Sunday, August 23, 2009

Mengenali Gerakan Mahasiswa Masa Kini - BAHAGIAN SATU

Dalam artikel ringkas sebelum ini saya telah menyenaraikan beberapa pertubuhan pelajar yang tidak berdaftar dan bergerak aktif di dalam kampus-kampus IPTA di seluruh negara.

Selain pertubuhan-pertubuhan tersebut, terdapat beberapa lagi gerakan sama ada dalam bentuk cabang, sayap ataupun ranting-ranting yang lebih kecil yang khusus menjalankan agenda-agenda tertentu. Gerakan ini kebanyakannya bernaung di bawah pertubuhan yang lebih besar.

Di sini saya ingin perincikan secara lebih lanjut tentang gerakan-gerakan atau pertubuhan-pertubuhan tersebut sama ada yang menjadi moderator langsung kepada suara anti-establishmnet dalam kalangan mahasiswa ataupun bertindak sebagai payung kepada gerakan yang lebih kecil.

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

Pertubuhan ini merupakan salah satu payung besar yang menaungi beberapa gerakan mahasiswa di IPTA. Mengikut rekod, SMM memang tidak pernah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang negara dengan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Banyak implikasi buruk jika sesebuah pertubuhan tidak didaftarkan di bawah undang-undang yang digunapakai di negara ini. Antara agenda besar SMM adalah untuk mempengaruhi mahasiswa IPTA menyertai aktiviti-aktiviti yang pro-pembangkang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini gerakan SMM telah berjaya menarik sejumlah besar mahasiswa untuk turun berdemonstrasi dalam memenuhi agenda pihak pembangkang. Beberapa isu di peringkat nasional berjaya mengheret golongan terpelajar ini ke jalanan sekali gus meletakkan mereka dalam situasi yang tidak sepatutnya. Lebih malang kerana sebahagian mereka hanya diperkudakan dan tidak betul-betul memahami setiap isu yang dibawakan oleh pembangkang.

Sebagai contoh, dalam perhimpuan haram mendesak ISA dimansuhkan baru-baru ini, sejumlah besar peserta perhimpunan tersebut didapati terdiri daripada golongan mahasiswa IPTA yang masih menuntut dan terikat dengan beberapa perjanjian sama ada dengan pihak universiti mahupun dengan pihak kerajaan ataupun penaja-penaja yang lainnya. Malangnya, kerana terlalu mengikut emosi dan sentimen yang dimainkan oleh pihak pembangkang, ramai antara mereka yang terseret sama malah turut menjadi mangsa ditahan oleh pihak polis.

Sebagai mahasiswa, adalah perlu untuk kita memahami sesuatu isu dengan sebaik mungkin sebelum terlibat secara langsung dengan isu tersebut. Adalah perlu juga untuk kita faham tentang mainan strategi politik oleh parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Hal ini demikian kerana, parti-parti politik sentiasa melihat golongan mahasiswa sebagai aset penting yang mesti dikuasai dengan apa-apa jua cara sekalipun. Mahasiswa mempunyai banyak kekuatan dan kelebihan yang mampu melonjakkan agenda politik nasional.

SMM pada asasnya dianggotai oleh beberapa pertubuhan iaitu:
• Malaysian Youth and Student Democratic Movement (DEMA)
• Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
• Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN)
• Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP)
• Kelab Rakan Islah Siswa Malaysia (KARISMA)
• Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Untuk makluman juga, seorang wakil daripada PMI biasanya akan dilantik menjadi Presiden SMM sementara seorang lagi wakil daripada DEMA pula akan menjadi Setiausahanya.

2 comments:

Mr.Imran said...

DEMA satu pertubuhan yang tidak sah, tapi saya agak musykil macam mana risalah serta edaran mereka boleh dibuat di kampus sejak saya di tahun 1 lagi hingga sekarang. Tidak pernah dengar pertubuhan mereka ini diharamkan. Pada semesta lepas mereka membuka kaunter berhampiran kaunter HEP. Kalau haram tak akan HEP benarkan?.

Setahu saya PMI adalah pasti sah di kampus. Yang saya tidak faham mengapa ramai orang yang speptikal dengan PMI.

pak amid mantan said...

salam saudara imran

DEMA memang bukan satu pertubuhan yang sah dan tidak didaftarkan pun. macam mana mereka boleh bergerak dalam kampus juga sebenarnya adalah secara tidak sah. HEP bukan tidak mahu mengambil tindakan tetapi mengambil sikap tunggu dan lihat iaitu sejauh mana pergerakan aktiviti mereka boleh menimbulkan sesuatu yang tidak selari dengan persekitaran kampus.

boleh kita berfikir dengan mudah, iaitu, anndaikanlah, jika HEP melawan gerakan-gerakan ini dengan cara keras seperti menangkap, menyekat, ataupun menghalang, sudah pasti keadaan akan menjadi lebih buruk.

sejarah sudah membuktikan bagaimana teruknya sikap pelajar-pelajar yang cuba membawa ideologi keras ke dalam kampus. situasi provokasi, kata-mengata, kutuk-mengutuk tak mengira orang dan pangkat. semuanya tak mencerminkan sikap mahasiswa yang matang.

PMI pula tak patut jadi isu. tak ada siapa yang skeptikal. PMI sebuah pertubuhan berdaftar di mana-mana IPTA pun.yang jadi masalahnya bila mereka cuba-cuba menerapkan ideologi politik kepartian daripada luar.

sekadar berkongsi pengalaman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...