Monday, March 1, 2010

PKR Benar-benar Rapuh

Fairus ketika menyerahkan borang keahlian UMNO kepada PM DS Najib.

Penyertaan Saudara Fairus, bekas ADUN Penanti ke dalam UMNO dan BN seperti yang dilaporkan oleh media massa hari ini harus dilihat sebagai satu lagi detik penting yang akan menelanjangkan bekas partinya iaitu PKR.

Fairus menjejak langkah sebahagian besar individu dan kumpulan berprofil tinggi yang meninggalkan parti tersebut atas kerelaannya sendiri. Siginifikasi lain tentunya kerana beliau menganggap langkah tersebut sebagai usaha menegakkan prinsip perjuangannya yang tidak boleh dikompromi sampai bila-bila.

Adakah Fairus wajar dijadikan ikon pemimpin muda yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya? Mungkin tidak keterlaluan untuk menjawab ya, bahkan, sama seperti rakan-rakan lain yang seusia dengannya seperti Ezam dan sahabat-sahabatnya yang lebih awal meninggalkan PKR, maka Fairus boleh saja dianggap sebagai ikon hari ini, pasca PRU12, yang tegas dengan prinsip perjuangan sendiri.

Golongan muda yang selama ini dianggap nadi PKR hari sudah berani bercakap tentang prinsip perjuangan masing-masing. Fairus tentu salah seorang anak muda tersebut. Lebih penting untuk Anwar tahu ialah bekas anak buahnya itu pernah menjadi orang besar dalam PKR sebelum orang partinya sendiri yang menjatuhkan beliau.

Ia juga ibarat tamparan paling keras terhadap Anwar dan gengnya dalam PKR. Apakah Anwar sudah bersedia menantikan tamparan-tamparan lain yang lebih dahsyat, bahkan mungkin hingga ke tahap sepak dan terajang? Adakah PKR akan terus bertahan? Reformis sendiri banyak yang sudah tidak bersama dengan perjuangan Anwar, jadi siapa lagi yang boleh diharap menjadi jaguh PKR, yang akan melangsungkan jangka hayat parti tersebut hingga mampu merealisasikan mimpi Anwar ke Putrajaya?

Jika Anwar, dan Azizah sendiri tentunya, mendakwa Kerajaan BN berkomplot mahu menjahanamkan karier politiknya dengan percaturan sodomi kedua seperti yang dihadapinya kini, maka Fairus sudahpun menjawab tuduhan tersebut. Bahkan orang-orang yang sedar seperti Fairus inilah sebenarnya yang sedang membunuh karier Anwar secara terang-terangan. Mampukah Anwar menempis semua ini selama-lamanya?

PKR sering kali melaungkan mahkamah rakyat sebagai lebih berkuasa, lalu hari ini Fairus sudah menyampaikan mesejnya bahawa rakyat sudah menghakimi parti itu, sedikit demi sedikit. PKR tidaklah seteruk mana jika ia benar-benar menjulang prinsip keadilan, tetapi menjadi sangat teruk apabila parti tersebut yang kononnya menegakkan keadilan untuk rakyat telah terang-terang digunakan sebagai parti yang memperjuangkan keadilan untuk individu bernama Anwar. Inilah silapnya.

Sudah tentu hari ini akan lebih ramai rakyat yang akan berfikir tentang kenapa dan kenapa dan kenapa pemimpin-pemimpin PKR sendiri yang bertindak keluar dan meninggalkan perjuangan parti mereka. Tentu sekali juga akhirnya rakyat akan mendapat jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut, sama ada daripada Azizah sendiri ataupun daripada pemimpin-pemimpin lain yang masih bersama Anwar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...