Followers

Wednesday, August 26, 2009

Keganasan, Penipuan & Internet. Tanda Soal.

Khas untuk Mr. Imran
....................


Dalam sebuah buku (saya kira bukan ilmiah) yang ditulis oleh Hishamuddin Rais (selepas ini disebut orang ini sahaja) yang diberi tajuk lebih kurang begini; Keganasan, Penipuan & Internet (saya rasa ramai yang dah baca, atau mungkin juga lebih ramai yang tak tahu pun wujud buku ini – saya pun kebetulan saja terkelih pandang), dalam satu bab awal (mual nak habiskan seluruh penulisan ini) yang diberi kepala tajuknya iaitu Sekolah dan Kapal Selam, orang ini telah menyimpulkan bahagian ini dengan berkata;

“Semenjak saya belajar di universiti lagi saya memiliki pandangan dan cadangan bahawa pembelajaran wajib diberikan secara percuma. Melihat kepada kacau-bilau yang sedang berlaku hari ini maka pandangan dan cadangan saya ini amat susah untuk dipatahkan. Jika ada yang cuba menolak pandangan saya ini dengan alasan bahawa negara kita tidak mampu untuk memberi pelajaran percuma maka saya akan menjawab – kita memiliki kemampuan ekonomi yang lumayan. Hanya pemimpin kita yang salah fokus. Rakyat tidak pernah memerlukan kapal selam. Apa yang orang ramai perlukan ialah seratus buah lagi sekolah dan universiti. Antara kapal selam dan Fakulti Perubatan mana yang lebih mendatangkan faedah?"
(Hishamuddin Rais, t.t.i:20)

Pertama, saya tertanya-tanya, demikian apakah justifikasinya bagi orang ini untuk menyimpulkan segala perbincangannya dalam bahagian ini, dengan pandangan seperti di atas? Seluruh isi perbincangannya nampak jelas benar bias di merata tempat.

Memandangkan ini negara demokrasi yang membenarkan siapa sahaja berhujah dan mengkritik sesama sendiri (inilah juga yang diperju-wang-kan oleh spesis-spesis kerabat penulis buku ini rasanya – kebebasan bersuara! – baca: untuk RM), maka saya terpanggil untuk bercakap-cakap tentang pandangan orang ini, berpaksikan dari jurus pandang saya sendiri tentunya (jangan malu dengan ilmu yang cetek).

Saya mahu bertanya, jika boleh, pada frasa awal ayat orang ini, dia katakan bahawa semenjak awal dia belajar di universiti – di sini, saya ada satu lagi soalan, yang didasarkan kepada kenyataan dia sebelum itu bahawa dalam ramai-ramai kawan yang masuk sekolah, hanya dua orang sahaja yang masuk universiti, dan seorangnya tentu dia kerana dia memang graduan dari sebuah IPTA, jadi, apakah pertimbangan dia secara holistik untuk menggeruhkan hakikat bahawa sistem pendidikan kita telah berjaya, sekurang-kurangnya kepada dirinya sendiri? – jadi, adakah justifikasi orang ini hanya bersandarkan kepada pengalaman dan pengamatannya sendiri lalu terbit analisa yang akhirnya disimpulkan sedemikian sekali?

Orang ini juga ada pandangan bahawa pembelajaran WAJIB diberikan percuma – mak cik dan pak cik boleh bergembira untuk mengundi orang ini jika dia calon Presiden UMNO lima tahun akan datang – dan, cadangan tersebut cuba dipaksakan kepada orang lain (pembaca) seolah-olah dia ada solusi yang cukup baik, ampuh dan pasti berkesan.

Soalan saya, adakah orang ini ahli pendidikan yang berada dalam sistem pendidikan nasional – di negara ini ada falsafah pendidikan yang dilaksanakan oleh pemerintah melalui dasar-dasar yang cukup praktikal – untuk membenarkan dia berpandangan sedemikian? Saya sangat tidak faham, kerana setahu saya, orang ini agak berpengaruh.
Saya tidak mahu segera berprejudis (walaupun ada sebab yang boleh) dengan mengatakan bahawa buku ini ditulis atas semangat kekomersialan semata-mata kerana/walaupun memang banyak sisi yang tempang jika diukur dari sudut studinya.

Misalnya, pada ayat yang sama juga, orang ini menyatakan pada pandangannya, pendidikan WAJIB diberikan percuma, dan dia ada sebab yang sukar sekali dipatahkan oleh siapa-siapa pun – termasuk Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, dan tentu sekali Menteri Pelajaran – untuk menolak cadangan tersebut. Tapi apakah butir-butirnya? Saya tak jumpa. Kesal.

Prejudis jujurnya semakin mula menebal dengan hasil isi buku ini. Mungkin ayat yang berikutnya sedikit menjawab, iaitu kita punya hasil ekonomi yang lumayan. Saya sekali lagi hendak bertanya, apakah justifikasinya? Hasil ekonomi lumayan adalah satu hal, pendidikan pula adalah satu hal.

Hasil ekonomi adalah hasil yang kita peroleh, yang memberikan kita kekayaan ataupun kemiskinan daripada usaha yang kita kerjakan, yang juga memberikan kita kuasa untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti lain. Tapi pendidikan?

Saya berfikiran, adalah perlu juga untuk dikesampingkan dulu ideologi sosialis – kerana orang ini sosialis rasanya – sebelum kita lihat suasana sosio-ekonomi dan politik negara ini. (TAHUKAH ANDA BAHAWA: Memberikan pendidikan yang percuma adalah salah satu aspek dalam perju-wang-an sosialis?).

Dan mari kita analatikal dengan berfikir berlandaskan situasi sebenar, iaitu, mampukah kita percumakan pendidikan – ambil kira kos – dengan hanya bergantung kepada hasil ekonomi yang dianggap oleh orang ini sebagai lumayan? Saya nak tanya, orang ini berfikir dalam korpus minda zaman kolonialkah, iaitu era ketika kita memang punya hasil mahsul yang lumayan (yang ketika itu memang diangkut semuanya oleh pemerintah/penjarah)? Kesalnya.

Saya memilih untuk keluar dari kelompok kelogikan – jika ada pun – hujah orang ini. Saya memilih untuk berpandangan betapa pendidikan percuma kalau pun boleh dilaksanakan, pasti lambat laun, ada harga yang cukup mahal terpaksa kita bayarkan.

Kita terpaksa melangsaikan banyak hal hanya semata-mata untuk memberikan sesuatu yang percuma yang kononnya dapat membantu rakyat marhaein dan orang-orang kampung yang totok perlukan bantuan. Pada saya, negara berkebajikan sekali pun belum mampu untuk memberi percuma pendidikannya kepada anak bangsa. Banyak yang perlu difikirkan lagi.

Saya juga hairan, kenapa orang ini begitu mahukan supaya pendidikan di negara ini dipercumakan kepada rakyat? Bukankah dia tahu yang tahun-tahun kebelakang sudah ada anjakan yang dibuat demi rakyat oleh pihak pemerintah kita, misalnya, penghapusan beberapa jenis yuran pengajian di peringkat sekolah, buku-buku teks percuma, pengurangan caj perkhidmatan PTPTN dan sebagainya lagi?

Saya tidak juga mahu berprejudis dengan mengatakan orang ini terkena badi sumpahan akibat pemulauan media arus perdana sehingga dia jadi begitu sempit sekali. Saya percaya, dengan status ilmu dan kenalan-kenalan politik yang dia ada, tentunya dia lebih maklum akan hal ini - kalau mamak warung pun tahu, tak kan dia ni tak tahu pulak.

Kisah pendidikan percuma juga setahu saya bukan benda baru. Dalam politik tanah air, ia begitu dimodalkan. Tapi yang sangat saya hairankan – tak kira parti mana pun atau dari mulut siapa pun – adakah orang-orang itu (termasuk orang ini) langsung tidak memikirkan tentang implikasi-implikasi yang boleh timbul kelak sekiranya sistem ilmu yang disandarkan harapan menggunung untuk mencapai falsafah pendidikan kebangsaan ini dipercumakan?

Adakah mereka suka untuk terus menyangkakan atau berpendapat bahawa pihak pemerintah terlalu zalim dan kejam lagi tidak berperikemanusiaan hanya kerana tidak mampu menyediakan satu sistem pendidikan yang percuma kepada rakyat ketika ekonominya dalam kondisi yang baik? Kesal sekali jika benar begitu. Semberono. Melulu.

Sebelum saya diterima masuk sebagai warga penuntut IPTA dua tahun yang lalu– selepas berjaya melepasi halangan demi halangan dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah sejak dari darjah satu – saya terlebih dahulu menerima sepucuk surat tawaran yang disertakan juga dengan maklumat am program pengajian saya.

Dalam maklumat tersebut, tertera juga – saya dimomokkan bahawa ia hanya satu propoganda daripada kerajaan – satu jadual tentang kos pengajian yang harus saya tanggung dan juga yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan.

Saya agak tidak menyangka. Kos pengajian saya, jika benar seperti yang dicatatkan, adalah sangat tinggi dan tentu sekali saya tidak mampu untuk menyediakan wang sejumlah itu jika pihak kerajaan yang dianggap zalim ini tidak menanggung sebahagiannya. Saya percaya banyak rakan lain yang setuju dengan kenyataan saya ini. Ia berkaitan dengan KOS.

Justeru saya sangat tidak faham sekiranya orang-orang di luar sana masih menganggap pihak pemerintah kita zalim kerana tidak mahu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya sendiri. Saya tidak faham kenapa ia hendak dijadikan isu pada hari ini.

Jika pun dipercumakan, yang bersenang-senang sudah pasti rakyat tetapi yang menanggung segala kos berkait kelak sudah PASTI kerajaan. Lambat laun boleh papa kedana juga rasanya – orang pandai semakin bertambah.

Sebagai contoh, untuk bidang pengajian kejuruteraan, kos keseluruhan pengajian yang WAJIB ditanggung oleh pelajar ialah RM53,130 (IPTA). Namun, pihak kerajaan yang zalim ini telah menanggung sebanyak RM46,630 daripada keseluruhan kos tersebut. Jadi, berapakah kos yang perlu ditanggung oleh pelajar? Orang ini rasanya ada cukup kalkulator – kalau dia perlukanlah – untuk menghitung angka-angka mudah ini.

Ketika negara kita cuba bertatih dahulu selepas keluar daripada zaman gerhana pasca-merdeka (ketika penjarah-penjarah pulang bergaya ke negara asal mereka), kita hanya dikenal oleh segelintir rakan sebagai negara yang sangat sedang berusaha membangunkan dirinya. Kita cuba lepasi peringkat sukar kemelut demi kemelut – ekonomi, sosial dan politik – yang bercampur aduk sehingga merungsingkan pihak kerajaan.

Namun pada waktu itu, rakyat berpadu hati dan enggan berkerat rotan menuntut bukan-bukan kerana semuanya faham situasi yang dialami (kecuali 13 Mei). Isu pendidikan memang menjadi antara isu penting. Tetapi selain isu ini, negara juga jarus berdepan dengan banyak lagi isu. Dan sehingga hari ini, kekal, pendidikan menjadi sebahagian daripada isu yang menarik perhatian banyak pihak.

Dalam situasi yang menarik perhatian inilah barangkali orang ini menggunakan istilah kacau-bilau. Saya faham. Saya mengerti gelandangan gelojak fikirnya. Saya tahu maksudnya kerana saya juga rakyat negara ini. Tetapi saya kesal kerana dalam kecanggihan teknologi berbahasa, dan dalam sedemikian banyak istilah yang ada, orang ini akhirnya memilih ‘kacau-bilau’ hanya untuk memesrakan para pembacanya (yang totok pasti terkekeh-kekeh).

Saya rasa kacau-bilau hanya satu istilah yang sengaja-sengaja dibobrokkan. Nah, kalau di situ ada kacau-bilau, pasti juga ada pengacaunya, atau tukang kacaunya. Saya mahu bertanya, siapakah orang-orang itu? Melihat kepada akhir-akhir ini juga – sesuai juga dengan maksud ayat orang ini – saya rasakan bahawa pengacau-pengacau dan tukang-tukang kacau itu sebenarnya ialah puak-puak sealiran dengan orang ini sendiri.

Misalnya, isu pendidikan telah diheret ke jalanan ketika pihak kerajaan – yang menggubal dasar – telah pun berjanji akan mengkaji isu-isu berbangkit tersebut. Jadi, soalnya sekarang, siapakah sebenarnya yang mewujudkan suasana kacau-bilau tersebut? Pak-pak Menteri?

Saya hendak tergelak tetapi rasa macam kurang ajar, tetapi hakikatnya, sebagai sebuah kerajaan, saya yakin tidak pernah terdetik sedikit pun di hati pak-pak Menteri ini untuk menjahanamkan nasib anak bangsa. Mereka sentiasa mencari jalan terbaik jika di situ ada masalah yang berbangkit, kerana prinsip asas manusia itu sendiri tidak dapat lari daripada kesilapan.

Namun yang menjadi kacaunya apabila setiap kesilapan itu akan dilihat sebagai peluang, atau umpan oleh puak-puak pengacau ini untuk menyerang balas. Memang benar, menjadi pengkritik lebih mudah daripada menjadi penghasil. Orang ini telah membuktikannya melalui buku ini.

Dan lagi, saya juga rasa geli hati apabila membaca frasa orang ini yang seterusnya. Katanya, hanya pemimpin kita yang salah fokus. Wah!!! Hebat betul orang ini. Kagum betul saya dengan orang ini – dahulu saya langsung tidak kenal malah tak ingin pun hendak tahu tentang orang ini – sehingga mampu mengeluarkan sedemikian justifikasi. Saya rasa, hukuman itu terlalu umum.

Dalam konteks pendidikan – tentunya – kesalahfokusan yang cuba dimaksudkan oleh orang ini bagi saya, hanya kerana dia melihat ada pincang dan simpang siur yang sepatutnya tidak berlaku dalam sistem, tetapi dilakukan oleh pihak pemerintah. Saya ingin juga bertanya, sedari awal bab ini, saya hanya temukan satu saja contoh yang bunyinya agak sahih iaitu berkenaan dengan masalah penempatan dan permohonan pelajar perubatan.

Pun, saya masih tercari-cari dimanakah orang ini sorokkan fakta-fakta yang seharusnya dia tampilkan bagi melengkapkan bukunya itu, berhubungan dengan kenyataan tersebut (Fakulti Perubatan), tetapi tetap juga tak jumpa. Kesalnya. Terasa seperti membaca sebuah novel politik yang penuh unsur rumours.

Ahkir, mungkin, saya ingin menyatakan sedikit keterujaan dengan persoalan yang ditinggalkan oleh orang ini iaitu, antara Fakulti Perubatan dan kapal selam, yang manakah lebih penting? Soalannya begitu.

Namun, soalnya sekarang, apakah pertimbangan yang dia gunakan sehingga akhirnya ditanyakan kepada kita yang demikian? Apakah kondisi situasi yang telah beliau fahamkan? Apakah petanda-petanda yang dia dapat, atau wahyu dari langit mana yang beliau – maaf, dia - terima sebelum tergerak hati menimbulkan sedemikian persoalan?

Sengaja hendak mencetuskan polemik barangkali (khusus dalam minda-minda rakyat yang malas hendak fikir dalam-dalam). Saya yakin dan percaya bahawa orang ini tahu yang soalannya itu tak wajar sama sekali. Pada saya, soalan ini harus dilihat terpisah kerana tidak adil rasanya kita menolak salah satu daripadanya (lebih-lebih kalau kita ambil kira segala faktor dan aspek persekitaran yang wujud).

Antara Fakulti Perubatan dan kapal selam, pada saya, kedua-duanya sama penting. Tetapi yang lebih penting ialah kita mesti tahu sungguh-sungguh bahawa pihak pemerintah melihat kedua-duanya dari sudut yang berbeza tapi tetapi tetap sama dari segi peri pentingnya, dan segala usaha digerakkan seiring untuk memastikan kedua-duanya sama-sama memberi manfaat kepada rakyat.

Pada saya juga, sebuah pemerintah yang baik haruslah lebih terkehadapan dalam menyelami dan memahami kehendak rakyat, dan bukannya hanya menunaikan permintaan yang dibuat pada masa-masa yang tertentu sahaja. Dalam erti kata lain, pemerintah itu haruslah tahu apa yang terbaik untuk rakyatnya malah kalau perlu, melangkaui batas masa dan batas jangkaan minda dalam kalangan rakyatnya itu sendiri.

Jika kita bercakap dari sudut kesihatan, sudah tentu kita akan berpendapat bahawa Fakulti Perubatan lebih penting. Tetapi apabila kita bercakap soal keselamatan, pertahanan negara dan ancaman-ancaman lainnya, kita akan setuju bahawa kapal selam itu juga penting sebagai salah satu kelengkapan persenjataan. Dan jika kita bercakap tentang kedua-duanya sekali gus, kita pasti menerima hakikat bahawa kedua-duanya sama penting. Untuk siapa? Rakyat. PASTI.

Saya kesal jika terpaksa menutup cakap-cakap ini dengan prejudis masih bertamu di hati. Saya enggan membiarkan semua rasa prejudis ini terus wujud lantas saya bertekad untuk lebih mengenali orang ini khususnya pemikiran-pemikiran yang beliau komentarkan. Bukan apa, mungkin boleh juga dijadikan lelucon minda yang penat. Boleh bergeli hati lagi, mungkin.

Tuesday, August 25, 2009

Mengenali Gerakan Mahasiswa Masa Kini – BAHAGIAN AKHIR

Aspirasi.

Perbincangan mengenai gerakan mahasiswa tidak akan selesai jika kita tidak bercakap tentang pro-Aspirasi. Di sesetengah IPTA, nama gerakan ini sudah pun ditukar. Misalnya di UM, nama gerakan ini kini lebih dikenali sebagai Penggerak. Namun, semangat perjuangan dan matlamat gerakan ini tetap sama iaitu mendukung aspirasi universiti dan juga dasar-dasar oleh the government of the day yang berkait rapat dengan mahasiswa.

Di USM sendiri misalnya, nama Aspirasi begitu kuat dan telah mencapai banyak kejayaan dalam pilihanraya kampus khususnya selepas tahun 2000. Aspirasi terus menjadi pilihan kerana prinsip perjuangannya yang sentiasa bersama dengan arus kepimpinan universiti dan pada masa yang sama tetap memperjuangkan agenda dan kepentingan para pelajar.

Apakah sebenarnya Aspirasi? Dan siapakah pula pendokong-pendokong pro-Aspirasi? Persoalan-persoalan ini sering ditanyakan malah menimbulkan perdebatan yang hangat dalam kalangan mahasiswa. Ramai yang melihat Aspirasi sebagai sebuah entiti yang terorganisasi seperti sebuah persatuan ataupun pertubuhan yang lainnya. Bagi mereka, gerakan ini sama saja seperti persatuan-persatuan yang wujud di USM khususnya dan IPTA lain umumnya.

Pandangan atau persepsi ini sebenarnya tidak tepat. Sejak sekian lama pejuang-pejuang dan pendokong Aspirasi tidak pernah menganggap gerakan mereka sebagai sebuah badan atau pertubuhan yang sama seperti mana-mana persatuan berdaftar. Malah, tidak ada satu pun persatuan yang boleh digelar sebagai Persatuan Aspirasi di USM. Justeru pandangan ataupun kenyataan yang menyebut “saya masuk Aspirasi” atau “dia ahli Aspirasi” adalah tidak tepat sama sekali.

Aspirasi adalah semangat. Aspirasi yang harus difaham oleh semua pelajar ialah kecintaan terhadap Universiti yang dikongsi bersama dan dibangga-banggakan. Kecintaan inilah yang harus diterjemahkan dengan sebaik mungkin termasuk menyokong dasar-dasar dan hala tuju pihak universiti dan bukan menentangnya secara melulu.

Aspirasi harus wujud dan tersemai dalam diri semua pelajar tak kira apakah ideologinya, atau persatuan mana yang dia sertai. Semua orang harus ada semangat cintakan universiti. Malangnya, segelintir pelajar terlalu skeptikal dan menganggap perjuangan yang menyokong aspirasi universiti ini sebagai perjuangan yang penuh dengan agenda tersembunyi. Mereka melabelkan penyokong-penyokong Aspirasi dengan pelbagai nama dan gelaran.

Aspirasi yang begitu banyak menyumbang keringat untuk kemajuan universiti selama ini juga sebenarnya lahir daripada semangat kesukarelaan yang jitu. Ia wujud dalam diri setiap penggeraknya. Ia didokong oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mahu menyumbang sesuatu kepada universiti tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Saya juga tidak nampak apa perlunya pelajar-pelajar yang berselindung di sebalik persatuan ataupun pertubuhan tertentu menyerang pihak yang mendukung aspirasi universiti dengan begitu lantang. Sikap mereka seolah-olah mereka saja yang betul dan universiti harus pula mengikut kehendak pelajar.

Tuntutan demi tuntutan yang bukan-bukan, kadang-kala, hanya menyebabkan pandangan umum terhadap golongan ini sebagai akal pendek dan tidak matang. Apakah mereka hanya tahu membuat tuntutan saja tapi apabila diminta bersama-sama membangunkan universiti mereka lari? Adakah mereka lebih suka bersikap baling batu sembunyi tangan dalam tuntutan-tuntutan tertentu yang mereka buat?

Apabila saya menulis begini maka adakah saya seorang penyokong Aspirasi? Ya, saya katakan dan saya mengaku saya memang menyokong aspirasi universiti. Saya bangga kerana mempunyai perasaan ini. Dan saya juga tidak ada masalah dengan PMI yang jika dilihat dari satu sudut, sentiasa menentang agenda aspirasi. Saya juga adalah ahli berdaftar dengan PMI (itupun jika belum dipadam).

Jika rakan-rakan di luar sana mempunyai perasaan sayang, cinta dan kasih akan universiti yang menjadi menara ilmu buat kita semua ini, sama seperti saya, justeru rakan-rakan juga sebenarnya sama seperti saya. Kita sama-sama berkongsi aspirasi yang sama. Saya Aspirasi, anda Aspirasi, kita Aspirasi!!!

Salam Aspirasi Untuk Mahasiswa Bersatu.

Mengenali Gerakan Mahasiswa Masa Kini – BAHAGIAN TIGA

UBU, ODC dan NED


Selain DEMA, SMM dan GAMIS, terdapat beberapa lagi gerakan yang berorientasikan mahasiswa yang bergiat aktif menyebarkan pemikiran, ideologi dan propaganda menentang pihak universiti dan kerajaan.

Antara gerakan tersebut yang paling menonjol ialah Universiti Bangsar Utama (UBU) yang dipimpin dan dilatih secara langsung oleh Hishamuddin Rais, bekas pensyarah UM, dan juga Open Dialogue Centre (ODC) yang lebih bersifat antarabangsa.

UBU secara rasminya ditubuhkan pada tahun 2001 untuk menyebarkan dakyah, pemikiran dan ideologi sosialis yang didokong oleh universiti ini. Kebanyakan aktiviti mereka lebih berbentuk kuliah akademik yang mengajarkan teori-teori dan falsafah politik dan idelogi sosialis totok.

Antara individu penting yang menjalankan aktiviti tersebut tentunya Hishamuddin Rais, penulis buku Keganasan, Penipuan dan Internet yang khusus untuk menyerang peribadi Perdana Menteri DS Najib.

Beliau juga merupakan bekas aktivis reformasi totok pada tahun 1999. Hishamuddin juga merupakan salah seorang kolumnis di Malaysiakini.com dan bergerak aktif melalui Kelab Budaya Universiti Bangsar Utama (KUBU). Selain itu, beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti kebudayaan termasuk menjadi tenaga pengajar di ASWARA.

Sementara itu, Open Dialogue Centre pula merupakan salah satu agenda tersembunyi peringkat antarabangsa yang digerakkan secara langsung oleh National Endowment for Democracy (NED). Apakah sebenarnya ODC dan NED ini? Apakah perkaitan gerakan-gerakan ini dengan mahasiswa IPTA di Malaysia hari ini?

Jika dilihat secara langsung, barangkali kita tidak akan nampak perkaitannya kerana ia melibatkan jaringan-jaringan yang sukar dikesan.ODC beroperasi sebagai sebuah syarikat Sendirian Berhad di negara ini, namun hakikatnya, ia wujud di kebanyakan negara lain termasuk Singapura dan Indonesia dengan menggunakan pelbagai nama.

Ia sangat rapat dengan gerakan mahasiswa yang berideologi sosialis dan sebagainya yang sentiasa berkobar-kobar menuntut ataupun mendesak pihak pemerintah mengikut kemahuan mereka. Mungkin kita boleh mengambil contoh gerakan mahasiswa yang pernah berlaku di Indonesia suatu ketika dahulu untuk lebih memahami hal ini.

Di Malaysia, ODC mempunyai gaya yang lebih terhormat. Ia membina reputasi dan pengaruh dalam kalangan mahasiswa dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang lebih ilmiah seperti forum, diskusi isu semasa, seminar, debat dan sebagainya lagi.

Walaupun jarang sekali kita dengar gerakan ini menaja atau menggerakkan perhimpunan mahasiswa di jalanan, tetapi hakikatnya, ia juga terlibat mendanai sebahagian besar aktiviti mahasiswa di negara ini. Bagaimana ia memperoleh wang dan dana yang besar?

Menurut sumber, ODC mendapat dana secara langsung daripada NED, iaitu sebuah tabung pembiayaan antarabangsa tajaan Amerika Syarikat dan juga individu-indvidu ataupun konglomerat Yahudi.

Di samping menerbitkan buku dan risalah berkenaan Demokrasi (gerakan ini berselindung di sebalik agenda DEMOKRASI untuk menutup agenda-agenda lain yang lebih besar dan sulit), ODC juga didapati menjadi satu lagi platform utama bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR untuk terus mendampingi golongan mahasiswa di negara ini. Pembabitan ini jelas sekali jika dilihat dari sudut organisasinya di mana hampir majoriti anggotanya terdiri daripada ahli AMK sendiri.

Sesungguhnya, jika kita terus menelusuri perkaitan demi perkaitan antara gerakan-gerakan ini, kita pasti akan menemukan lebih banyak fakta yang menarik dan mengejutkan. Beberapa nama pasti akan muncul baik di peringkat nasional mahupun di peringkat yang lebih global.

Semua ini tidak lain tidak bukan hanya akan meninggalkan lebih banyak persoalan kepada kita, misalnya, apakah sebenarnya yang sedang meracuni pemikiran mahasiswa kita pada hari ini? Siapakah sebenarnya bapak kepada segala agenda tersebut? Siapakah yang merancang semua itu, untuk apa dan kenapa? Apa perlu – juga pasti akan ditanya.

Monday, August 24, 2009

Mengenali Gerakan Mahasiswa Masa Kini - BAHAGIAN DUA

MALAYSIAN YOUTH AND STUDENT DEMOCRATIC MOVEMENT (DEMA)

DEMA merupakan sebuah gerakan terorganisasi mahasiswa yang sangat aktif menjalankan aktiviti yang bersifat anti-establishment. Sejak ditubuhkan, DEMA menjadi nadi penting dalam menarik golongan mahasiswa Cina dan India di IPTA serta menanamkan sentimen anti-establihsment dalam kalangan mahasiswa bukan Melayu yang lain untuk menentang aspirasi unversiti dan pihak pemerintah.

Pertubuhan ini didominator secara langsung oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP. Malah sebahagian besar kepimpinan muda dalam parti-parti tersebut ketika ini merupakan bekas penggerak utama DEMA. Maka tidak hairanlah jika kelibat graduan yang dahulunya lantang menentang aspirasi universiti kini lantang pula di peringkat politik nasional sebagai pemimpin pembangkang.

Justeru timbul persoalan mudah, apakah muslihat sebenar mereka yang begitu mahukan AUKU dimansuhkan sedangkan mereka sendiri berada dalam organisasi politik sejak bergelar mahasiswa lagi?

Sebagai sebuah gerakan yang terorganisasi dengan baik, DEMA mempunyai markas mereka yang khas beralamat di 241, Jalan S/48 Taman Petaling, 46000 Petaling Jaya. Selain itu, mengikut rekod, DEMA juga merupakan ahli Asia Student Association (ASA) iaitu sebuah pertubuhan sosialis antarabangsa yang menjaga minda-minda sosialis dalam kalangan pelajar di Asia.

Untuk makluman, pertubuhan berstatus internasional ini sangat aktif menyulam pemikiran dan ideologi sosialis, yang tentunya bertentangan sama sekali dengan budaya dan nilai kemasyarakatan kita di sini, khususnya dalam kalangan mahasiswa.

Di samping itu, DEMA juga telah sekian lama menjadi platform kepada mahasiswa pro-pembangkang dalam mereka menghantar memorandum bantahan dan mengeluarkan kenyataan media menghentam pentadibran universiti dan kerajaan.

Malangnya, terdapat banyak isu serta penyelewengan yang berlaku dalam pakatan pembangkang yang jelas sekali tidak menguntungkan rakyat dan sebagainya, namun DEMA hanya diam membisu. Sebaliknya mereka lebih lantang menghentam pihak pemerintah tanpa memikirkan sedalam-dalamnya implikasi daripada tindakan yang dilakukan.

Mudahnya, apa-apa sahaja yang cuba dibawa sebagai satu pembaharuan oleh pihak unversiti ataupun kerajaan pasti akan dikritik dan dipandang serong dengan totok sekali, sama seperti gaya kepimpinan pembangkang.

Di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), DEMA menjadi antara suara penting yang menguasai gerakan induk tersebut. Seorang daripada wakil DEMA biasanya akan dilantik menjadi Setiausaha SMM.
Namun seperti biasa, merekalah yang paling lantang dan berani berbanding pertubuhan lain dalam SMM termasuk PMI sendiri. Untuk lebih faham, mungkin kita boleh lihat konsep kerajaan Pakatan yang ada hari ini, siapa majoriti dan siapa pula yeng lebih bersuara?


GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)

Sebuah gerakan atau pertubuhan yang totok mendukung agenda PAS, malah bertindak sebagai jelmaan PAS di kampus-kampus melalui ahli gabungannya iaitu Persatuan Mahasiswa Islam (PMI). GAMIS tidak ditubuhkan sebagai sebuah organisasi kemahasiswaan semata- mata, sebaliknya, penuh dengan agenda tersirat yang disuntik oleh PAS.

GAMIS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1990 dan dikaderkan oleh PAS untuk membantu melahirkan generasi pemimpin parti tersebut dari masa ke masa. GAMIS, melalui anggota persatuannya iaitu PMI sangat penting kepada survivor perjuangan PAS di dalam kampus.

Pengalaman saya sendiri ketika pernah mengikuti program-program yang dijalankan oleh sahabat dalam PMI, memang ada jarum-jarum halus berbentuk pemikiran yang cuba dicucukkan ke dalam minda kami khususnya semasa aktiviti usrah dan sebagainya lagi termasuk seruan menentang kerajaan.

Pun tentu, saya berpendapat bahawa tidak semua ahli atau sahabat dalam PMI di USM misalnya, totok anti-establishmnet. Seperti juga saya, kami mendekati persatuan ini hanya semata-mata kerana aktiviti yang dianjurkan begitu berlainan dengan aktiviti-aktiviti lain, dan lebih penting, ia biasanya diselitkan dengan ilmu-ilmu Islam. Hal inilah yang sebetulnya yang menarik perhatian orang-orang seperti saya untuk mendekati PMI.

Namun, kerana tindakan segelintir sahaja kepimpinan dalam persatuan ini yang cuba merosakkan pemikiran mahasiswa dengan agenda politik, pada saya, ia telah mencemarkan kesucian perjuangan mereka sendiri yang seharusnya lebih berteraskan dakwah sesama sahabat.

Sunday, August 23, 2009

Mengenali Gerakan Mahasiswa Masa Kini - BAHAGIAN SATU

Dalam artikel ringkas sebelum ini saya telah menyenaraikan beberapa pertubuhan pelajar yang tidak berdaftar dan bergerak aktif di dalam kampus-kampus IPTA di seluruh negara.

Selain pertubuhan-pertubuhan tersebut, terdapat beberapa lagi gerakan sama ada dalam bentuk cabang, sayap ataupun ranting-ranting yang lebih kecil yang khusus menjalankan agenda-agenda tertentu. Gerakan ini kebanyakannya bernaung di bawah pertubuhan yang lebih besar.

Di sini saya ingin perincikan secara lebih lanjut tentang gerakan-gerakan atau pertubuhan-pertubuhan tersebut sama ada yang menjadi moderator langsung kepada suara anti-establishmnet dalam kalangan mahasiswa ataupun bertindak sebagai payung kepada gerakan yang lebih kecil.

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

Pertubuhan ini merupakan salah satu payung besar yang menaungi beberapa gerakan mahasiswa di IPTA. Mengikut rekod, SMM memang tidak pernah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang negara dengan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Banyak implikasi buruk jika sesebuah pertubuhan tidak didaftarkan di bawah undang-undang yang digunapakai di negara ini. Antara agenda besar SMM adalah untuk mempengaruhi mahasiswa IPTA menyertai aktiviti-aktiviti yang pro-pembangkang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini gerakan SMM telah berjaya menarik sejumlah besar mahasiswa untuk turun berdemonstrasi dalam memenuhi agenda pihak pembangkang. Beberapa isu di peringkat nasional berjaya mengheret golongan terpelajar ini ke jalanan sekali gus meletakkan mereka dalam situasi yang tidak sepatutnya. Lebih malang kerana sebahagian mereka hanya diperkudakan dan tidak betul-betul memahami setiap isu yang dibawakan oleh pembangkang.

Sebagai contoh, dalam perhimpuan haram mendesak ISA dimansuhkan baru-baru ini, sejumlah besar peserta perhimpunan tersebut didapati terdiri daripada golongan mahasiswa IPTA yang masih menuntut dan terikat dengan beberapa perjanjian sama ada dengan pihak universiti mahupun dengan pihak kerajaan ataupun penaja-penaja yang lainnya. Malangnya, kerana terlalu mengikut emosi dan sentimen yang dimainkan oleh pihak pembangkang, ramai antara mereka yang terseret sama malah turut menjadi mangsa ditahan oleh pihak polis.

Sebagai mahasiswa, adalah perlu untuk kita memahami sesuatu isu dengan sebaik mungkin sebelum terlibat secara langsung dengan isu tersebut. Adalah perlu juga untuk kita faham tentang mainan strategi politik oleh parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Hal ini demikian kerana, parti-parti politik sentiasa melihat golongan mahasiswa sebagai aset penting yang mesti dikuasai dengan apa-apa jua cara sekalipun. Mahasiswa mempunyai banyak kekuatan dan kelebihan yang mampu melonjakkan agenda politik nasional.

SMM pada asasnya dianggotai oleh beberapa pertubuhan iaitu:
• Malaysian Youth and Student Democratic Movement (DEMA)
• Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
• Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN)
• Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP)
• Kelab Rakan Islah Siswa Malaysia (KARISMA)
• Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Untuk makluman juga, seorang wakil daripada PMI biasanya akan dilantik menjadi Presiden SMM sementara seorang lagi wakil daripada DEMA pula akan menjadi Setiausahanya.

Sunday, August 9, 2009

Khalid Ibrahim Over Confident??

Petikan daripada akhbar Mingguan Malaysia hari ini yang mungkin menarik untuk difikirkan bersama.


Khalid salahkan penduduk Seksyen 8, Shah Alam buat aduan

KUALA SELANGOR 8 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyalahkan penduduk Seksyen 8 yang membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung penjualan arak ke atas umat Islam oleh sebuah kedai serbaneka di kawasan itu, Julai lalu.

Beliau menyifatkan langkah penduduk membantah tindakan kedai berkenaan tidak wajar kerana ia dibuat tanpa mengikut saluran serta prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

''Mereka (penduduk) tidak tahu cara nak selesaikan. Selalunya, orang lebih suka pukul dahulu, kemudian baru nak selesaikan atau bincang.

"Maka, sebab itu kerajaan negeri mengambil langkah yang lebih bijak daripada mereka (membenarkan penjualan arak dengan konsep kawalan sendiri)," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid, konsep kawalan sendiri yang diumumkannya semalam adalah jalan penyelesaian terbaik bagi mengawal penjualan minuman keras termasuklah bir kepada umat Islam di Selangor.

Melalui konsep itu, katanya, kerajaan negeri memberi kuasa sepenuhnya kepada penjual arak untuk menentukan sendiri kepada siapa mereka ingin menjual minuman berkenaan.

''Penjual akan mengawal selia penjualan arak ini dan dalam masa yang sama mereka juga perlu sensitif. Jika mereka jual juga kepada umat Islam, mereka akan berhadapan dengan risiko dipulaukan oleh pelanggan beragama Islam.

''Umat Islam pula, sekiranya ada kedai terus menjual arak kepada mereka, mereka boleh beri peringatan kepada penjual berkenaan," jelasnya.

Diminta mengulas gesaan Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua semalam yang mahu supaya Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dikenakan tindakan disiplin kerana membantah tindakan kerajaan negeri, kata beliau, ia bukan isu yang perlu diperbesarkan dan hanya merupakan hal dalaman pakatan pembangkang.

''Mengenai perkara itu (gesaan Tony) ia bukan isu....bukan isu. Tumpuan sekarang ini ialah mengenai penjualan arak di Shah Alam," jelasnya.

............................................KOMEN SAYA...........................

Nampak jelas benar solusi kepada masalah yang sedang melanda Negerinya itu terlalu diyakini oleh Khalid akan keberhasilannya, sedangkan belum teruji pun lagi.

Khalid juga yakin yang org Islam di Negerinya 'begitu beriman'. Lupakah beliau akan konsep asas perniagaan? Konsep permintaan? Pekedai nak tolak ke kalau ada peluang tambah untung?

Khalid juga yakin, begitu yakin, bahawa cara ini lebih baik dari kaedah yang digunakan oleh JAIS yang tentunya berteraskan syariah, iaitu merampas barang yang diharamkan penggunaannya terhadap orang Islam yang dijual dalam kawasan majoriti orang Islam. Kenapa pula tuntutan syariat mesti tunduk kepada tuntutan sosial?

Thursday, August 6, 2009

Keajaiban Yang Menanti Kita Esok, Insya-Allah

Insya-Allah, jika panjang umur dan belum Kiamat, esok kita bakal menyaksikan satu lagi kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Harapnya begitulah.

Esok, khas buat mereka yang peduli, akan berlaku satu keajaiban detik yang cuma sedetik, sesaat sahaja, berlaku dalam tempoh sebegitu lama, sejak tercipta alam ini. Dan mungkin sekali ini cuma.

Kepada mereka yang perasan itu, detik sesaat tersebut pasti akan ditunggu walau dengan apa jua cara sekalipun. Jika terlepas, maka rugilah sebesar kerugian dalam sehari, esok, atau bahkan seumur hidup mungkin.

Detik apakah itu?

Jujurnya, saya sendiri tidak perasan sehinggalah pagi tadi seorang sahabat dari UPSI mengirimkan satu mesej bagi mengingatkan saya akan perkara tersebut. Mesej tersebut saya amati, dan fahamkan sehingga akhirnya saya sendiri terangguk-angguk setuju. Sungguh, detik itu logik untuk kita setujui keajaibannya. Maha Suci Dia.

Jadikan apakah sebenarnya detik tersebut? Apakah yang ajaibnya?

Insya-Allah, esok bakal bertarikh 7hb Ogos 2009 mengikut tahun Masehi. Jika kita susun dalam bentuk angka, ia akan menjadi 7/08/2009 atau mudahnya, 7.08.09 seperti yang kita biasa gunakan sewaktu belajar di sekolah dulu-dulu.

Jadi apa yang ajaibnya??

Insya-Allah, esok juga, seperti biasa, dalam temoh 24 jam (+-)akan berlaku di mana jarum jam (bagi yang menggunakan jam konvensional) akan berdetik pada sela 12:34:56 tepat. Begitu juga bagi jam moden digital, detik yang sama pasti jengah.

Ajaibnya, cuba perhatikan betul angka-angka tersebut.

Pertama, 12:34:56 (tentunya tengah hari esok). Lihat susunan hierarkinya. Mengikut hukum asas matematik, susunan angka-angka tersebut adalah perdana, yakni normal dalam heirarki menaik..

1,2,3,4,5,6.

Kedua, lihat pula pada susunan angka yang ada pada tarikh seperti yang saya nyatakan sebelum ini (tentunya, esok yakni 7hb Ogos 2009). Kedudukan angka-angka atau nombor-nombor pada tarikh tersebut ialah seperti berikut..

7,8,9.

Ajaibnya, jika kita susun semua angka tersebut bermula dengan 1 hingga 9, maka kita akan dapat satu susunan nombor yang cantik sekali tiada bergenap. Sungguh cantik sehingga saya sendiri terpegun kerana susunan tersebut hanya berlaku sedetik sahaja, iaitu pada sela 5 dan 6 yang hadir dalam bahagian pertama angka-angka seperti yang dinyatakan sebentar tadi.

Susunan ini tidak berlaku jika kita tidak perasan atau sedar. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu masa dan tarikh.

Ajaibnya lebih-lebih kerana esok juga jatuh pada hari yang merupakan ibu segala hari, penghulu segala hari yang ada. Esok Jumaat. Sungguh cantik keajaiban ini.

Bagi mereka yang sedar akan kejadian ini pasti melimpah-limpah syukurnya, sehingga barangkali untuk mati sekarang pun tak mengapa kerana sudah berupaya mengetahui akan salah satu kebesaran Allah s.w.t. Sungguh, semuanya disusun diatur oleh-Nya sedemikian rupa agar kita insaf dan membesar-besarkan-Nya.

Wednesday, August 5, 2009

TIADA MAAF UNTUK PENGKHIANAT!!!

'Saya tidak akan minta maaf'

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat, Johor, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri turut mengakui kenyataan tersebut datang dari mulutnya sendiri dan bukan satu pembohongan.

"Saya nak beritahu, saya tak kan minta maaf. Memang itu kenyataan yang saya buat, saya bukan bohong," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tuntutan Anwar yang mahu dirinya menarik balik kenyataan yang dibuat semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Ahad lalu.

Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.

Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian.

Muhyiddin memberitahu, beliau sudah menerima surat tuntutan tersebut dan telah menyerahkannya kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Mengenai gesaan supaya kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan dalang demonstrasi haram di ibu negara Sabtu lalu, beliau menjelaskan, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.

Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau tidak mahu sebarang tindakan termasuk penggunaan ISA dijadikan perangkap oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan juga tidak pernah tidak mengendahkan suara rakyat supaya ISA dikaji semula bahkan telah pun memulakannya.

"Sebarang kajian akan mengambil masa kerana kita perlu mendengar pandangan pelbagai pihak dan saya harap semua pihak bersabar," jelasnya. – Utusan Malaysia, 5 Ogos, 2009.

SAYA NAK TAMBAH SIKIT:

Memang patut dan saya sokong penuh-penuh pendirian TPM. Orang macam ni kena ajar jugak.

Kita tak perlu hormat dengan perjuangan mereka yang ternyata bermuka-muka dan penuh agenda.

Daripada bayar saman yang orang ini kemukakan, lebih baik duit tu diberikan kepada golongan peniaga kecil yang terjejas teruk sewaktu demonstrasi bodoh tersebut diadakan.

Lawan tetap Lawan.

Tuesday, August 4, 2009

FORUM ATAU DEMONSTRASI? - MAHASISWA PERLU MATANG

PERPADUAN : SIAPA YANG TIDAK BERTOLERANSI? Begitulah bunyi tajuk perbincangan yang dikumpilkan semalam dalam satu forum di Dewan Budaya USM. Saya sebetulnya punya hal lain, namun setelah diejas-ejaskan sedikit masa yang ada, akhirnya dapat juga saya bertamu ke majlis ilmu tersebut.

Forum ini dipengerusikan oleh Dr. Siva, pensyarah dari PPSK yang juga merupakan penganalisis politik terkemuka manakala panelisnya pula terdiri daripada para pelajar USM sendiri. Panelis pertama merupakan YDP PMI, Saudara Hanif sementara panelis kedua ialah mantan NYDP MPP sidang lalu, Saudara Ramanathan. Turut berbicara ialah Saudara Vincent selaku wakil daripada Kelab Debat USM. Melihat kepada nama, kesemua mereka memang berwibawa dan layak untuk ditampilkan sebagai panelis pada forum tersebut.

Saya tidaklah berhajat mengupas panjang lebar tentang isi perbincangan yang dibentangkan kerana saya yakin, beberapa orang rakan blogger yang turut hadir semalam pasti menyentuh isu ini dalam ruang masing-masing. Tujuan utama saya datang ke majlis tersebut juga sebenarnya adalah untuk mencari jawapan disebalik persoalan yang dikemukakan, iaitu siapakah yang tidak bertoleransi? Ini adalah isu pokok yang seharusnya menzahirkan setidaknya satu frasa jawapan yang tersimpul rapi pada akhir perbincangan.

Namun, apa yang mengecewakan saya, saudara panelis pertama iaitu YDP PMI, sebaik diajukan soalan ini pada pertengahan diskusi tersebut, cuba mencari jalan selamat. Beliau mengeluarkan sedemikan jawapan yang boleh dianggap sebagai menyelamatkan diri, dan lebih kerap bermain dengan teori-teori sehingga para penonton tertunggu-tunggu apakah penghujung isinya. Yang ditunggu ialah jawapan langsung kepada soalan siapakah yang tidak bertoleransi. Tetapi beliau tidak menutup soalan tersebut dengan jawapan yang kuat, sebalikya membiarkan terlohong ternganga. Perlukah menggunakan teori untuk menjawab soalan sebegini?

Sementara panelis kedua, saudara Ramanathan, kelihatan lebih berani. Beliau melihat dari sudut yang lebih realistik. Pun tentu, masih ada lohong yang ditinggalkan. Misalnya, beliau meletakkan soal siapa yang tidak bertoleransi ini pada pandangan dan persepsi individu yang membenarkan setiap orang mendefinisikan sendiri makna perkataan tersebut. Bagaimanapun, saya tertarik dengan bukaan konsep beliau, di mana beliau tidak melihat kepada isu toleran semata-mata, sebaliknya penerimaan antara kaum dalam aspek-aspek tertentu sebagai satu keperluan yang mampu mewujudkan perpaduan.

Manakala saudara Vincent pula agak kabur. Banyak pandangan beliau tidak terfokus dan lebih berhati-hati dengan hujah-hujah yag dikemukakan. Mungkin beliau kurang bersedia berbanding dengan saudara panelis pertama dan kedua. Pun saya tetap tertarik dengan contoh diri beliau sendiri sewaktu menghuraikan persoalan yang diberikan. Saya yakin, jika beliau lebih bersedia, pasti banyak hujah yang bernas dan menarik mampu dikemukakan.

Secara keseluruhannya, saya melihat penganjuran program yang seumpama ini sebagai satu inisiatif yang sangat bagus dan wajar diteruskan dari semasa ke semasa. Ia harus dijadikan sebagai wadah mencungkil idea-idea kritis daripada golongan pelajar yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara kelak. Ternyata, program sebegini sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan demontrasi dan sebagainya yang lebih bersifat emosional semata-mata.

Tahniah kepada sahabat saya, Saudari Elfarida yang telah mengepalai Convex selaku pengajur utama forum tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...