Followers

Sunday, April 19, 2009

SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Nampaknya, kemelut para pelajar yang terlepas penginapan untuk sidang akademik 2009/2010 belum mahu berakhir. Nasib mereka seolah digantung-gantung dan kemudian dihayun-hayun ke sana ke sini oleh pihak pengurusan. Rayuan sudah dibuat. Kini hanya menantikan tarikh ajaibnya sahaja. Namun, ada kalangan pelajar yang sudah pasrah dan enggan peduli lagi dengan nasib yang bakal mereka hadapi. Biarlah, kami boleh hidup tanpa desa. Itu antara yang diluahkan. Sama ada akan ada keajaiban selepas 21hb ini ataupun tidak, mereka sudah nekad untuk tidak ambil kisah lagi. Mereka mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung sekarang ini.

Baik di Restu membawa ke Cahaya Gemilang, semua cerita adalah sama. Tanggapan buruk semakin meriah di mulut-mulut. Ada yang menganggap sistem ini kejam dan tidak prihatin. Ada yang menelah mungkin masalah teknikal kerana terdapat pelajar yang aktif malah menyertai universiti ke pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa namun masih tidak terpilih sebagai warga penghuni desasiswa. Sebaliknya, ada pelajar yang tidak pernah menyertai apa-apa sama ada di peringkat desa ataupun universiti tetapi masih termuat dalam senarai yang mendapat bilik. Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah sistem pemilihan ini dilakukan secara rawak?

Malang sekali kerana pada masa ini Berita Kampus (BK) tidak beroperasi sehingga semester baru bermula. Akses kepada maklumat yang sahih tidak berjalan dengan baik. Sesi pertemuan dan aduan dengan pihak MPP yang dijalankan baru-baru ini di setiap desasiswa juga tidak berlaku dengan begitu mesra, malah menjadi sesi luahan ketidakpuasan hati sesetengah pelajar. Lebih malang, wakil MPP yang ditugaskan pada sesi tersebut gagal menjawab dan kelihatan terhegeh-hegeh serta gagap mendepani hujanan pertanyaan oleh pelajar. Sekali lagi, kredibiliti MPP semakin dipersoalkan. Kita cuma mahu bertanya, apakah sebenarnya yang berlaku?

Terdapat beberapa andaian menarik yang keluar dari mulut para pelajar yang mungkin boleh dikongsikan di sini. Antaranya perkara ini sengaja dicetuskan supaya MPP dan pihak atasan akan dilihat lebih prihatin dengan masalah pelajar. Alasan yang dikemukan mudah, iaitu tindakan segera MPP yang membuka kaunter aduan di setiap desasiswa menunjukkan seolahnya hal ini dirancang dari awal lagi. Kita tidak mahu mengandaikan lebih lanjut kerana para pelajar boleh memikirkannya sendiri. Dan tegasnya, pelajar tidak boleh disalahkan jika mereka silap cakap kerana ternyata akses kepada maklumat dan perkara sebenar sangat lemah.

Selain itu, melihatkan kepada sejarah, hal seperti ini belum pernah berlaku di mana sejumlah besar pelajar tidak ditawarkan penginapan di desasiswa. Oleh itu, andaian yang timbul ialah, pihak pengurusan tidak telus dalam pemilihan pelajar yang layak untuk menginap di desasiswa lagi. Masakan tidak, sejak sidang 2007/08 membawa ke sidang 2008/09, semua pelajar diminta supaya meningkatkan jumlah unit masing-masing dalam rekod MyActivity Healthycampus supaya memenuhi syarat pemilihan desasiswa masing-masing. Hal ini merupakan satu kaedah yang baik kerana para pelajar dan universiti akan saling menerima manfaatnya. Pelajar akan lebih ghairah menyertai sebarang aktiviti yang diadakan sementara universiti pula akan berupaya menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan pelajar bagi setiap aktiviti yang diadakan.

Malangnya, apabila keputusan permohanan desasiswa diumumkan baru-baru ini, hal yang sebaliknya pula berlaku. Ramai pelajar yang aktif termasuk atlet-atlet yang pernah memenangi emas dalam Temasya Olahraga Tahunan (TOT) dan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) gagal dalam permohonan mereka. Itu belum kira dengan jumlah besar pelajar yang pernah menyertai acara-acara seperti Variasiswa, Citrawarna dan sebagainya lagi. Malah ada peserta IMT-GT juga gagal mendapat bilik.

Jadi, persoalannya, apakah sebenarnya berlaku? Adakah sistem yang tersilap memilih atau ada sebab lain? Apakah USM sedang mengorak langkah mencontohi sistem yang digunakan oleh IPTA lain? Kalau begitu, apa untungnya peruntukkan besar yang diterima sebagai Universiti APEX terhadap nasib pelajar-pelajar ini?

Terkini, lebih mengejutkan apabila terdapat pihak pengurusan desasiswa yang enggan mengeluarkan pelekat kotak kepada pelajar yang tidak mendapat penginapan yang mahu menyimpan barang dalam stor di desasiswa sempena cuti panjang yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Maknanya, mereka juga tidak ditawarkan stor untuk menyimpan bagasi masing-masing. Hal ini seolah sudah jatuh ditimpa tangga, dah jatuh tergolek pula. Kita boleh cakap bahawa tindakan ini agak kejam dan benar-benar tidak prihatin. Kita juga bimbang jika reaksi pelajar dalam hal ini menjadi semakin tidak terkawal. Malah ada ura-ura pelajar akan berhimpun untuk meluahkan perasaan masing-masing. Harapan kita semoga perkara ini dapat diselesaikan segera.

7 comments:

Anonymous said...

dah lama tinggal kan usm ni.. dah macam macam berlaku. masa aku belajar dulu..semua yang aktif aku cuba tarik masuk ke desa aku..sebab aku nak desa aku menang semua game.

Anonymous said...

tah la, aku pun blur je jwb exam sbb dok pikiaq mana nak tinggal lepas ni.

tensennnnnnnnnnnnnnnnnnn

Anonymous said...

aku ade dgr cakap2 blakang yg katanya USM nak tambahkan studen MA..sbb tu desa dikurangkan kepada pelajar sedia ada.nak bagi laluan la senang ckp kat budak2 MA tu nanti.

tak tahu laa..mebi tuan blogger ni leh storykan lagi kat kitorang. maklumlah, dia ni actually balaci aspirasi jugak.so maklumat mesti ler banyak kan......

Anonymous said...

ha lagi satu aku nak tanya banyak ni..

a) betul ke desa nak bagi kat budak-budak MA?
b) berapa ramai sangat budak-budak tu?
c) U lain dah xde ke?
d) kalau ye pun, nak ke diorang nanti stay kat desa-desa kite ni, contoh CG dah laa..hehe..sori ok
e) kami ni nanti nak sumbat kat mana?
f) adil ke buat mcm ni?
g) leh x ckp yg kami ni mcm dihambat dari rumah sendiri sedangkan sewa semua kami setelkan, masalah disiplin pun xde, rekod buruk lagi xde, tetibe kene halau..dah tu tmpat nak tuju x diberitahu lagi..boleh ke ckp mcm ni?
h) adil ke?
i) adil ke?
j) adil ke?

Anonymous said...

so MPP, x reti2 nak wat keje ke..
klu nak buang student pn, maklumkan la lbh awl, mule2 start semester ari tu ke..x sistematik lgsg pengurusan...MPP jgn nk jd kroni je..perjuangkan hak student..

rizuan mh said...

salam kpd semua, dan khusus buat rakan-rakan di USM.

saya menulis entry ini bukanlah untuk mengeruhkan keadaan ataupun sengaja mengambil kesempatan.saya menulis atas rasa simpati dan dengan hasrat mahu mencari kebenaran sahaja atas apa yg sedang berlaku.

sebetulnya hal ini bukan di bawah hak kita untuk berhujah tapi kalau ruang ini mampu menjadi medan melepaskan rasa hati masing-masing, saya tidak menghalang.

seperkara, jika ada komen yang melampui batas, saya tidak teragak-agak untuk menyisihkannya demi menjaga nama baik universiti dan kita semua sebagai warga akademiknya.

saya bertanggungjawab atas entry ini dan saudara/i bertanggungjawab atas komen masing-masing.

Harap maklum

rizuan mh@cikwan

D'Rimba said...

Salam siswazah ilmu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...