPP pro-M efektif kenapa pelajar mula mengubah arah dengan mengundi calon-calon yang bersama aspirasi universiti sejak tahun-tahun ke belakang? Apakah yang pelajar inginkan daripada MPP?


Rayuan?



Fahami betul-betul tiga perkataan ini. Ia bukan hanya berkaitan dengan pilihan raya, tetapi lebih kepada usaha menentukan siapakah yang paling layak memimpin dan memperjuangkan kebajikan pelajar. Plihan raya hanya satu proses politik yang bersifat sementara, tetapi MPP ialah organisasi yang akan berkerja untuk satu sidang.

Monday, October 12, 2009

Bagan Pinang Talian Hayat untuk UMNO?


Kemenangan UMNO/BN semalam wajar diraikan. Ehsan dari House of PK.


Tahniah kepada Tan Sri Isa Samad yang baru sahaja memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang diumumkan malam semalam. Khas buat jentera BN dan para blogger BPN yang bertungkus lumus memerangi kemunafikan PAS pula, syabas anda telah melakukannya! Bersyukurlah.

Tan Sri Isa merupakan calon popular di kawasan tersebut, mewakili pula sebuah parti keramat yang memang sudah kukuh dalam kalangan masyarakat tempatan, dan lebih penting, menjadi wakil kepada sebuah gabungan parti-parti dalam BN yang memang mempunyai reputasi baik serta diyakini oleh penduduk tempatan. Namun bagaimanakah kita boleh terjemahkan kemenangan semalam?

Dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini, BN ternyata sudah dibelasah teruk. BN seolah-olah hilang taringnya, gagal mengaum dan melawan kembali asakan-asakan pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat. BN juga seolahnya sudah hilang kepercayaan rakyat yang selama ini begitu yakin dengan keupayaan pemerintahannya.

Lantas DUN Bagan Pinang digunakan sebaik mungkin untuk mengembalikan aura BN dan UMNO sendiri khususnya. Melihat kembali siri pilihan raya kecil yang lalu, hampir kesemuanya melibatkan calon daripada UMNO. Justeru, DUN Bagan Pinang yang sememangnya merupakan kubu kuat UMNO adalah peluang terbaik bagi memulihkan imej parti tersebut dan BN keseluruhannya. Sekurang-kurangnya, itulah yang bermain di minda para strategis UMNO kali ini.

Namun, bolehkah kemenangan semalam diinterpretasikan sebagai kejayaan? Adakah UMNO sudah benar-benar pulih, sudah mampu bersorak dengan gah seperti yang biasa dilakukan selama ini? Adakah UMNO benar-benar sudah mampu memenangi kembali hati pengundi?

Jika calon dilihat sebagai faktor, maka sudah pastilah UMNO dan BN telah melakukan tindakan yang betul. Mempertaruhkan seorang calon yang kuat di tempat beliau sendiri merupakah salah satu strategi bijak yang mesti dilakukan oleh jentera pilihan raya. Dan jika ini benar, maka sudah pastilah PAS gagal kerana calonnya bukan yang terbaik seperti yang diinginkan oleh para pengundi, bukan kerana faktor PAS itu sendiri sepenuhnya.

Walau apa pun terjemahan yang boleh dilakukan, UMNO pada pandangan saya masih belum mencapai sebarang kejayaan. Masih banyak yang perlu dilakukan. Kemenangan semalam masih boleh dirai dan disyukuri tetapi kita jangan lupa dengan kegagalan-kegagalan lalu. Saya juga tidak menolak mentah kata-kata yang diucapkan oleh Mahfuz Omar. Beliau bercakap dari sudut pandang sebagai pembangkang yang tidak berada dalam UMNO, dan mungkin apa yang beliau katakan itu ada benarnya.

Selagi palitan imej sebagai parti yang bergelumang dengan rasuah dan kini menanggung pelbagai liabiliti termasuk Ketua Pemuda UMNO itu sendiri, saya yakin parti ini masih belum mampu menawan kembali Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang. UMNO juga perlu lebih serius dalam BN dan mengambil berat masalah yang berlaku dalam parti kompenan yang lain khususnya MCA dan MIC.


* Tahniah kepada seluruh blogger BPN!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...