Followers

Sunday, March 27, 2011

Wacana Profesional Muda dan Teguran Kepada Pemuda UMNO

Semalam saya berkesempatan berada dalam satu diskusi ilmiah yang melibatkan beberapa orang tokoh penting. Wacana Profesional Muda, begitulah nama bagi diskusi selama sehari itu. Sebagai yang diundang, saya amat gembira dan puas kerana dapat duduk bersama dan mendengar pelbagai pesanan yang disampaikan oleh antara lain, Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN) yang baru.

Pun tentu, untuk saya kongsikan kesemuanya di sini mungkin agak sukar. Tetapi ada beberapa input penting yang saya kira harus diketengahkan. Soal diambil peduli atau tidak, itu hal kemudian. Saya kira Setiausaha Politik (Setpol) Perdana Menteri iaitu Dato Shahlan telah membentangkan seluas cadangan untuk anak-anak muda yang mencari-cari platform dalam menyatakan sokongan kepada kepimpinan tertinggi negara ketika ini, jadi apa tidaknya saya kongsikan di sini.

Dalam satu pertanyaan berkenaan empat garis pandu yang ditetapkan oleh PM ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, perkara keempat iaitu winnable candidates telah disentuh dengan serius oleh Dato Shahlan, membuatkan kami terfikir, bahawa usaha murni PM ini tidak boleh tidak, harus digembleng bersama dengan sokongan padu semua peringkat demi meraih kembali sokongan orang Melayu terhadap UMNO khususnya golongan muda.

Namun, apabila bercakap tentang orang muda, timbul satu permasalahan baru yang diluahkan oleh salah seorang peserta dari Kelantan. Menurut beliau, pimpinan UMNO peringkat bawahan terutamanya di peringkat cawangan dan bahagian, masih mengamalkan politik cantas-mencatas atau menyekat mana-mana individu yang dilihat boleh mencabar kepimpinan sedia ada. Malangnya, yang dicantas itu ialah orang-orang muda atau muka-muka baru yang boleh menyumbang sesuatu kepada parti dan akar umbi!

Siapa orang-orang muda itu? Sudah tentu mereka itu ialah golongan intelektual muda lepasan universiti, para mahasiswa dan profesional lainnya. Golongan ini sering menghadapi kesukaran ketika hendak menyertai UMNO di peringkat cawangan. Borang dihilangkan, tidak didaftarkan, malah lebih ngeri, mereka kerap kali disisihkan. Kenapa ini perlu berlaku dalam UMNO? Kalau yang bergelar anak muda atau orang muda itu ialah mereka yang tidak tamat persekolahan baru hendak diambil sebagai ahli, sampai bila UMNO bakal berubah? Bukanlah saya hendak mempertikaikan keupayaan ahli UMNO bawahan, tetapi inilah realiti yang berlaku.

Survivor UMNO sebagai parti tunggal yang benar-benar mampu mengupayakan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini amat mustahak. Ia mesti dirancang supaya setiap generasi yang menguasai UMNO ialah generasi yang serius dan komited dengan matlamat Alif, Ba dan Ta, yang bersedia mendokong perpaduan negara. Jika perpaduan dalam parti sendiri gagal kerana wujudnya budaya cantas-mencatas ini, bagaimana matlamat besar itu mampu dijayakan? Bagaimana winnable candidates mampu dicipta atau dilahirkan?

Selain itu, para pemimpin UMNO khususnya kepimpinan Pemuda harus sungguh-sungguh menerima fakta bahawa golongan pengundi baru bakal memainkan faktor yang cukup penting dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang bermula PRU13. Dengan jumlah pengundi Melayu sebanyak 5.9 juta orang ketika ini, bagaimana UMNO boleh menarik 2/3 daripadanya supaya terus bersama Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya umum yang diadakan? Tiada mekanisme yang lebih ampuh dan berkesan, melainkan segera melakukan pembaharuan dalam kepimpinan sedia ada. Pemuda UMNO harus menjuarai dan menjaguhi, dengan sebenar-benarnya, segala kemahuan dan kehendak anak-anak muda melalui pembukaan lebih banyak peluang kepada golongan ini untuk bersuara.

Malangnya, saya tidak nampak upaya yang didayakan oleh Pemuda UMNO ketika ini yang benar-benar mampu menarik perhatian anak-anak muda. Jika kerajaan Pakatan Rakyat gah dengan Karival Anak Muda di negeri-negeri mereka, apa pula yang Pemuda UMNO lakukan? Mereka lebih tertumpu kepada acara-acara berimpak kecil dan jangka pendek seperti penganjuran pertandingan futsal dan bola sepak di peringkat bahagian dan cawangan sahaja. Upaya minda dan pendayaan pemikiran supaya mahu berfikir, tidak berlaku. Anak-anak muda terus disogok dengan program-program yang sederhana.

Dalam satu soalan lain pula, Dato Shahlan turut mengupas mengenai gelombang media baru yang nampaknya masih gagal dikuasai sepenuhnya oleh golongan muda, terutamanya kepimpinan Pemuda UMNO ketika ini. Malaysiakini, sebagai contoh, belum mampu disaingi oleh mana-mana portal berita pro-kerajaan sedangkan bahan-bahan beginilah yang begitu dicari oleh golongan muda berbanding mengunjungi atau membaca portal-portal berita arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Untuk membeli akhbar, apatah lagi.

Apa yang anak muda mahukan ialah berita yang sensasi sifatnya, berani dan terkini. Dalam dunia serba moden dan maklumat di hujung jari, anak-anak muda dan generasi baru sebahagian besarnya membentuk purata pengaksesan sumber maklumat maya yang amat signifikan. Mereka mahukan sumber yang radikal dan terbuka tanpa mewujudkan terlalu banyak spekulasi. Tetapi ia seolah-olah gagal diambil sebagai peluang untuk ‘menjajah’ minda anak-anak muda oleh pihak-pihak terbabit yang lebih selesa membina populariti melalu media-media mainstream sedia ada.

Akhir sekali, juga teguran kepada Pemuda UMNO, dayakanlah gerakan anda di luar negara juga. Jangan hanya bertumpu kepada hal-hal dalam negara, sebaliknya lihatlah realiti yang berlaku di universiti-universiti luar negara. Perkara ini mungkin tidak disedari, tetapi seorang peserta yang baru pulang dari bertugas di Ireland berkongsi pengalaman realnya sewaktu di sana. Menurut beliau, hampir sebahagian besar pelajar Malaysia yang belajar di luar negara seperti di Ireland telah ‘didatangi’ jentera pembangkang dan natijahnya cukup besar, mereka mula terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dibawakan. Malah, adiknya sendiri kini telah berubah 360° selepas menjejakkan kaki di Ireland kerana terpengaruh dengan kempen halus jentera pembangkang di sana! Saya terpaksa menyalahkan Pemuda UMNO sekali lagi.

Justeru, saya berharap para peserta termasuk Saudara Azrinizam yang turut menjadi panel dan bersama-sama dalam sesi bersama Dato’ Shahlan semalam supaya menyebarkan hasil perkongsian dalam wacana ini demi kebaikan anak-anak muda khususnya profesional muda Melayu. Dayakanlah dengan apa jua cara sekali pun. Diharap juga Pemuda UMNO Malaysia di semua peringkat segera melakukan transformasi penting ini. Kami tetap bersama anda walaupun tanpa sebarang kepentingan!

Sunday, March 20, 2011

Johan, Zizan dan Jamal Abdillah Wajib Minta Maaf!


Pentas akhir Raja Lawak Musim Ke-5 memalit aib terhadap Islam?

Hati bagai disiat-siat bila melihat kesucian Rabb, Allah Yang Maha Mulia dipersendakan dan dijadikan modal jenaka di pentas akhir Raja Lawak musim kelima. Entah di mana silapnya, hairan tak terkata. Adakah mereka tidak peka atau sengaja?

Intro pentas akhir itu nyata cacat, tempang dan mengaibkan. Dua orang jagoan lawak muktahir, Johan dan Zizan akhirnya mencalit arang di muka sendiri. Ditambah pula dengan aksi seorang penyanyi veteran, si empunya lagu itu, yang disudahi dengan dua orang rappers yang terkinja terpekik terlolong.

Mana malu kepada Allah Rabbul Jalil? Ini kebesaran Allah, tergamak anda permainkan? Kalau anda bukan Melayu, bukan Islam mungkin masih boleh diterima, tetapi hakikatnya, anda orang Melayu beragama Islam.

Rasulullah bersusah payah menyebarkan dakwahnya, dipikul kemudiannya oleh sekian banyak ulamak, lalu tersebar ke tanah air kita, dan nenek moyang meninggalkannya pula untuk kita, tetapi hari ini, orang Islam yang dikenali ramai sendiri yang merobek kesucian dakwah itu.

Sepatutnya, lagu Jamal Abdillah itu diharamkan sejak dahulu lagi. Ini perkara serius. Bagaimana sebuah lagu yang pada awalnya memuji memuja tuhan, mengagungkan kebesaran nama Allah SWT tetapi pada akhirnya, memuji kekasih hati bergelar manusia?

Ini dua perkara yang sangat bertentangan. Walau atas nama seni, hal prinsip tetap prinsip. Hal akidah dan tauhid tetap sama, tak boleh dicacamerbakan sesuka hati, apatah lagi untuk tujuan komersial semata-mata.

Memandangkan perkara ini sudah pun berlaku, maka tidak banyak yang boleh kita lakukan, melainkan bersama-sama mendoakan semoga mereka yang terlibat diampunkan Allah dan segera bertaubat dan meminta maaf terhadap seluruh umat Islam.

Wednesday, March 2, 2011

Jenis Tak Reti Bersyukur!


Pengumuman peruntukan sebanyak RM6.4 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan sekolah di seluruh negara oleh TPM semalam seharusnya disambut dengan penuh rasa syukur oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya kalangan pendidik sendiri.

Hal ini menunjukkan betapa kerajaan sangat komited untuk membangunkan pendidikan di negara ini dan pada masa yang sama, meningkatkan keselesaan dalam kalangan guru semasa menjalankan tugas masing-masing.

Walaupun perincian lanjut belum dinyatakan lagi, namun peruntukan tersebut pastinya disalurkan untuk projek-projek menaiktaraf pelbagai kemudahan sedia ada di samping menambahkan bilangan kelas di sesetengah sekolah yang ketika ini boleh dianggap mendesak ataupun kritikal.

Tetapi seperti biasa, pasti ada suara-suara sumbang daripada pihak pembangkang yang melihat usaha murni tersebut sebagai gula-gula politik daripada kerajaan BN kepada rakyat. Bagi mereka, apa sahaja pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan pusat walaupun atas nama tanggungjawab terhadap rakyat, ia pastinya bermotifkan politik.

Bagi saya, memang pun ia bermotifkan politik kerana hanya BN sahaja yang mampu menunaikan segala permintaan rakyat di negara ini. Kerajaan harus melakukan sedemikian sebagai bukti bahawa pemerintahan BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat di Malaysia, dan rakyat harus membalasnya dengan terus memberikan kepercayaan kepada BN dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

Sejak 50 tahun negara merdeka, apa yang rakyat negara ini belum kecapi hasil pemerintahan BN? Pelbagai bentuk kesenangan dan nikmat sudah Allah kurniakan asbab daripada usaha gigih kerajaan yang memerintah negara ini merubah nasib dan masa depan rakyatnya. Tidakkah ini tuntutan utama dalam Islam?

Penyakit utama puak-puak pembangkang ini hanyalah hasad dengki yang tak kesudahan dan sikap perasan diri yang melampau kononnya merekalah terbaik walaupun belum teruji dengan sepenuhnya. Lima buah negeri yang tumbang dan jatuh ke tangan mereka bukanlah asbab mereka kuat dan diterima rakyat, tetapi adalah bukti yang telah ditentukan oleh Allah SWT supaya rakyat dapat menilai segala cakap-cakap mereka selama ini.

Allah bagi negeri-negeri tersebut supaya rakyat celik dan lihat sejauh mana janji mereka mampu ditunaikan, dan hari ini, sudah jelas nyata, banyak yang mereka gagal tunaikan. Malah, kezaliman yang dilaung-laungkan selama ini terhadap BN, berbalik terus kepada diri mereka. Di Pulau Pinang, apa yang mereka tidak buat untuk halau rakyat marhein daripada mencari rezeki melalui perniagaan?

Rakyat Malaysia seharusnya buka mata dan nilaikanlah seikhlas hati. Siapakah sebenarnya yang berpolitik keterlaluan hingga mengabaikan kebajikan rakyat?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...