Followers

Sunday, March 28, 2010

Ranjau Menanti Chua Soi Lek

Laksamana baru armada MCA

Pucuk pimpinan parti bermasalah, MCA bertukar lagi dan kali ini, lelaki bermasalahnya pula dipilih sebagai ketua yang baru. Sejak pilihan raya umum yang lalu, parti ini benar-benar melalui zaman letihnya. Beberapa kali bertukar pucuk pimpinan, dihimpit pertelagahan sesama pemimpin, blok penyokong yang berpecah-pecah dan akhirnya, sampai juga ke kemuncaknya.

Apakah ini noktah kepada segala masalah dalam parti ini? Sehingga esok, dan minggu-minggu berikutnya, orang-orang Cina dan rata-rata kita juga akan bercakap tentang transformasi ini. Seperti yang diulas oleh sabahat saya di blognya, Mencari Cahaya Pelita, kepimpinan baru ini ialah kepimpinan yang melambangkan keberanian MCA melaksanakan transformasi. Namun untuk mengatakan bahawa ini adalah titik penamat kepada segala permasalahan dalam MCA, ia tidaklah semudah itu.

Banyak yang perlu direnungkan. Seperti kata sahabat saya, mampukah ketua baru ini menyatukan orang-orangnya kelak? Kalangan calon ketua yang bersaing dengannya pun semuanya otai yang mempunyai kekuatan pengaruh masing-masing. Chua Soi Lek sendiri menang tipis. Justeru apakah sejarah akan berulang lagi selepas ini?

MCA juga perlu siaga dengan kemungkinan-kemungkinan masalah yang akan ditimbulkan oleh kem lawannya khususanya DAP dan PKR. Dalam hal ini, saya kurang bersetuju dengan andaian Mencari Cahaya Pelita bahawa isu panas lelaki bermasalah ini dahulu tidak akan dibangkitkan selepas ini.

Ketepikan Eli kerana dia sudah dapat pengampunan dari Nik Aziz. Media-media dan blok bloggers kiri tak akan beri peluang kepada Chua Soi Lek. Adalah dibimbangi, dengan kemenangan ini ia akan menjadi modal terpijak kepada penganalisis politik tak bertauliah kem pakatan untuk menghentam BN khususnya MCA sendiri.

Dalam situasi pakatan yang sedang berpinar-pinar ketika ini, maka perkembangan terbaru dari MCA adalah sangat-sangat dihargai oleh mereka. Lebih banyak fitnah akan berputar selepas ini untuk memburuk-burukkan Barisan Nasional. Mereka tak akan duduk diam.

Apa-apa pun, tahniah kepada Chua Soi Lek. Semoga mampu melaksanakan pembaharuan yang sangat-sangat diperlukan. MCA sudah, MIC bila lagi??

Earth Hour dan Realitinya

Jika ditanyakan, apakah pandangan saya tentang Earth Hour semalam, saya akan bercampur-baur untuk menjawabnya.

Pertama, saya hairan kenapa kita, atau sebahagian besar mereka, begitu pesimis dengan program kelestarian ini?

Kedua, kalau bukan kita, dan kalau bukan sekarang maka siapa dan bila lagi untuk digerakkan usaha kelestarian ini?

Ketiga, mengapa kita mesti memilih untuk berkecuali atas alasan-alasan peribadi, sedangkan ia sudah menjadi gerakkan massa peringkat global? Sejam cuma.

Bermula jam 8.30 malam dan berakhir sejam kemudian, apa yang dapat diperhatikan ialah, masyarakat kita masih belum nampak keperluan untuk bergelap dan merasai kegelapan walau pun hanya untuk enam puluh minit.

Memang ada benarnya, apalah sangat yang dapat disumbangkan kepada kelestarian alam sekitar dan bumi sendiri khususnya melalui program sebegini. Kalau pun kita tutup lampu-lampu di rumah, orang lain yang tidak tutup masih ramai. Maka sudahnya, sama sahaja tutup dengan tidak tutup, bergelap dan cerah. Tiada kesepakatan dan kesepaduan, mudah katanya.

Akhirnya, Earth Hour tinggal sebagai program mental yang susah untuk dijayakan. Dalam tempoh sejam itu juga, masyarakat niaga merupakan antara pihak yang paling tegar mengendahkan objektif perlaksanaan program ini. Atas dasar komersialan dan ketamakan kapitalisme yang kukuh dan sebati, maka kepentingan untuk menjayakan misi lestari sejagat dipandang sebelah mata. Kenapa jadi begini?

Kita tentunya tidak mempunyai jawapan yang muktamad. Earth Hour hanyalah program kesedaran dan keinsafan yang menuntut semangat kesukarelaan. Meski seribu kebaikan disenaraikan, jika hati dan akal tidak mahu juga menutup suis-suis lampu dan barangan elektrik lain, akhirnya ia tetap tidak akan mampu dijayakan.

Kita boleh memilih untuk tinggal selesa atau pun tidak pada hari ini, tetapi kita tidak mampu untuk menentukan sama ada esok kita masih boleh memilihnya lagi atau pun tidak. Bumi ibarat wanita tua, seperti kata Rasulullah SAW. Dan bumi juga ibarat loceng yang sentiasa berdenting. Sesekali dentingannya kuat sehingga kita bergegar.

Lestari – Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?..

Saturday, March 27, 2010

Earth Hour. Saya Sokong!!



Earth Hour datang lagi. Kali ini, pestanya berskala lebih besar. Sejak dimulakan kira-kira tiga tahun dahulu, ia kini menjadi gerakan massa peringkat global atas dasar memastikan kelestarian hari esok. Seolahnya, ia seperti seekor semut bercita-cita menyeberang sebatang sungai yang besar lagi ganas. Justeru timbullah soalan-soalan sinikal seperti; mampukah? Berjayakah? dan sebagainya lagi.

Namun, sebagai sebuah wadah yang serius, gerakan ini terus dikembangkan dari tahun ke tahun. Cakap-cakap mengenainya bahkan sudah sampai ke Persidangan United Nation. Dalam hal ini, Malaysia juga tak terkecuali menjadi sebahagian daripada warganya. Kita prihatin, dan kerana sentiasa prihatinlah, kita mesti turut serta.

USM sebagai institusi terawal di negara ini yang melaksanakan program Earth Hour pada tahun 2007, sekali lagi menganjurkannya dalam skala yang lebih besar pada tahun ini. Tiada lagi usaha penjelasan yang panjang lebar dan kempen yang merumitkan seperti pada tahun 2007 diperlukan.

Ia pantas menjadi tradisi yang bakal berakar umbi sementelah USM sendiri terkenal dengan program Lestarinya. Teras pencapaian gelaran sebagai Universiti APEX pertama juga sebahagian besarnya disumbangkan oleh kesungguhan USM menjayakan impian Lestari ini, yang tentunya meliputi pelbagai sudut bukan saja berkisar dalam hal-hal alam sekitar semata-mata.

Dan pada malam ini, tepat jam 9.00 malam dan berakhir sejam kemudian, Earth Hour akan sekali lagi dijayakan di USM. ‘Kegelapan’ akan menyelubungi bumi Minden buat seketika demi kelestarian hari esok. Soal mampukah atau berjayakan program ini, pada saya, ialah persoalan mentaliti. Menjawabnya pun terpulang kepada mentaliti setiap individu.

Secara mental, yang sempit tentunya, program ini hanyalah retorik global yang diada-adakan sebagai menutup keghairahan negara-negara maju menjarah isi alam dalam mereka mengejar kemewahan dunia. Lalu sejam untuk bumi dicetuskan supaya manusia-manusia akan berasa sedikit prihatin, sambil pada masa yang sama, menghalalkan pemusnahan alam sekitar sebaik sahaja lampu-lampu dihidupkan selepas itu. Begitulah kita disenyapkan tanpa sedar.

Tetapi pada saya, tuntas program ini bukan terletak pada sejam ia dilaksanakan, tetapi pada mental kita untuk menutup suis-suis lampu yang kita pasang menerangi sekliling kita saban waktu, baik siang mahupun malam. Ia adalah kejayaan mental yang cukup penting untuk diraih. Di situ ialah kesediaan kita sebenarnya untuk turut berganding bahu mengasihi nasib dan masa depan generasi akan datang.

Lebih jauh, ia adalah tentang kelestarian, yang mencakupi segenap aspek fizikal dan mental. Jika kita berjaya mencapai matlamat ini pada malam ini, kita juga sebenarnya telah memberikan rehat yang cukup-cukup penting kepada bumi dan alam sekitar, yang pernah digambarkan sebagai seorang wanita tua dalam hadis Rasulullah SAW.

Usaha menjayakan impian kelestarian global seperti yang digerakkan oleh USM pada hari ini, pada saya juga, harus diterjemahkan oleh dunia sejagat sebagai kesungguhan sebuah komuniti kecil atas sifat dan atas dasar kesedaran serta keprihatinan yang sungguh-sungguh untuk mencipta sebuah dunia yang benar-benar aman, damai dan harmoni. Ia mesti digerakkan seoptimum mungkin dan segera disertai oleh masyarakat global tanpa lengah.

Lestari- Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?..

Tuesday, March 23, 2010

PAS Tak Usahlah Berangan Tegakkan Islam

Tidak salah untuk dikatakan orientasi PAS sebagai sebuah parti dominan umat Islam di negara ini (jika UMNO dianggap parti sekular berasaskan bangsa Melayu) semakin menyimpangi arah tujuannya yang asal, iaitu memperjuangkan Islam dan daulauh Islamiyah.

Terbaru, mungkin kita boleh melihat kesungguhan parti tersebut ‘memberikan izin’ kepada orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Apabila Tuan Presidennya sendiri membuka pintu ini, maka sudah jelas lagi terang bahawa ia mewakili suara parti.

Persoalannya, apakah tujuan ‘keizinan’ itu turut meliputi ruang peribadatan? Dalam Islam, Allah ialah Al-Khalik, Tuan Punya isi alam ini. Mahukah mereka yang bukan beragama Islam, yang tak pernah menjalani kehidupan sebagai Muslim mengakui hakikat ini? Kemudian, di mana pula kedudukan tuhan-tuhan mereka kalau Allah itu Tuan Punya Alam?

Tuan Presiden juga mengatakan, adalah menjadi tugas kita sebagai Islam untuk menjelaskan tentang ’siapa’ Allah selepas itu, dengan keyakinan bahawa, melalui keizinan tersebut, oran Islam di Malaysia telah melakukan usaha dakwah yang cukup besar, yang harus disusuli kemudiannya dengan usaha penjelasan.

Soalnya, penjelasan yang bagaimana? Adakah melalui pentas-pentas ceramah seperti yang dilakukan oleh ‘daie-daie’ PAS selama ini? Atau akhirnya kembali menjadi bebanan kepada kerajaan pusat? Haji Hadi tentu faham apakah implikasinya, khususnya terhadap akidah umat Islam terutamanya generasi muda jika hal ini berlaku. Poin besar mereka kelak ialah, UMNO sebagai tunjang kerajaan BN yang memerintahlah yang bersalah kerana meluluskan kebenaran tersebut.

Apakah PAS khususnya Tuan Presidennya sendiri, setelah melihat bersama-sama para ‘daienya’ yang lain akan ‘kehebatan’ sahabat-sahabat mereka dari DAP menggunakan kalimah-kalimah suci al-Quran sewaktu di atas pentas ceramah, maka ia adalah bukti jelas tentang penerimaan juga kesediaan bukan Islam terhadap keesaan Allah dengan sebenar-benarnya?

Jika inilah puncanya, maka kita umat Islam bakal menyesali keterlanjuran tersebut. Kita tidak harus lupa bahawa agama-agama lain juga punya teras akidah yang akan mereka pertahankan. Kalau pun Allah dibenarkan digunapakai oleh mereka, apakah keesaan-Nya akan diyakini dan diimani? Mahukah mereka berkompromi seperti kita? Apakah ini yang dikatakan bahawa Islam bakal kembali menjadi agama dagang?

Dalam hal ini, saya teringat akan persoalan yang pernah dibangkitkan oleh seorang sahabat saya melalui ruangan Facebooknya baru-baru ini, iaitu antara mempertahankan kalimah Allah dan mengikuti perintahnya, manakah yang lebih penting? Lebih kurang begitulah bunyinya. Pada saya (yang tidak pernah menggunakan Facebook ini), urusan kedua-duanya sama penting.

Islam datang dengan mengusulkan tauhid, mengesakan Tuhan Rabbul ‘Alamin iaitu Allah Yang Maha Esa. Meski pun ketika itu Allah telah pun diketahui wujud kerana hasil penyebaran agama-agama langit terdahulu, tetapi akibat kecelaruan akidah, akhirnya Allah disekutukan dengan Tuhan-tuhan yang lain. Konsep keimanan masyarakat Arab ketika itu sangat bercelaru.

Hal yang sama akan berlaku kalau kita izinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain di negara ini kerana adalah jelas, kita sebenarnya belum tahu apakah tujuan mereka. Soal kompromi sekali lagi mesti difikir sedalam-dalamnya. Mahukah mereka mengesakan Allah seperti kita, yang bermaksud tiada lagi Tuhan yang selainnya?

Kesannya tentu sekali terhadap perkembangan akidah generasi muda Islam. Kita tentu sekali tidak mahukan perkara ini berlaku apatah dalam situasi sekarang, usaha dakwah yang unggul kelihatan sangat lemah. Tiada daie yang benar-benar unggul selepas Ahmad Deedat. Yang ada kini banyak pula yang berorientasikan politik dan sebagainya lagi. Berceramah pun mahukan bayaran yang mahal-mahal. Apahal?

Justeru pada saya, mempertahankan kalimah Allah tidak harus dibandingkan dengan apa-apa persoalan pun. Jangan sesekali kita menimbulkan isu ini kerana Allah itu Hak, Yang Sentiasa Benar. Jika kita mempersoalkan isu-isu pokok sebegini dengan sewenang-wenangnya, maka dibimbangi akan bercampur baur dengan yang bathil lebih-lebih lagi bila akliah digunakan sebagai pandu hujah.

Rasulullah sendiri mengambil masa yang lama untuk mendidik asas ketauhidan yang sebenar dalam kalangan masyarakat Arab apabila Baginda diamanahkan untuk menyampaikan berita tersebut, sebelum diturunkan segala perintah dari langit tentang itu dan ini kemudiannya.

Semuanya kerana sepotong ayat ithbat yang jelas maksudnya kepada kita semua iaitu Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan. Maka jika penganut agama lain mengakui konsep ini, gugurlah Tuhan Anak, Tuhan Bapa dan Tuhan Jesus ataupun dewa-dewa dan dewi-dewi yang lainnya, semuanya akan tunduk kepada Allah Yang Maha Esa.

Kalau kita sudah boleh berkompromi dalam hal ini, mahukah mereka juga berkompromi? Saya percaya, satu masa kelak Islam akan jadi satu-satunya agama yang diimani oleh seluruh umat manusia bukan saja di Malaysia, tetapi di negara-negara lain. Tetapi bukan melalui jalan ini. Ia hanya melalui usaha dakwah yang unggul seperti yang telah dijanjikan oleh Rasulullah dan Allah swt sendiri. Ia tugas pemuda-pemuda yang akan membawa panji-panji hitam dan khabar berita tentang saat kemenangan, bukannya membawa bendera PAS dengan slogan-slogan retorik ataupun suara-suara dakwah dan politik sekali gus.

Jadi, PAS tak usahlah berangan selagi anda tidak kembali ke jalan Islam yang tulen dan unggul!!

Friday, March 19, 2010

Talkinkan Kebathilan

Wajah

Anwar kepanasan. Anwar menggelupur kepanasan. Bagai hantu setan yang dibacakan YaaSiin, menggelepar panas panas panas.. sampai bila agaknya dapat bertahan? Orang ‘kepercayaan’ dia sendiri sudahnya yang akan talkinkan lelaki ini.

Wahai Anwar, sudahlah. Cukuplah. Sedarlah yang lakonan kamu bertaraf pak pacak tetapi cita-citamu setinggi Tom Cruise di Holywood, bertaraf Kelas A. Kami rakyat sebagai penonton sudah bosan dengan lakonan kamu.

Kak Wan, sampai bila nak macam ni? Anak-anak Kak Wan pun sampai bila nak macam ni? Suami Kak Wan sedang berbohong dengan pembohongan yang cukup cukup cukup besar dan berat terhadap seluruh rakyat jelata, lagi mahu diam dan senyum sumbing? Bapak kalian sedang menipu anak-anak Malaysia, sedang berbohong terhadap ibu bapa- ibu bapa di negara ini, lagi mahu redha?

Pimpinan PKR, sampai bila anda sanggup dicucuk hidung? Diheret-heret ikut telunjuk Anwar? Mana maruah anda? Tak malukah? Sampai tahap ini masih mahu percaya pada lelaki ini? Nak tunggu ada yang bogelkan Anwar di depan anda semua baru nak palingkan muka?

Apa yang pasti, yang bathil pasti akan jatuh. Rakyat sedang berdoa supaya kebenaran terserlah, tak kira di pihak mana. Tetapi adakah tindakan melarikan diri daripada berhadapan pendedahan boleh dianggap sebagai pejuang kebenaran?

Sehari dua ini seluruh negara barangkali akan bercakap tentang Anwar. Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa Anwar keluar dari Sidang Dewan sewaktu didedahkan pembohongan 16/9 beliau, dan kenapa mesti Anwar menuduh UMNO sebagai dalang disebalik semua ini? Jahat sangatkah UMNO? Tak habis-habis nak berdendam dengan beliau? Kenapa Anwar tak lawan? Lebih teruk, lari pula ke luar negara.

Karpal Singh sendiri pernah meminta Anwar bertaubat, pernah menuduh beliau kaki pembohong yang mempromosikan budaya songsang lompat parti. Tetapi Anwar selamba saja spin sampaikan Karpal Singh yang terkenal sebagai lawyer ‘hebat’ itu pun tunduk dengan kata-kata Anwar. Bukan Karpal saja, ramai lagi lawyer yang tunduk dengan pembohongan Anwar.

Apa-apa pun kita tunggu sahajalah apa lagi kejutan selepas ini. Anwar mungkin akan terus kepanasan. Bukan sahaja perlu berhadapan rakyat Malaysia, tetapi beliau sebenarnya lebih risaukan ‘abang-abang besar ’ di luar negara yang selama ini memberikan ‘nyawa’ kepadanya. Mana nak lari, atau mereka yang lari.

Meminjam kata-kata DS Najib, yang hak tetap akan berdiri dan yang bathil tetap akan jatuh. Ayuh selamatkan Malaysia daripada pengkhianat.

Monday, March 15, 2010

Bantulah Adik Ikmal

Ketika dalam perjalanan pulang ke kampus dengan menaiki bas Rapid Penang semalam, saya dan teman baik saya telah ditakdirkan bertemu dengan keluarga malang Mohd Ikmal Hafifi berusia enam bulan yang baru saja kematian kedua-dua ibu bapanya.

Ibunya meninggal dua hari selepas adik Ikmal dilahirkan. Dalam usia yang begitu muda, Ikmal kehilangan insan yang bertanggungjawab membawanya ke dunia ini. Tidak lama kemudian, iaitu baru-baru ini, ayahnya pula pulang ke rahmatullah selepas dipercayai lemas di laut. Malangnya saya tidak berkesempatan mengikuti laporan berita kematian ayahnya itu di dada akhbar.

Saya sendiri langsung tidak menyangka akan bertemu adik Ikmal bersama adik-beradiknya yang lain. Mereka enam beradik kini dipelihara oleh nenek yang cukup tabah saya kira. Melalui nenek Ikmal inilah kami mengetahui cerita susah payah yangsedang ditanggung oleh keluarga ini.

Sedikit tentang Ikmal ingin saya kongsikan di sini. Dalam tempoh yang singkat, kami berdua seolah-olah kagum dengan anak kecil ini yang kelihatan cukup bersemangat dan ceria. Mungkin Ikmal belum faham apa-apa tentang makna kehidupan, namun saya percaya, anak sekecil ini juga punya harapan untuk merasai realiti kehidupan yang sedang menantinya di hadapan. Bukan hanya Ikmal, tetapi abang-abang dan kakak-kakaknya juga perlu melalui kehidupan mereka.

Saya bukanlah hendak menjadi jaguh dengan membawa kisah keluarga malang ini. Saya tidak pasti apakah bantuan kepada mereka sekeluarga yang telah dihulurkan oleh mana-mana pihak. Tetapi hati saya cukup tersentuh dan sehingga kini masih terbayang-bayang wajah penuh harapan adik Ikmal khususnya bila memikirkan masa depannya kelak.

Harapan saya semoga pihak-pihak yang berkenaan dapat menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Difahamkan juga melalui nenek Ikmal, mereka kini tinggal secara percuma di flat Sri Pinang. Justeru sekiranya ada pihak yang bersimpati dengan Ikmal dan adik beradiknya, bantulah dalam bentuk apa-apa pun.

Apa-apa pun saya percaya, adik Ikmal hanyalah satu contoh daripada sekian banyak realiti kesempitan dan kesusahan rakyat bawahan di negara ini bahkan di mana-mana saja. Tanggungjawab pemimpin masyarakatlah untuk memastikan nasib mereka terus terbela.

Tuesday, March 9, 2010

Ketuanan Melayu Tanggungjawab Generasi Muda

Usaha gigih menuntut kemerdekaan negara tidak akan berjaya sepenuhnya jika tidak mendapat sokongan yang padu daripada generasi muda, khususnya anak-anak muda Melayu ketika itu. Usaha mempertahankan kemerdekaan itu pula tentunya tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan yang padu dan berterusan daripada generasi muda hari ini.

Namun, setiap kali bercakap tentang anak muda, khususnya orang Melayu, maka yang tergambarkan tentunya generasi baru yang hidup dalam zon serba serbi selesa. Di kampung-kampung, di pekan-pekan, di bandar-bandar bahkan di kota-kota apatah, kebanyakannya hidup dalam ruang lingkup yang cukup kondusif tanpa memerlukan banyak daya yang mendesak untuk mencari sesuatu yang diperlukan dalam menjalani kehidupan sendiri.

Kecilkan skop dengan melihat kehidupan anak muda di institusi pengajian tinggi awam negara misalnya, jelas hal ini memang berlaku. Serba serbi disediakan. Ke kuliah hari ini tak perlu lagi menyalin nota, berlenguh-lenguh tangan mencatatkan segala yang disampaikan. Nota-nota boleh dimuat-turun dengan mudah. Semuanya menjadi mudah kerana adanya teknologi. Alhamdulillah, inilah implikasi sosial yang penting hasil daripada kemerdekaan negara.

Usaha mencari ilmu hari ini juga tidak lagi memerlukan pengorbanan yang terlalu besar, tak macam zaman dulu-dulu. Hari ini kita boleh melihat anak-anak kampus ke dewan kuliah tanpa menggalas beg atau menjinjing nota dan sebagainya. Suasana itu jauh barangkali kalau hendak dibandingkan dengan apa yang perlu dilalui oleh orang-orang tua kita dahulu. Menulis di atas batu atau papan, menggunakan daya hafalan yang tinggi. Nilai konvensional itu tidak diperlukan hari ini kerana adanya teknologi yang memudahkan kehidupan.

Ramai kita yang mencebik bila hal ini disebut atau diulang-ingat. Sekali dahulu Sasterwan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh menegur saya dan rakan-rakan di dalam kelas kerana tidak membawa buku teks yang hendak digunakan. Memang beliau tidak ada mengingatkan pun untuk membawa teks tersebut. Namun sindirannya betapa hari ini golongan muda tidak lagi menghayati jerih-perih menuntut ilmu seperti beliau dahulu, ternyata amat mengguris dan menyentap. Ada benarnya. Dahulu, orang-orang ke sekolah, ke universiti penuh dengan buku di atas meja. Apabila disoal terus sahaja dibuka muka surat berkenaan supaya jadi lebih berwibawa. Hari ini apakah masih berlaku sebegitu?

Nilai konvensi onal kita orang Melayu hari ini benar-benar diragut. Dalam soal politik lebih-lebih lagi. Dahulu, aturan hidup bermasyarakat berlaku dalam suasana yang saling bergantungan. Melanggar nilai tersebut akan dianggap sebagai bukan ahli dan harus disingkirkan. Setiap hal, baik pokok atau akarnya, akan diputuskan secara bersama, ditaati dan diterima sebagai sebuah keputusan untuk kebaikan seluruh anggota. Nah, lihat semuanya aman harmoni.

Lalu penjajahan yang datang kemudiannya, telah mengakis sifat partisipatoris tersebut, mewujudkan masyarakat yang teguh keakuannya, menghilangkan kepedulian yang selama ini begitu dipegang. Menjaga tepi kain orang sedikit demi sedikit menjadi tipikal sinis yang menyalahi konsep asalnya. Anak-anak muda Melayu menjadi semakin ‘terbiar’ kerana salah anggapan tersebut. Kita enggan lagi menjaga masyarakat kerana bimbang dilabel sebagai penyibuk atau campur tangan urusan orang.

Apakah ini sesuatu yang positif? Dalam soal pembinaan masyarakat moden, tentu sekali inilah yang diperlukan. Anak-anak muda Melayu ternyata kabur dengan ideology dan teori modenisasi tersebut. Penjajah datang ke sini kerana mahukan kekayaan kita, tetapi pada masa yang sama, melunaskan dendam mereka dalam erti gospel yang agung. Kita inilah mangsanya.

Perkara pertama yang dibawakan tentunya mengajar kita memisahkan diri daripada konvensi Melayu Islam. Mereka wujudkan ‘jadual waktu’ untuk kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Lantas, sedikit demi sedikit kita terpengaruh sehingga kita menjadi satu bangsa yang sekular dan liberal sekali gus. Kita mewujudkan, misalnya, kegiatan dalam kehidupan sehari-hari dengan pembahagian tertentu, yang kononnya efisien sedangkan kita lupa, jati diri Islam dalam diri orang Melayu menuntut segala pekerjaan itu sebagai sebuah ibadat. 24 jam itu harus diisi sebagai ibadat, itu konsepnya.

Hari ini penjajahan fizikal tidak lagi berlaku. Penghijrahan fizikal juga tidak lagi berlaku. Tetapi secara mental, kedua-duanya masih lagi berlaku dan diperlukan, yakni, penjajahan mental masih wujud, dan penghijrahan mental masih diperlukan.

Anak-anak muda Melayu harus sedar bahawa usaha mempertahan kemerdekaan ini adalah agenda paling penting dalam kehidupan sehari-hari, sama pentingnya seperti mengingati mati kerana generasi dahulu sanggup bermati-matian mempertahankan kemerdekaan tanah air. Kita perlu mencintai perjuangan ini kerana mencintai watan itu adalah sebahagian daripada iman yang tinggi darjatnya.

Kita juga harus ingat, hari ini kita sudah tidak punya apa-apa melainkan kuasa sebagai Tuan di tanah sendiri. Kita mesti ingat selalu, perjuangan ini adalah perjuangan memelihara hak ketuanan Melayu di tanah airnya sendiri. Biarlah kita berbeza padang atau lapangan, baik kamu doktor atau saya jurutera, baik anda tentera atau dia usahawan, selagi kita Melayu, maka tanggungjawab kitalah mempertahankan hak ini daripada terus dijajahi.

Kuasa dan ilmu, harus digandingkan. Dengan itu, bangsa Melayu pasti akan terus berkuasa di tanah ini. Biarlah apa pun jua caranya kita mendapatkan ilmu tersebut, yang penting ia mesti dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Sunday, March 7, 2010

Bukan Islam Semakin Berani Campuri Urusan Islam

A Great Man That Will Never Stand Alone.

Alhamdulillah. Itu ungkapan pertama yang keluar sebaik mendapat berita tentang penyikiran YB Zul dari PKR. Tulisan saya ini mungkin terlewat berbanding sahabat-sahabat blogger yang lain, tetapi saya berasakan perlu juga untuk menyatakan kesyukuran ini di sini. Di luar sana pasti ramai lagi yang berkongsi perasaan ini.

YB Zul seorang yang sangat saya kagumi. Sekurang-kurang sekali setiap bulan ketika pulang ke kampung, saya akan melalui kawasan YB Zul dan setiap kali itulah saya akan terbayangkan kelibat YB Zul dengan motosikal kuasa tingginya. Tak pernah pun bersua wajah. Kenal pun hanya di blog beliau. Tetapi Kulim-Bandar Bharu bukan asing pada saya.

Betapa bertuahnya YB Zul kerana mampu memenangi kerusi Kulim-Bandar Bharu. Pembangunan di kawasannya itu bukanlah teruk sangat, bahkan semakin pesat berkembang. Semuanya hasil kerja pemimpin-pemimpin sebelumnya dan YB Zul hanya datang mewarisi semua pembangunan yang sudah tersedia.

Tidak pula saya tahu sama ada YB Zul menjaga kawasannya dengan baik selepas bergelar AP. Apa yang saya perhatikan, kawasannya memang tidak teruk sangat sehingga memaksanya berkerja lebih keras. Boleh dikatakan banyak yang dah tersedia untuk YB Zul berkhidmat di situ. Mungkin ada satu dua kemudahan yang belum sempurna tetapi pada saya itu fenomena biasa di Malaysia.

Kekaguman saya pada YB Zul sebetulnya sejak sebelum beliau bergelar AP lagi. Langkah beliau terjun ke kancah politik mungkin sedikit mengejutkan kerana beliau seorang peguam yang sangat tegas dengan prinsipnya justeru politik mungkin bukan gelanggang yang sesuai untuknya. PKR juga mungkin bukan rumah yang baik untuk orang seperti YB Zul.

Telahan itu benar. Dahulu YB Zul lantang sekali bercakap tentang masalah akidah dan akhlak umat Islam di negara ini. Setiap kali beliau turun berceramah sewaktu giat menjelaskan isu murtad dahulu, pasti penuh gelanggang. YB Zul memang lantang. Isu murtad jugalah yang menaikkan nama beliau. Keberaniannya telah menyuntik semangat umat Islam dan orang Melayu untuk bangkit menentang masalah keruntuhan akidah di Malaysia.

Saya kira dahulu apabila jadi orang politik YB Zul akan beralih mood. Mungkin beliau akan kurang menekankan isu akidah umat misalnya kerana hendak menjaga hati dan perasaan para pengundi yang tentunya bukan sahaja orang Melayu Islam. Namun YB Zul istiqamah. Terlalu istiqamah sehingga akhirnya beliau ‘dihukum’ .

Pada saya, penyingkiran beliau adalah sesuatu yang memungkinkan pentafsiran yang bercampur-baur. PKR yang selama ini melaungkan kebebasan bersuara dan demokrasi tulen rupa-rupanya bukanlah adil pada prinsip perjuangan mereka sendiri. Tindakan ini hanya melondehkan imej luaran parti tersebut hingga terdedah apa yang sebenarnya diamalkan oleh kepimpinan parti. Kebebasan itu hanya apabila yang terkena ialah pihak lawan. Bila sentuh hal dalaman parti, ia tidak boleh dibenarkan.

PKR juga secara jelas memberikan isyarat kepada orang Islam di negara ini bahawa parti itu bukanlah pendokong agama rasmi kebangsaan ini. Tiada harapan yang tinggi boleh digantungkan untuk menjaga kedaulatan Islam kalau hal paling asas berkaitan isu nama Allah pun berakhir begini. YB Zul hanya mempertahankan hak dan prinsipnya yang didasarkan kepada prinsip perjuangan Islam. Justeru apabila yang mengadili kesnya ialah yang bukan Islam, mana boleh ia dikompromikan.

Baginda Rasululllah sendiri pernah berpesan, seandainya urusan agama diserahkan kepada yang jahil, maka tunggulah saat kehancurannya. Apakah ini yang dimaksudkan oleh YB Zul dalam tulisannya?

Selain itu, gesaan agar YB Zul melepaskan kerusinya juga tidak boleh diterima dengan mudah. Umat Islam harus tahu betapa pentingnya suara YB Zul di Parlimen sebagai seorang yang lantang dalam soal agama Islam di negara ini. Seandainya beliau akur, alangkah ruginya kita semua. YB Zul mesti terus bertahan selama mungkin kerana perjuangan yang hak pasti akan tertegak juga akhirnya. YB Zul sudah sejauh ini, kenapa mesti berundur begitu sahaja?

Jika isu kalimah Allah adalah punca penyingkiran YB Zul, maka tentu sekali YB Khalid Samad adalah orang paling gembira dan berbahagia dengan keputusan tersebut. Beliaulah yang menjadi punca kepada penyingkiran YB Zul. Beliaulah sebenarnya yang menjadi pengkhianat kepada pengundi YB Zul di Kulim-Bandar Bharu. Kerana tindakan jahil beliaulah yang akhirnya telah memaksa YB Zul bertindak balas atas nama mempertahankan yang hak.

Namun, apa yang pasti, keputusan penyingkiran YB Zul dari PKR telah menghantar isyarat yang cukup jelas kepada umat Islam di Malaysia dan ahli-ahli parti tersebut khususnya yang beragama Islam bahawa urusan Islam kini benar-benar dicampuri oleh bukan Islam atas nama politik. Jika ini berterusan, kita semua hanya menunggu saat kehancuran secara total.

Nauzubillah. Ayuh berdoa untuk agama, bangsa dan negara yang lebih baik.

Forum Yang Mendefinisikan Rasuah

Barisan panelis forum dari kiri Prof. Omar b Osman, Syed Hussein Alatas,
Dr. Celemans b Kasim dan Prof. Amir b Baharuddin.


Kenapa rasuah? Soalan yang selalu tiada jawapan mutlak, dan selagi ia terus berlaku, ia kekal rasuah. Negara boleh diwarisi dan akan diwarisi oleh generasi muda, tetapi rasuah hanya menyebabkan negara yang akan diwariskan itu kelak tiada harta untuk anak-anak mudanya.

Rasuah menurut Pak Habib seperti yang beliau komentarkan sebentar tadi dalam Forum Bersama Pemimpin dengan tajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” ialah Rasa Untuk Hidup Mewah. Kerana itulah, rasuah terus berlaku. Kerana itulah juga, rasuah akan terus berlaku.

Tetapi menurut Dr. Celeman pula, dengan memetik nas-nas Al-Quran yang agung, rasuah boleh dicegah jika dalam diri setiap manusia ada hati yang suci, yang gentar kepada akibat perlakuan tersebut, yang sentiasa sedar dan ingat bahawa rasuah, walau apa pun definisi dan pengertiannya, hanya akan menyebabkan kemanusiaan semakin miskin. Baik yang menerima atau yang memberi, tetap kedua-duanya akan miskin, meskipun, dalam sifat rasuah itu ada saling keberuntungan.

Pak Habib juga menghuraikan kenapa rasuah terus berlaku, antaranya kerana tiadanya sifat mahu peduli sesama diri dan sesama anggota masyarakat. Sifat kepedulian ini tidak lagi wujud dalam masyarakat hari ini kerana semuanya mahu memuaskan diri masing-masing, yakni rasa (nafsu) untuk hidup mewah. Semuanya menjadi penuh keakuan, mengejar mewah duniawi seperti yang diajarkan oleh para Yahudi melalui doktrin-doktrin halus mereka. Rasuah tidak berlaku sehinggalah apabila kebenaran Allah tiba di muka bumi ini, lalu orang-orang yang tamak dengan keduniaan menjadi gentar sehingga memaksa mereka membuat penawaran supaya kebenaran itu padam.

Rasulullah ialah manusia mukminin pertama yang ditawarkan rasuah yang cukup tinggi nilainya, ditawarkan tiga ‘Ta’ yang mampu menggoyahkan setinggi iman yakni wanita, takhta dan harta, tetapi baginda jugalah manusia mukminin pertama yang menolak rasuah dalam sejarah ketamadunan manusia sejagat kerana iman yang terlalu kukuh, 100%. Jadi kenapa rasuah? Kenapa masih rasuah?

Prof. Amir kemudiannya mengusulkan, dari sudut pandang ekonomi betapa rasuah itu berlaku hanya akan menyebabkan banyak keadaan buruk termasuk kenaikan kos dalam segenap bidang yang akhirnya menyusahkan rakyat, dan ia tak akan berlaku sekiranya dalam diri manusia perasuah itu ada integriti yang tinggi.

Soal integriti juga sebenarnya payah untuk dikupaskan. Apatah lagi bila dilawankan dengan rasuah, pasti saja integriti akan goyah. Integriti terlalu subjektif walau sebesar mana lencana digantungkan di dada uniform kerana wang satu sen pun mampu membeli integriti. Ia boleh berlaku kerana rasuah bermula serendah satu sen. Mesti ingat itu.

Jadi siapa yang akan menang? Siapa yang akan kalah? Yang menerima mungkin menang dan hidup mewah dan yang memberi pula mendapat apa yang dihajati tetapi, hakikatnya, kedua-duanya akan terus dihimpit dosa yang cukup-cukup-cukup berat. Yang kalah ialah agama, bangsa dan negaranya. Maknanya, semua akan kalah pada akhirnya. Natijahnya bukan sekali besar, tetapi selama-lamanya besar hingga diperhitungkan kelak.

Berlakunya rasuah hingga meruntuhkan negara juga sebenarnya berpunca daripada tiadanya semangat cintakan negara dalam diri setiap warga. Pak Habib memberikan contoh yang sangat kukuh tentang bagaimana Bung Karno mempertahankan negaranya kerana adanya rasa cinta yang tebal terhadap tanah air beliau. Sense of belonging itu sunnah yang tinggi, yang dituntut dalam Islam, sehingga mencintai negara atau tanah air itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada iman. Jadi kenapa rasuah? Mana pergi kepedulian kita dalam hal ini?

Wajarkah kita salahkan SPRM sahaja setiap kali berlaku isu rasuah? Wajarkah kita salahkan satu-satu pihak saja bila jerung tidak ditangkap tetapi bilis-bilis habis diheret? Kenapa bercakap tetapi takut untuk tampil sebagai saksi? Apa kita sedarkah tugas pihak berkuasa hanya menyiasat dan menyiasat itu bukannya kerja yang mudah?

Apa kita juga sedar dalam kehidupan sehari-harian ini kita bebas daripada gejala ini? Yang kita selalu nampak ialah ahli politik saja yang bergelumang dengan rasuah. Tetapi diri kita, keluarga kita, ahli masyarakat yang lainnya bebaskah daripada rasuah? Justeru tak usahlah hanya menyalahkan SPRM saja dalam hal ini. Kita bertanggungjawab secara kolektif.

Seperti kata Pak Habib juga, setinggi mana pun gunung, puncaknya tetap di bawah tapak kaki manusia. Gunung kerana itulah takut untuk memikul amanah dari Allah, tetapi manusia angkuh sekali menuntut amanah tersebut untuk bergelar khalifah di muka bumi ini. Semuanya kerana manusia ada kemahuan, dan kerana kemahuan jugalah rasuah boleh berlaku. Justeru, dengan kemahuan jugalah, atau lebih besar dari itu, kepedulian kita semua, maka rasuah boleh dibendung tak kira bilis atau jerung.

Rasuah itu hanya kita yang tentukannya.


Nota:

USM melalui Sekretariat Pencegahan Rasuah telah menganjurkan Forum Bersama Pemimpin yang bertajuk “Integriti VS Rasuah – Siapa Menang, Siapa Kalah?” pada 6hb Mac 2010 bertempat di Dewan Budaya, Pusat Kebudayaan USM. Panelis yang diundang khas ialah Syed Hussein Alattas, penulis dan penganalisa politik terkenal tanah air, Dr. Celeman bin Kasim, Penguasa Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM dan Professor Amir Baharuddian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM yang juga pakar serta penasihat ekonomi kepada Tun Mahathir suatu ketika dahulu di samping turut membentuk sekian banyak pemimpin negara termasuk Datuk Idris Jala. Forum ini dimoderator oleh Professor Omar bin Osman, Timbalan Naib Canselor BHEPP, USM. Sekalung tahniah kepada sahabat saya Nurmaizatulhana Bt Osman (teman sekampung) dan rakan-rakan dalam SPR USM yang menjayakan program ini.

Wednesday, March 3, 2010

PKR Bakal Ke Arkib

PKR, parti yang wujud kerana kekecewaan yang terlampau, kini semakin parah. Parti ini juga menarik sekian banyak orang untuk bercakap mengenainya. Apakah masih ada masa depan bagi parti yang satu ini? Sejauh mana ia mampu bertahan sehingga PRU akan datang?

Apa yang pasti, jelas parti ini bakal jadi sejarah penting dalam catatan perjalanan demokrasi di Malaysia. Dunia tentu sekali akan melihat dari dua perspektif, pertama PKR dan Anwar sebagai de factonya dan PKR dan UMNO. PKR sedaya mungkin cuba mencabar langsung hayat UMNO yang hingga kini masih bertahan sebagai parti politik yang kekal memerintah Malaysia. Dunia sebenarnya lebih mengiktiraf UMNO.

Jika dilihat dari perkembangan sehari dua ini, ada saja yang dihujahkan oleh segelintir pemimpin PKR yang masih bertahan apabila seorang demi seorang wakil rakyatnya keluar dari parti tersebut. Ada yang tegas menafikan parti itu goyah. Ada yang tegas mendakwa PKR bahkan akan lebih kuat. Benarkah?

PKR sebagai enterprise seperti yang disiniskan oleh Rais Yatim juga menarik. Ada benarnya dakwaan tersebut kerana sejak awal penubuhannya, parti itu kekal dengan imej ‘keluarga besar’ yang mengaut senang walaupun berulang kali ungkapan nepotis cuba disembunyikan.

Yang sekerat dua itulah yang selalu jadi suara penting parti. Reformis lainnya dibisukan, diperlukan cuma bila bossnya buat onar tetapi tak nak ngaku salah. Maka ‘dijemput’ reformis untuk bertempik memekik melolong berbaring siang malam. Apa selepas itu? Habuk saja.

Jika beginilah terus-terusan PKR, maka bakal terperosok ke arkiblah sejarahnya.

Tuesday, March 2, 2010

Kak Wan, pelisss...

Bila Ezam keluar dari PKR dahulu, maka ramai yang melatah. Ezam dianggap pemimpin muda yang mentah dan kecewa kerana tidak mendapat perhatian dari bossnya. Ada juga yang menuduh Ezam dibeli UMNO. Tapi orang UMNO pun ramai juga yang menuduh bukan-bukan kepada Ezam, termasuk tuduhan murahan kononnya beliau spy Anwar yang akan menghancurkan UMNO.

Tapi Ezam tak lekas masuk UMNO. Masa yang lama diambil termasuk aktif dalam NGO tertentu terlebih dahulu. Lantas Ezam sekali lagi dituduh cuba membina platform bagi meraih matlamat peribadinya. Siri ceramah dan penerangan tentang kenapa beliau keluar dari PKR akhirnya berjaya menjawab pelbagai tuduhan tersebut. UMNO terima keahliannya, tetapi masih dengan sedikit kewaspadaan.

Bila Ezam tawarkan diri bertanding di Permatang Pauh, UMNO masih belum bersedia. Walaupun tahu Ezam boleh melondehkan Anwar sehingga terdedah anunya itu, tetapi UMNO nampak masih ragu-ragu. Ezam tak melatah sebaliknya istiqamah dengan prinsip perjuangannya.

Hari ini, seperti yang dilaporkan di blog GAP, Ezam kembara ke seluruh negara dengan agenda Melayunya. Ezam benar-benar bagai pejuang tulen, bahkan azamnya untuk memastikan Anwar dan konco-konconya ditalkinkan, adalah buktik jelas iltizam Ezam sebagai pemimpin Melayu sejati. Pangkat apalah sangat, kalau pangkat itu jadi tempat kaut harta rakyat. Ezam tak perlukan pangkat untuk berkata yang hak. Anwar mesti ditalkinkan.

Tidak lama dahulu, terdedah juga info tentang bagaimana Ezam boleh keluar dari PKR. Semuanya bermula dengan video yang ditunjukkan oleh Nala kepada Ezam. Tak semua tahu apa kandungannya kerana belum ada pendedahan secara mutlak dibuat. Kepada yang tahu, percayalah, rakyat sangat menderita selagi pendedahan itu tidak dibuat.

Selain Ezam dan Nalla, tentu sekali Kak Wan orang yang paling banyak menyimpan rahsia Anwar. Sejak pendedahan kecil-kecilan tentang hal-hal sulit berkaitan Anwar dibuat oleh bekas rakan karib dan orang-oran kuatnya seperti Ezam , sebenarnya semakin ramai yang mula tertanya-tanya tentang kebenaran pendedahan demi pendedahan tersebut, dan tentu sekali yang mahu percaya semua itu benar lebih ramai.

Justeru apa yang diharapkan rakyat ketika ini ialah akan wujud satu pendedahan yang paling jelas, kukuh dan sahih tentang siapa sebenarnya Anwar. Tak kiralah dalam apa jua bentuk, ia mesti dilakukan segera.

Zaharin, Fairus, Tan Tee Beng Dah Sedar. Zulkifli Bila Lagi?

Anwar Kenal Siapa Orang Ini.

Seronok sungguh membaca laporan-laporan media sehari dua ini. Masing-masing berlumba melaporkan berita pengunduran ahli-ahli PKR daripada parti tersebut. Kalau bahasa politiknya, keluar parti, tapi elok jangan digunakan term tersebut takut-takut akan menambahkan lagi kerisauan dan kegelabahan Anwar CIFUT. Kita patut sokong moralnya sekarang yang sedang mencacak turun, down habis.

Tapi inilah hakikatnya. Di kala tuduhan dilemparkan kononnya wujud konspirasi kerajaan BN untuk membunuh karier politik beliau, apa yang berlaku sebaliknya jelas menunjukkan ia bermula dari dalam PKR sendiri. Konspirator itu benar-benar wujud tapi mereka ialah orang-orang Anwar sendiri.

Tambah menyakitkan hati Anwar, mungkin, ialah orang-orang ini benar-benar mempermainkan boss mereka sendiri. Anwar yang disangka strategis politik paling cerdik di Malaysia akhirnya terpaksa menelan akibah kesilapan beliau sendiri merekrut dan menyusun atur tenteranya dalam PRU dahulu.

Hari ini seorang demi seorang menghukum kesombongan Anwar, menghukum keterlanjuran beliau selama ini yang ternyata sangat angkuh sebaik meraih sedikit kejayaan dalam PRU 12 tempoh hari. Zaharin, Fairus, Tan Tee Beng, mereka sudah sedar. Mereka sudah nampak di mana silapnya PKR. Negara hanya menantikan bilangan yang akan keluar dari PKR dalam jumlah yang lebih ramai dalam sedikit masa lagi.

Pakatan Rakyat bakal ruyup insya-Allah, dengan sedikit saja lagi usaha yang masih diperlukan untuk mengeluarkan pejuang-pejuang rakyat yang tulen daripada parti tersebut. Bukan usaha siapa-siapa tetapi usaha individu itu sendiri. Mereka mesti sedar segera bahawa wadah perjuangan PKR hanya untuk insan bernama Anwar semata-mata.

Selepas itu, ahli-ahli akar umbi pula yang harus disedarkan. Tak mengapa kalau ada yang masih mahu terus bersama Anwar, khususnya Pak Cik Tua di mahkamah yang memeluk beliau tempoh hari. Mereka mungkin masih mabuk dengan agenda 'murni' Anwar. Tapi rakyat terbanyak, the bottom billions yang lain mesti disedarkan segera. Tanggungjawab siapa? Bukan UMNO dan bukan BN tetapi oleh orang-orang yang telah keluar dari PKR sendiri.

Apa-apa pun, laporan akhbar dan portal-portal berita semasa selepas ini pasti akan lebih menarik. Jangan lupa juga untuk mengikuti temberang bloggers PR terutamanya RPK. Mereka pasti akan lebih galak menipu selepas ini.

Monday, March 1, 2010

PKR Benar-benar Rapuh

Fairus ketika menyerahkan borang keahlian UMNO kepada PM DS Najib.

Penyertaan Saudara Fairus, bekas ADUN Penanti ke dalam UMNO dan BN seperti yang dilaporkan oleh media massa hari ini harus dilihat sebagai satu lagi detik penting yang akan menelanjangkan bekas partinya iaitu PKR.

Fairus menjejak langkah sebahagian besar individu dan kumpulan berprofil tinggi yang meninggalkan parti tersebut atas kerelaannya sendiri. Siginifikasi lain tentunya kerana beliau menganggap langkah tersebut sebagai usaha menegakkan prinsip perjuangannya yang tidak boleh dikompromi sampai bila-bila.

Adakah Fairus wajar dijadikan ikon pemimpin muda yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya? Mungkin tidak keterlaluan untuk menjawab ya, bahkan, sama seperti rakan-rakan lain yang seusia dengannya seperti Ezam dan sahabat-sahabatnya yang lebih awal meninggalkan PKR, maka Fairus boleh saja dianggap sebagai ikon hari ini, pasca PRU12, yang tegas dengan prinsip perjuangan sendiri.

Golongan muda yang selama ini dianggap nadi PKR hari sudah berani bercakap tentang prinsip perjuangan masing-masing. Fairus tentu salah seorang anak muda tersebut. Lebih penting untuk Anwar tahu ialah bekas anak buahnya itu pernah menjadi orang besar dalam PKR sebelum orang partinya sendiri yang menjatuhkan beliau.

Ia juga ibarat tamparan paling keras terhadap Anwar dan gengnya dalam PKR. Apakah Anwar sudah bersedia menantikan tamparan-tamparan lain yang lebih dahsyat, bahkan mungkin hingga ke tahap sepak dan terajang? Adakah PKR akan terus bertahan? Reformis sendiri banyak yang sudah tidak bersama dengan perjuangan Anwar, jadi siapa lagi yang boleh diharap menjadi jaguh PKR, yang akan melangsungkan jangka hayat parti tersebut hingga mampu merealisasikan mimpi Anwar ke Putrajaya?

Jika Anwar, dan Azizah sendiri tentunya, mendakwa Kerajaan BN berkomplot mahu menjahanamkan karier politiknya dengan percaturan sodomi kedua seperti yang dihadapinya kini, maka Fairus sudahpun menjawab tuduhan tersebut. Bahkan orang-orang yang sedar seperti Fairus inilah sebenarnya yang sedang membunuh karier Anwar secara terang-terangan. Mampukah Anwar menempis semua ini selama-lamanya?

PKR sering kali melaungkan mahkamah rakyat sebagai lebih berkuasa, lalu hari ini Fairus sudah menyampaikan mesejnya bahawa rakyat sudah menghakimi parti itu, sedikit demi sedikit. PKR tidaklah seteruk mana jika ia benar-benar menjulang prinsip keadilan, tetapi menjadi sangat teruk apabila parti tersebut yang kononnya menegakkan keadilan untuk rakyat telah terang-terang digunakan sebagai parti yang memperjuangkan keadilan untuk individu bernama Anwar. Inilah silapnya.

Sudah tentu hari ini akan lebih ramai rakyat yang akan berfikir tentang kenapa dan kenapa dan kenapa pemimpin-pemimpin PKR sendiri yang bertindak keluar dan meninggalkan perjuangan parti mereka. Tentu sekali juga akhirnya rakyat akan mendapat jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut, sama ada daripada Azizah sendiri ataupun daripada pemimpin-pemimpin lain yang masih bersama Anwar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...