Followers

Thursday, January 29, 2009

SIAPA PEREMPUAN??

Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah bergurau tentang erti seorang perempuan dan betina. Beliau mungkin bernada sinikal namun persoalan yang cuba dibangkitkan sebenarnya agak besar. Saya sendiri agak keliru dengan kebenaran yang beliau tamsilkan melalui filem Musang Berjanggut tersebut. Lama saya mencari hakikat yang tersirat dan akhirnya saya menemui jawapan kepada persolan tersebut melalui sebuah novel iaitu Surat-surat Perempuan Johor hasil karya oleh saudara Faisal Tehrani yang saya kira agak meyakinkan. Bagaimanapun bukanlah niat atau tujuan saya untuk membangkitkan perdebatan tentang perbezaan antara perempuan dan betina kerana saya anggap isu ini agak sensitif. Kutipan di bawah ini hanyalah semata-mata untuk berkongsi makluman sahaja. Harap dimaafkan =)

“Seperti nasihat bonda ampuan, kita perempuan terbangun daripada tanah, angin, air dan api yang bersatu dan disimpan pula dalam sir, wadi, madi atau manikam. Kita juga belajar banyak dari Ibu Senapati tentang diri kita sebagai orang perempuan, penentu sejarah dan masa depan.

Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf ( Lihat Raja Hamzah Yunus, “Perempuan Melayu: menurut takrif naskah melayu Riau Johor” dalam Jurnal Warisan Johor, Jilid 2, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 1998) pengertiannya:

Huruf Fa itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus fasih memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya.

Huruf Ra itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapatkan petunjuk Rasulullah s.a.w serta ramah mendapat kasih suami.

Huruf Mim pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan ada silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.

Huruf Fa yang kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.

Huruf Wau pula adalah perempuan itu wangi kerana haruman bidadari di syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar perkhabaran busuk dan umpat-umpatan berbau bangkai.

Huruf Nun yang akhir, membawa pengertian besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan mengenal ia baik jahat, dosa dan pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempuan itu ialah insan yang terpercayakan.”

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Surat-surat Perempuan Johor, 2007:19-20)

Wednesday, January 28, 2009

PEMBERITAHUAN

( Noor Zulaikha bersama dengan ayah dan ibu semasa menghadiri majlis pentauliahan adik lelakinya di MTD Sg. Besi pada bulan Disember 2008)


Kepada teman-teman dan sahabat-sahabat sekalian,untuk makluman, ibu kepada NOOR ZULAIKHA BT TAJUL AMER kini sedang dirawat di sebuah hospital atas masalah kesihatan. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga ibunya segera sembuh dari penyakit yang sedang dihidapi serta dapat pulang ke rumah dan menjalani kehidupan bersama keluarga seperti biasa. Doakan juga semoga Ika sekeluarga sentiasa ditabahkan hati menghadapi dugaan ini. Sekian, terima kasih. Jazakallahu khairan kathira. Assalamualaikum.

Wednesday, January 7, 2009

ASPIRASI MENANG DI UTHM


Pada 5 Januari 2008, telah diadakan proses penamaan calon di Dewan Temenggung Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor. Selepas sesi penamaan calon ditutup pada jam 11.00 pagi, sejumlah 16 orang calon bertanding untuk merebut sejumlah 8 kerusi kawasan umum yang ditawarkan. Manakala di Fakulti Kejuruteraan Awam & Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Fakulti Mekanikal & Pembuatan, Fakulti Teknologi Maklumat & Multimedia, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Fakulti Pendidikan & Teknologi, kesemua calon menang tanpa bertanding bila hanya ada 12 orang calon mengemukakan borang untuk memenuhi 12 kerusi yang ditawarkan di fakulti. Pada sesi Pilihan Raya Kampus (PRK) tahun 2007/08, kumpulan Pro Mahasiswa hanya menang 2 kerusi di Fakulti Kejuruteraan. Dengan kekalahan pada sesi ini, Pro-M tiada langsung wakil dalam MPP kali ini.

Kumpulan Pro Mahasiswa tidak menghantar seorang pun calon. Kumpulan Pro Mahasiswa mendakwa mereka gagal mengemukakan calon atas faktor teknikal dan faktor pelepasan dekan. Dengan kemenangan menang tanpa bertanding di UTHM, Aspirasi kini sedang mendahului Pro Mahasiswa dengan keputusan 11-0. Aspirasi hanya seri dengan Pro Mahasiswa di UNIMAS. Hanya 8 kerusi umum yang dipertandingkan di UTHM, itu pun antara calon Aspirasi dengan calon Aspirasi sendiri. Tahniah.

Sumber:
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)
http://anginperubahan.blogspot.com/


NOTA:

Semoga kemenangan ini akan menaikkan semangat kem ASPIRASI di USM. Allah sedang menolong usaha kita, insya-Allah. Teruskan dengan perjuangan untuk mahasiswa bersatu!!

Kesejagatan Siswa dan Siswi Dalam Kelestarian Politik.


Ada satu sebab yang barangkali boleh dijadikan sebagai bentangan landasan paling kukuh untuk mahasiswa terus berpolitik secara matang, iaitu kesejagatan. Mahasiswa jika dilihat dari suatu sudut, hanyalah segolongan manusia yang menuntut ilmu di mana-mana pusat pengajian tinggi. Konotasi mudahnya, penuntut. Dan tuntutannya juga mudah, iaitu menuntut ilmu yang berguna untuk kehidupan mereka seharian dan juga pada masa hadapan. Ilmu itu terpulang pada neraca kebijaksanaan individual sama ada untuk diaplikasikan secara sendiri mahupun secara kolektif, andai kolektif yang dipilih, maka impaknya melimpah-limpah melampaui kepentingan diri sendiri. Jika secara individual, jika positif, maka impaknya mustahil negatif. Segalanya terserah pada kebijaksanaan mereka mengaplikasikan ilmu yang diperoleh. Ada, dan, ilmu yang didapatkan secara formal (menghadiri kuliah, tutorial, seminar, dsb..tentu), ada yang sebaliknya pula. Misalnya, berpersatuan ataupun dengan menyertai apa-apa jua aktiviti yang bersifat mendidik sama ada untuk kebaikan lahiriah mahupun jasmaniah.

Justeru, apakah kaitannya dengan politik? Mahasiswa berpolitik, bagaimana? Tiada jawapan yang khusus. Semuanyan berkisar kepada soal kematangan. Asasnya ialah matang secara rohani, emosi dan juga mental. Paling penting ialah mental kerana dari situlah datangnya kematangan. Misalnya bagaimana? Mudah, begini, ada berita atau isu yang diuar-uarkan terkadang tidak mencerminkan setulus hakikat. Maka, di sini kematanganlah yang akan menjadi hakim pemutus kefahaman. Duduk perkara sebenar tidak boleh dijustifikasikan dengan mulut yang menyampaikan dan dek telinga yang mendengar semata. Imperikalis mungkin suatu hal yang sukar, namun secara sosiologi, ada nilai yang memungkinkan hakikat atau kebenaran, iaitu nilai kesejagatan, yang perlu pula dicernakan secara akal waras, iaitu kematangan. Justeru, pokoknya tetap berbalik kepada aspek kematangan dan juga kebolehmatanganfikiran.

Justeru dengan terbubarnya parlimen ‘caretakers’ MPP sidang 2007/08 di USM, maka nilai kesejagatan akan sekali lagi menjadi persekitaran yang bakal memupuk sistem demokrasi dalam kampus ini kelak sama ada berjalan dalam nilai tersebut ataupun tidak. Asasnya tetap sama, iaitu masyarakat pelajar yang berada dalam kampus baik di induk mahupun cawangan. Melihat kepada situasi semasa, wujud beberapa aliran atau pergerakan pelajar dengan asas perjuangan yang barangkali masih sama dari segi kontektualnya, tetapi bertentangan secara konseptual. Pada kedudukan seperti ini, yang akan menentukan kemenangan mana-mana pihak tentu sekali undi majoriti, tetapi undi yang bagaimana? Apakah nilai yang mendorong undi tersebut? Susah sekali, barangkali, kerana aspek kematangan pelajar bukan suatu perkara yang mudah untuk diukur. Subjektif ataupun objektif, sebenarnya tiada piawaian yang secara kondusif tulen boleh dijadikan sebagai kayu ukur.

Jika ada sekalipun, tentu sukar untuk mencapai tahap seratus peratus tepat, apatah jika subjeknya ialah kematangan dalam hal berpolitik dan memilih calon yang terbaik. Banyak sekali gugahan adalah suatu hal yang nyata jelas tidak dapat dielakkan. Bahkan, faktor rupa paras calon sekalipun. Hal inilah yang sebenarnya menjadi antara cabaran untuk menilai kematangan berpolitik dalam kalangan pelajar sekarang. Daerah cabaran ini bahkan tidak terhad di USM sahaja barangkali. Oleh hal yang demikian, nilai kesejagatan inilah yang harus mengambil peranan untuk membetulkan kembali keadaan tersebut. Bagaimana? Kesejagatan yang macam mana? Begini. Mahasiswa, yakni pelajar, harus ditanam dengan kesedaran bahawa mereka perlu hanya memilih calon-calon yang benar-benar layak untuk mewakili suara dan kepentingan seluruh masyarakat pelajar amnya dan kampus khususnya. Benar, semua calon yang bertanding mempunyai nilai tersebut. Namun, lihat pula kepada keupayaan mereka jika terpilih. Adakah mereka boleh berada bersama kepimpinan tertinggi universiti? Adakah mereka boleh berjuang secara ampuh untuk menjulang misi dan aspirasi universiti atau hanya tahu bersuara tetapi dalam nada yang jauh sama sekali berbeza dengan dasar universiti?

Bagaimana untuk menyedarkan, tentu sekali berbalik kepada soal kesejagatan. Mahasiswa, sebagai kelompok masyarakat kampus terbesar, sudah tentu bergerak dalam perkumpulan-perkumpulan yang khusus. Dan ada yang berideologi khusus pula. Namun yang menjadi bahaya ialah, ada kumpulan-kumpulan ini jelas terang mempunyai agenda lain yang terkadang menjauhi dasar, misi dan aspirasi universiti secara implisit mahupun eksplisit. Bahayanya apabila mereka menggunakan nilai kesejagatan untuk kepentingan kumpulan tersebut, dengan menghasut sesetengah pelajar supaya menilaianggap negatif terhadap sesetengah kelompok pelajar yang lain, bahkan tehadap pihak atasan universiti sendiri. Bahaya ini jelas perlu dihindar. Bagaimana? Juga dengan nilai kesejagatan tersebut. Syukur Alhamdulillah, di USM masih ada segolongan pelajar, bahkan jumlahnya tidak sedikit tetapi semakin bertambah bertokok, yang punya rasa cinta terhadap universiti dan sanggup berjuang untuk kegemilangan legasi universiti ulung ini. Mereka inilah yang mendukung aspirasi universiti serta tulang belakang kepada perjuangan aspirasi selama ini. Suatu hal yang penting untuk ditegaskan di sini, sebagai titipan akhir, ialah, mereka ini menerap nilai kesejagatan tersebut secara total dan sungguh-sungguh. Alhamdulillah.

Tuesday, January 6, 2009

KASIHAN MEREKA


Layakkah anak seusia enam tahun menjadi mangsa mainan politik orang yang lebih dewasa? Layakkah mereka yang baru belajar mengenal alam persekolahan dinafikan haknya? Menuntut ilmu sedari buaian, sabda Rasulullah, dan ketika di Palestin dan sekalian banyak lagi bumi anbia, satu-persatu, sekolahnya ditutup, anak-anak bertebaran lari bertempiaran dikejar bom dan peluru gila, namun tanpa sebab yang munasabah di Perak anak-anak kecilnya sedang mengalami nasib yang serupa. Di sini, anbia tak pernah jejak. Namun kuasa Allah, sinar ilmunya sampai. Para ulama bebas mengajar ilmu, malah berpolitik. Malah menterinya yang konon aula, alim dan ustaz takzim, simpan janggut sejemput. Namun minggu ini, beliau tergamak menolak sabda Rasulullah. Beliau angkuh menutup sekolah-sekolah tadika (taman didikan kanak-kanak) KEMAS. 700 buah semuanya. Tak terhitung dek akal jika mahu dinilai ilmu yang bakal tersebar jika sekolah-sekolah ini dapat beroperasi seperti selalu. Layakkah beliau ini berlaku sedemikian rupa? Allah sahaja yang tahu motif beliau. Nauzubillah..

Sunday, January 4, 2009

PILIHANRAYA KAMPUS (PRK): MAHASISWA PERLU BEREVOLUSI


Tuntutan alam pengajian tinggi hari ini semakin pelbagai dan kompleks. Mahasiswa sebagai tulang belakang sistem keilmuan ini haruslah melakukan lebih banyak anjakan yang positif bagi mencapai tuntutan-tuntutan tersebut. Dalam hal ini, suatu perkara paling asas yang perlu didepani oleh setiap mahasiswa ialah mereka, secara kolektif, dan tanpa mengambil kira asas ideologi masing-masing, perlu berada dalam ruang lingkup kepimpinan pelajar yang senada dengan hala tuju dan dasar universiti. Hal ini mungkin kedengaran agak tidak seimbang apatah jika isu-isu semasa yang disuarakan sejak belakangan ini diambil kira. Misalnya, tuntutan kebajikan yang semakin kompleks, suara mahasiswa daripada pelbagai ras, dan lain-lain isu yang ada antaranya panas dan meresahkan. Namun, sebagai mahasiswa, ada hal lain yang lebih utama sebenarnya yang perlu disedari oleh golongan ini.


Tinggalkan sebentar tanggungjawab asasi sebagai penuntut ( kerana jika hal ini menjadi pokok bicara, sudah tentu titik kesimpulannya sudah awal-awal lagi ditemui), sebaliknya mari tumpukan sejenak perhatian kepada pilihan raya kampus (PRK) yang bakal menjelang tidak lama lagi (desas-desus berbunyi barangkali pada pertengahan Januari, wallahu’alam). Hal ini demikian kerana, pilihanraya kampus pada kali ini adalah suatu proses demokrasi yang perlu berjalan dengan lebih matang dan selamat. Sementelah ini adalah pilihanraya pertama di USM sebagai sebuah universiti APEX, maka anjakan budaya berpolitik dengan kesedaran asasi umum perlu diletakkan di hadapan mengatasi segala situasi. Kompleksiti tuntutan yang bertunjangkan isu kaum semata perlulah dikesampingkan sebaliknya kesedaran tentang suara mahasiswa yang bersatu dalam kedaerahan sebuah institusi pengajian tinggi awam adalah lebih penting untuk digegarkan dalam kempen-kempen yang bakal digerakkan nanti.

Itu jika pada tahap awal. Bagaimana pula apabila proses pembuangan undi dijalankan? Di sini, pada tahap segenting ini, mahasiswa perlu menggunakan segala kematangan dan pengalaman semasa untuk memilih calon yang benar-benar berkelayakan. Bagaimana? Mudah. Lihat kembali pada kempen-kempen yang telah digegarkan sepanjang tempoh tersebut berlangsung. Lihatlah pada calon yang bertanding dengan pandangan yang lebih matang. Emosi? Suatu hal yang perlu dibuang jauh-jauh. Dan, suatu hal yang perlu diletakkan di hadapan sekali ialah, calon yang berkenaan yang termuat dalam senarai itu mestilah terjawab secara otomatis pada persoalan ‘apakah bisa ia berkhidmat?’, bukannya kerana ‘siapa ia?’ atau ‘kenapa ia?’. Kematangan. Hanya itu sahaja yang diperlukan pada tahap ini, kerana, sekali lagi, bukan emosi. Mudah bukan? Jadi tiada sebab kenapa tidak turun membuang undi.

Sebentar, menarik juga jika disentuh tentang sikap mahasiswa hari ini yang kurang memberatkan tanggungjawab mereka turun mengundi. Entah di mana silapnya, jelas semakin banyak mahasiswa yang kurang endah akan hal ini. Entah kenapa juga mereka seolah mengolah masa mereka untuk hal-hal lain yang difikir barangkali lebih enak (misalnya, tidur, dan misalnya lagi, melayari internet ataupun main game ataupun keluar bersiar-siar). Ini sikap yang perlu berevolusi sebenarnya, ke arah yang lebih baik tentu sekali. Barangkali, ini barangkali sahaja, mahasiswa hari ini kurang ingin atau berselera untuk berpolitik. Jika benar, malang amat dan jika sebaliknya, perlu digerak momentum mega yang boleh mengalih perhatian mereka secara total. Perlu diberitakan segera bahawa pilihanraya kampus pada sidang ini dan sidang-sidang mendatang adalah suatu acara besar yang tersangat besar ertinya kepada seluruh universiti. Inilah wadah awal yang bakal mencorak persekitaran APEX dalam sebuah taman (baca: USM). Wadah ini jugalah yang bakal menghunjam segala sangka buruk pihak-pihak yang berhasad negatif terhadap universiti ini. Tiada siapa yang tidak cemburu dengan kurniaan besar dari Allah ini buat kita di USM. Perlu diingat juga pilihanraya kampus pada kali ini bakal menjemput lebih banyak mata luar dan perhatian pihak-pihak tertentu terhadap USM.

Sekadar mengutip laporan daripada sebuah akhbar, ada khabar yang mengatakan ada banyak benar pihak yang berminat dengan aroma politik kampus di USM. Hal ini ada benarnya juga lebih-lebih lagi selepas teranugerahnya status APEX. Ada mata yang begitu teruja untuk melihat perkembangan politik mahasiswa USM. Media massa dari sebarang arus tentu sekali yang akan paling terkinja-kinja untuk melaporkan setiap gerak getus geri tari sepanjang proses pilihanraya ini berlangsung kelak. Jadi pesan kepada mahasiswa, berhati-hatilah. Evolusi sikap, sekali lagi, adalah sangat dituntut. Sangat-sangat.

Akhir sekali, mari bicara tentang kebarangkalian yang akan berlaku selepas tamatnya pengiraan undi. Jika pada saat ini MPP sedang diperintah oleh ‘caretakers’, maka untuk hari-hari selepasnya pemerintahan akan diambil alih oleh mereka yang selayaknya dipilih (secara demokrasi, tentu!). Tugas tidak sedikit menanti. Hanya kesediaan berkorban mampu menanganinya kelak. Siapa? Hanya Allah yang tahu. Dan kita hanya perlu menantikan semua itu benar-benar berlaku kelak.

Buat mahasiswa, bersatulah! Dan berevolusilah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...