Followers

Wednesday, January 26, 2011

Perkara Yang Paling Ditakuti Dalam Politik Kampus


Bahan kempen terbaharu daripada jentera Pro-Mahasiswa USM seperti yang disebarkan hari ini melalui laman Facebook mereka mengundang banyak persoalan. Pertama, adakah Pro-Mahasiswa cuba membawa kembali budaya demonstrasi dan tunjuk perasaan dalam kalangan mahasiswa di kampus-kampus?

Kedua, keberanian wakil-wakil bukan Islamnya yang seolah-olah mengikut contoh sesetengah pemimpin DAP dan PKR dengan bertakbir bagi menyokong hujah mereka, adakah ia sebahagian daripada hasil dakwah rakan politik mereka iaitu Persatuan Mahasiswa Islam (PMI)?

Warga kampus khususnya para mahasiswa seharusnya peka dengan perubahan arus politik Pro-Mahasiswa di USM. Mereka ini bukanlah kumpulan pejuang yang sebenar kerana hanya muncul apabila menjelang pilihanraya kampus sahaja.

Dalam pilihanraya kampus yang lalu, kumpulan Pro-M gagal menghantar sebahagian besar calon mereka untuk bertanding menyebabkan kumpulan Pro-Aspirasi berjaya membentuk Majlis Perwakilan Pelajar dengan majoriti mutlak dengan mudah.

Adakah ini dikatakan pejuang? Untuk makluman mahasiswa di USM, kira-kira sebulan sebulan bermulanya kempen pilihanraya kampus sidang 2010/2011, Ketua Pro-Mahasiswa USM dilaporkan berkata bahawa mereka akan menyertai pilihanraya kampus yang diadakan. Malah, dalam kenyataan yang sama, beliau mendakwa mendapat sokongan 500 orang mahasiswa USM melalui satu perhimpunan yang telah diadakan. Tetapi tahukah anda, ia hanya retorik semata-mata?

Buktinya, dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blog mereka itu, langsung tidak dinyatakan siapakah barisan calon yang hendak diketengahkan, malah, kelibat 500 orang mahasiswa yang diuar-uarkan kononnya dihimpun dalam satu perjumpaan juga amat meragukan kerana tiada fakta tentang tempat dan sebagainya didedahkan. Tidakkah ini hanya satu retorik untuk membesar-besarkan cerita?

Sebenarnya, bagi yang faham, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sememangnya Pro-Mahasiswa sentiasa diasuh dan dididik oleh parti-parti politik pembangkang di luar kampus. Buktinya, yang terbaru, logo Pro-M itu sendiri. Warna latar dan imej yang ditonjolkan mirip sekali dengan logo Pakatan Rakyat yang berlatarbelakangkan warna oren dengan imej ketuanan rakyat.

Malah, ideologi dan budaya berpolitik mereka juga amat sama. Buktinya, budaya berdemonstrasi yang kononnya adalah lambang kebebasan bersuara begitu diagung-agungkan. Dalam satu pendedahan yang dilakukan oleh salah seorang aktivis mereka sendiri bernama Nur Melayu, satu video yang memaparkan gelagat mahasiswa haluan kiri termasuk para muslimah dengan bangganya merempuh sekatan pihak keselamatan untuk menyerbu pejabat Naib Canselor di Universiti Malaya. Hasilnya, video ini telah menimbulkan polemik dalam kalangan mahasiswa USM. Inilah sebenarnya wajah Pro-Mahasiswa di mana-mana kampus sekali pun.

Justeru apabila salah seorang orang kuat Pro-Mahasiswa USM yang bukan Islam bertakbir, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan, tetapi jelas sekali amat mengecewakan. Inilah yang ditakuti selama ini. Politik di kampus sudah menerima tempias yang dahsyat akibat kerakusan pemimpin-pemimpin politik di luar dalam mereka memancing undi rakyat.

Mahasiswa USM seharusnya buka mata dan celik secelik-celiknya. Lihatlah dan nilaikanlah, apa sebenarnya yang hendak dibawa oleh Pro-Mahasiswa. Mereka hanya tahu berpolitik dan berfikiran bahawa, dengan politik yang mengikut kaedah mereka sahajalah mahasiswa akan dilihat hebat. Politik acuan Pro-Mahasiswa pada mereka adalah amalan demokrasi tulen, bebas dan berimpak tinggi. Tetapi tulenkah kalau lebih banyak menimbulkan masalah kepada warga kampus?

Untuk makluman juga, kumpulan mahasiswa haluan kiri ini sebenarnya pernah memegang tampuk pemerintahan MPP di USM sebelum dijatuhkan oleh mahasiswa USM sendiri. Tiada kezaliman. Tiada penindasan. Sebaliknya, mahasiswa USM sendiri yang menolak ideologi politik dan budaya kepimpinan mereka yang dianggap tidak mesra dengan warga kampus sendiri. Buktinya, ketika memimpin MPP di era 90-an, mahasiswa tidak habis-habis diheret dan dilibatkan dalam kemelut politik antara MPP dengan HEPP dan pihak kerajaan.

Jangan tak tahu bahawa di USM juga sebenarnya pernah berlaku pelbagai siri demonstrasi. Jalan Sungai Dua itulah saksinya. Pelbagai tuntutan dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi mahasiswa, yang hakikatnya hanya merugikan mahasiswa sendiri. Tiada hasil pun yang dibawa untuk kita nikmati pada hari ini. Justeru, janganlah dipersoalkan kenapa mahasiswa USM saban tahun memilih calon-calon yang sederhana, penuh toleransi dan realistik. Kami menolak penuh pendekatan demonstrasi dan juga idealisme yang terlalu tinggi.

Sunday, January 16, 2011

Antara Patung dan Masjid.


SURAT TERBUKA PENYOKONG PAS

SAYA ialah anak jati dan keluarga saya adalah penyokong Pas yang amat setia sehinggakan Tuan Guru Nik Aziz sendiri pernah beberapa kali menggunakan rumah kami bagi mengadakan ceramah.

Namun akhir-akhir ini, keluarga saya agak ‘pening’ memikirkan telatah pemimpin Pas yang sanggup menggunakan agama bagi meraih undi. Inilah yang menyedihkan kami.

Memandangkan kerajaan negeri tidak mampu membina masjid, keluarga saya antara keluarga yang aktif memberi sumbangan terhadap pembinaan masjid dan pembangunan beberapa sekolah tahfiz termasuk menyediakan tanah untuk fasiliti dan tidak kurang juga sumbangan kewangan kerana keluarga kami diberi kurniaan rezeki yang murah dari Allah SWT.

Tetapi kami agak terkilan apabila ‘berhala’ kaum Buddha begitu aktif dibina di Kelantan. Lebih menyedihkan saranan Rasulullah SAW agar ‘berhala’ ini dibina lebih rendah dari menara masjid seolah-olah tidak dijalankan di negeri yang kami banggakan sebagai Serambi Mekah.

Seingat ayah saya, semasa kerajaan BN mentadbir Kelantan, permohonan kaum Siam untuk membina sebuah berhala di Kampung Berok, Pasir Mas tidak diluluskan kerana ketinggiannya agak menonjol. Lalu setelah dipohon lagi, maka kerajaan BN meluluskan dengan beberapa syarat.

Tetapi di bawah kerajaan Pas, banyak projek ‘berhala’ diluluskan di Kelantan. Berhala duduk yang berada di Jong Bakar, Tumpat telah diluluskan walaupun ketinggiannya menyamai lima atau enam tingkat bangunan. Begitu juga berhala dekat Kok Keli dan terbaru, kami dikejutkan dengan pembinaan berhala terbesar di Asia Tenggara di Kampung Tawang, Bachok yang mempunyai ketinggian menyamai 12 tingkat bangunan.

Kerajaan negeri turut menyumbang sebanyak RM60,000 melalui wakilnya Datuk Anuar Tan untuk membina berhala tersebut. Kami terkesima, mengapa dengan mudah peruntukan diberikan untuk membina berhala dengan melibatkan belanja lebih daripada RM2 juta. Kami terfikir syiar manakah ini?

PEJUANG MAYA

Dipetik daripada Mingguan Malaysia, Forum 15 Januari 2011.

Saturday, January 15, 2011

Isu Azan - PAS Usah Lupa

Isu azan seolah memberikan peluru emas kepada juak-juak PAS untuk menghentam DS Najib dan pihak kerajaan. DS Najib yang selama ini semakin kebal membina perisai politiknya, tiba-tiba saja digasak maha hebat dengan pelbagai tuduhan seperti telah melakukan satu kesalahan yang maha besar kepada umat Islam di negara ini.

Tapi PAS jangan lupa, apa yang berlaku hari ini ada sumbangan sahamnya daripada tindak-tanduk mereka sendiri. Ahli PAS tidak boleh lupa, siapa yang begitu banyak memberikan muka kepada orang bukan Islam di negara ini untuk mencampuri urusan agama kita. Adakah UMNO yang sudah lama dituduh kafir oleh mereka? Atau PAS sendiri yang semakin meninggalkan prinsip perjuangan asalnya?

Ahli PAS mesti ingat, kerana ‘tolak-ansur’ murahan mereka selama inilah yang menyebabkan orang bukan Islam semakin berani dan terbuka menyerang institusi agama kita yang mulia ini. Baca Quran tanpa sahih kedudukan sucinya, tafsir isi Quran sewenang boleh, masuk ke ruang solat utama, berjoget bersenam di perkarangan masjid, berhimpun dan berdemo di kawasan masjid, apa lagi yang mereka tak buat? Semuanya mereka dah buat, tinggal mengucap syahadah dan solat berjemaah saja belum. Yang pasti, semuanya dilakukan dengan restu PAS, parti yang dianggap pejuang Islam tulen di Malaysia.

Ahli PAS jangan lupa, siapa yang berkata orang bukan Islam tak faham Islam justeru mereka harus melakukan perkara-perkara tersebut? Soalnya, kenapa sampai sekarang mereka masih tidak faham, malah semakin keliru pula? Apa yang PAS dah buat untuk memahamkan mereka? Bagi izin petik Quran sikit-sikit? Bagi izin ceramah di rostrum yang dibaluti bendera bulan? Adakah itu tindakan yang betul untuk mendekatkan mereka kepada Islam supaya mereka lebih faham Islam yang sebenar?

Malah, tertubuhnya sayap penyokong PAS dari kalangan bukan Islam juga nampaknya tak membantu ke arah memahami Islam yang hakiki, jauh sekali untuk mendakwahi mereka. Gobalakrishnan yang dulunya ditakbiri oleh ahli PAS dan didoakan pula supaya mendapat hidayah, sampai ke hari ini masih kafir. Benar ini soal hidayah Allah, tapi kenapa hidayah itu seolah-olah tertangguh?

Hari ini juga kita nampak, bila timbul insiden ini, PAS tidak pun bersungguh memperjuangkannya. Seolah play safe, buat kenyataan sedikit untuk semarakkan semangat menentang DS Najib dalam kalangan ahlinya saja. Semua ini berlaku kerana PAS takut untuk ke jalanan sebagai jaguh sebenar umat Islam di negara, takut kepada rakan-rakan kafirnya. Kalau betul, jihad fisabilillah sajalah kerana sudah jelas, mereka (bukan Islam) memang tidak faham, malah semakin jahil terhadap hak kita sebagai orang Islam dan orang Melayu di negara ini.

Ahli PAS juga kena sedar, semua ini berlaku kerana lemahnya institusi kita hari ini akibat permusuhan sesama sendiri. PAS dan UMNO harus bertanggungjawab bila timbul perkara begini kerana kegagalan untuk bersatu antara dua parti inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak gerun lagi dengan kehebatan institusi kita. Sultan selaku Ketua Agama Islam bahkan diperlekehkan. Justeru tidak hairanlah mereka berani mengemukakan tuntutan walaupun bersifat peribadi.

Kepada ahli PAS, sedarlah, sedarlah, sedarlah. Kembali saja kepada perjuangan asal, pulihkan kembali maruah anda. Kalau UMNO buat silap kerana bersengkongkol dengan kafir dalam BN, maka kenapa pula PAS mesti melakukan perkara yang sama dalam Pakatan Rakyat?

PAS Larut Yang Pelik.

Harapan untuk melihat satu perdebatan antara pimpinan Pemuda UMNO dan PAS Larut baru-baru ini tidak kesampaian. Saya begitu bersemangat dan berkobar-kobar pulang ke kampung, tetapi berita mengenai pembatalannya hanya tersebar melalui SMS, itu pun pada saat-saat akhir. Sedikit kesal, tetapi itulah adat dalam politik di negara ini.

Cabar mencabar, polemik dan sebagainya sudah jadi rencah. Insiden pembatalan permit ceramah misalnya, bukan lagi perkara aneh dan mustahil walaupun ia sudah diuar-uarkan secara meluas. Inilah yang berlaku dalam kes perdebatan antara KP UMNO Larut dan wakil PAS, Ustaz Nazri bin Haji Din. Sekali lagi, ia bukan aneh dan mustahil, tetapi cuma jelik! Saya tidak tahu apa masalah yang sebenar kerana saya bukan orang kuat mana-mana pihak. Selama ini, politik di Selama, kawasan saya, sentiasa tenang.

Cabar mencabar antara kedua-dua pihak bukan isunya lagi. Ia sepatutnya sudah berakhir, ataupun disusuli dengan permohonan baru untuk melunaskan dendam mereka yang terlibat. Saya pasti baik Ustaz Nazri mahupun Saudara Anuar tidak ada masalah untuk bersemuka dalam apa jua medium sekalipun. Tetapi isunya sekarang ialah tindak-tanduk pihak PAS yang begitu terdesak bagi saya dalam mereka meraih simpati dan sokongan masyarakat.

Selama bukanlah kawasan yang besar. Majoriti penduduk ialah Melayu yang hidup dalam kawasan luar bandar. Orang-orang kampung ini hidup aman-damai, bersaudara dan saling menghormati. Justeru kenapa PAS cuba melaga-lagakan penduduk di sini melalui agenda politik mereka? Orang Melayu baik dari PAS, UMNO mahupun PKR cari makan bersama-sama di Selama, berniaga di pasar-pasar pagi dan malam sesama sendiri, ke hutan pun bersama-sama tanpa sebarang masalah yang besar.

Namun sejak akhir-akhir ini, semakin ketara budaya politik tikam kaum sendiri dibawa masuk ke sini. Dalam kes perdebatan yang tak jadi ini paling ketara. Belum pun status permit permohonan dikeluarkan, pihak jentera PAS sudah galak memasang poster dan kain rentang. Debat dengan tajuk Islam dan Melayu dicanang ke seluruh kawasan sehingga menjadi buah mulut penduduk. Semuanya dilakukan oleh PAS, sedangkan pihak Pemuda UMNO tidak pula begitu ghairah kerana mereka tahu permit belum pasti lagi dikeluarkan ataupun tidak.

Justeru apabila permit dibatalkan sedangkan para penyokong khususnya daripada PAS sudahpun memenuhi dewan, maka jadilah insiden yang tak sepatutnya seperti yang saya luahkan tadi. Pelbagai tomhaman dilemparkan. Paling geram bila saya buka satu blog pro-PAS dari luar kawasan Selama yang menyerang Saudara Annuar kononnya pengecut dan bacul sambil menyembunyikan terus perkara sebenar. Malah, lebih jelik, mereka merakamkan gambar-gambar para penyokong dan pemimpin PAS Larut pada malam kejadian bagi menunjukkan bahawa Pemuda UMNO tidak berani pun untuk datang bersua muka dan berdebat! Nauzubillah.

Timbul juga cerita kononnya Pemuda UMNO Larut sudah mempengaruhi pihak polis untuk membatalkan permit pada saat-saat akhir. Ini semua karut. Cabaran debat pada awalnya keluar daripada Pemuda UMNO sendiri, lalu disahut oleh PAS. Isi debat juga sudah ditetapkan iaitu berkenaan Islam dan Melayu. Ia sudah diuar-uarkan oleh media, malah Malaysiakini turut melaporkan berita ini sebelum hari kejadian. Jelik, memang jelik kerana mereka menyembunyikan kebenaran!

Kepada pimpinan PAS Selama dan Larut sendiri, hentikanlah permainan politik begini. Di Selama, kita semua adik-beradik. Kenapa nak dibawa budaya pecah belah dan adu-domba begini ke sini? UMNO Larut pun tidak pernah memberikan masalah kepada PAS, malah ruang seluas-luasnya disediakan. Bahkan bila orang PAS ‘menawan’ masjid-masjid di Selama pun, orang UMNO tidak bising-bising. Nak apa lagi? Kalau nakkan kerusi DUN dan Parlimen, orang Selama dan Larut tahu apa yang perlu dilakukan.

Monday, January 10, 2011

Janji 100 Hari - Bila Penipu Hendak Menipu..

"...Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadaikan masa depan negara. Kita tidak boleh begitu, tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti..."

Agak mengecewakan bila Perdana Menteri terpaksa membuang masa yang bernilai bagi menjawab penipuan yang sedang hebat digasak ke atas rakyat ketika ini oleh pembangkang berkenaan Janji 100 Hari mereka. Inilah contoh mudah kebodohan dalam mengurustadbir harta dan aset negara yang terang-terangan ditonjolkan oleh mereka, namun seperti biasa, ramai yang lebih bodoh untuk mempercayainya.

Apa yang menariknya ialah, kita semua seolah-olah tidak memikirkan langsung siapakah dalang yang begitu bodoh menulis semua janji tersebut. Adakah Anwar, Hj. Hadi dan Lim Kit Siang yang dah bertaraf otai dan sepatutnya lebih matang dalam menabur janji yang merangka semua idea tersebut? Sudah tentu tidak. Walaupun ia diumumkan dalam konvensyen mereka, tetapi titik tolak tercetusnya idea bodoh tersebut boleh dihidu jauh lebih awal.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, idea-idea tersebut telah dibawa oleh segerombolan pemimpin muda yang kini sedang menonjol dalam Pakatan Rakyat. Apa istimewanya mereka ini? Ramai yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya adalah mantan aktivis mahasiswa yang pernah bergiat aktif dalam kancah politik kampus termasuk dalam menabur pelbagai janji yang molek-molek kepada warga kampus pada zaman mereka iaitu sekitar 80-an dan 90-an.

Namun sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan yang bertunjangkan idealisme adalah sesuatu yang amat sukar dicapai secara mutlak. Perjuangan bentuk ini terlalu mementingkan kesempurnaan sehingga mengabaikan aspek realistik atau situasi sebenar dalam satu-satu masa. Begitu jugalah yang diperjuangkan oleh golongan pemimpin muda tersebut sewaktu aktif dalam politik kampus yang kini berjaya diserap ke dalam PAS, PKR dan DAP sehinggakan kita dapat melihat sedikit demi sedikit ia menjadi tidak relevan.

Jika diimbau kembali, memang tidak dinafikan terdapat beberapa kumpulan politik mahasiswa yang gemar menabur janji-janji manis dalam pilihanraya kampus di samping mengamalkan budaya membanding-bandingkan hasil kerja antara kumpulan mahasiswa. Kononnya merekalah yang terbaik dan segala masalah akan dapat diatasi sekiranya mereka berkuasa. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka juga gemar bermain dengan sentimen politik hampir sepanjang masa, malah selagi boleh, mahu dipolitikkan apa saja yang terlintas di fikiran.

Justeru saya benar-benar kecewa kerana kita semua telah terheret sama dalam isu janji-janji manis bak gula Melaka ini. Semoga Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa BN mampu menawarkan sesuatu yang jauh lebih baik dan realistik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...