Followers

Sunday, April 26, 2009

keADILan sepatutnya KEADILAN.



Plato pernah sekali menghujahkan betapa keadilan sentiasa akan menyumbang kesan baik kepada sebelah pihak dan sebaliknya akan meninggal kesan buruk kepada satu belah pihak lagi. Konsep ini sangat benar jika kita ukur-ukurkan dengan sebarang neraca kerana sudah tertuntut oleh norma sosial yang demikian itu, cuma di sudut falsafah, kelihatan perkara ini ada sebab dan akibatnya dengan tanda tanya yang sengaja dibubuh kepada soal kenapa dan bagaimana. Pun begitu, keadilan tetap tidak boleh berbohong kepada pihak yang menuntut dan yang memberi walaupun kesan buruk itu kelak ditinggal kepada pihak yang patut dapat, atas erti maksud pembalasan.

Bertindak adil juga sebenarnya lebih sukar daripada sengaja membiar untuk tidak bercakap tentang hal itu, cuba mengelak-ngelak, atau berdolak-dolak dengan saranan alasan yang sengaja ditinggalkan. Namun, menuntut suatu keadilan itu ternyata lebih sukar. Institusi yang membicara keadilan apatah jika dipermain, pasti lebih sukar untuk memastikan prinsip itu boleh berdiri atas apa-apa jua muka yang dihampar, rata pasti dikata, kesat pasti dikesat-kesat lagi.

Untuk kita yang terbanyak, cuma daya yang ada ialah tunggu dan lihat bagaimana dan kenapa akhirnya keadilan boleh diperlihatkan juga.

Tuesday, April 21, 2009

Berkongsi Satu

Bila Perdana Menteri bicara tentang satu, semua kita melihatnya sebagai plural. Satu dalam kepelbagaian nampak seperti sukar untuk diimplimentasikan. Inilah payahnya kita. Hasrat beliau sepatutnya menjadi mudah tetapi kita payahkan dengan kerisauan, ketakutan, ke-syak-wasangka-an, dan banyak lagi. Semuanya mendinginkan keinginan untuk kita capai hasrat itu.

Barang harus ingat betapa kemerdekaan kita asasnya pada satu hasrat dan matlamat, iaitu satu negara bangsa dengan satu pemerintahan yang menghimpunkan satu masyarakat yang boleh berkongsi-kongsi pada satu aspirasi dan satu sumber, iaitu kesatuan, iaitu perpaduan.

Tapi kita payahkan dengan seribu macam helah, telah, dan gugah. Kita takut dengan idea tersebut. Kita takut hilang jati diri. Kita takut asimilasi kepluralan dalam maksud menjadi satu bangsa Malaysia dengan penghapusan nilai-nilai etnik. Kita sebetulnya tebal etnosentrik dalam omongan bahawa kita majmuk yang saling faham dan prihatin.

Kita sering takut untuk berkompromi dalam berasimilasi dengan etnik. Budaya, dan agama, telah dan sering jadi dinding penghalang. Arkitek kepada pembinaan tembok keraguan ini ialah etnosentrik kita sendiri, nilai yang membunuh kemurnian hasrat kepada satu komuniti Malaysia. Sejak sekian lama, kita hanya berpura-pura.

Sunday, April 19, 2009

SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Nampaknya, kemelut para pelajar yang terlepas penginapan untuk sidang akademik 2009/2010 belum mahu berakhir. Nasib mereka seolah digantung-gantung dan kemudian dihayun-hayun ke sana ke sini oleh pihak pengurusan. Rayuan sudah dibuat. Kini hanya menantikan tarikh ajaibnya sahaja. Namun, ada kalangan pelajar yang sudah pasrah dan enggan peduli lagi dengan nasib yang bakal mereka hadapi. Biarlah, kami boleh hidup tanpa desa. Itu antara yang diluahkan. Sama ada akan ada keajaiban selepas 21hb ini ataupun tidak, mereka sudah nekad untuk tidak ambil kisah lagi. Mereka mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung sekarang ini.

Baik di Restu membawa ke Cahaya Gemilang, semua cerita adalah sama. Tanggapan buruk semakin meriah di mulut-mulut. Ada yang menganggap sistem ini kejam dan tidak prihatin. Ada yang menelah mungkin masalah teknikal kerana terdapat pelajar yang aktif malah menyertai universiti ke pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa namun masih tidak terpilih sebagai warga penghuni desasiswa. Sebaliknya, ada pelajar yang tidak pernah menyertai apa-apa sama ada di peringkat desa ataupun universiti tetapi masih termuat dalam senarai yang mendapat bilik. Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah sistem pemilihan ini dilakukan secara rawak?

Malang sekali kerana pada masa ini Berita Kampus (BK) tidak beroperasi sehingga semester baru bermula. Akses kepada maklumat yang sahih tidak berjalan dengan baik. Sesi pertemuan dan aduan dengan pihak MPP yang dijalankan baru-baru ini di setiap desasiswa juga tidak berlaku dengan begitu mesra, malah menjadi sesi luahan ketidakpuasan hati sesetengah pelajar. Lebih malang, wakil MPP yang ditugaskan pada sesi tersebut gagal menjawab dan kelihatan terhegeh-hegeh serta gagap mendepani hujanan pertanyaan oleh pelajar. Sekali lagi, kredibiliti MPP semakin dipersoalkan. Kita cuma mahu bertanya, apakah sebenarnya yang berlaku?

Terdapat beberapa andaian menarik yang keluar dari mulut para pelajar yang mungkin boleh dikongsikan di sini. Antaranya perkara ini sengaja dicetuskan supaya MPP dan pihak atasan akan dilihat lebih prihatin dengan masalah pelajar. Alasan yang dikemukan mudah, iaitu tindakan segera MPP yang membuka kaunter aduan di setiap desasiswa menunjukkan seolahnya hal ini dirancang dari awal lagi. Kita tidak mahu mengandaikan lebih lanjut kerana para pelajar boleh memikirkannya sendiri. Dan tegasnya, pelajar tidak boleh disalahkan jika mereka silap cakap kerana ternyata akses kepada maklumat dan perkara sebenar sangat lemah.

Selain itu, melihatkan kepada sejarah, hal seperti ini belum pernah berlaku di mana sejumlah besar pelajar tidak ditawarkan penginapan di desasiswa. Oleh itu, andaian yang timbul ialah, pihak pengurusan tidak telus dalam pemilihan pelajar yang layak untuk menginap di desasiswa lagi. Masakan tidak, sejak sidang 2007/08 membawa ke sidang 2008/09, semua pelajar diminta supaya meningkatkan jumlah unit masing-masing dalam rekod MyActivity Healthycampus supaya memenuhi syarat pemilihan desasiswa masing-masing. Hal ini merupakan satu kaedah yang baik kerana para pelajar dan universiti akan saling menerima manfaatnya. Pelajar akan lebih ghairah menyertai sebarang aktiviti yang diadakan sementara universiti pula akan berupaya menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan pelajar bagi setiap aktiviti yang diadakan.

Malangnya, apabila keputusan permohanan desasiswa diumumkan baru-baru ini, hal yang sebaliknya pula berlaku. Ramai pelajar yang aktif termasuk atlet-atlet yang pernah memenangi emas dalam Temasya Olahraga Tahunan (TOT) dan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) gagal dalam permohonan mereka. Itu belum kira dengan jumlah besar pelajar yang pernah menyertai acara-acara seperti Variasiswa, Citrawarna dan sebagainya lagi. Malah ada peserta IMT-GT juga gagal mendapat bilik.

Jadi, persoalannya, apakah sebenarnya berlaku? Adakah sistem yang tersilap memilih atau ada sebab lain? Apakah USM sedang mengorak langkah mencontohi sistem yang digunakan oleh IPTA lain? Kalau begitu, apa untungnya peruntukkan besar yang diterima sebagai Universiti APEX terhadap nasib pelajar-pelajar ini?

Terkini, lebih mengejutkan apabila terdapat pihak pengurusan desasiswa yang enggan mengeluarkan pelekat kotak kepada pelajar yang tidak mendapat penginapan yang mahu menyimpan barang dalam stor di desasiswa sempena cuti panjang yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Maknanya, mereka juga tidak ditawarkan stor untuk menyimpan bagasi masing-masing. Hal ini seolah sudah jatuh ditimpa tangga, dah jatuh tergolek pula. Kita boleh cakap bahawa tindakan ini agak kejam dan benar-benar tidak prihatin. Kita juga bimbang jika reaksi pelajar dalam hal ini menjadi semakin tidak terkawal. Malah ada ura-ura pelajar akan berhimpun untuk meluahkan perasaan masing-masing. Harapan kita semoga perkara ini dapat diselesaikan segera.

Wednesday, April 15, 2009

iKLiM di UsM

Ketika ini, di USM, iklimnya agak berkecamuk.
Sekejap hujan – renyai-lebat-renyai – dan sekejap lagi panas dan panas.
Itu cuaca alam.
Iklim dalam kalangan pelajarnya lebih berkecamuk.
Ini minggu-minggu kritikal.
Semua pelajarnya sedang menekuni lembaran-lembaran nota, tugasan esei, handout, dan sebagainya.
Apa saja yang tertulis sebagai nota pasti akan diselak dibelek ditekuni.
Apa saja catatan yang diyakini bermanfaat, pasti akan ditenung diperhati dan diingati baik-baik.
Ini minggu kerajinan.
Ini minggu kesungguhan.
Ini minggu keberusahaan menjadi maksimum.
Paras minat untuk mengulangkaji melonjak tinggi.
Mood baik mengatasi mood kusam dan malas (walaupun dalam keterpaksaan).
Ini minggu ketuk-mengetuk memori menjadi bingit.
Kalau boleh mahu dipecah kepala untuk mengorek di sudut mana memori tersudut.
Kalau tiada, pasti diadakan kembali.
Rakan-rakan akan dimesrai.
Mulut menjadi ramah bertanya dan berbincang.
Minda tepu sarat akan disaratkan lagi dengan kesaratan rujukan kuliah.
Buku-buku bukan lagi bayangan gerun.
Yang dicari ialah panduan.
Rangka-rangka kursus akan disapa supaya tiada yang terasa tertinggal atau tidak disentuh.
Ini minggu yang penuh keazaman.
Yang bakal menamatkan pengajian pasti terlebih rajinnya.
Inilah masanya menebus sisa-sisa terakhir perjuangan yang akan selesai di bumi Minden ini.
Inilah minggu yang bakal mencorak catatan pada gulungan graduasi kelak.
Tapi itu bukan soalnya.
Yang penting ialah minggu-minggu ini mesti disudahi dengan jaya.
Iklim hanya iklim.
Biar hujan biar panas biar sejuk.
Hujan akan diredah dengan payung.
Panas akan ditentang dengan henjutan langkah.
Kalau malas menapak ada bas.
Sejuk dewan keramat bukan halangan tegar.
Lembaran penting mesti dihadap.
Pena tak perlu diasah.
Yang perlu dikerah cuma minda.
Yang perlu diterjah cuma akal percuma ini sahaja.
Apa pun yang menerpa, inilah minggunya untuk menduga usaha selama ini dimana sudahnya.
Semoga berjaya!!

Kafeteria Fajar Harapan Kembali Guna Plastik?

Universiti Sains Malaysia pada sidang lepas telah melancarkan kempen Keranda Putih atau lebih popular dengan nama White Coffin yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar khususnya di dalam kampus-kampus di universiti ini. Kempen ini menyasarkan matlamat untuk mengurangkan penggunaan plastik dan polisterina putih yang selama ini begitu popular penggunaannya dalam kalangan warga kampus sebelum mencapai matlamat untuk menguburkan terus bahan-bahan berbahaya ini dalam jangka masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekretariat.

Ternyata sejak kempen murni ini dilaksanakan ia telah mendapat maklum balas yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar dan warga kampus yang lain. Sebagai alternatif yang lebih sihat para pelajar sudah mula mengamalkan budaya makan menggunakan pinggan yang disediakan di kafeteria-kafeteria atau membungkus dengan menggunakan bekas sendiri. Malah ada sesetengah kafeteria yang menghentikan terus penggunaan bahan berasaskan plastik seperti straw minuman seperti yang dilakukan oleh kafeteria Desasiswa Bakti Permai. Hal ini secara tidak langsung telah memupuk sikap mesra alam dalam kalangan pelajar dan pengguna-penggunanya yang lain.

Dalam hal ini, soal drastik atau tidak tindakan yang diambil bukanlah menjadi isu yang perlu dibising-bisingkan. Memang ada sesetengah pelajar yang merungut dan mengkritik kempen ini. Yang ditimbulkan ialah kesesuaian pelaksanaanya dalam kalangan pelajar, staf dan tenaga pendidik yang sentiasa mengejar masa dan tenaga. Mereka seharusnya diberikan ruang yang lebih besar untuk memilih dan menentukan sendiri budaya hidup masing-masing.

Soal mereka lagi, apakah dengan terlaksananya kempen ini alam sekitar akan lebih baik dan sejahtera? Berapa keratkah sangat yang akan mengambil bahagian? Berapa persen sangatkah kesan yang akan diterima nanti? Bagi mereka kempen ini tidak lebih hanya satu momokan syok sendiri oleh MPP dan pihak sekretariat Kampus Sejahtera dalam rangka menggapai status Universiti APEX. Sudahnya yang susah hanyalah pelajar kerana terpaksa pula menanggung tambahan caj apabila alternatif kepada polisterina iaitu eco-pack yang diperkenalkan ternyata lebih mahal daripada polisterina itu sendiri.

Barangkali ini isu lama. Barangkali isu ini sudah tidak kedengaran. Barangkali juga, polisterina dan plastik-plastik yang lain sudah tersisih jauh dan tidak lagi wujud di kampus-kampus. Kalau ada pun kelibatnya tentu sudah tidak jenuh. Kempen menguburkan unsur-unsur ini barangkali semakin diterima dengan baik. Penerangan demi penerangan yang dilakukan barangkali berjaya mematahkan rungutan dan kritikan yang riuh pada peringkat awal. Biasalah, pembaharuan selalu tidak mesra apatah lagi jika dibuat secara drastik. Hati manusia juga pelbagai. Bukan mudah untuk memuaskan kesemuanya. Pun tentu, jika tidak dimulakan, bagaimana hasil boleh diduga.

Namun begitu, sejak dua menjak ini, ada sedikit kehairanan apabila berkunjung dan menjamu selera di kafeteria Desasiswa Fajar Harapan. Kempen ini seolah dilupakan apabila pihak penggerai yang menjual nasi ekonominya tidak lagi ghairah menggunakan bekas alternatif yang dicadangkan. Kelibat plastik untuk membungkus nasi kembali digunakan. Walaupun ia diselang-selikan dengan penggunaan eco-pack, namun kerap saja penjamu selera yang mahu membungkus makanan diberikan pilihan plastik khususnya pada sebelah petang. Perlu diingat tidak semua, khususnya pelajar, yang membawa bekas sendiri dengan andaian bahawa polisterina tidak akan disediakan juga.

Selain itu, ada rungutan lain yang semakin membingit sejak belakangan ini. Ia datang daripada mulut-mulut yang sering mengunyah sajian yang dijual di kafeteria ini sendiri. Paling banyak dan biasa adalah daripada para penghuni. Isunya, makanan yang dijual semakin mencekik. Mereka tidak membingit kosong apatah lagi merungut selepas kenyang semata-mata. Mereka mengemukakan fakta dan hujah dengan analisa perbandingan harga menu yang boleh disemak di seluruh kafeteria yang ada di USM ini.

Memang benar harganya standard dan selaras. Tapi yang ditimbulkan ialah kenapa wujud perbezaan yang ketara apabila makan di kafeteria Fajar Harapan dan Cahaya Gemilang atau Indah Kembara? Kadar berat dan seratnya sama saja tapi bila dihadap ke kaunter, pasti poket akan mengeluarkan jumlah not yang berbeza-beza. Jadi apa yang tidak kena di sini? Kalau pun pengusaha mahu mencari untung lebih, biarlah secara berhemah. Bukan semua pelajar senang. Makan pula bukan kerana menjamu selera tapi sekadar mengalas perut yang selalu berbunyi sementara menantikan waktu lapar yang seterusnya. Inilah putaran yang perlu dan wajib dilayan oleh setiap pelajar setiap hari. Kasihanlah kami.

Selain itu juga, ada desakan supaya tempoh operasi setiap kafeteria dilanjutkan lagi berbanding biasa. Ini perlu kerana ada sesetengah pelajar, yang jumlahnya bukan sedikit, yang terpaksa mengikat perut kerana mengejar masa untuk ke kelas pada sebelah malam. Mereka sering terlepas waktu bersantap di kafeteria kerana ruang masa yang terhad. Balik kuliah petang lewat, kemudian sebelum malam jam lapan sudah bergegas ke kuliah lain pula. Selalunya tamat pada jam sepuluh. Kafeteria-kafeteria sudah tentu tidak lagi beroperasi. Maka tanpa banyak ngomelan, kaki akan melangkah juga melintas pintu-pintu utama kampus untuk keluar mencari rezeki di gerai-gerai berhampiran. Bunyi perut tetap perlu dilayan. Kalau terlajak dilayan, maka manjalah ia. Kemudian, semakin dimanja semakin galaklah sebelum akhirnya menjadi biasa pula untuk keluar setiap malam. Banyak natijahnya, pasti.

Isu ini tentu menarik jika diselongkar oleh team penyiasat BK!

Saturday, April 11, 2009

suka haTiLah

Calon BN, IS – 19073
Calon PR, NJ – 21860

Peratus Undi Melayu

BN – 63%
PR – 37 %

Peratus Undi Bukan Melayu

BN – 15%
PR – 85%

Pecahan Keseluruhan Pengundi BG

MELAYU – 62%
Cina – 27%
India – 10%
Lain-lain – 1%

Kenapa undi Melayu terpecah begitu besar terhadap kedua-dua calon ini? [ Kesampingkan saja calon bebas. ]

Kenapa undi Bukan Melayu terpecah lebih besar? [ Ternyata calon bebas tidak memberikan impak langsung ]

Sebab, Hudud dan Qisas sudah dibuang jauh-jauh dalam manifesto. Sebab Negara Islam sudah dilipat kemas-kemas dalam catatan sejarah.

Melayu sudah celik dan nampak terang-terang. Tapi PAS seolahnya belum mahu celik lagi, atau sudah kabur dan buta kerana doa yang pernah diaminkan dahulu sudah dihempas ke muka mereka sendiri. Sebaliknya, PAS-lah yang paling seronok dan gembira meraikan kemenangan tersebut.

Bukan Melayu berduyun-duyun undi NJ dari PAS sebab sudah tidak gerun lagi dengan Islam seperti kata TGNA. Hakikatnya memang mereka sudah tidak gerun lagi kerana Islam bukan lagi satu faktor dalam perjuangan parti Melayu kedua terbesar di Malaysia ini.

Yang mereka undikan adalah NJ dari Pakatan, bukan dari PAS. Sebab calon ini ‘sangat’ mesra rakyat. Nilaian 999 tahun pajakan untuk hektar-hektar tanah baginya adalah ganjaran paling bermakna yang mesti dihadiahkan kepada penyokong-penyokongnya. Sembah derhaka pula adalah momentum yang tidak disangka-sangka yang akan terkeluar daripada mulut seorang Melayu kepada sultannya. Jadi, mereka mesti undi orang ini. Mesti. Sebab orang seperti ini mesti dibiarkan terus berkuasa kerana dia tak kenal apa itu kuasa kepada bangsanya.

Kenapa Melayu terlalu ramai mengundi IS? Sebab ini janji Allah. Ini ketentuannya. Melayu ternyata Islam. Melayu PAS juga mengundi IS kalau diukur kepada pecahan undian tersebut. Kenapa? Sebab mereka Islam dan Melayu yang sudah boleh berfikir untuk mengundi kepada warisan kuasanya.

Pesanan ikhlas kepada TG-TG PAS:

Kalau masih hendak mendabik dada suka hatilah.

Friday, April 10, 2009

Dia punya pasal

Dalam satu blog yang dikendalikan oleh seorang sahabat dari BPN, beliau ada menitipkan isu NN baca Quran yang kemudiannya direstui pula oleh TGNA. NN sebenarnya juga turut berkebolehan mendoakan umat Islam.

Komen TGNA dalam isu ini sebenarnya lebih menarik. Demikian petikannya, "Eh dia nak guna ayat Quran, sepatutnya dia guna lamo dah. Itu kesan gelombang kebangkitan Islam sekarang. Tak po lah dia nak guna dia punya pasal. Salah tafsir itu dia punya pasal. Tapi nak baca Quran itu dak po "

Pertama, TGNA ada menyebut bahawa N yang seorang itu sepatutnya menggunakan ayat Quran sejak dahulu lagi. Memang benar, N yang itu memang guna ayat Quran sudah lama. Sama ada TGNA sedar akan hal ini ataupun tidak kuranglah pasti.

Ternyata TGNA merestui N. Malah menggalakkanya lagi. Cumanya, TGNA bersikap lepas tangan bila dia mengakhiri petikan komennya itu dengan menyebut bahawa N harus menanggung akibat jika salah memetik dan mentafsir ayat Quran. TGNA khilaf atau tersilap komen dengan soalan wartawan itu? Atau lebih gagap daripada KI?

TGNA juga berkata bahawa apa yang N, dan seorang lagi N, lakukan ketika bertempik di pentas ceramah itu sebagai kesan gelombang kebangkitan Islam sekarang. Lihat ayat ini dengan sudut yang lebih kecil. Pertama, kesan gelombang. Kedua, gelombang itu sendiri dan, ketiga, sekarang. Kita perlu tahu bahawa TGNA seorang yang sangat bijaksana bila bercakap. Tidak boleh dinafikan hal ini.

TGNA secara jelas cuba mengaitkannya dengan kesan yang telah disiapkan oleh PAS kepada Pakatan. PAS bagi TGNA telah berjaya memberikan kesan kepada Pakatan iaitu kesan Islami. TGNA menilai ini apabila NN boleh berdoa kepada orang Islam dan boleh pula membaca Quran serta mentafsirnya pula. TGNA kagum. Dalam konteks sekarang, memang itulah maksud TGNA dengan kesan gelombangnya.

Tapi bila dikecilkan skop, maka jelas pula kelihatan bahawa kesan gelombang itu hanya dalam soal politik. PAS berjaya menarik sokongan kepada Pakatan dengan caranya, iaitu politik Islam tetapi bukannya meningkatkan bilangan yang berjaya memeluk PAS. Yang menyokong memang ramai tapi yang menganut bertambahkah? Jadi gelombang yang bagaimana yang sepatutnya TGNA maksudkan? Adakah PAS sedang menguasai Pakatan ketika ini?

Lebih menarik bila TGNA menyatakan sokongan terbuka kepada NN. Sama ada TGNA masih belum puas dengan kesan gelombangnya, atau pun sengaja berbuat demikian supaya sokongan terhadap PAS tidak lari khususnya daripada yang bukan Islam. Ini perlu kerana motto PAS sudah berubah. Jadi TGNA memang tidak ada masalah walaupun NN memetik Quran dengan cara yang tidak dianjurkan.

Lalu isu ini jadi isu yang lebih rumit. Pertama kerana mufti-mufti telah bersidang dan memutuskan bahawa tindakan ini perlu dihentikan segera. Tapi orang-orang PAS dan Pakatan bertindak lebih ’mufti’ apabila menghukumkan bahawa keputusan mufti-mufti itu adalah keputusan politik UMNO. Mufti-mufti telah dibeli. Hanya TGNA yang betul. Dan mereka perlu menolak mufti-mufti mentah-mentah. Apa sahaja yang disuarakan oleh mufti adalah suara dari UMNO.

Kedua, mereka menempelak pula dengan berkata bahawa sikap NN itu sepatutnya dipuji. NN boleh memetik Quran dalam ceramah tapi UMNO tidak pernah, itu yang diteriakkan oleh golongan ini. Orang PAS memang begini barangkali. Yang Kafir itu bagi mereka lebih Islam dari yang Islam tetapi Kafir kerana kononnya menolak Islam secara total. PAS memerintah di dua negeri sekarang tetapi hingga kini belum nampak mereka akan menggunakan undang-undang Islam. Hanya cakap sahaja.

Kata golongan ini lagi, NN sepatutnya ditegur, ayat mereka perlu dibetulkan, dan tafsiran mereka dibahaskan. Kalau salah, maafkan. Mereka itu bijak dan sepatutnya didengar hujah mereka. Mereka bukan Islam tetapi mereka cuba memahami Quran. Mereka sepatutnya dipuji, bukannya diherdik dan dicaci oleh UMNO dan mufti-mufti. Mereka ada usaha, malah Islam dan Allah sendiri tidak menghalang mereka yang bukan Islam untuk membaca dan mengkaji Quran. UMNO mencaci dan mengherdik? Mufti-mufti mencaci dan mengherdik?

Sila tanya NN sekarang, berapa banyak ayat Quran yang lain yang sudah mereka bacakan? Atau kaji? Adakah semuanya mereka bahaskan di pentas ceramah? Atau sekadar memilih ayat-ayat tertentu yang kemudiannya disesuaikan dengan modal ceramah? Sekarang terlalu banyak perisian dan kitab-kitab tafsir. Kalau tidak ada yang mengajar pun mereka masih boleh mencari sendiri. Tak perlu buka naskhah Quran pun. Tak perlu sentuh pun. Jadi kenapa hendak ditegur pula. Bak kata TGNA...dia punya fasallah.

Satu hal yang seolahnya tidak kelihatan di mata PAS sekarang ialah, puak-puak dan geng NN sebenarnya semakin berani menjadi PAS lebih daripada PAS sendiri. Dulu langkah mayat dahulu kalau PAS mahu buat negara Islam. Maksudnya, mustahil bagi PAS untuk tubuhkan daulah Islamiah kerana geng NN tak akan halalkan sama sekali. Tapi sekarang, langkah mayat sudah tidak releven. Kenapa? Sebab PAS sudah boleh menarik balik manifesto tersebut demi Pakatan. Mulia sungguh hati PAS.

Wednesday, April 8, 2009

Bukit Gantang By-election – Kekalahan PAS dan Kemenangan UMNO

Bahagian Dua

Pertama, Ismail dari UMNO dan BN kalah kepada Nizar dari PAS dan Pakatan. Demokrasi terjunjung di sini walaupun nampak jelas ada isu hantu-hantu yang didakwa berkeliaran. Jika Nizar kalah dan Pakatan tersungkur, pasti hantu-hantu ini akan dijampi serampah diseret keluar dengan pelbagai cara. Namun, hantu-hantu tidak muncul. Tapi orang-orang Nizar ada yang bersorak berkata tangan-tangan Malaikat telah membantu mereka. Boleh gelak sekarang.

Ismail kalah dan UMNO serta Barisan kalah kepada Nizar dan Pakatan. Nizar dari PAS tapi lebih berimejkan Pakatan keseluruhannya. Jika HH umumkan PAS keluar dari Pakatan malam ini, ke mana Nizar? Ikut ketua atau ikut saudara-saudaranya? Jasa saudara yang mengangkatnya setinggi sekarang jelas lebih bernilai dari jasa yang dihulur oleh ketua. HH tidak buat apa-apa untuk menangkan Nizar berbanding NN.

NN sudah boleh menuturkan bicara Allah semata-mata untuk menangkan Nizar. Doa NN juga barangkali yang memenangkan Nizar. Barangkali Allah mendengar doa mereka berdua. Barangkali, orang-orang PAS fikir, Allah terpesona dengan kesungguhan perjuangan PAS dalam Pakatan sehinggakan NN sudah mampu menuturkan bicara-Nya walaupun ada pelat jelas. You-Tube jadi saksi.

Ismail kalah. Itu faktanya. Tapi lihatlah, kesatuan dan perpaduan telah kembali kepada UMNO. PRU12 dan Bukit Gantang adalah cerita yang tidak sama. UMNO sudah diuji. Siapa yang menguji? Allah juga, melalui rakyat.

Ismail adalah vektor yang membawa aura positif kepada UMNO. Ismail menjadikan harapan dan impian seluruh rakyat kembali bertaut nyata. Di Bukit Gantang UMNO berjaya memupuk semangatnya yang pernah hilang. Semangat itu pergi ketika UMNO sangat memerlukannya. Bila beliau pergi UMNO seolah hilang arahnya sendiri. Tapi di Bukit Gantang, beliau kembali.

Ismail adalah wira yang telah berjaya memangsakan dirinya untuk survivor UMNO. Ismail tahu bertanding di Bukit Gantang banyak halangannya. Bertanding di sebuah Parlimen kecil seperti Bukit Gantang dalam by-election umpama berdepan dengan kegilaan Pakatan dari seluruh Malaysia. Itu belum kira sokongan dari orang asing. Memang benar dan itu yang terjadi. Nampak jelas deretan kenderaan dengan nombor pendaftaran sejauh Pantai Timur dan sejauh pantai di Selatan. Jalan menjadi sesak kerana kegilaan ini.

Tapi Ismail mengambil jalan ini. Tanpa nama yang boleh dimodalkan namun Ismail berjaya juga bersemuka dengan calon MB Pakatan secara demokrasi. Ismail tiada nama yang boleh digahkan. Bantuan dan sokongan datang membantu kempen Ismail. Itu jika dilihat dari sudut demokrasi. Tapi hakikatnya, Ismail adalah simbol wadah kepada perpaduan UMNO yang baru selepas dilanda kepayahan PRU12.

Ismail meneruskan kepulangan semangat yang hilang itu selepas PAU. Mesej yang dibawa dalam PAU bahawa UMNO akan berubah telah diterjemahkan di Bukit Gantang apabila seluruh gerak kerja UMNO bersatu di bawah payung Barisan. Memang benar Ismail bukan mewakili UMNO semata sebaliknya Barisan, tetapi peranan UMNO dalam by-election ini sangat tinggi berbanding PAS kepada Nizar.

Barisan telah lama berpakat dalam satu kesepakatan. Pakatan dalam Barisan malah sah dan teruji sejak sekian lama. Pakatan dalam Barisan memupuk perpaduan seluruh rakyat di Malaysia. Inilah pakatan yang sebenar dalam arus demokrasi.

Ismail membawa mesej jelas bahawa UMNO akan kembali kepada rakyat. Adanya harapan kepada UMNO. Ismail barangkali akan dilupakan selepas ini. Tetapi detik penyatuan yang berlaku ini akan meninggalkan impak yang sangat besar. DSN merupakan individu yang telah mengembalikan harapan ini kepada UMNO dan rakyat. Kepulangan semangat itu, dan sokongan mantan yang padu akan menjadikan tugas DSN lebih mudah.

Bukit Gantang hanya lapangan kepada agenda yang lebih besar selepas ini. UMNO tidak kalah tetapi yang kalah ialah PAS. Kepada Nizar, tahniah. Tapi ingat, berlaku adillah kepada rakyat kerana yang mengundi anda hanyalah 21 ribu ketika 19 ribu yang lain mengundi TIDAK kepada anda. Mereka juga rakyat kamu di Bukit Gantang. Politik hanya politik.

Bukit Gantang By-election – Kekalahan PAS dan Kemenangan UMNO

Bahagian Satu

Pertama, perlu ditegaskan dahulu bahawa Nizar yang menang dan Ismail yang kalah. Nizar seorang PAS dan Ismail pula UMNO. Nizar dari kem Pakatan manakala Ismail dari Barisan.

Nizar memang menang. Nizar dari PAS dan dia menang di kerusi yang telah pun menjadi milik seorang lagi YB dari PAS sebelum by-election ini. Maknanya, Nizar cuma mengambil alih secara demokrasi tempat yang sudah pun menjadi milik gengnya. Nizar menang secara demokrasi.

Ismail kalah kepada Nizar, juga secara demokrasi. Ismail cuma kalah kepada tuan punya kerusi. Ismail bertanding bukan untuk menidakkan hak, tetapi kerana demokrasi. Ismail tidak guna hantu-hantu walaupun pada satu tahap, orang Nizar gentar dengan khabar angin tersebut.

Nizar boleh mengaku dengan megah bahawa dia menang. Tapi moralnya, Nizar menang untuk siapa? Untuk PAS atau untuk Pakatan atau untuk DAP? Nizar memang dari PAS, tapi hakikatnya, dia bukanlah calon yang didendangkan oleh PAS. Nizar sebenarnya calon kesayangan Pakatan, tetapi lebih berwajah harapan kepada DAP dan PKR. Kenapa? Sebab Nizar tidak letak identiti ulamak pada dirinya walaupun dia seorang PAS. Tidak seperti arwah YB sebelum ini yang lebih megah dengan identiti PAS.

Janggut sejemput Nizar adalah wajah biasa pada seorang lelaki, malah lelaki kebanyakan juga ada imej tersebut. Nizar malah tidak mengenakan ketayap, satu lagi figura hormat bagi PAS. Ketayap itu putih dan bulat, letaknya ditengah-tengah sebagai simbolik kesepakatan. Tapi Nizar adalah sebaliknya. Nizar PAS yang berada diluar bulatan putih tersebut. Nizar lebih gemar mendampingi yang lain. Nizar didendangkan oleh yang lain dari kalangan ulamak PAS sendiri.

Nizar dari PAS memang menang, malah agak besar juga. Tapi kemenangan Nizar bukanlah signal terang untuk PAS. Nizar menang kerana kuatnya sokongan daripada yang lain itu. Mereka liberal, satu ungkapan yang pernah diejek-ejek terhadap UMNO tidak lama dahulu. Yang lain itu terlalu gembira dan puas dengan kemenangan Nizar. Tapi ada khabar juga bahawa pertolongan ulamak dari PAS tidak sampai ke Bukit Gantang apatah lagi membantu suara Nizar. Nizar terbiar keseorangan tanpa imej sebenar seorang PAS. Memang benar kerana selain para pentaksub marhein, selainnya hanya suara-suara liberal kedengaran di pentas yang sesekali memetik al-Quran tanpa maksud yang jelas.

Nizar menang dengan isyarat yang cukup jelas kepada PAS. Bahawa awas, liberalisme sedang masuk ke dalam parti Islam ini. Nizar adalah vektornya. Nizar adalah dari kumpulan yang lain itu. Nizar sedang menjemput suara-suara dan buah fikiran dari yang lain itu ke dalam PAS. Mungkinkah ada campur tangan luar, khususnya dari yang lain itu dalam PAS selepas ini? Muktamar PAS yang lepas di buat di Perak atas perkenan Nizar. Tapi siapa yang meluluskannya di peringkat pentadbiran tertinggi negeri ketika itu? Peraturan tetap peraturan yang memerlukan adanya kelulusan rasmi sebelum diadakan sebarang perhimpunan.

Nizar menang dengan mesej jelas bahawa PAS sudah banyak berubah. PAS banyak menerima keputusan berbanding membuat keputusan. Nizar mungkin sejenis alat untuk yang lain itu masuk lebih jauh. Mereka pasti tidak pernah lupa dengan cita-cita besar PAS. Mungkin yang lain itu tidak pernah duduk diam dan sentiasa mengatur taktik untuk menaikkan lagi harapan mereka sendiri. Dan hanya dalam hal ini, gagasan sebuah kerajaan dan negara Islam sahaja yang mampu mengacau harapan mereka. Jadi sesuatu perlu dibuat dan digerakkan dari segenap arah. Nizar adalah salah satunya.

Taktikalnya mudah. Letak Nizar sebagai calon dan gerakkan seluruh daya sokongan. Kempen dengan apa saja cara. Baca Quran dan tafsir supaya orang-orang PAS bertepuk bersorak penuh kagum. Kemudian, PAS akan dibodoh-bodohkan supaya memahami maksud murni mereka berbuat demikian, iaitu hanya semata-mata untuk menyatakan setulus keyakinan dengan calon PAS itu. PAS kemudian akan menggunakan apa sahaja dalil untuk merestui tindakan tersebut termasuk dalil-dalil dari Tuan-tuan Guru yang pastinya tidak akan disanggah-sanggah lagi. Pedulikan saja dengan suara mufti kerana mereka hanya alat kepada UMNO.

Nizar menang dengan membawa lebih banyak alamat susah kepada PAS. Selepas pertelingkahan tentang siapa yang sepatutnya bertanding, yang akhirnya diserahkan kepada Nizar yang sebenarnya dicadangkan oleh DAP awal-awal lagi, dapat dilihat bahawa perpecahan dalam PAS semakin ketara. Sudah tidak dapat ditutup lagi. Nakhoda PAS tidak suka dengan Nizar, namun pengumumannya dibuat juga oleh Tuan Presiden. Ini sudah cukup untuk menunjukkan kekalutan dalaman PAS itu sendiri.

PAS juga sedang melalui banyak masalah kerana wujudnya perkumpulan-perkumpulan dalam semua peringakat keahliannya. Nizar sendiri mewakili kumpulan yang lain. Lebih menakutkan apabila berlaku kemasukan banyak budaya baru dalam PAS dari sehari ke sehari. Tuan-tuan Guru PAS sedar akan hal ini, namun seolah hilang taring untuk mengaum menyatakan hala tuju sebenar perjuangan mereka. Tindakan tidak popular hanya akan mengakibatkan susah, dan hal ini juga pastinya tidak akan disenangi oleh yang lain itu. Dalam kem Pakatan sendiri sudah pasti akan tidak senang jika PAS mengambil tindakan tidak popular.

Tuesday, April 7, 2009

DSA-Kejahilannya Semakin Jelas




Rakyat terbanyak semakin terkeliru dengan isu penggunaan nama Allah. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang sengaja memutarbelitkan isu ini, yang sudahpun diperjelas oleh pihak yang berautoriti termasuk para ilmuan dan ulamak, ternyata telah menyebabkan lebih banyak masalah. Di sisi undang-undang juga duduk isu sudah muktamad, malah telah dikuatkuasakan pula dengan tegas. Larangan sudah, teguran sudah, amaran pun sudah. Namun, isu ini sekali lagi diberi nafas baru oleh DSA.

Walaupun motif beliau jelas kepada kita, tetapi sungguh menyedihkan kerana beliau langsung tidak sensitif dengan perasaan kita sebagai penyembah unggul zat Maha Esa ini.
Ini zat agung yang paling tinggi dan paling suci. Tidak ada yang selain zat ini melainkan hanya Dia. Esa itu Satu, satu itu Tunggal. Wujudnya pasti dan tidak menyerupai apa-apa pun. Pasti. Ini Maha Besar yang mencipta segala isi petala langit dan segala isi petala bumi. Ini Empunya kita semua, dan kita semua, hanya yang beriman walau dengan sekecil-kecil iman sekalipun, yang berhak mengaku ke-Empunya-an-Nya ke atas kita semua.

Bila mufti bersuara akan hal ini, maka jelaslah, isu ini sangat-sangat serius. Mufti ini bukan sembarangan. Lebih ilmu, iman dan amalnya dari orang itu yang hanya tahu bercakap. Ini mufti taraf dan martabatnya sangat perkasa. Inilah orang yang perlu kita dengar dan patuh, bukannya orang itu. Imam Besar juga sudah bersuara. Semuanya sama, menuntut agar segera ditutup mulut yang bila bercakap langsung tidak memikirkan akibatnya.

Allah sesungguhnya kalimah paling terbaik dan paling termulia sekali dari sekalian kalimah dan perkataan yang ada dan dituturkan di setiap penjuru dan inci bumi dan langit. Inilah nama paling agung sekali di alam semesta. Keagungan Allah meliputi segala yang diciptakan-Nya, yang terlihat oleh kita ataupun yang tersembunyi. Dia-lah zat yang paling layak untuk disembah oleh hanya yang mengakui wujudnya, dan mengiktiraf ke-Esa-an-Nya, dan menafikan yang selainnya. Sungguh, tidak ada yang disembah selain Allah. Iban, Dayak, Kristian, Hindu, Buddha atau apa sahaja tidak layak untuk merebut nama ini, jika yang mereka sembah adalah yang selain-Nya.

Bila DSA mengizinkan selain yang berhak untuk merebut nama Allah, tanpa sebarang sebab dan tujuan yang kukuh seperti kita orang Islam yang mukmin, banyak khilaf faham yang akan timbul. Pertama, siapa dia ini untuk mengizinkan sedemikian? Bila dia cakap bahawa dia ada merujuk banyak ulamak, kita sekali lagi tertanya-tanya, siapakah ulamak-ulamak tersebut? Kita menyimpulkan orang ini bodoh agama.

Kedua, kenapa beliau terdesak untuk memodalkan isu ini ketika ini? Sejak Islam mula bertapak di Tanah Melayu, bangsa lain yang tidak menganut Islam tidak pernah menuntut untuk menyimpan nama Allah dalam kehidupan mereka. Kita ada ramai pencatat sejarah tetapi tidak pernah mereka mencatatkan peristiwa merebut nama Allah, kecuali pencatat-pencatat sejarah selepas ini yang pastinya akan menulis isu ini sebagai polemik penting bangsa.

Kita bertanya, lagi, jika DSA bercakap di hadapan orang Melayu Islam semuanya, adakah beliau berani untuk menyebut isu ini secara jantan? Orang ini putar belitnya sungguh licik. Orang ini pernah berkhutbah di mimbar. Maknanya, orang ini pernah menyeru kalimah wajib dalam rukun khutbah iaitu bertakwalah kepada Allah, yang bermaksud takutkanlah Allah. Kenapa ketika orang ini bercakap isu ini di hadapan Iban dan Dayak, tidak disebut kalimah tersebut dalam bahasa Arab? Bukankah itu lebih jelas maksudnya jika orang ini memang mahu berdakwah supaya penganut lain turut menyembah Allah dan bukan hanya tahu merebut nama-Nya sahaja tanpa sebab yang munasabah.

Kenapa DSA tidak menyatakan bahawa Tuhan-tuhan bagi Iban, Dayak, Hindu, Buddha dan lain-lain itu juga Tuhan bagi orang Islam? Bukankah orang ini menyeru kesamarataan? Tidakkan orang ini tahu bahawa Allah yang disebut dalam Quran yang disembah oleh kaum kafir semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w itu lain sekali konsepnya dengan situasi hari ini?

DSA juga berkata bahawa isu penggunaan nama Allah hanya timbul kerana UMNO telah melarangnya sejak sekian lama? Kenapa orang ini langsung tidak menyebut tentang PAS, sekutunya, yang selama ini juga terlalu taksub dengan perjuangan negara Islamnya? Apakah PAS akan membenarkan penggunaan nama Allah dalam kalangan orang bukan Islam jika berjaya membentuk negara Islam ketika orang ini masih lagi bernyawa?

UMNO melarang atau UMNO memelihara kesucian nama Allah? DSA ternyata memutarbelitkan isu ini dengan sangat teruk. Maknanya, UMNO lebih Islam dari PAS. Maknanya, UMNO telah dengan yakin dan beraninya menegakkan syariat paling asasi iaitu memperkukuhkan seruan akidah. UMNO menyeru supaya takutkan Allah dan jangan disekutukan-Nya, itulah maksud orang ini yang sebenar. Ludah sudah dijilat.

Friday, April 3, 2009

HaRapAN BaRu RakyAt MaLaySia


PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara 10 pagi esok.

Pagi tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pagi tadi.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Okt 2003. BERNAMA

Wednesday, April 1, 2009

APEX: Polemik Staf-BK-NC dan Hala Tuju Kapal




Dalam Berita Kampus (BK), untuk dua keluaran yang terakhir ini, ada dimuatkan perbincangan tentang masalah kualiti staf USM yang sangat tidak melambangkan status Universiti APEX.

Keluaran pertama, kisahnya menarik. Penyiasatan penuh berani oleh para wartawan yang dedikasi BK telah berhasil menemui beberapa orang staf (yang jumlahnya sebenarnya tidaklah sedikit) yang mengular waktu kerja. Dan dalam keluaran kedua, yang terbaru (semalam), kisahnya lebih menarik. Dimuatkan pula temu bual dengan NC tentang masalah ini yang ternyata tidak selesa dengan perkembangan tersebut.

Analisis mudah ialah, untuk kisah yang pertama, ternyata staf kebanyakannya belum sedia menjadi staf sebuah Universiti APEX walaupun mereka sebenarnya telah lama berkhidmat. Hal ini disumbangkan oleh faktor kurangnya kesedaran untuk memahami prinsip asas yang telah ditetapkan oleh dreamteam Lestari, apatah lagi untuk menghayati dan mempraktikkannya dalam amalan kerja masing-masing. Sungguh merugikan kerana ketika para pelajar semakin dapat menyerap prinsip-prinsip tersebut, tetapi pada masa yang sama tulang belakang kepada perkhidmatan di USM belum dapat menerima- walau hanya tempiasnya- secara optimum.

Berdasarkan hasil penyiasatan BK itu juga jelas membuktikan masalah utama yang kerap dihadapi oleh para pelajar ketika berurusan dengan jabatan-jabatan atau pusat-pusat pengajian yang berteraskan perkhidmatan ialah staf itu sendiri. Mungkin tidak semua staf bersemuka dengan pelajar di kaunter hadapan, namun perjalanan dan mutu pengendalian sesuatu urusan itu biasanya dicerminkan sejak dari tahap pertama lagi iaitu bermula di kaunter-kaunter. Jika di kaunter sendiri pelajar sudah berdepan dengan pelbagai kerenah dan masalah yang bukan-bukan lalu apa lagi yang boleh diharapkan dari seluruh jabatan itu?

Selain itu, kerap juga pelajar merasakan diri tidak dihormati sebagai pelajar sebuah IPTA oleh sesetengah staf. Paling biasa berlaku ialah di pejabat desasiswa-desasiswa kerana sesetengah staf yang bertugas sering mememekkan wajah mesra yang tidak mesra. Ada kalanya dilayan masalah pelajar seolah pelajar yang sengaja mencari masalah, misalnya, bilik terkunci, misalnya, kunci hilang (yang ada diantaranya dicuri sebenarnya), misal lagi seperi black-out dan lampu terbakar yang kadang-kadang sangat menyulitkan pelajar terbabit sebagai penghuni yang membayar sewa.

Bukanlah hendak memburukkan staf semuanya. Tapi masalah ini ternyata belum mahu berhenti, dan hanya diberi penekanan semula oleh BK selepas terstatusnya USM sebagai Universiti APEX yang pertama di Malaysia (maknanya, akan ada yang kedua, ketiga dan seterusnya selepas ini..). Ini masalah yang dah lama berlaku dan masih berlaku tanpa ada tanda akan ada noktahnya khususnya dalam masa yang terdekat. Itulah maksud BK yang sebenar apabila isu ini dibentangkan dalam ruang tengahnya.

Dan untuk kisah yang kedua pula, lebih menarik kerana kandungannya ialah luahan hati NC sendiri terhadap masalah ini. Sebuah rumah yang sempurna tidak berhajatkan kepada yang lain selain bapanya yang bijak untuk bersuara apabila anak-anak melakukan hal yang tidak mencerminkan keluarga itu sebagai sebuah keluarga yang sempurna. Suara NC adalah suara sang bapa yang bijaksana. Kita tidak mendabik dada membongkak rasa apatah lagi membangga diri sebagai sebuah Universiti APEX, jauh sekali mengaku sudah terbilang dan sempurna. Tapi kita sebuah keluarga yang ada semua semua perasa yang melayakkan kita diangkat oleh Allah s.w.t sebagai sebuah Universiti APEX, dan NC ialah ayahanda yang kita tagih suaranya dalam segala hal.

Bila NC sendiri menegur sikap dan mutu kerja para staf, seperti juga beliau pernah menegur sikap dan mutu pembelajaran para pelajarnya, ini bermakna beliau prihatin dengan isu-isu tersebut. Persoalannya, bilakah agaknya staf akan berubah? Para pelajar ternyata semakin bersemangat dengan matlamat dan hala tuju USM untuk mencapai tahap APEX. Tetapi hal ini perlukan sokongan yang padu daripada semua pihak khususnya para staf.

Mencapai tahap sebuah Universiti APEX bukanlah kerja yang boleh diterjemah dengan segera. Hasilnya terlalu jauh untuk digapai. Status pula bukanlah manifestasinya selagi matlamat dan hala tuju yang diteraskan kepada prinsip yang tujuh itu tidak benar-benar dipegang sebagai panduan utama dalam pengembaraan ini. Sebuah kapal berlayar mengikut arah gerak layarnya, tapi yang memastikan gerak layar itu pada arahnya ialah tali layar itu sendiri. Angin ialah cabaran yang diperlukan oleh layar dan tali pula ialah pedomannya. Pedoman itulah yang akan dipegang hingga sampai ke penghujung kembara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...