Wednesday, January 6, 2016

TAHUN BARU 2016 DAN REALITI DI KAMPONG


Ketika cuti tahun baru 2016 yang lalu, saya berkesempatan pulang ke kampong. Tujuan saya pulang bukanlah hendak meraikan tahun baru tetapi kerana hendak menyambut majlis kenduri akikah dua anak saudara saya. Ramai juga adik-beradik yang turut hadir memeriahkan acara di samping orang kampong yang sememangnya dijemput. Dua ekor lembu tumbang.

Saya mengambil peluang di majlis itu untuk bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak berkumpul bersama. Banyak topik dibualkan, dari hal motor, memancing hinggalah ke hal-hal politik dan isu semasa tanah air. Saya memilih untuk menjadi pendengar yang sesekali menyampuk. Saya biarkan rakan-rakan yang berbincang. Ada antaranya sudah berusia. Walaupun banyak yang mahu dilontarkan tapi saya fikir, demi menjaga silaturahmi sedia ada, saya patut lebih banyak diam.

Selain hal memancing, saya kira hal yang lebih hangat ketika itu ialah politik dan isu semasa. Dua tema ini memang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia sekarang tak kira di mana-mana pun. Ini demokrasi. Lalu saya teringat, bahawa demokrasi itu sebenarnya memberikan hak kepada sesiapa sahaja untuk bersuara dan memilih. Si tukang sapu yang tak lepas UPSR pun diberikan hak untuk bersuara dan memilih dalam sistem ini. Ia sama sekali berbeza dengan nilai dan etika ajaran Islam yang mensyaratkan hanya individu yang berkelayakan saja boleh menentukan pemerintahan sesebuah negara. Demokrasi tidak begitu, lalu ia merosakkan.

Berbalik kepada topik-topik hangat kami ketika itu, yang masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini dan menyebabkan saya sentiasa terfikir dan berfikir ialah, fakta bahawa orang kampong sangat ketinggalan dalam mendapatkan informasi yang tepat. Salah seorang rakan saya itu yang sedikit jauh berusia dan dianggap otai, telah dengan sengaja dan sedar mengeluarkan sejumlah fakta yang salah. Antaranya jika boleh disenaraikan ialah :

i.                     Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Kedah akan diteruskan pembinaannya oleh MB Kedah, YB DS Mukhirz Tun Mahathir. Menurutnya, PM DS Najib sebenarnya tidak bersetuju dengan pembinaan tersebut kerana telah diugut oleh KM Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng. Pulau Pinang akan terjejas teruk jika projek tersebut berjaya, dan atas ‘persetujuan’ yang tidak dijelaskan, dia dakwa Najib akur dengan desakan Lim Guan Eng. Namun begitu, Mukhriz, dakwa dia lagi, akan meneruskan projek tersebut dengan wangnya sendiri atau beliau akan letak jawatan dan membawa keluar Langkawi dari Malaysia! Saya tanya macam mana akan jadi begitu? Dengan yakin dia jawab, seluruh Langkawi itu kepunyaan keluarga Mahathir! Mungkin dia lupa fakta lain bahawa saya mempunyai sejumlah besar keluarga yang tinggal di Langkawi dan mempunyai berbidang-bidang tanah di sana.



ii.                   Johor merupakan satu-satunya negeri yang tidak melaksanakan GST. Ketika topik ini dibincangkan, saya betul-betul tidak dapat bertahan lagi tetapi mujurlah rakan yang duduk setentang dengan saya mencuit-cuit kaki saya agar tidak melawan hujahnya atau keadaan akan jadi lebih hangat. Saya pandang keliling, ada ramai tetamu yang sedang menjamu selera. Lalu saya terus saja mendengar. Saya pilih untuk bertanya lagi, kenapa Johor tak laksana GST? Dia dengan yakin juga lagi menjawab, Sultan Johor dah buat perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan. Maksudnya di situ, saya faham, ia berkaitan autonomi. Saya sengaja uji pengetahuannya, apa jadi kalau kerajaan pusat paksa? Dia malah lebih yakin dan berani menjawab, Johor akan keluar dari Malaysia! Wah, dah dua wilayah nak keluar dari Malaysia. Tadi Langkawi dan kini Johor pula. Melihat kepada reaksi kami agaknya, dia makin seronok kelentong. Menurutnya lagi, Najib juga diharamkan daripada memasuki negeri Johor  kerana Sultan Johor sudah murka terhadapnya. Aduh, kesiannya Najib. Tapi kalau benar begitu, Najib yang mana pula masuk ke Johor baru-baru ini? Saya sengih dan ketawa dalam hati.



iii.                  Ini satu lagi fakta mengarut. Menurut dia juga, Johor tidak mempunyai tol. Saya tanya, termasuk PLUS? Ya, jawab dia, semua jenis tol!! Saat itu saya rasa orang Johor memang betul-betul bertuah. Tiada GST, tiada TOL dan tiada NAJIB. Tapi seingat saya, akhbar pada 2hb Januari 2016 yang saya beli pada sebelah paginya (majlis akikah tersebut diadakan pada hari yang sama) ada melaporkan bahawa Sarawak telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang bebas daripada sebarang tol. Saya rasa akhbar ini berbohong kalau mengikut pemahaman rakan otai saya itu. Oh, memang mereka labelkan akhbar tersebut sebagai penipu atau meloya. Kalaulah waktu itu saya tunjukkan laporan berita berkenaan kepadanya, saya percaya 360%, saya akan ditempelak sebab baca surat khabar yang meloya.



Banyak lagi fakta tidak betul yang dikeluarkannya, tapi tiga yang di atas saya fikir paling berat. Dan saya fikir seluruh jentera penerangan kerajaan perlu memandang serius situasi ini. Jentera-jentera penerangan UMNO dan Barisan Nasional juga tidak boleh diam leka. Tempoh bulan madu sudah lama luput. Ini baru satu contoh orang kampong yang vokal, yang tidak takut untuk bersuara, yang lantang tak kira tempat, yang yakin dengan ilmunya meski dangkal dan salah, yang sukarela menjadi lidah pembangkang. Dengan pengaruhnya, saya fikir lebih ramai yang akan percaya dari masa ke masa akan setiap fakta dan pengelentongan yang dibawanya termasuk anak-anak muda yang tidak bersekolah tinggi. Apa yang kita perlu buat?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...