Followers

Wednesday, January 27, 2010

Undilah Calon Anda!!






Calon Pro Aspirasi Disabotaj, Pro-M makin tertekan, guna taktik kotor

Saya sangat terkejut semalam sewaktu melakukan tinjauan bersama rakan-rakan yang lain di dalam kampus. Beberapa helai kain rentang calon yang bertanding telah dikoyakkan dengan sengaja dan dibiarkan berlonggok di tepi jalan. Ada sebahagiannya telah diambil atau disorokkan kerana cebisannya gagal dikesan semula. Perkara ini sangat memeranjatkan kerana tidak pernah berlaku selama ini, dalam sesi kempen, perkara-perkara begini.

Apa yang mengecewakan saya ialah kebanyakan kain rentang tersebut melibatkan calon yang sama. Apakah wujud dendam di sebalik kejadian ini? Soalnya, kenapa sampai begitu? Bersusah payah ia disiapkan akhirnya dikhianati begitu sahaja.

Saya juga sempat mengambil gambar beberapa kain rentang yang telah dikoyakkan sebagai bukti. Kejadian semalam pada saya sungguh terancang. Masakan tidak, dalam masa yang begitu singkat, hampir 10 helai kain rentang berjaya dikoyakkan. Bagaimana ia dilakukan?

Saya bukanlah hendak menuduh atau mencampuri bidang kuasa pihak keselamatan yang sedang melakukan siasatan, namun apa yang berlaku semalam sangat mengecewakan serta menimbulkan bermacam persoalan. Ketika warga kampus sedang tidur dan sebagainya, ada segelintir yang lain begitu tegar melakukan kegiatan terkutuk sedemikian. Apakah standard mentaliti golongan ini?

Seharusnya, kita sebagai warga APEX mengelakkan budaya politik kotor seperti ini. Kita sedang belajar, jadi ambillah ilmu yang baik-baik sahaja. Rasionallah.

Dan pagi tadi, saya diberitahu, pihak Pro-Mahasiswa sudah pun menyerang kem pro aspirasi dengan menuduh pihak pro aspirasi yang melakukannya. Sungguh pantas. Mereka memainkan isu ini di laman sosial facebook. Gambar juga diup-loadkan bagi mengukuhkan tuduhan tersebut. Apa ini?

Pihak pro aspirasi tidak perlu pun melakukan tindakan tersebut. Untuk makluman, pro aspirasi sudah pun membentuk kerajaan kerana kejayaan memenangi sebahagian besar kerusi pusat pengajian yang dipertandingkan. Pihak Pro-Mahasiswa gagal menghantar calon mereka, maknanya, mereka jugalah yang memberikan kemenangan mudah ini kepada pro aspirasi. Jadi kenapa pula pro aspirasi hendak memprovokasi pihak lawan sebegitu rupa? Tidakkah itu menggambarkan akal yang dangkal?

Satu lagi, untuk apa dilakukan tindakan tersebut? Jika benar pro aspirasi yang buat, tentunya ia akan mejadi turning point kepada pihak lawan. Tentunya pro aspirasi sedar perkara tersebut kerana pelajar bukan bodoh untuk menilai. Tentu sekali pro aspirasi tidak akan bertindak sebegitu dangkal dengan mengoyakkan kain rentang lawan, atau mengoyakkan kain rentang calon sendiri supaya dilihat sebagai mangsa. Tentu sekali juga pro aspirasi tidak akan memberikan point terpijak kepada pihak lawan untuk digunakan dalam kempen kali ini.

Kami juga berbincang tentang tindakan yang boleh diambil. Laporan juga sudah dibuat. Namun kami tidak bersetuju secara kolektif untuk memainkan isu ini di facebook atau blog kerana ia akan memberikan kesan yang negatif kepada universiti. Kami hanya menyerahkan perkara ini kepada pihak yang bertanggugjawab sahaja. Malangnya, pihak Pro-Mahasiswa awal-awal lagi sudah bising-bising di laman maya. Sangat memalukan. Kerana itulah saya terpanggil untuk mendedahkan perkara sebenar.

Pada saya, apa pun yang berlaku, perkara sebenar mesti disampaikan supaya para pengundi kelak tidak tersilap memilih lagi. Andaian juga semakin kencang bahawa Pro- Mahasiswa akan memainkan isu ini termasuk isu kononnya disabotaj dalam pemilihan kali ini. Masakan tidak, mereka tidak menghantar calon bagi kebanyakan pusat pengajian khususnya yang selama ini menjadi kubu kuat seperti Ilmu Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan. Strategi tersirat mereka sungguh berbahaya kerana ia akan memberikan imej yang negatif kepada universiti kelak.

Desas desus selama ini kononnya kem Pro-Mahasiswa akan menggunakan strategi kempen seperti di kebanyakan universiti lain iaitu dengan menyerang peribadi calon lawan (pro aspirasi universiti) juga sudah berlaku. Insiden semalam adalah bukti jelas betapa budaya politik yang tidak pernah digunakan di USM telah menular di kampus kita ini. Saya sama sekali tidak nampak apakah kewajaran atau keberkesanan strategi ini digunakan.

Pada saya, ini taktikal yang dirancang supaya wujud persepsi bahawa pro aspirasi memang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Satu soalan saya, kenapa pro aspirasi mahu sabotaj calon sendiri pula? Saya berjaga sepanjang malam dan tidak putus-putus melakukan rondaan, bahkan beberapa kali masuk ke kawasan pihak Pro-Mahasiswa bagi meninjau sendiri kempen yang dilakukan. Tidak dinafikan, mereka berkerja sepanjang malam sama seperti jentera pro aspirasi. Jadi bagaimana mungkin pihak yang bertindak mengoyakkan kain rentang tersebut boleh berkeliaran di sekitar kampus?

Saya tidak mempunyai jawapannya dan saya berharap siasatan disegerakan. Pelajar perlu tahu siapakah sebenarnya yang menjadi dalang di sebalik kejadian semalam. Kami mahukan kempen yang aman, yang tenteram dan yang harmoni. Kami mahukan suasana yang matang serta intelek kerana itulah aspirasi kami selama ini, sama seperti aspirasi universiti.

Ingat, kita tetap warga kampus yang sama. Apa salah pro aspirasi yang selama ini menunjangi MPP saban tahun, berkerja untuk kita semua tanpa mengira ideologi, dan tidak pernah melakukan tindakan terkutuk begini? Hari ini, pro aspirasi telah digambarkan sebagai pihak yang sebaliknya. Saya menyeru rakan semua supaya menilai hal ini sebaik mungkin, nilailah berdasarkan rekod kepimpinan MPP Aspirasi selama ini. Buatlah pilihan yang terbaik.

Sunday, January 24, 2010

Khas.

NOTIS


Saya terpaksa gunakan ruang ini untuk mohon maaf kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang selalu berhubung di YM! kerana saya akan remove aplikasi YM! dan tidak akan lagi menggunakannya. Jika ada sebarang hajat untuk berkongsi maklumat dan sebagainya, bolehlah berhubung melalui e-mel di alamat yang sama. Teruskan berjuang. Anda yang terbaik!!

Saturday, January 23, 2010

Hina Sungguh!!

Ada dua perkara yang tidak menyeronokkan berlaku hari ini yang memaksa saya menulis di sini. Bukan untuk meraih perhatian, tetapi menuntut sokongan.

Pertama, sewaktu saya jogging pagi tadi, saya melihat dengan mata saya sendiri seorang pekerja asing yang berkerja di dalam kampus USM membuang sampah di tepi lorong pejalan kaki dengan selambanya, betul-betul di di hadapan saya. Apa perasaan anda sebagai warga kampus?

Sudahlah sampah itu jenis plastik yang memang tidak digalakkan penggunaanya di USM, dibuangnya di tempat terbuka sedangkan tong sampah yang disediakan tidak jauh pun di hadapan. Keji sungguh manusia jenis ini bagi saya.

Kedua, yang ini teramat marah. Pulang dari jogging dalam keadaan penat, terbaca pula satu blog pro-PAS yang sangat kurang ajar telah menghina Al-Marhum Sultan Johor yang baru mangkat semalam. Mentaliti blogger ini pada saya sama seperti lembu. Hina sungguh.

Syukur, ada kawan-kawan dari Johor akan buat laporan polis selepas berita ini tersebar. Teruskan usaha murni anda. Saya tak akan link blog tersebut di sini. Hina sangat. Boleh cari sendiri di blog BPN yang lain.

Thursday, January 21, 2010

Randau Pemimpin – Kami Tertipu!!

Saya dinasihatkan supaya tidak menulis tentang perkara ini, tetapi saya terpaksa menongkah arahan tersebut demi menegakkan demokrasi bersuara. Bukan berniat mencetuskan provokasi, bukan.

Ceritanya, semalam telah dianjurkan program Randau Pemimpin, satu aktiviti diskusi yang mungkin menghampiri format Sudut Pidato (atau speaker corner yang pernah dikuburkan selama lebih 30 tahun oleh AUKU) oleh Kelab Debat USM (tahniah Dee, Fuzah, Halim dan rakan-rakan). Tempatnya di tempat di mana bakal-bakal MPP akan berkempen kelak, di pentas yang sama Saudara Mohammad Syafiq pernah berucap sebagai calon yang berkaliber di samping barisan calon MPP yang lain pada sidang lepas semasa rapat umum diadakan.

(MPP USM untuk Sidang 2008/09 telah pun selamat dibubarkan. Tahniah buat anda semua!!)

Siapa yang dijemput? Ada tiga kelibat pemimpin. Wajah mereka telah pun dipampangkan secara sengaja pada kain rentang yang digantung di sekitar USM. Semuanya hebat-hebat. Ada yang bergelar mantan YDP MPP dan ada yang bergelar mantan NYDP MPP, dan yang seorang lagi, masih belum mantan, tetapi bukan sebagai MPP sebaliknya sebagai YDP sebuah persatuan yang gah. Beliau ialah YDP PMI USM Kampus Induk yang telah diundang khas, dicetak wajahnya di kain rentang sekali gus memberikan harapan yang tinggi kepada hadirin untuk melihat kesungguhan program ini dijalankan dengan jayanya.

Memang program ini berjaya pada saya. Kehadiran penggemar politik kampus sungguh mengagumkan, sekali gus membuktikan mahasiswa tidak pernah dihalang daripada berkumpul. Elok-elok sahaja semuanya, duduk di merata sudut, khusyuk menekuni program hingga ke akhir acara.

Kalau program ini dianggap menyalahi AUKU kerana menggalakkan mahasiswa berkumpul, seperti yang cuba dibuktikan oleh Pro-Mahasiswa selama ini bahawa mereka asyik saja dihalang daripada berprogram, nyatalah, makan ludah sendiri.

Kupasan tajuk semalam – Parlimen Mahasiswa : Satu Perjuangan – seharusnya lebih tajam jika orang yang sepatutnya datang berucap, datang. Malangnya, saudara YDP PMI gagal meletakkan dirinya di bangku panelis. Hanya seorang mahasiswi (khabarnya calon MPP) dihantar sebagai wakil kepada PMI. Perkara ini sungguh mengejutkan hadirin kerana ia adalah program julung kali, selepas 30 tahun lebih dihentikan, dan di buat atas semangat kebebasan untuk mahasiswa melontarkan pandangan mereka.

Walaupun sudah dikhabarkan oleh wakilnya beliau tidak dapat turut serta, namun rata-rata penonton berasa tertipu dengan permainan tersebut. Kalau pun tak boleh datang, hantarlah NYDP 1 atau 2, atau mungkin saf kepimpinan tertinggi yang lain. Ini tidak, hanya ahli-ahli biasa saja yang datang, yang belum faham pun situasi politik kampus di USM. Anda seharusnya berlaku adil kepada hak mereka, hak jemaah sebagai warga kampus yang memerlukan perkongsian info secara saksama, bukannya dari sebelah pihak sahaja.

Saudara Mohammad Shafiq selaku mantan YDP MPP pun boleh hadirkan diri meskipun ternyata beliau sungguh penat dengan jadual yang padat. Beliau hanya tiba di USM pada petang sebelum program tersebut dari Kuala Lumpur selepas menjadi tetamu bagi program Bicara Siswa secara langsung di RTM 1. Lihat betapa beliau sangat bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh memperjuangkan suara mahasiswa. Aspirasi beliau sungguh jelas, iaitu untuk melihat peranan mahasiswa yang lebih besar di dalam kampus bukan hanya sekadar berpersatuan tetapi mampu menjadi thinker kepada universiti. Mahasiswa harus menjadi pro atau pendukung kepada universiti, bukannya menentang melulu.

Motif ‘penyembunyian’ oleh YDP PMI dan sebahagian besar penyokong yang lain juga menimbulkan banyak persoalan. Asalnya, ramai yang menjangkakan hampir separuh ruang yang disediakan untuk penonton akan terisi dengan penyokong Pro-Mahasiswa kerana YDP PMI ketika ini ialah ketua gerakan tersebut. Selain itu, mereka juga sudah melaung-laungkan kegilaan untuk merampas MPP, menguasai majoriti dan melaksanakan perancangan Pro-Mahasiswa yang selama ini terhalang oleh sokongan padu pelajar kepada calon-calon yang menyokong universiti.

Sebaliknya, yang dihantar hanyalah bakal calon. Apa ingat ini pentas kempenkah? Bukan masanya lagi. Penamaan pun belum lagi. Ini adalah pentas berdebat mencari titik persefahaman terhadap isu yang hendak diketengahkan. Lihat semalam bagaimana wakil tersebut dilanyak ditaji dengan persoalan-persoalan yang kritis hingga satu tahap, beliau sendiri tidak sedar apakah standnya. Sekejap membantah AUKU, sekejap lagi pula bukan AUKU yang salah, tapi mahasiswa yang bersikap lesu.

Apa yang boleh saya simpulkan, jelas, PMI bukanlah pejuang suara mahasiswa yang tulen seperti yang dilakonkan selama ini. Saya bukan memusuhi PMI. Pada saya, ia harus berperanan sebagai persatuan persaudaraan mahasiswa. Mesej saya di sini jelas, jangan terus menyalak bukit, kelak diri tertimbus. Jangan terus meredah arus, kelak diri yang terhanyut. Berjihadlah dalam konteks yang sebenar. Perjuangan anda, kerja anda untuk agama cukup murni, jangan dikotorkan oleh perjuangan anasir tertentu yang cuba mempergunakan kewujudan anda semata. Apa-apa pun, kita tetap bersaudara, berkongsi akidah yang sama, kalimah yang sama.


Maaf, entri yang agak panjang.

Monday, January 18, 2010

25hb Januari - Rakyat Semakin Percaya.

Menjelang tarikh 25hb Januari ini, rakyat Malaysia semakin ramai yang percaya sesuatu akan berlaku di negara ini melibatkan Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim dilihat semakin terhimpit walaupun satu gerakan meraih sokongan rakyat Malaysia dilakukan di seluruh negara. Road tour mengumpul ahli rombongan ke mahkamah bagi menunjukkan dia tidak keseorangan nampaknya kurang menjadi, mungkin rakyat sibuk dengan tugasan masing-masing. Atau mungkin rakyat sudah bosan dan makin cerdik?

Puppet Anwar, Ketua AMK yang begitu bersungguh menggerakkan road tour liwat ini barangkali terlupa betapa Anwar Ibrahim tidak boleh selamanya berselindung di sebalik ‘kuasa rakyat’. AMK juga tidak boleh terus menyangka bahawa mereka mampu ‘melibatkan’ rakyat dalam permasalahan peribadi ‘jenayah’ yang ditanggung Anwar Ibrahim dengan membina persepsi konspirasi daripada kerajaan kononnya Anwar dianiayai. Biarkanlah mahkamah yang tentukan. Lawanlah sebagai anak jantan.

25hb Januari, rakyat sebenarnya mahu percaya bahawa baik Anwar mahupun Saiful, kedua-duanya perlu menyatakan kebenaran. Kami rakyat tidak boleh terus diperbodohkan.

Rakyat juga semakin percaya, Anwar Ibrahim tidak berlaku adil terhadap Saiful. Bekas pembantunya telah diserang dengan pelbagai helah sehingga ramai yang percaya, pintu keadilan buat Saiful cuba ditutup rapat oleh Anwar dan AMK. Adakah ini wajar?

Rakyat bahkan semakin percaya, tindakan Anwar adakalanya memperlihatkan dia tidak mampu pun untuk adil walau kepada seorang rakyat kecil. Macam mana nak adil kepada seluruh rakyat kalau sudah jadi pemerintah kelak? Mahkamah bahkan akan dimanipulasi demi ‘keadilan’ dia sendiri.

Apa-apa pun, rakyat memang semakin percaya bahwa Anwar Ibrahim perlu hadir ke mahkamah, Saiful perlu menuduh Anwar dan Anwar perlu mempertahankan dirinya secara legal, secara perundangan. Ini tuduhan jenayah yang cuba didefinisikan secara ‘keadilan’ menurut kamus politik PKR dan Pakatan Rakyat. Apahal? Adalah bahaya jika dibiarkan rakyat jelata yang mentafsirkan kes ini sesuka hati dan media pula menjadi hakimnya. Lawanlah sebagai anak jantan wahai Anwar Ibrahim.


i want to believe.

Saturday, January 16, 2010

Kutipan Derma Tabung Gempa Haiti

PENGUMUMAN

Sekretariat Sukarelawan USM akan menjalankan satu kutipan derma dari desa ke desa bermula malam esok (16hb Januari 2009) bagi mengumpul dana bantuan untuk mangsa gempa bumi di Haiti.

Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Muhammad Khazafi Md Napiah (Pengerusi Sekretariat Sukarelawan USM) di talian 019-4792030.

Kerjasama daripada penghuni dan Majlis Penghuni Desasiswa adalah sangat-sangat diharapkan bagi menjayakan misi kemanusiaan ini. Hulurkan tangan anda, ringankan beban mereka.

Friday, January 15, 2010

Parlimen Mahasiswa – Apa Reaksi Pro-M??


Penyerahan kertas cadangan Parlimen Mahasiswa oleh YDP MPP USM Sidang 2009/10, Saudara Mohammad Shafiq Abd Aziz. Turut hadir ialah Naib Canselor dan Timbalannya. Mana kelibat wakil Pro-M??

USM sekali lagi mengorak langkah merintis idea-idea baru melalui cadangan perlaksanaan Parlimen Mahasiswa yang telah pun diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini. Kertas cadangan tersebut yang diserahkan sendiri oleh Saudara Mohammad Shafiq Abd Aziz selaku Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM kepada Timbalan Menteri, Dato’ Saifuddin Abdullah, telah membuktikan kesungguhan mahasiswa USM dan juga pihak universiti dalam memastikan suara generasi baru intelektual berada pada posisi yang sepatutnya.

Pihak pentadbiran sendiri telah mengambil insiatif merombak serta menggubal undang-undang sedia ada supaya agenda besar ini mampu direalisasikan, seiring dengan rombakan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Ia juga adalah bukti jelas bahawa universiti sentiasa bersedia melaksanakan perubahan, mendengar suara dan tuntutan mahasiswa serta memastikan zon yang disediakan benar-benar cukup untuk mahasiswa menyatakan pendapat masing-masing.

Malangnya, idea besar ini seolah-olah dipandang sepi oleh pihak yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara di dalam kampus iaitu Pro-Mahasiswa. Tiada kenyataan rasmi sama ada menyokong ataupun membangkang sebaliknya, sehari selepas penyerahan itu dibuat, mereka menganjurkan satu demonstrasi di hadapan BHEPP. Walaupun tidak mendapat sambutan dan provokasi yang cuba dilakukan tidak mendapat respon, namun perkara ini sebenarnya amat mengecewakan masyarakat kampus yang lain.

Kenapa golongan ini terlalu gemar menongkah arus? Ketika ruang diskusi dan perbincangan terbuka luas, mereka ternyata lebih suka kaedah murahan yang kononnya mampu menarik publisiti dan simpati para pelajar. Tindakan sesetengah yang lain yang terlalu ghairah melulu sewaktu hendak berjumpa dengan pihak atasan juga turut dikesalkan. Saluran disediakan, peraturan ditetapkan, ikutlah. Kenapa hendak keras kepala dan beranggapan anda saja yang betul?

Isu E-Voting yang langsung tiada kena mengena dengan kampus kita turut dibising-bisingkan. Cukup jelas sebenarnya, USM tidak pernah berhajat menggunakan sistem tersebut. Kenapa masih ditimbulkan sehingga mengelirukan ramai pelajar yang lain? Inikah perjuangan anda yang sebenar, iaitu menutup kebenaran dan mencetuskan kekeliruan?

Apa yang jelas, gabungan Pro-Mahasiswa adalah gabungan berkepentingan tertentu, memecah-mecahkan pelajar kepada kumpulan-kumpulan tertentu, menuntut perkara-perkara yang kadang-kadang melampaui batas mahasiswa dan yang pasti, terlalu berorientasikan politik. Kaedah toleransi bukanlah kepercayaan mereka, rasional bahkan didefinisikan sebagai mereka saja yang betul dan pihak lain semuanya salah.

Ini kampus. Tolong sedar dan faham bahawa mahasiswa datang ke sini selama tiga atau empat tahun dengan harapan dan amanah yang besar daripada ibu bapa masing-masing supaya pulang dengan kejayaan. Jangan dikotorkan tempoh masa yang sekejap ini dengan agenda politik pihak luar yang memang mahu menguasai kampus kita. Rasionallah, realistiklah.

Wednesday, January 13, 2010

PMI Perlu Hentikan Segera Dasar Permusuhan Sesama Mahasiswa

Alhamdulillah, sebentar tadi sempat juga saya diskusi dengan beberapa orang sahabat. Pertemuan yang sebetulnya tidak dirancang, berubah angin menjadi bual-bual yang begitu terarah, dari isu sejagat dalam konteks pelajar membawa kepada isu-isu yang melangkaui sempadan kampus. Tidak ternafikan lagi bahawa suara mahasiswa ada kalanya begitu kritis, ada kalanya begitu sinis, dan ada waktunya nanar sekali lebih-lebih bila sudah menyangkut ideologi dan perbezaan pendapat.

Lalu tidak semena-mena keluar isu bai’ah, isu yang saya kira sebenarnya sensitif dan tergolong dalam kategori tertentu saja, yang hanya orang tertentu saja patut bercakap mengenainya.

Ceritanya, PMI juga mempunyai stage bai’ahnya sendiri. Sungguhkah? Bagaimana?

Pun, bukanlah niat saya sebenarnya untuk persoalkan hak mereka untuk melaksanakan bai’ah, bahkan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam ad-din kita ini. Rasulullah juga berbai’ah, sahabat-sahabat juga. Pemimpin kita turut berbai’ah. Secara tersirat bahkan, kita berbai’ah kepada diri, kepada ibu-bapa dan kepada orang-orang tertentu.

Bai’ah dalam PMI khabarnya terpecah kepada tiga tahap. Detailnya tak perlulah saya rincikan di sini. Daripada sumber dalaman sendiri, PMI akan melaksanakan bai’ah tersebut semasa pertemuan khas dibawah pimpinan pihak tertentu dari luar kampus yang dianggap sebagai mentor mereka. Pertemuan tersebut juga lebih dikenali sebagai Tamrin. Sasaran bai’ah pula tentunya ahli baru terutamanya dalam kalangan pelajar tahun pertama.

Saya tidak pasti apakah motif sebenar bai’ah, apa perlunya dalam konteks berpersatuan dan sejauh mana implimentasinya ke atas ahli-ahli PMI. Saya juga ahli PMI yang berdaftar (jika belum dipadamkan). Tetapi saya tidak pernah sampai dibai’ahkan atau membai’ahkan diri saya untuk taat setia kepada PMI. Mungkin pada waktu itu saya belum benar-benar putih atau mungkin belum layak, banyak kekotoran yang perlu dibersihkan. Yang saya tahu, dari sumber yang sama, hanya yang terpilih saja akan diajak ke Tamrin dan berbai’ah.

Ketika masih aktif berusrah dahulu, walaupun sekejap, sejujurnya saya begitu terpersona dengan gaya dakwah yang diterapkan. Kami dibentukkan sebegitu rupa, dipimpin oleh senior yang dipanggil abang dan dididik dengan nilai-nilai yang positif, menyentuh segala sisi baik yang dianjur Islam. Saya temukan, inilah jemaah yang tepat untuk membimbing saya sebagai pelajar baru di USM.

Malangnya, selepas saya menonjolkan identiti pemikiran dan arah minat saya yang sebenar, abang-abang yang selama ini begitu saya sanjung seolah-olah menjauhkan diri. Lebih sayu bila salam tidak lagi bersahut, huluran tangan tidak diendahkan, senyuman langsung dibalas jelingan penuh wasangka.

Saya juga semakin berjauh hati kerana lama-kelamaan, sesi usrah untuk berbincang dan bertanya-tanya khabar sesama ahli jemaah sudah mula diserapkan dengan dakyah-dakyah berbaur politik, membenci pihak kerajaan dan sebagainya. Saya sungguh terkejut dan tidak menyangka ada agenda tersirat di sebalik aktiviti dakwah yang dilakukan. Lebih mengejutkan bila wujud sebaran yang dalam kalangan ahli jemaah yang mengatakan PMI memusuhi gerakan dakwah oleh Tabligh, yang kononnya terlalu jumud dan tidak bersedia berjuang bersama PMI. Apa ini? Saya sangat geram dan tidak faham sama sekali dengan perkara ini.

Saya bukan bermaksud hendak buruk-burukkan sesiapa. Tetapi inilah realiti yang saya sendiri alami. Tapi cerita tentang bai’ah sebenarnya lebih menarik.

Bai’ah..bai’ah…bai’ah.. Ini isu besar yang pernah menggoncang bumbung sebuah parti politik Islam di Malaysia. Implimentasinya, hebat. Sehingga mampu mencetuskan keretakan pula pada tiang-tiang parti tersebut.

Bai’ah dalam PMI juga tidak kurang hebatnya. Dari sumber yang saya perolehi, ada kalangan ahli PMI yang enggan berbai’ah kerana tidak suka dengan syarat-syarat yang ditetap. Bahkan, ada yang langsung keluar dari jemaah. Natijahnya, perit amat. Segelintirnya dituduh sebagai pengkhianat kepada perjuangan, bacul hingga langsung digelar kufar seolah-olah mereka sudah terbuat dosa yang maha besar. Apa ini?

Tidakkah ini semua hanya mewujudkan satu polisi saraf yang menganjurkan permusuhan sesama mahasiswa?

Apakah PMI sedar implikasinya?

Sekali lagi, apa perlunya bai’ah dalam sebuah persatuan yang mementingkan persaudaraan sesama manusia, insan? Kalau bai’ah PMI itu baik, seperti yang cuba dipertahankan oleh beberapa orang pemimpin tertingginya sewaktu diajukan soalan ini dahulu, kenapa ada yang enggan berbai’ah? Kenapa sampai ada yang keluar jemaah? Siapakah sebenarnya musuh PMI?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...