Followers

Wednesday, June 8, 2011

Iktibar Dari Pulau Pinang

Allah SWT telah lama berpesan kepada kita, bahawa tidak akan redha mereka (kafir) ke atas kita umat Islam selagi kita tidak mengikut jalan mereka. Bagaimana sekali pun pesanan ini ditafsirkan, ia kini semakin ketara. Satu per satu isyarat yang cukup jelas telah dipaparkan dan kita kini berada di persimpangan samada memilih jalan mereka atau jalan Allah.

Kita perlu menaruh syak yang tebal tentang kenapa mereka begitu berminat dengan institusi masjid di negara ini. Walaupun alasan mereka nampak manis dan indah iaitu untuk membaiki keadaan yang kononnya telah rosak, tetapi jangan sesekali kita lupa, siapakah mereka yang sebenarnya dan apakah kelayakan mereka untuk mencampuri hal ehwal masjid sebagai institusi terpenting umat Islam.

Pilihan raya untuk memilih Ahli Jawatankuasa Masjid seperti yang diperkatakan ketika ini di Pulau Pinang bukan satu keperluan yang mendesak, malah sama sekali tidak perlu kerana kaedah konvensional yang telah lama digunapakai oleh umat Islam di negara ini telah berjaya menyatukan para jemaah di samping menguatkan usaha dakwah melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Pilihan raya sebaliknya hanya membawa unsur perpecahan dalam kalangan umat kerana sistemnya yang berkehendakkan orang ramai berproksi dan berkempen seperti yang bakal dipraktikkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang. Persoalannya, kenapa kini masjid pula? Tidak cukupkah dengan pilihan raya JKKK yang didakwa telus dan adil itu?

Jawapannya hanya satu, kerana mereka (kafir) tahu masjid ialah institusi terakhir yang masih menyatukan umat Islam di negara ini walaupun kini sudah ada unsur perpecahan akibat perbezaan ideologi politik. Harapan mereka amat besar iaitu untuk memastikan perpecahan itu menjadi total hingga akhirnya mewujudkan sebuah jemaah yang meletakkan ideologi di hadapan berbanding kewajipan bersatu padu dalam mentaati Allah.

Bayangkan apa yang akan berlaku jika masjid menjadi medan berkempen? Jemaah tidak lagi bercakap hal-hal agama di dalam masjid yang mana ia dituntut sebaliknya berkempen sesama sendiri. Para calon pula lebih agresif kerana mahu menang dan dikenali oleh anak-anak kariah walaupun jarang ke masjid kerana ia bukanlah syarat utama menjadi calon seperti yang dilaporkan.

Bagamaina pula selepas pilihan raya diselesaikan kerana ada kemungkinan terdapat masjid-masjid yang akan dikuasai oleh ahli-ahli parti politik tertentu baik UMNO, PAS dan PKR. Adakah suasana kebersatuan seperti biasa masih dapat dipertahankan akibat bahana daripada kempen sebelumnya? Lambat laun kesannya pasti terpalit ke atas anak-anak kariah dan tidak mustahil masjid itu sendiri akan dihindari oleh anak-anak kariah yang mahu beribadat.

Tidak kecuali juga kemungkinan berlakunya pemulauan terhadap masjid dalam kalangan orang ramai dan Kerajaan Negeri sendiri sekiranya terdapat masjid yang dikuasai oleh pro-UMNO. Inilah natijah yang kita tidak mahu lihat. Masjid harus dihindarkan daripada unsur-unsur perpecahan. Buatlah apa pun asalkan ia ada manfaat terhadap pembangunan dakwah dan penyatuan umat Islam yang semakin teruk berpecah akibat fahaman politik sempit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...