Followers

Thursday, January 29, 2009

SIAPA PEREMPUAN??

Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah bergurau tentang erti seorang perempuan dan betina. Beliau mungkin bernada sinikal namun persoalan yang cuba dibangkitkan sebenarnya agak besar. Saya sendiri agak keliru dengan kebenaran yang beliau tamsilkan melalui filem Musang Berjanggut tersebut. Lama saya mencari hakikat yang tersirat dan akhirnya saya menemui jawapan kepada persolan tersebut melalui sebuah novel iaitu Surat-surat Perempuan Johor hasil karya oleh saudara Faisal Tehrani yang saya kira agak meyakinkan. Bagaimanapun bukanlah niat atau tujuan saya untuk membangkitkan perdebatan tentang perbezaan antara perempuan dan betina kerana saya anggap isu ini agak sensitif. Kutipan di bawah ini hanyalah semata-mata untuk berkongsi makluman sahaja. Harap dimaafkan =)

“Seperti nasihat bonda ampuan, kita perempuan terbangun daripada tanah, angin, air dan api yang bersatu dan disimpan pula dalam sir, wadi, madi atau manikam. Kita juga belajar banyak dari Ibu Senapati tentang diri kita sebagai orang perempuan, penentu sejarah dan masa depan.

Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf ( Lihat Raja Hamzah Yunus, “Perempuan Melayu: menurut takrif naskah melayu Riau Johor” dalam Jurnal Warisan Johor, Jilid 2, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 1998) pengertiannya:

Huruf Fa itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus fasih memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya.

Huruf Ra itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapatkan petunjuk Rasulullah s.a.w serta ramah mendapat kasih suami.

Huruf Mim pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan ada silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.

Huruf Fa yang kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.

Huruf Wau pula adalah perempuan itu wangi kerana haruman bidadari di syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar perkhabaran busuk dan umpat-umpatan berbau bangkai.

Huruf Nun yang akhir, membawa pengertian besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan mengenal ia baik jahat, dosa dan pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempuan itu ialah insan yang terpercayakan.”

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Surat-surat Perempuan Johor, 2007:19-20)

1 comment:

Anonymous said...

perempuan betina plak cmna????

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...