Followers

Monday, June 28, 2010

Khairy, Angkat Sajalah Bendera Putih..

Jawapannya ialah liabiliti.

Khairy Jamaludin ketika ini ialah Ketua Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda BN sekali gus. Beliau juga Ahli Parlimen Rembau. Ini faktanya.

Secara peribadi, saya agak gementar apabila mahu bercakap tentang kepimpinan Pemuda UMNO. Manusia bernama Khairy ini pada saya, terlalu elitis. Sayangnya, keelitisan yang tergambarkan pada susuk lelaki ini, langsung tak berjaya mempopularkan beliau dalam kalangan anak muda. Khairy terlalu lekas naik dan terlalu menonjol di pentas UMNO. Tak lalu pun tahap balaci.

Bila bercakap dengan rakan-rakan yang seusia, kami selalu mempertikaikan kedudukan Khairy ketika ini. Popular sangatkah lelaki ini? Ada pandangan juga yang terpacul bahawa Khairy cuba mencipta kewujudannya sendiri dengan mengada-adakan isu dan kontroversi. Ia berhasil pada satu tahap, tapi akhirnya, kami sependapat, Khairy hanya menampakkan kebebalannya sendiri.

Untuk naik ke puncak, kita perlu bersusah payah di denai, mendaki segala cenuram, meredah onak dan belukar. Ini semua selalunya permainan budak kampung. UMNO tidak lahir langsung di bandar besar, juga tidak terus berada di puncak kalau tidak ada pejuang-pejuang yang bersusah-payah di peringkat bawahan, atau tepatnya di peringkat akar umbi. Meski yang menggerakkannya ialah elitis Melayu seperti Dato’ Onn dan Tunku, tapi jiwa mereka tebal Melayu. Melayu itu kenal bangsanya, kenal susah payah bangsanya meredah ribut politik Tanah Melayu ini.

Adakah Khairy mempunyai keunggulan ini? Kita tahu beliau antara pemimpin generasi baru pasca-merdeka. Kita juga tahu, Khairy mempunyai kualiti tertentu untuk memimpin. Itu persoalan bakat yang sesiapa pun ada. Tapi dayakah Khairy kalau sampai hari ini, beliau ternyata masih gagal meraih sokongan peringkat akar umbi yang selama ini menjadi tunjang kepada UMNO?

UMNO bukan parti yang kaya ketika ia dibentuk. Ia parti yang meraih simpati dan sokongan orang Melayu. Kalau Khairy dan gerombolannya sedar akan hakikat ini, saya gembira. Tetapi lihatlah, sehingga hari ini, banyak sekali langkah sumbang Khairy telah menyebabkan UMNO semakin tidak popular. Saya tidak segan untuk mengatakan betapa usaha DS Najib memulihkan UMNO akan terencat kerana adanya lelaki ini dalam dream team Presiden.

Kenapa? Kerana pada saya, Khairy mempunyai kualiti Melayu yang sangat boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, beliau terlalu sombong untuk berkonflik dengan Perkasa sedangkan beliau tahu benar, Perkasa itu adalah untuk memperjuangkan nasib kaum Melayu dan bumiputera. Ini langkah lawan arus yang bahaya. Khairy juga masih gagal memenangi hati golongan Melayu muda di seluruh negara. Tanyalah, kalau ada kaji selidik langsung sekali pun, saya yakin tidak ramai yang suka dengan lelaki ini.

Sama ada Khairy melakukan sesuatu, atau beliau berundur dengan kadar segera. UMNO tidak punya banyak masa, dan tidak punya banyak kuasa untuk terus membela golongan elitis oportunis seperti Khairy. Sudah lama beliau berada di kerusi itu, yang di bawah pula terus melihat dan memerhatikannya. Kalau Khairy terus selesa di kedudukan sekarang, saya percaya, beliaulah KP paling teruk pernah lahir untuk UMNO.

Mari Rawat UMNO – Di mana Kedudukan Ulama-ulama Muda Ini?

Ahlan wa sahlan..

Saya tidak menulis untuk UMNO, dan tidak juga untuk BN atau parti-parti lain dalam perikatan ini. Saya menulis utamanya untuk Islam dan orang Melayu.

Namun hati saya seperti dirobek bila melihat satu-satunya parti politik yang menggunakan jenama Islam di Malaysia semakin hari semakin kesasaran daripada matlamat asal perjuangannya. Puluhan tahun yang lalu, sekumpulan ulama keluar daripada UMNO lalu menubuhkan PAS, namun puluhan tahun selepas peristiwa tersebut, PAS nampaknya semakin bercitrakan liberalisme, jauh meninggalkan imej asal yang digagaskan oleh kumpulan ulama berkenaan.

Seperti membenarkan pendapat bahawa sejarah akan berulang bila tiba masanya, hari ini, kita melihat satu peristiwa yang cukup bersejarah, iaitu ‘kepulangan’ sejumlah besar ulama muda ke dalam bahtera perjuangan UMNO. Ia ibarat keterbalikan sejarah. Dalam istilahnya, jungkirbalik ini selalunya menidakkan kebenaran, tapi dalam hal ini, kita melihat satu demi satu kebenaran terserlah, antaranya, kenapa mereka memilih UMNO dan bukannya PAS yang memakai nama Islam dalam pertubuhannya itu?

Pakailah apa nama pun, wahabinya, salafinya, sunninya, pada saya, lebih utama sekiranya kita lihat pada ilmu mereka ini yang boleh memanfaatkan kita semua umat Melayu Islam di Malaysia, kerana daripada bilionan orang Islam di dunia ini, hanya di Malaysia ada UMNO dan PAS, yang kedua-duanya bertunjangkan bangsa Melayu beragama Islam. Kita jangan tanya apa mereka mahu, kerana itu hanya membunuh ruh baik yang dibawa ke dalam UMNO. Sebaliknya, lebih manis kalau kita tanya, apa yang mereka boleh bantu untuk merawat UMNO yang sedang sakit dengan pelbagai gejala, dari politik wang hinggalah ke politik sate yang terbaru ini.

Kita jangan lihat mereka sebagai kelompok biasa. Gerombolan ini selayaknya dialu-alukan kerana hadir mereka atas kapasiti yang harus kita sedar, bahawa, mereka tidak memerlukan UMNO pun kalau mereka hendak cari makan, atau berdakwah. Mereka memilih UMNO ketika UMNO sedang sakit. Itu hakikatnya. Mereka memilih UMNO ketika PAS sendiri sedang diperambut dengan pelbagai sanjungan oleh ulama-ulama mereka sendiri yang ternyata berjaya menarik sebegitu banyak sokongan. Tak percaya? Tengoklah setiap kali ceramah yang diadakan oleh mereka di seluruh negara. Ini yang UMNO kena tengok sebelum ‘diapa-apakan’ kumpulan ulama muda ini.

Pada masa yang sama, ahli UMNO, khususnya kepimpinan di setiap peringkat seharusnya tidak lepa dan hanya mengharapkan idea brilliant DS Najib semata-mata untuk memulihkan UMNO, baik dari dalam mahupun dari luar. DS Najib sudah banyak melakukan perubahan, tetapi malang sekali, ia tak banyak menyumbang impak yang optimum yang boleh melonjakkan kembali UMNO ke tahap sokongan seperti sebelum ini. Di kampung-kampung sendiri, masih banyak kepimpinan peringkat cawangan yang terkial-kial mengemudi kapal sendiri, jadi bagaimana nak sertai bahtera perubahan DS Najib? Jadi begini pun antara lain kerana maklumat yang tak kesampaian, satu alasan klise tahap hampas.

Namun, yang menghairankan, kenapa kita sendiri belum nampak satu anjakan yang mengagumkan berlaku dalam UMNO hingga ke hari ini?

PRU13 bukan lama sangat lagi pun. Dengan masa yang tak banyak ini, saya percaya, ramai yang mahu lihat sesuatu yang besar digerakkan oleh UMNO, diketuai oleh jentera Pemudanya. Jadi dalam ruang itu, saya amat berharap supaya ulama-ulama muda ini diberikan tempat yang signifikan dalam sayap Pemuda UMNO. Letakkanlah mereka di tempat yang sepatutnya, walaupun ia pahit dan menyukarkan, demi Melayu dan Islam di Malaysia. Pemuda perlu sedar tentang fakta bahawa pengundi muda di negara ini semakin bertambah jumlahnya, dan semakin cerdik pemikirannya.

Sunday, June 27, 2010

PR Tak Layak Cakap Soal Felda

Sungguh menyedihkan bila PR cuba bercakap tentang Felda. Tidak banyak yang boleh dibanggakan bila juak-juak ini tampil berlagak dalam mereka mengetengahkan masalah rakyat. Tapi kali ini nampaknya Anwar sudah tersilap. Isu yang beliau cuba jaguhi ini bukannya masalah rakyat tapi masalah kepada dirinya sendiri yang semakin kekurangan isu.


Satu persatu isu yang cuba dibawanya berjaya dipatahkan oleh kem Najib. Apa dah jadi Anwar? Lari Washington lagi?


Sejak ditubuhkan, Felda ternyata berjaya membantu ekonomi kaum bumiputera khususnya orang Melayu di negara ini. Taraf hidup rakyat naik melonjak tahun demi tahun. Felda hari ini juga sudah jauh berbeza jika dibandingkan dengan zaman awal penubuhannya. Felda ditubuhkan utamanya kerana mahu membaiki masalah rakyat yang dihimpit kesusahan pasca-merdeka, termasuk mengekang kegiatan pengganas komunis.


Ketika ramai kaum Cina berasak masuk ke bandar-bandar dan menjadi saudagar, kaum Melayu yang major ini lari masuk ke hutan belantara dan memugar tanah bukit hingga menjadi ladang dan kebun semata-mata mahu merebut hasil ekonomi baru yang ketika itu, mereka sendiri pun belum pasti nilainya.


Ketika bijih yang tertanam di dalam Tanah Melayu ini semakin berkurangan, kaum Cina dan saudagar-saudagar mereka mula nampak peluang bisnis yang ada di kawasan Felda, lalu mereka berebut-rebut pula menjadi peraih dan pengusaha industri baru ini. Mereka tanam modal dalam sektor perkilangan dan pembuatan ketika Melayu kekal menjadi pembekal sumber bahan mentahnya.


Melayu terus menjadi pembekal, bahkan sampai hari ini, masih kekal menjadi pembekal kepada kemajuan ekonomi Malaysia. Namun atas kecekapan pengurusan Felda, pembekal-pembekal ini berjaya menikmati hasil usaha mereka dengan sebaik mungkin tanpa berlaku banyak pembaziran yang merugikan. Felda lantas menempa nama sebagai satu contoh perusahaan ekonomi rakyat yang paling dinamis di dunia.


Felda tidak ditubuhkan untuk mengayakan orang Melayu atau bumiputera semata-mata. Buktinya, ketika ditawarkan menjadi pengusaha, ramai yang menolak kerana tidak sanggup masuk ke hutan memulakan hidup baru. Ramai juga yang menyindir kononnya kerajaan ketika itu bukan hendak membantu orang Melayu sebaliknya bertujuan meminggirkan lagi kaum ini.


Namun hari ini, bilangan yang segelintir ini berjaya membuktikan konsep ‘beri periuk kosong’ ini adalah satu kaedah paling berkesan dalam membina sebuah masyarakat yang berjaya dari segi ekonominya. Felda sudah mencapai banyak kejayaan yang diiktiraf global. Jadi kenapa Anwar tiba-tiba mahu bising kononnya Felda bankrap? Felda bukannya sebuah entiti syarikat yang lininya terhad sebaliknya ia berdiri gagah atas pelbagai kegiatan yang diusahakan. Mana mungkin ia bankrap sebegitu mudah.


Justeru bagi saya, Anwar dan PR tak layak langsung untuk bercakap tentang Felda. Mereka sendiri menentang DEB dan beriya-iya menuntut kesamarataan ekonomi. Ini idea paling gila pernah saya dengar dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dengan taraf ekonomi yang berbeza-beza seperti di Malaysia. Tolong sedar ini Tanah Melayu yang ditukar namanya semata-mata untuk menjaga hati kaum lain. Nama saja bertukar tapi jasadnya tetap sama.

Saturday, June 26, 2010

Muktamad. Tiada Lesen Judi. Terima Kasih PM

Tiada lesen pertaruhan sukan

KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti masyarakat yang secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan di peringkat dasar untuk memberi kelulusan sebelum ini.

“Walaupun ada pihak menyokong dan menentang perkara itu, kerajaan mendapati secara jelas majoriti masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut dikeluarkan.

“Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengumumkan keputusan berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini malam ini.

Polemik isu itu bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataan di Dewan Negara pada 6 Mei lalu bahawa kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram di negara ini.

Pengumuman berkenaan mendapat bantahan pelbagai pihak antaranya Badan Perhubungan UMNO Johor, Perak dan Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keputusan berkenaan disokong sepenuhnya MT UMNO dalam perbincangan malam ini.

“Keputusan itu dibuat sebulat suara, walaupun ada satu dua pendapat berbeza pada peringkat awal tetapi semua akur dan menerima,” katanya.

Mengenai lesen yang pernah dikeluarkan kepada Ascot Sports, Perdana Menteri berkata, ia diluluskan pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkannya semula pada 1990 kerana menghadapi kerugian besar.

Katanya, sejak tarikh itu Ascot Sports beberapa kali cuba memperbaharuinya dan baru-baru ini kerajaan pada dasarnya memberi kelulusan dengan syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

“Selain itu, kerajaan pada masa sama ingin mendapatkan pandangan umum sebelum lesen dikeluarkan memandangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka sendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial

“Walaupun niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram dan pertaruhan sukan haram yang ditaksirkan begitu besar sehingga ada yang kata perjudian haram itu melebihi RM10 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang lain” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa dalam apa keadaan sekalipun, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat berkaitannya.

“Syarat-syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas ditentukan kerajaan,” katanya.

Mengenai reaksi parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata, beliau percaya keputusan itu dapat diterima kerana ia lebih mengutamakan rakyat.

Beliau turut memberitahu, Ascot Sports juga tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana di bawah akta yang diperuntukkan, Menteri Kewangan pada bila-bila masa mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen pertaruhan itu – Utusan.

Ulasan saya :

Muktamad. Sudah diputuskan oleh kerajaan pusat bahawa tiada lesen judi sukan akan dikeluarkan di bawah kepimpinan 1Malaysia. Kalau sebelum ini ramai yang berang sehingga memanggil PM DS Najib sebagai PM Tak Muktamad, hari ini Najib dah jawab tuduhan mereka.

Apa yang ingin saya sentuh di sini ialah, inilah sikap kepimpinan yang mendahulukan rakyat di bawah transformasi positif PM kita. Pembangkang usahlah mendabik dada kononnya PM dan kerajaan pusat tunduk pada tekanan mereka kerana isu lesen judi ini ditentang oleh pelbagai lapisan masyarakat, bukan hanya PAS dan PKR sahaja.

PM dan kerajaan pusat tidak memerlukan pandangan rakyat dalam isu ini. PM mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen judi tersebut tetapi kenapa PM tidak melakukannya? Lebih penting, PM sebaliknya tidak berdolak dalih dalam hal ini dan membuka pintu perdebatan seluas-luasnya kepada rakyat untuk berkongsi pandangan. Bagi saya, inilah contoh kerajaan rakyat yang positif dan komited dengan dasar yang digunapakai.

Friday, June 25, 2010

Tembak Harimau : Chua Soi Lek Jangan Berlagak

Harimau yang ditembak mati.



Beberapa buah akhbar hari ini melaporkan berita mengenai tindakan seorang anggota Rela menembak mati seekor harimau berusia dua tahun di Kampung Ulu Damak, Selama, Perak.

Harian Metro misalnya melaporkan mengenai keputusan pihak Perhilitan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan manakala The Star pula memetik kenyataan daripada Presiden MCA sebagai sumber utamanya dalam mengulas insiden ini.

Apa signifikannya kes ini kepada saya? Untuk makluman, Kampung Ulu Damak merupakan kampung kelahiran saya dan saya mengikuti kes ini dengan dekat sekali. Mendukacitakan sekali apabila membaca laporan-laporan berita tersebut kerana pihak editorial hanya memfokuskan laporan mereka kepada kesalahan yang dilakukan tanpa memikirkan kenapa atau apakah implikasi yang timbul jika anggota Rela tersebut tidak mengambil langkah drastik tersebut?

Ini bukan kali pertama harimau menceroboh masuk ke kawasan kampung. Di kawasan Selama, terdapat beberapa buah kampung yang secara geografinya bersambungan dengan Banjaran Bintang di samping memiliki beberapa buah air terjun yang sering menjadi tumpuan ramai sebelum ini.

Penduduk kampung juga sudah beberapa kali melaporkan insiden pencerobohan tersebut kepada pihak Perhilitan namun tidak ada tindakan yang efektif diambil selama ini sehingga memaksa penduduk mengambil tindakan sendiri.

Adakah ini berbaloi? Pada saya, ia lebih penting berbanding menggunakan kaedah alternatif moden yang penuh taktikal dan memakan masa sedangkan pada masa yang sama, nyawa penduduk diancam secara terang-terangan. Adakah pihak Perhilitan sedar akan situasi yang sedang dilalui ini?

Kampung Damak juga bukanlah sebuah kampung yang mewah ekonominya. Penduduk kampung di sini rata-ratanya masih bergantung hidup kepada hasil hutan di samping menjalankan kegiatan pertanian, menoreh getah dan menanam kelapa sawit. Hampir 80 % lebih kawasan di sini dan Selama amnya diliputi kawasan hutan hujan Simpan Kekal Bintang Hijau. Adakah Presiden MCA sedar akan realiti ini sebelum mengeluarkan kenyataan beliau?

Saya bukan ingin menjadi jaguh atau menaikkan nama lelaki terbabit agar dilihat sebagai hero. Yang salah tetap salah. Hukuman tetap hukuman. Tapi biarlah berlandaskan perikemanusiaan dan keprihatinan.

Satu soalan bodoh kepada Presiden MCA, antara nyawa penduduk kampung dan harimau, mana yang lebih penting? Kalau nak tahu, datanglah ke pedalaman dan lihatlah sendiri susah payah orang kampung mencari sesuap nasi.

Wednesday, June 23, 2010

Bolehkah Ustaz Asri Pulihkan UMNO?

Seluruh negara barangkali ternanti-nanti pengumuman yang akan dibuat pada hari Jumaat ini berhubung penyertaan Ustaz Asri, mantan Mufti Perlis ke dalam UMNO. Bersama beliau, dikatakan hampir 100 ulama salaf muda lain yang akan mengikut jejak yang sama.

Sejak berita ini diwara-warakan beberapa hari yang lepas, pelbagai pihak telah tampil membuat kenyataan dan melontarkan pandangan masing-masing, baik dari UMNO sendiri mahupun pihak pembangkang khususnya PAS.

Lebih menarik, ada yang mendakwa penyertaan Ustaz Asri ke dalam UMNO akan menggoyah kedudukan PAS sebagai sebuah parti beridentitikan Islam. Hal ini demikian kerana, Ustaz Asri terkenal dengan kelantangan dan keberaniannya menyatakan prinsip serta pandangan politik yang tentunya akan menyasarkan targetnya kepada PAS dan PKR selepas ini.

Jika sebelum ini Ustaz Asri agak bebas dan terbuka dalam membuat kritikan terhadap sesiapa sahaja termasuk UMNO sendiri, selepas ini pastinya kritikan-kritikan beliau lebih menjurus kepada kepincangan yang dilakukan oleh PAS pula. Ustaz Asri nyata sekali mempunyai minat dan kecenderungan terhadap politik agama yang melibatkan dua buah parti besar orang Melayu ini dan penyertaannya ke dalam entiti politik sudah tentulah untuk membetulkan kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam hal syariat Islamiah, bukannya untuk menyibuk dalam soal politik secara total.

Soalnya, jika benar gossip politik ini, apakah PAS sedia menerimanya? Adakah PAS rela melihat Ustaz Asri yang berprofil tinggi ini bersuara mewakili UMNO? Walaupun semua tahu Ustaz Asri lebih merupakan tokoh daripada kumpulan minor dalam kalangan intelektual Islam di negara ini, namun keterasingan beliau dalam kelompok ulama berkecuali selama ini tidak menampakkan beliau secara peribadi menolak hal-hal kepolitikan. Inilah juga yang menarik hati PAS selama ini kepada Ustaz Asri kerana kemampuannya bercakap tentang masalah politik dan dunia Melayu secara umum.

Justeru, seandainya benar berita tersebut dan hari Jumaat ini Ustaz Asri bersama 100 orang lagi ulama muda lain menjadi ahli rasmi UMNO, pasti rona politik nasional akan lebih ‘meriah’. Namun sebagai rakyat biasa, kita berharap biarlah kemasukan golongan ulama muda ini akan membawa sisi baru dalam perjuangan umat Melayu dan ad-deen Islam di Malaysia secara keseluruhannya, bukan hanya untuk survivor politik UMNO semata-mata.

Walau apa pun yang telah dan sedang hangat diperkatakan, saya percaya, ada sebab musabab yang terlalu kukuh untuk Ustaz Asri dan rakan-rakannya menyertai UMNO jika ia benar-benar berlaku kelak. Tak usahlah perkara ini dipolitikkan sangat, sebaliknya anggaplah ia sebagai proses biasa dalam amalan demokrasi di negara ini. Apa yang kita mahu lihat ialah implikasinya untuk umat Islam di negara ini amnya dan Melayu sendiri khususnya.

Saya juga bersetuju dengan pandangan rakan-rakan blogger lain yang melihat perlunya Ustaz Asri menyertai UMNO seberapa segera. Jika benar beliau mahu membetulkan hala tuju Islam di Malaysia yang sedang kacau bilau kerana mainan politik parti-parti terbabit, beliau tidak boleh terus-terusan bersuara dari luar seperti yang dilakukan ketika ini.

Beliau sebaliknya perlu melihat kesesuaian metodologi yang digunakan. Dalam hal ini, menyertai adalah langkah yang dilihat jauh lebih berkesan berbanding memperkatakannya sebagai pihak berkecuali kerana implikasinya lebih jelas terhadap kelompok yang disasarkan.

Begitu juga, untuk merawat UMNO yang sering diperlekehkan oleh PAS kononnya kafir dan sesat, adalah dengan melakukannya dari dalam. Mungkin imej dan krediliti UMNO sudah rosak jika dilihat pada luarannya, tetapi adakah berkesan jika hanya menumpukan usaha memulihkan imej tersebut sahaja sedangkan barah di dalamnya semakin membusuk?

Saya percaya, penyertaan professional Islam sahaja yang mampu memulihkan UMNO dari dalam dan menyolek kembali imejnya yang sedang calar dengan kostum baru yang lebih segar dan relevan di luar. Ustaz Asri mungkin individu terbaik untuk menggerakkan usaha tersebut dan biarlah matlamat utamanya adalah untuk survivor ad-deen Islam dan orang Melayu mengatasi kepentingan kuasa dan politik kerana itulah juga asas pembentukan dan perjuangan UMNO sejak daripada awal lagi.

Sebaliknya, saya tidak nampak kesan yang besar mampu diimpakkan jika Ustaz Asri menyertai pembangkang khususnya PAS kerana parti tersebut mempunyai terlalu ramai ulama yang sering keluar dengan kenyataan-kenyatan berbaur politik yang mengelirukan. Beliau juga tidak harus lupa bagaimana salah seorang pemimpin mereka yang mengaku ulama pernah mengeluarkan kenyataan akan memancung kepalanya tidak lama dahulu kerana tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan. Adakah Ustaz Asri juga mahu menjadi seperti golongan ulama seperti ini?

Apa-apa pun, hakikatnya sehingga saat ini, perkara ini masih belum muktamad. Kita hanya mampu menunggu dan berdoa semoga Allah SWT akan memimpin kita semua ke jalan kemenangan.

Tuesday, June 15, 2010

Terima Kasih Nizar!!!


Tak ada perkataan lain yang lebih sesuai untuk diucapkan kepada mantan Presiden Perak FA, Nizar Jamaludin yang akhirnya melepaskan juga jawatan yang disandangnya itu sejak 2008. Terima kasih. Terima kasih.

Demi pembangunan bola sepak negeri ini, memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Nizar walaupun ia agak lewat. Nasib pasukan Perak yang terumbang-ambing dikatakan sedikit sebanyak berpunca daripada masalah pengurusan tertinggi yang tidak sehaluan dalam banyak hal.

Diharapkan dengan perubahan pucuk pimpinan dalam persatuan ini, hala tuju pasukan Perak dalam semua peringkat dapat diperbetulkan kembali dan berupaya mengembalikan kegemilangannya di arena tempatan.

Kepada pengurusan baru kelak, menjadi tanggungjawab anda menyuci kembali kekotoran yang ditinggalkan.



Friday, June 11, 2010

Exile Figure Saw Sook Hwa Yang Cuba Ditokohkan Kembali Oleh Pro-Mahasiswa


Keratan akhbar AMBOI S2BJ edisi 1-15 September 2004 yang memuatkan liputan kes Saw Sook Hwa.

Kalangan pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Pro-Mahasiswa mungkin kenal dengan individu bernama Saw Sook Hwa, bekas pelajar USM yang pernah meninggalkan secebis palitan dalam sejarah perundangan negara ini.

Saw Sook Hwa pernah dituduh melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atas kesalahan menyertai kempen pilihan raya umum pada Mac 2004 bagi pihak pembangkang ketika itu iaitu DAP. Akibatnya, beliau dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan sedia ada yang digunapakai oleh universiti termasuk apa yang telah dimaktubkan dalam AUKU.

Rentetan peristiwa tersebut, pada 2hb Dis 2004, kes beliau telah dibicarakan dan Saw Sook Hwa telah diberi amaran serta denda sebanyak RM 200.00 oleh pihak universiti. Walau bagaimanapun, Saw terselamat daripada dikenakan hukuman maksimum iaitu buang universiti meskipun kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Saw tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya telah mengambil langkah susulan termasuk membuat rayuan ke mahkamah atas alasan AUKU telah melanggar kebebasan mahasiswa. Saw menerima sokongan yang kuat termasuk daripada kumpulan bekas pelajar dan tenaga akademik USM sendiri yang pernah dikenakan hukuman yang sama untuk mencabar kesahihan AUKU di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Masa terus berlalu. Pertukaran tampuk kepimpinan kerajaan pusat juga turut berlaku seiring peredaran masa yang menyaksikan lebih banyak suara mahasiswa diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan. Dalam hal ini, AUKU sentiasa mengisi tempat dan ruang perbincangan dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara hinggalah pihak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengambil keputusan untuk merombak bahagian-bahagian tertentu dalam AUKU yang selama ini mencetuskan kekeliruan dan perbalahan umum.

Antara perkara yang paling banyak diperdebatkan ialah berkaitan hak dan kebebasan mahasiswa dalam menyertai badan-badan tertentu seperti persatuan dan pertubuhan termasuk juga parti-parti politik serta keagamaan. Hasil rombakan yang dilakukan baru-baru ini, pihak legislatif negara telah bersetuju secara dasar dan praktikalnya untuk melonggarkan mobiliti mahasiswa supaya lebih terbuka dan kondusif dengan kehendak persekitaran.

Dalam hal ini, kecuali parti politik, mahasiswa telah menerima ‘autonomi’ yang sewajarnya yang mana selama ini begitu ‘dipolemikkan’ oleh sekian banyak pihak termasuk pihak-pihak berkepentingan tertentu di luar pagar kampus. Ternyata, perobahan baru dalam erti kata membentuk mobiliti mahasiswa Malaysia yang lebih gegas, sebahagian besarnya hadir daripada sumbangan pendokong-pendokong mahasiswa yang rasional dan memahami aspirasi sejagat bahawa ketergesaan, keradikalan dan kelantangan yang melampaui batas sering kali menjauhkan matlamat daripada diri sendiri.

Inilah yang berlaku dalam kes Saw Sook Hwa seperti yang dibincangkan dalam bahagian awal tadi. Kenapa jadi begitu, adalah kerana metodologi dalam menggagaskan tuntutan yang dibuat sering kali menidakkan kerasionalan, sebaliknya keradikalan yang dibuat-buat termasuk provokasi yang tak sepatutnya berlaku, mengambil tempat dalam perjuangan mereka.

Saw Sook Hwa terlalu memandang serong terhadap sistem perundangan yang digunakan sehingga beliau memilih untuk mencabarnya di mahkamah sedangkan ia telah pun diiktiraf oleh pihak yang menggubal undang-undang negara ini sendiri iaitu Parlimen. Asas untuk mengatakan AUKU melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan hujah bahawa mahasiswa adalah rakyat yang harus mendapat hak dan kebebasan yang sama, termasuk dalam berpolitik, sebenarnya telah dipolitikkan oleh pihak Saw Sook Hwa untuk menutup kesalahan yang dilakukan.

Apakah Saw tidak sedar atau sengaja membutakan matanya ketika itu? Sudah pasti Saw dan kumpulan beliau iaitu Persatuan Bahasa Tionghua yang diketuainya sendiri memahami bahawa terdapat bahagian-bahagian tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dibaca bersama dengan bahagian lain kerana ia saling rujuk-merujuk dan lengkap-melengkapi untuk menjadi sebuah naskah perundangan yang bermakna.

Intipati daripada usaha terancang Saw dan kumpulan yang menyokongnya sebenarnya adalah jelas iaitu untuk membangkitkan sentimen politik dalam kalangan mahasiswa supaya menentang pihak universiti yang mendokong aspirasi pembaharuan. Lantaran itu gerakan politik haluan kiri kumpulan mahasiswa yang dipimpin oleh Saw ini digelar sebagai ‘anti-estabalishment’ yakni yang menolak pembaharuan.

Siapakah sebenarnya di belakang Saw sehingga beliau mampu menggerakkan kesnya itu ke mahkamah? Meskipun tidak secara langsung, namun rentetan demi rentetan laporan pelbagai media kebanyakannya memberikan kita satu arah yang jelas condongnya iaitu kepada pembangkang khususnya DAP dan kini PKR. Dikatakan juga, Tian Hua merupakan moderator kepada gerakan mahasiswa seperti DEMA dan SPF yang bergiat aktif di kebanyakan kampus.

Kes Saw Sook Hwa juga menarik kerana ia telah tertangguh dalam satu jangka masa yang agak lama sebelum diperdengarkan semula baru-baru ini. Dalam tempoh itu, AUKU telah dipinda termasuk pada bahagian yang menyaksikan Saw didakwa dan dijatuhkan hukuman. Justeru, natijahnya, meskipun Saw cuba mencabar hukuman yang telah dikenakan dengan menggunakan pindaan AUKU terkini, namun pihak mahkamah telah menolaknya dengan hujah Saw didakwa dengan peruntukan yang sah sebelumnya iaitu pada tahun 2004 (sebelum pindaan dilakukan).

Lebih menarik, Saw bukan sahaja gagal membatalkan hukuman terhadapnya malah beliau juga gagal dalam usahanya mencabar kesahihan AUKU dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kenapa hal ini berlaku? Mudah, kerana Saw terlalu memandang rendah dengan kuasa perundangan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Saw beranggapan hujah yang beliau kemukakan adalah kukuh tanpa mengambil kira kedudukan undang-undang dan prosedur yang digunapakai selama ini. Lebih malang buat Saw kerana beliau turut diarahkan membayar dengan kos bagi prosiding yang telah dijalankan.

Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan di sini bahawa Saw Sook Hwa ibarat watak yang ditokohkan semula selepas sekian lama tidak dimainkan. Atas nama perjuangan, hari ini Pro-Mahasiswa mengetuk kembali gendang politik mereka untuk meraih perhatian termasuk cuba membawa isu ini ke Parlimen Malaysia. Apa untungnya kepada mahasiswa sejagat?

Saw mungkin boleh diibaratkan juga sebagai ‘exile figure’ yang terbuang di tempatnya sendiri tetapi telah dicirikan kembali sebagai lagenda solidaritis kemahasiswaan di Malaysia seiring dengan nama-nama lain kerana keberaniaannya melawan ‘musuh’ (baca: kerajaan). Malangnya, dalam hal ini, tanpa disedari oleh mahasiswa sendiri, kes Saw adalah satu penyimpangan yang disengajakan terhadap kebenaran dan kebenaran itu pula adalah sesuatu yang diputuskan secara kolektif oleh pemimpin-pemimpin negara sama ada di pihak pemerintah ataupun pembangkang sendiri.

Jika Saw ialah ‘exile figure’ yang cuba digilap kembali ketika ini, maka kita akan tertanya-tanya, siapakah pihak yang akan mendapat untungnya? Kenapa pihak Pro-Mahasiswa begitu mahukan supaya AUKU dimansuhkan? Apakah sebenarnya yang menghalang kebebasan mereka selama ini di dalam kampus ataupun di luar kampus? Walaupun ada AUKU, namun hakikatnya, mereka tetap juga menyertai aktiviti parti-parti politik di luar sana. Justeru kenapa bila masuk kampus mereka menyalak melalak menuduh universiti menghalang kebebasan mahasiswa?

Kesimpulannya, Saw Sook Hwa, AUKU dan kebebasan mahasiswa adalah tiga elemen yang sangat berbeza-beza. Saw dikenakan tindakan atas kesalahannya sendiri. AUKU pula hanya satu set peraturan yang berperanan menjaga hak dan kebajikan serta masa depan mahasiswa seluruhnya, bukan menindas atau menyekat. AUKU menyediakan panduan dan pedoman, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Dan kebebasan pula, harus difahami bahawa ia bukanlah sesuatu yang mutlak pada setiap masa dan ketika. Kebebasan mesti dikawal supaya hak minoriti dan majoriti sentiasa terbela.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...