Foto ehsan Tech Attack. |
Saya antara yang teruja dengan idea membuka MARA Digital yang diilhamkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri.
MARA Digital mungkin dianggap sebagai Low Yatt 2, atau menciplak konsep perniagaan Low Yatt yang menjual barangan digital telekomunikasi. Namun, lebih daripada itu sebenarnya, MARA Digital adalah suatu usaha berterusan pihak kerajaan untuk mengangkat usahawan Bumiputra khususnya orang Melayu yang menceburi perniagaan ini.
Justeru, saya tidak faham kenapa begitu banyak pihak yang menentang idea ini. Untuk rekod, MARA Digital yang pertama seumpamanya telah pun dibuka dan dilancarkan dengan jayanya oleh Dato' Sri Ismail Sabri pada 8 Disember 2015. Ia adalah simbol kejayaan yang besar ertinya bukan sahaja kepada Dato' Sri Ismail Sabri, tetapi juga buat orang-orang Melayu di kota raya yang sering ditipu dan dianiayai oleh peniaga-peniaga barangan digital telekomunikasi seperti yang sering dilaporkan berlaku di Low Yatt.
Hari ini, Dato' Sri Ismail Sabri tampil dengan iltizam yang lebih besar untuk membuka lebih banyak premis perniagaan yang sama di seluruh negara. Usaha ini amat wajar kerana sebahagian besar pengguna adalah terdiri daripada orang Melayu sedangkan perniagaan ini dikuasai oleh bangsa lain. Sampai bila Melayu hanya mahu jadi pengguna dan membayar pada harga yang mahal? Jika idea MARA Digital ini berjaya, saya percaya monopoli ini akan dipecahkan dan orang Melayu akan mendapat hak yang lebih seimbang serta terbela.
Syabas Dato' Sri Ismail Sabri. Syabas kerajaan Najib Razak.
No comments:
Post a Comment