Followers

Thursday, June 30, 2016

#LGExit WIRA-WIRA DI SEBALIK PENAHANAN LIM GUAN ENG

Kita bukanlah gembira sangat bila Lim Guan Eng ditahan oleh SPRM. Tapi kita sangat gembira kerana akhirnya dia ditahan juga. Penahanan ini sudah cukup untuk membuktikan ada kes yang sangkut dan bakal menjerut leher anak Kit Siang ini. 

Tak usahlah kita ucap tahniah atau berterima kasih kepada SPRM kerana itu sudah jadi kerja dan tugas mereka. 

Jika kita mahu mengucapkan tahniah dan terima kasih, saya fikir mereka yang layak menerima ucapan-ucapan ini ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Huan PCM dan lelaki misteri Lim Sian See KLIK SINI yang tak pernah berputus asa mendedahkan kerja buruk lagi jahat LGE. Tanpa mereka ini, saya fikir LGE mungkin masih syiok syiok di pejabatnya hari ini. 

Sehari dua ini juga saya fikir jualan lilin di Pulau Pinang bakal naik mendadak. Margin keuntungan para peruncit akan lebih besar kerana lilin sentiasa menjadi pilihan untuk pembangkang di Malaysia setiap kali mahu menunjukkan sokongan atau protes dalam sesuatu isu. Malam semalam saja saya fikir beratus batang lilin dibazirkan oleh para penyokong DAP semata-mata nak tunjukkan sokongan kepada LGE. 

#LGExit DRAMA PEMIMPIN PEMBANGKANG SEMAKIN MUAL

Paparan screenshot di bawah ialah kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat oleh segelintir pemimpin pembangkang dalam usaha mereka membela SPRM berhubung siasatan ke atas 1MDB dan 2.6 bilion tidak lama dahulu. 

Ironinya, hari ini salah seorang rakan karib mereka, Lim Guan Eng pula ditahan oleh SPRM dan akan dibicarakan atas dua pertuduhan rasuah dengan Peguam Negara, TS Apandi akan mengepalai pendakwaan di Mahkamah Pulau Pinang. 

Agak-agak apa pendirian mereka? Masihkah mereka akan menyokong SPRM?








Tuesday, June 21, 2016

SEORANG LAGI PEMIMPIN PKR DISYAKI TERIMA RASUAH

Saya tak pernah percaya tidak ada langsung pemimpin pembangkang di Malaysia yang tak ambil rasuah, songlap duit awam, seleweng dana kebajikan atau menikmati habuan seks.

(Rasuah = Rasa Ingin Hidup Mewah)

Jika ada, nisbahnya mungkin 1:1000,000. Tapi tentulah, untuk mengatakan bahawa Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen PKR Ampang seorang perasuah kita perlukan lebih daripada satu bukti.

Misalnya, jika sudah didapati beliau memiliki 9 buah kenderaan pelbagai model, pelbagai harga pada satu-satu masa yang apabila dihitungcongak melebihi kadar pendapatannya, maka jelaslah di situ ada sesuatu yang tidak kena, secara ketara pula.

Pun begitu, kita tetap tidak boleh menuduh beliau seorang penyeleweng sehingga semuanya dibuktikan oleh pihak berautoriti. Sehingga saat ini, kita masih menanti hasil siasatan kes banglo hantu mewah yang dibeli di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kita juga sedang menanti siasatan seorang lagi pemimpin PKR, bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manickavasagam yang disyaki menerima rasuah bernilai RM30,000.00. Kesnya pula ada kaitan dengan Zuraida Ampang.

Bagi kes Zuraida, ia masih di peringkat pertuduhan awam. Maksudnya, didedahkan oleh orang awam dan dibicarakan secara liar juga oleh orang awam sehinggalah pihak berkuasa mengambil alih kes ini. Bagi kes membabitkan Lim Guan Eng dan Manickavasagam pula, masa akan tiba juga untuk kita melihat sejauh mana pihak berkuasa (SPRM) mampu siasat.

Ini baru tiga contoh. Saya percaya ada ramai lagi yang buat kerja-kerja bawah meja sebegini. Dengan izinNya jua kita akan dapat lihat nanti. Percayalah.

Ikuti pendedahan rasuah Zuraida Ampang melalui page Captain M di SINI.

Monday, June 20, 2016

FAKTOR HADI - PENENTU ATAU PENANGGUH?


Selepas kekalahan besar dalam dua PRK (Sg. Besar dan Kuala Kangsar), unregistered Pakatan Harapan mula membunyikan semboyan kecemasan bagi menarik perhatian bekas rakan sebantal mereka, PAS, untuk kembali ke meja rundingan.

Keputusan di kedua-dua PRK itu tempoh hari jelas menunjukkan PAS ialah kekuatan sebenar blok pembangkang di negara ini. Pun begitu, tanpa menyertai mana-mana blok pun, PAS sebenarnya sudah punya kekuatan yang tersendiri.

Menyedari hakikat inilah kepimpinan Pakatan Harapan (dulu dikenali sebagai Pakatan Haram Rakyat) mula mengintai sebarang peluang untuk mengajak PAS kembali bersatu sekurang-kurangnya sehingga PRU14 yang dijangka akan berlangsung dalam tempoh dua tahun ini.

Soalnya kini, adakah PAS akan flip flop lagi?

Di bawah kepimpinan Hadi Awang, PAS sudah banyak kali flip flop, berubah-ubah pendirian. Walau bagaimanapun, keputusan keluar daripada gabungan pakatan haram pembangkang baru-baru ini pasca Kajang Move dianggap tindakan paling besar dan terpenting dilakukan oleh Hadi Awang. Kesannya juga besar. PAS berpecah kepada pelbagai kumpulan (PASMA, GHB, dan kini PAN). Yang kekal bersama PAS pula hanya kumpulan penyokong yang benar-benar totok sahaja. Jika beliau memilih kembali bersama Pakatan Haram Harapan, apakah reaksi kumpulan ini?

Kita tunggu langkah Hadi Awang seterusnya. Adakah Faktor Hadi akan menyelamatkan Pakatan Haram Harapan?

RAFIZI HIDAP PENYAKIT GANJIL?

Setiausaha Agong PKR, Rafizi Ramli menyifatkan keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar berpunca daripada dua penyakit yang menghinggapi para pengundi iaitu kebendaan dan sentimen agama dan perkauman.

Mari kita tanya Rafizi, jika kebendaan itu satu penyakit, apakah puncanya?

Dalam konteks ini, kebendaan yang dimaksudkan oleh Rafizi bukanlah penyakit keduniaan tapi sebenarnya merujuk kepada keperluan-keperluan dalam kehidupan rakyat hari ini yang sedaya mungkin cuba ditunaikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Kebendaan-kebendaan itu bukan sesuatu yang melalaikan tetapi membantu memudahkan urusan kehidupan orang ramai seperti sekolah, masjid, jambatan, universiti dan sebagainya lagi. Jika ia dianggap penyakit, apakah puncanya? Sudah tentulah puncanya ialah keperluan atau kehendak masyarakat di sesuatu tempat itu sendiri untuk menikmati kehidupan yang lebih baik seiring dengan pembangunan negara.

Dan jika agama serta perkauman itu dianggap penyakit, apakah pula puncanya? Mari kita tanya Rafizi, dia hidup di mana?

Dalam konteks negara ini, kita tidak akan dapat lari daripada bercakap tentang perkara agama dan kaum kerana teras pembinaan negara kita ini sendiri berpaksikan kepada dua aspek ini. Kedua-duanya sama penting, sama mustahak! Justeru kenapa ia dianggap sebagai penyakit?

Di kedua-dua parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu bahkan para pengundinya terdiri daripada majoriti orang Melayu yang beragama Islam. Sudah semestinyalah mereka akan mengambil kira dua faktor tersebut - agama & kaum - ketika membuat pilihan kerana kedua-duanya berkait rapat dengan kehidupan mereka. Mereka mahukan jaminan terbaik kepada agama dan kaum mereka, sama seperti di mana-mana tempat lain di negara ini. Sementelah pula, kedua-duanya sudah sedia terpahat dalam perlembagaan!

Dan setakat ini, hanya Barisan Nasional yang boleh menjamin hak setiap agama dan kaum dipelihara sebaik mungkin.

Jadi apa yang penyakitnya? Adakah mengambil kira hak agama dan kaum ketika memilih bakal pemimpin adalah suatu tindakan berpenyakit? Jika demikian, saya rela menjadi orang yang sakit asalkan agama dan kaum saya terpelihara.  

Sekarang siapa sebenarnya yang sakit?
  

Wednesday, January 6, 2016

TAHUN BARU 2016 DAN REALITI DI KAMPONG


Ketika cuti tahun baru 2016 yang lalu, saya berkesempatan pulang ke kampong. Tujuan saya pulang bukanlah hendak meraikan tahun baru tetapi kerana hendak menyambut majlis kenduri akikah dua anak saudara saya. Ramai juga adik-beradik yang turut hadir memeriahkan acara di samping orang kampong yang sememangnya dijemput. Dua ekor lembu tumbang.

Saya mengambil peluang di majlis itu untuk bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak berkumpul bersama. Banyak topik dibualkan, dari hal motor, memancing hinggalah ke hal-hal politik dan isu semasa tanah air. Saya memilih untuk menjadi pendengar yang sesekali menyampuk. Saya biarkan rakan-rakan yang berbincang. Ada antaranya sudah berusia. Walaupun banyak yang mahu dilontarkan tapi saya fikir, demi menjaga silaturahmi sedia ada, saya patut lebih banyak diam.

Selain hal memancing, saya kira hal yang lebih hangat ketika itu ialah politik dan isu semasa. Dua tema ini memang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia sekarang tak kira di mana-mana pun. Ini demokrasi. Lalu saya teringat, bahawa demokrasi itu sebenarnya memberikan hak kepada sesiapa sahaja untuk bersuara dan memilih. Si tukang sapu yang tak lepas UPSR pun diberikan hak untuk bersuara dan memilih dalam sistem ini. Ia sama sekali berbeza dengan nilai dan etika ajaran Islam yang mensyaratkan hanya individu yang berkelayakan saja boleh menentukan pemerintahan sesebuah negara. Demokrasi tidak begitu, lalu ia merosakkan.

Berbalik kepada topik-topik hangat kami ketika itu, yang masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini dan menyebabkan saya sentiasa terfikir dan berfikir ialah, fakta bahawa orang kampong sangat ketinggalan dalam mendapatkan informasi yang tepat. Salah seorang rakan saya itu yang sedikit jauh berusia dan dianggap otai, telah dengan sengaja dan sedar mengeluarkan sejumlah fakta yang salah. Antaranya jika boleh disenaraikan ialah :

i.                     Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Kedah akan diteruskan pembinaannya oleh MB Kedah, YB DS Mukhirz Tun Mahathir. Menurutnya, PM DS Najib sebenarnya tidak bersetuju dengan pembinaan tersebut kerana telah diugut oleh KM Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng. Pulau Pinang akan terjejas teruk jika projek tersebut berjaya, dan atas ‘persetujuan’ yang tidak dijelaskan, dia dakwa Najib akur dengan desakan Lim Guan Eng. Namun begitu, Mukhriz, dakwa dia lagi, akan meneruskan projek tersebut dengan wangnya sendiri atau beliau akan letak jawatan dan membawa keluar Langkawi dari Malaysia! Saya tanya macam mana akan jadi begitu? Dengan yakin dia jawab, seluruh Langkawi itu kepunyaan keluarga Mahathir! Mungkin dia lupa fakta lain bahawa saya mempunyai sejumlah besar keluarga yang tinggal di Langkawi dan mempunyai berbidang-bidang tanah di sana.



ii.                   Johor merupakan satu-satunya negeri yang tidak melaksanakan GST. Ketika topik ini dibincangkan, saya betul-betul tidak dapat bertahan lagi tetapi mujurlah rakan yang duduk setentang dengan saya mencuit-cuit kaki saya agar tidak melawan hujahnya atau keadaan akan jadi lebih hangat. Saya pandang keliling, ada ramai tetamu yang sedang menjamu selera. Lalu saya terus saja mendengar. Saya pilih untuk bertanya lagi, kenapa Johor tak laksana GST? Dia dengan yakin juga lagi menjawab, Sultan Johor dah buat perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan. Maksudnya di situ, saya faham, ia berkaitan autonomi. Saya sengaja uji pengetahuannya, apa jadi kalau kerajaan pusat paksa? Dia malah lebih yakin dan berani menjawab, Johor akan keluar dari Malaysia! Wah, dah dua wilayah nak keluar dari Malaysia. Tadi Langkawi dan kini Johor pula. Melihat kepada reaksi kami agaknya, dia makin seronok kelentong. Menurutnya lagi, Najib juga diharamkan daripada memasuki negeri Johor  kerana Sultan Johor sudah murka terhadapnya. Aduh, kesiannya Najib. Tapi kalau benar begitu, Najib yang mana pula masuk ke Johor baru-baru ini? Saya sengih dan ketawa dalam hati.



iii.                  Ini satu lagi fakta mengarut. Menurut dia juga, Johor tidak mempunyai tol. Saya tanya, termasuk PLUS? Ya, jawab dia, semua jenis tol!! Saat itu saya rasa orang Johor memang betul-betul bertuah. Tiada GST, tiada TOL dan tiada NAJIB. Tapi seingat saya, akhbar pada 2hb Januari 2016 yang saya beli pada sebelah paginya (majlis akikah tersebut diadakan pada hari yang sama) ada melaporkan bahawa Sarawak telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang bebas daripada sebarang tol. Saya rasa akhbar ini berbohong kalau mengikut pemahaman rakan otai saya itu. Oh, memang mereka labelkan akhbar tersebut sebagai penipu atau meloya. Kalaulah waktu itu saya tunjukkan laporan berita berkenaan kepadanya, saya percaya 360%, saya akan ditempelak sebab baca surat khabar yang meloya.



Banyak lagi fakta tidak betul yang dikeluarkannya, tapi tiga yang di atas saya fikir paling berat. Dan saya fikir seluruh jentera penerangan kerajaan perlu memandang serius situasi ini. Jentera-jentera penerangan UMNO dan Barisan Nasional juga tidak boleh diam leka. Tempoh bulan madu sudah lama luput. Ini baru satu contoh orang kampong yang vokal, yang tidak takut untuk bersuara, yang lantang tak kira tempat, yang yakin dengan ilmunya meski dangkal dan salah, yang sukarela menjadi lidah pembangkang. Dengan pengaruhnya, saya fikir lebih ramai yang akan percaya dari masa ke masa akan setiap fakta dan pengelentongan yang dibawanya termasuk anak-anak muda yang tidak bersekolah tinggi. Apa yang kita perlu buat?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...