Sunday, March 7, 2010

Bukan Islam Semakin Berani Campuri Urusan Islam

A Great Man That Will Never Stand Alone.

Alhamdulillah. Itu ungkapan pertama yang keluar sebaik mendapat berita tentang penyikiran YB Zul dari PKR. Tulisan saya ini mungkin terlewat berbanding sahabat-sahabat blogger yang lain, tetapi saya berasakan perlu juga untuk menyatakan kesyukuran ini di sini. Di luar sana pasti ramai lagi yang berkongsi perasaan ini.

YB Zul seorang yang sangat saya kagumi. Sekurang-kurang sekali setiap bulan ketika pulang ke kampung, saya akan melalui kawasan YB Zul dan setiap kali itulah saya akan terbayangkan kelibat YB Zul dengan motosikal kuasa tingginya. Tak pernah pun bersua wajah. Kenal pun hanya di blog beliau. Tetapi Kulim-Bandar Bharu bukan asing pada saya.

Betapa bertuahnya YB Zul kerana mampu memenangi kerusi Kulim-Bandar Bharu. Pembangunan di kawasannya itu bukanlah teruk sangat, bahkan semakin pesat berkembang. Semuanya hasil kerja pemimpin-pemimpin sebelumnya dan YB Zul hanya datang mewarisi semua pembangunan yang sudah tersedia.

Tidak pula saya tahu sama ada YB Zul menjaga kawasannya dengan baik selepas bergelar AP. Apa yang saya perhatikan, kawasannya memang tidak teruk sangat sehingga memaksanya berkerja lebih keras. Boleh dikatakan banyak yang dah tersedia untuk YB Zul berkhidmat di situ. Mungkin ada satu dua kemudahan yang belum sempurna tetapi pada saya itu fenomena biasa di Malaysia.

Kekaguman saya pada YB Zul sebetulnya sejak sebelum beliau bergelar AP lagi. Langkah beliau terjun ke kancah politik mungkin sedikit mengejutkan kerana beliau seorang peguam yang sangat tegas dengan prinsipnya justeru politik mungkin bukan gelanggang yang sesuai untuknya. PKR juga mungkin bukan rumah yang baik untuk orang seperti YB Zul.

Telahan itu benar. Dahulu YB Zul lantang sekali bercakap tentang masalah akidah dan akhlak umat Islam di negara ini. Setiap kali beliau turun berceramah sewaktu giat menjelaskan isu murtad dahulu, pasti penuh gelanggang. YB Zul memang lantang. Isu murtad jugalah yang menaikkan nama beliau. Keberaniannya telah menyuntik semangat umat Islam dan orang Melayu untuk bangkit menentang masalah keruntuhan akidah di Malaysia.

Saya kira dahulu apabila jadi orang politik YB Zul akan beralih mood. Mungkin beliau akan kurang menekankan isu akidah umat misalnya kerana hendak menjaga hati dan perasaan para pengundi yang tentunya bukan sahaja orang Melayu Islam. Namun YB Zul istiqamah. Terlalu istiqamah sehingga akhirnya beliau ‘dihukum’ .

Pada saya, penyingkiran beliau adalah sesuatu yang memungkinkan pentafsiran yang bercampur-baur. PKR yang selama ini melaungkan kebebasan bersuara dan demokrasi tulen rupa-rupanya bukanlah adil pada prinsip perjuangan mereka sendiri. Tindakan ini hanya melondehkan imej luaran parti tersebut hingga terdedah apa yang sebenarnya diamalkan oleh kepimpinan parti. Kebebasan itu hanya apabila yang terkena ialah pihak lawan. Bila sentuh hal dalaman parti, ia tidak boleh dibenarkan.

PKR juga secara jelas memberikan isyarat kepada orang Islam di negara ini bahawa parti itu bukanlah pendokong agama rasmi kebangsaan ini. Tiada harapan yang tinggi boleh digantungkan untuk menjaga kedaulatan Islam kalau hal paling asas berkaitan isu nama Allah pun berakhir begini. YB Zul hanya mempertahankan hak dan prinsipnya yang didasarkan kepada prinsip perjuangan Islam. Justeru apabila yang mengadili kesnya ialah yang bukan Islam, mana boleh ia dikompromikan.

Baginda Rasululllah sendiri pernah berpesan, seandainya urusan agama diserahkan kepada yang jahil, maka tunggulah saat kehancurannya. Apakah ini yang dimaksudkan oleh YB Zul dalam tulisannya?

Selain itu, gesaan agar YB Zul melepaskan kerusinya juga tidak boleh diterima dengan mudah. Umat Islam harus tahu betapa pentingnya suara YB Zul di Parlimen sebagai seorang yang lantang dalam soal agama Islam di negara ini. Seandainya beliau akur, alangkah ruginya kita semua. YB Zul mesti terus bertahan selama mungkin kerana perjuangan yang hak pasti akan tertegak juga akhirnya. YB Zul sudah sejauh ini, kenapa mesti berundur begitu sahaja?

Jika isu kalimah Allah adalah punca penyingkiran YB Zul, maka tentu sekali YB Khalid Samad adalah orang paling gembira dan berbahagia dengan keputusan tersebut. Beliaulah yang menjadi punca kepada penyingkiran YB Zul. Beliaulah sebenarnya yang menjadi pengkhianat kepada pengundi YB Zul di Kulim-Bandar Bharu. Kerana tindakan jahil beliaulah yang akhirnya telah memaksa YB Zul bertindak balas atas nama mempertahankan yang hak.

Namun, apa yang pasti, keputusan penyingkiran YB Zul dari PKR telah menghantar isyarat yang cukup jelas kepada umat Islam di Malaysia dan ahli-ahli parti tersebut khususnya yang beragama Islam bahawa urusan Islam kini benar-benar dicampuri oleh bukan Islam atas nama politik. Jika ini berterusan, kita semua hanya menunggu saat kehancuran secara total.

Nauzubillah. Ayuh berdoa untuk agama, bangsa dan negara yang lebih baik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...