Followers

Tuesday, September 29, 2009

AUKU - LAGU SUMBANG DARI PRO-M



Minda yang kritis tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya mereka yang mampu menujah upaya fikir ke tahap yang kritikal saja berkemungkinan menjana idea-idea yang kritis.


Menurut Ishak Ramly, tahap berfikir manusia biasanya terbahagi kepada rendah, sederhana dan tinggi. Upaya berfikir juzuk tinggi akan menemukan seseorang kepada hakikat atau kebenaran yang sejati, sementara upaya fikir juzuk rendah memungkinkan jawapan yang bersifat permukaan saja ditemukan, atau lebih tepat berujukan terus pada konteks. Semua ini tunjangnya adalah kepada apa-apa yang disifatkan sebagai; tersurat, tersirat dan hakikat.


Juzuk rendah – tersurat

Juzuk sederhana – tersirat

Juzuk tinggi – hakikat


Walau bagaimanapun menurut de Bono (1970), pemikiran yang kreatif dan kritis sememangnya berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Ia sesuatu yang berlaku dengan sendiri dan bukan disengaja-sengajakan. Benarkah pandangan ini? Kita lihat pula definisi daripada kamus Webster’s (1976). Maksud yang diberikan ialah, “the ability to bring something new existence”. Adakah pandangan ini tepat dari jurus pandang ‘alami? Kelihatan ia seolah-olah memberikan makna bahawa kreativiti itu adalah satu kebolehupayaan membawakan sesuatu yang baru sama sekali, yakni daripada tiada kepada ada.


Sementara Hassan (1989) dan Nik Azis (1994) pula memberikan pendifinisian yang lebih literal. Menurut kedua-duanya, terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin – seperti biasa, ia datang dari lubuk segala perkataan dalam peradaban manusia – iaitu ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ atau ‘to make’. Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘krainein’ yang membawa pengertian ‘memenuhi’. Sementara dalam bahasa Inggeris perkataan yang digunapakai ialah ‘create’ atau ‘cipta’ dalam Bahasa Melayu.Kita lihat pula pandangan yang dikemukakan oleh seorang lagi tokoh pemikir iaitu Torrance (1974). Apa kata beliau?


"To cause to exist, bring into being, originate, to give rise, bring about, produce, to be first to potray and give chraracter to a role or part creation : An original product of human invention or imagination.


A process of becoming sensitive to problems, defiencies, gaps in knowledge, missing elements, disharmonies and so on; identifying the difficult; searching for solutions, making guessess or formulating hypotheses about the defiencies; testing and retesting these hypotheses and posibly modifying and retesting them and finally communicating the results".


Berdasarkan pandangan-pandangan ini, kita tidak mempunyai pilihan lain selain menerima hakikat bahawa upaya berfikir manusia sememangnya boleh mencapai tahap yang tertinggi sehingga mampu meng‘ada’kan sesuatu yang sebelumnya tiada. Ia harus bermula dengan idea yang lahir dan dijana oleh pemikiran yang setakah lebih ke hadapan daripada biasa. Hal ini sekaligus membenarkan pernyataan yang biasa kita dengar iaitu “kejayaan dicipta oleh manusia biasa yang berfikir secara luar biasa”. Hanya mereka yang berani menujah mindanya sekeras mungkin mampu menerbitkan idea-idea atau pemikiran yang baru, segar dan malar, langsung jauh daripada nilai-nilai klise ataupun streotaip.


Dan apabila kita bercakap tentang mahasiswa universiti – sebentar lagi saya akan kecilkan skop kepada hanya di USM – kita memandang pada satu realiti iaitu golongan ini telah diberikan persepsi oleh umum sebagai golongan yang mempunyai pemikiran-pemikiran yang sentiasa segar dan baru. Adakah ini benar atau relevan? Pandangan atau persepsi ini bukan baru. Ia memang sudah terpasak kukuh dalam kalangan masyarakat. Bahkan, pada satu-satu situasi, golongan mahasiswa akan diberikan penghormatan yang wajar sekali oleh masyarakat luar. Cubalah mahasiswa masuk ke kampung-kampung dalam perkumpulan-perkumpulan tertentu, saya yakin anda akan dikalungkan dengan rasa hormat yang tidak kecil oleh orang-orang kampung tersebut.


Di USM, mahasiswa dibenarkan berbudaya kreatif dan kritis. Bahkan menjadi satu tuntutan pula kepada setiap diri mahasiswa itu untuk tampil sebagai pencetus idea-idea baru sesuai dengan status sebagai pemimpin, We Lead. Tidak benar jika ada individu-individu atau perkumpulan tertentu yang mengatakan suara mahasiswa disekat di dalam mahupun di luar kampus. Tidak benar juga jika ada yang mendakwa mahasiswa hari ini lesu dan tidak berdaya fikir yang hebat dan bisa menggegarkan komunitinya, bahkan dunia. Mereka yang berpersepsi sedemikian acap kali tampil dengan hujah kononnya AUKU-lah yang telah melesukan minda para mahasiswa hari ini. Benarkah begitu?


Lesu yang bagaimana? Frasa mana yang jelas menjadi faktor atau penyebab kelesuan mahasiswa hari ini? Dah diselak habis-habiskah setiap baris ayat dan patah kata dalam AUKU? Dalam edaran buku haram Black and White oleh SPF baru-baru ini, pihak editorial secara tidak bertanggungjawab telah mengeluarkan pandangan sempit mereka dengan mendakwa AUKU telah merendahkan kualiti pelajar universiti, bahkan turut juga menjejaskan kedudukan universiti dalam pencapaian akademik dan lapangan kajian. Pihak editorial juga mendakwa kononnya, AUKU diwujudkan hanya untuk menyekat mahasiswa daripada menyertai parti politik yang menentang kerajaan, atau tepatnya, pembangkang. Adakah ini benar? Adakah mahasiswa dibenarkan menyertai UMNO, MIC atau MCA (maaf sekadar menyebut beberapa contoh sahaja) kerana parti-parti ini berada di pihak kerajaan yang memerintah?


Selain itu, buku haram ini juga mendakwa AUKU telah memenjarakan kelibat mahasiswa daripada pandangan umum atau masyarakat. Kononnya, AUKU itu lebih bersifat tembok yang memisahkan mahasiswa daripada bersosial, melemahkan kuasa sosial sivil dan hanya mengutungkan pihak kerajaan iaitu dengan mengukuhkan kuasa dan kedudukannya. Kesimpulan oleh mereka mudah, iaitu, AUKU memang tidak bertujuan untuk melindungi pelajar. Pada saya, inilah contoh pemikiran sempit mahasiswa yang terdesak dan gagal mencari kuasa kreatif mereka. Mereka inilah golongan yang sentiasa memandang sesuatu dari jurus pandang yang prasangka, yang dangkal dan tidak proaktif. Apakah justifikasi mereka?


Dalam artikel yang diberi judul Pindaan AUKU seperti yang dimuatkan dalam buku haram tersebut, keseluruhan hujah atau dalil yang dikemukakan oleh editorial adalah berkaitan dengan satu seksyen sahaja, iaitu seksyen 15 yang hadir dengan kurungan-kurungan tertentu. Dalam seksyen ini, sebelum pindaan dibuat baru-baru ini, menyatakan tentang had-had atau limitasi penyertaan mahasiswa dalam kegiatan sosial. Misalnya, Seksyen 15(2) menyatakan bahawa mana-mana pertubuhan atau persatuan pelajar di dalam kampus tidak boleh bergabung dengan mana-mana pertubuhan di luar seperti NGO dan sebagainya jika tidak mendapat kelulusan bertulis daripada Naib Canselor.


Bagaimanapun, selepas pindaan dibuat, hal ini telah berubah sama sekali. Semua persatuan dan pertubuhan pelajar sudah diberikan kelonggaran untuk menyertai atau bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan di luar kampus kecuali parti-parti politik atau persatuan dan pertubuhan yang diharamkan oleh pihak berkuasa khususnya yang berpotensi menimbulkan suasana tidak aman terhadap masyarakat. Hal ini sudah jelas. Bahkan rakyat Malaysia sendiri tahu akan kewujudan sekian banyak badan NGO atau persatuan-persatuan dan gerakan yang tidak selari dengan undang-undang negara. Inilah yang sebetulnya cuba dielakkan daripada berlaku, dan AUKU itu pula adalah garis panduan yang telah dipersetujui oleh Parlimen Malaysia untuk digunapakai sebagai langkah kawalan dan pencegahan.


Saya tidak berhajat menyentuh secara panjang lebar tentang perkara ini kerana pada pandangan saya, golongan mahasiswa seharusnya celik dan mampu memahami kenapa AUKU digubal dan kemudiannya dipinda tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan peruntukan perkara yang menghalang para pelajar daripada terlibat dengan parti-parti politik, pertubuhan haram dan sebagainya lagi. Perkara ini juga sebenarnya sudah jelas terang. Ia hanya dimainkan oleh segelintir pihak yang begitu dangkal dan rela dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu di luar kampus.


Poin saya di sini sebenarnya adalah untuk membangkitkan kembali persoalan adakah AUKU telah melesukan mahasiswa sebagaimana yang didakwa oleh SPF dalam buku haram tersebut? Daripada artikel tersebut, jelas sekali tuntutan mereka supaya AUKU dimansuhkan hanya dibuat berdasarkan kepada satu seksyen sahaja daripada keseluruhan AUKU itu sendiri. Kenapa begitu radikal? Itu pertanyaan saya yang belum terjawab sehingga kini. Sememangnya untuk memansuhkan terus AUKU hanya kerana ia menghalang penglibatan mahasiswa dalam arena politik luar kampus, ia samalah seperti membuang sepinggan nasi kerana ada sebiji padi didalamnya yang belum dikupas. Adakah ia satu tindakan yang cerdik dan menguntungkan?


Saya juga ingin bertanya, adakah SPF benar-benar mendukung demokrasi kampus seperti yang didakwa oleh mereka? Adakah SPF benar-benar berada bersama mahasiswa dalam setiap aktiviti atau program yang dijalankan? Saya pernah menyertai sekian banyak program baktisiswa termasuk di peringkat perdana. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya dapati hanya sebilangan kecil sahaja golongan pelajar Cina dan India di USM yang berminat dengan program-program kemasyarakatan sebegini. Jika benar AUKU menghalang mahasiswa daripada bersosial dan bermasyarakat, kenapa aktiviti sedemikan masih boleh dijalankan? Kalau benar anda mahu bersama masyarakat, kenapa tidak turut serta dalam program-program tersebut?


Sosial sivik yang bagaimana anda inginkan? Atau demokrasi metod apakah yang anda cita-citakan? Demokrasi yang bebas mengkritik usaha kebajikan orang lain? Atau demokrasi yang sentiasa skeptikal dengan pembaharuan dan kemajuan yang dibuat oleh pemerintah amnya dan pihak universiti khususnya? Jika benar itu yang anda inginkan, maka wajarlah AUKU terus dikuatkuasakan bahkan mungkin lebih patut diperketatkan lagi suapaya setiap pelajar lebih bersedia untuk keluar sebagai produk yang yang berkualiti, kreatif dan kritis, dan bukannya yang sentiasa radikal dan mahu menentang pihak yang tidak searus dengan pemikiran mereka.


Selain itu, saya juga tidak nampak apakah pertimbangan yang mereka gunakan sehingga mendakwa AUKU telah mengokong pemikiran pelajar. Hampir setiap hujah yang dikemukakan dalam artikel tersebut pasti akan menyentuh hal-hal politik sedangkan, dalam segenap bidang yang lainnya, mahasiswa sentiasa diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyatakan idea dan pemikiran mereka. Lihat sebagai contoh, program Minggu Lestari yang pernah dianjurkan oleh MPP sidang lepas. Banyak sekali aktiviti yang dijalankan yang semuanya baru dan tidak pernah diadakan sebelum ini. Bahkan, USM adalah yang pertama menganjurkan program Earth Hour di negara ini semasa Minggu Lestari diadakan. Adakah ini simbol kepada pengokongan minda seperti yang didakwa? Dimanakah kelibat SPF waktu itu?


Justeru apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah, pihak Pro-Mahasiswa khususnya SPF, sememangnya tidak pernah memahamai apakah AUKU dan kenapakah ia penting. Mereka hanya berfikiran selapis dan hanya melihat kekangan politiking sahaja. Mereka juga langsung enggan bertolak ansur dengan usaha-usaha pindaan yang telah dibuat sebaliknya tetap berpendirian ia mesti dihapuskan. Adakah mereka dangkal? Ya, sudah semestinya. Dangkal bahkan sempit sama sekali.

Wednesday, September 23, 2009

Siapa di sebalik Facebook?



Artikel saya sebelum ini tentang Facebook mendapat reaksi yang baik daripada rakan-rakan. Banyak emel yang saya terima menyatakan pandangan masing-masing. Ada yang melampirkan maklumat lanjut tentang laman sosial ini dan tak kurang juga yang mengkritik saya kononnya anti-sosial, menolak kemajuan dan sebagainya. Namun itu semua tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk mencari kebenaran tentang agenda di sebalik Facebook yang begitu popular ketika ini, meskipun jika saya terpaksa bersendirian.

Salah satu emel yang saya terima daripada seorang rakan dari UIA, ada menyatakan tentang pengasas laman sosial ini iaitu seorang yang berbangsa Yahudi-Amerika bernama Mark Zuckerberg. Saya lantas meng‘google’ identiti lelaki ini dan alhamdulillah, berhasil menemui profilnya. Maklumat sedia ada tentang lelaki ini sebelum ini sangat sedikit, malah saya hampir-hampir buntu mencarinya. Capaian memang banyak tetapi hampir kesemuanya menceritakan tentang kejayaan Zuckerberg membangunkan Facebook sehingga ke tahap sekarang.

Tidak dinafikan, Zuckerberg memang telah mencapai tahap yang tertinggi sebagai seorang pemuda Yahudi. Kejayaannya mencipta dan mengasaskan laman sosial ini telah meletakkan beliau sebaris dengan tokoh-tokoh besar dunia hari ini. Majalah Time misalnya telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke-52 daripada 101 orang tokoh paling berpengaruh di dunia pada tahun 2008. Hampir separuh atau lebih individu yang disenaraikan terdiri daripada bangsa Yahudi. Ini juga merupakan antara agenda tersembunyi pihak Yahudi melalui cabang medianya, khususnya di bawah naungan Fox Corp., untuk mengangkat bangsa tersebut setinggi mungkin di mata dunia. Malah, penyokong-penyokong Yahudi dan agenda-agenda mereka juga biasanya akan diberikan ‘ranking’ oleh majalah-majalah seperti Time termasuk dari Malaysia.

Sementara itu, pada tahun yang sama juga, majalah Forbes Top 400 yang sering mengeluarkan statistik individu terkaya dunia saban tahun telah menyenaraikan Zuckerberg sebagai manusia ke-321 terkaya daripada 400 individu yang disenaraikan di Amerika Syarikat. Hal ini telah meletakkan Zuckerberg sebagai individu termuda pernah disenaraikan oleh majalah tersebut iaitu ketika usianya mencecah 24 tahun (pada 2008) dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1.5 bilion, satu jumlah yang sangat besar untuk seorang lelaki muda.

Dari mana beliau mendapat semua kekayaan tersebut? Sudah tentu ia datang daripada Facebook. Menurut perangkaan yang dikeluarkan, Facebook telah menjana pendapatan hingga AS$300 juta pada tahun 2008 sahaja. Pada tahun 2007, syarikat gergasi komputer Microsoft Inc. telah membeli sebanyak 1.6 peratus kepentingan dalam Facebook dengan nilai sebanyak AS$240 juta. Sebuah syarikat Rusia pula, iaitu Digital Sky, baru-baru ini telah melabur sebanyak AS$200 juta dalam dalam web Facebook sekali gus meningkatkan nilai keseluruhan syarikat kepada AS$15 bilion.

Maklumat di atas mungkin pada sesetengah orang hanyalah perangkaan dalam urusan bisnes yang memang berlaku di mana-mana saja. Ada yang sinis menyindir saya kononnya saya tidak faham bisnes. Pelaburan merupakan sesuatu yang normal hari ini apabila peluang menjana keuntungan terbuka luas. Siapa pun yang berduit akan melabur, lalu tak perlulah diperbesar-besarkan. Memang agak sukar untuk bercakap tentang normaliti, apatah lagi jika sudah dianggap rutin. Manusia mencari kekayaan memang normal, bahkan pak-pak Arab di Dubai, Kuwait, Qatar dan sebagainya juga kaya-kaya bahkan sering menduduki carta teratas dalam senarai orang-orang kaya.

Saya ingin mengajak anda semua berkenalan dengan Zuckerberg secara personal. Mark Zuckerberg dilahirkan dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester Country, New York sebagai anak bangsa Yahudi yang berhijrah ke Amerika selepas peristiwa penyembelihan bangsa tersebut oleh Nazi Jerman seperti yang pernah dicatatkan dalam sejarah moden. Orang tuanya bernama Edward dan Karen Zuckerberg. Bapanya merupakan seorang doktor gigi sementara ibunya pula seorang pakar perubatan. Umum mengetahui Zuckerberg seorang yang genius komputer sejak kecil lagi. Pada usia lapan tahun beliau sudah mampu menghasilkan permainan komputer yang dinamakan Risk dan juga permainan muzik, Synapse.

Sejarah terciptanya Facebook sememangnya unik. Pada 4 Februari 2004, ia telah dilancarkan oleh Zuckerberg dari bilik asramanya sewaktu beliau masih bergelar mahasiswa di Universiti Harvard. Pada waktu itu, Facebook hanyalah bertujuan untuk memudahkan para pelajar Harvard berhubung sesama sendiri. Namun siapa sangka, ia akhirnya diterima dengan baik dan mendapat permintaan supaya dikembangkan hingga ke universiti-universiti lain di sekitarnya. Facebook terus menerima keahlian baru dan semakin berkembang pesat dari masa ke masa sekali gus melonjakkan nama Zuckerberg. Sewaktu di Harvard, Zukerberg juga terkenal kerana pernah menggodam sistem web universiti untuk mendapatkan data peribadi para pelajar lain.

Kenapa kita perlu berhati-hati dengan Facebook dan lelaki bernama Mark Zuckerberg ini? Inilah poin saya yang sebenar dalam artikel ini. Biar saya mulakan dengan menceritakan secara lebih rinci tentang identiti sebenar lelaki ini. Mark Zuckerberg juga sama seperti mahasiswa lain yang menuntut di universiti, bahkan sama seperti kita di USM. Beliau seorang yang aktif. Salah satu pertubuhan peringkat mahasiswa atau universiti yang beliau sertai sewaktu di Harvard ialah AEPi atau Alpha Epilson Pi. Dan hari ini Mark Zuckerberg adalah salah seorang alumni yang aktif dan giat menyokong segala gerakan persatuan tersebut. Tahukah kita apakah AEPi dan apakah kaitannya dengan Facebook serta Yahudi? Teruskanlah membaca jika anda belum tahu, dan teruskan juga membaca walaupun anda sudah tahu.

Alpha Epilson Pi merupakan sebuah pertubuhan persaudaraan Mahasiswa Yahudi yang kuat pengaruhnya di Amerika Syarikat dan Kanada, dan semakin berkembang ke negara-negara lain. Hubung kaitnya dengan Israel khususnya dan Yahudi amnya bermula apabila ia dikatakan sebagai pertubuhan persaudaraan Israel pertama dan yang satu-satunya ditubuhkan sehingga hari ini. Ia membuka keahlian kepada seluruh pelajar universiti berbangsa Yahudi di AS. Menurut Norimanah Seman yang menulis artikel tentang Facebook dalam Al-Islam keluaran September 2009, asas utama pertubuhan ini adalah untuk membina semangat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa Yahudi sekali gus menjadi pelapis kepada kepimpinan bangsa itu pada masa hadapan yang benar-benar memahamai idea, nilai dan etika Yahudi secara totok.

AEPi sama juga seperti gerakan-gerakan keyahudian yang lain yang bertujuan memupuk nilai persaudaraan dalam kalangan bangsa tersebut. Pun begitu, harus diingat, kebanyakan gerakan tersebut mempunyai pelbagai agenda tersembunyi dan sering mendukung idea-idea dan falsafah serta matlamat Freemason. Tidak ramai juga yang tahu bagaimanakah gerakan-gerakan ini menyulam jarum halus ke dalam dunia global, dan ramai sekali yang tidak tahu gerakan Freemason mempunyai sembilan teras atau falsafah utama yang sangat-sangat berbahaya terhadap dunia Islam amnya.

Secara sepintas lalu, AEPi diasaskan untuk membantu lelaki-lelaki Yahudi mencari pasangan Yahudinya. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan mengekalkan idealisme Yahudi supaya sentiasa terpelihara. Hubungan secara langsung AEPi dengan Israel pula terjalin melalui Ikatan Inisiatif Israel. Namun begitu, ada satu lagi perkara yang harus kita tahu iaitu gerakan persaudaraan ini sebenarnya turut mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan kebanyakan pertubuhan Yahudi Zionis global seperti AIPAC, Hillel, Israel on Campus Coalition, Aish HaTorah, Chabad on Campus, Hasbara Fellowships, B’inai Brith International, Shaare Zedek, Chai Lifeline, Holocaust Museum, dan Gift of Life.

Jika hubung kait ini belum cukup kuat untuk anda memahami perkaitan antara Zuckerberg dan Facebook dengan Yahudi/Zionis dan Israel, ayuh baca kutipan fakta berikut yang saya petik daripada Al-Islam. Sewaktu perang antara Israel dan Palestin yang hebat berlaku baru-baru ini, seorang wartawan Yahudi terkemuka telah memanfaatkan sepenuhnya laman Facebook miliknya untuk membakar semangat tentera Israel. Joel Layden, pemilik Israel News Agency telah mencipta akaun Facebooknya sendiri tiga jam selepas serangan tentera Israel ke atas Gaza dilakukan. Laman Facebooknya itu kemudian terus memuncak dan menjadi medan menghambur segala kata semangat dan perangsang untuk tentera-tentera Zionis oleh para pengunjung.

Pada 30 Disember tahun lalu kenalan Joel Layden telah mencapai angka 17000 orang. Bagaimanakah Layden memanfaatkan ruang Facebooknya? Jika anda mempunyai akaun sendiri, anda bolehlah mengunjungi laman Layden untuk mengetahui secara lebih dekat strategi yang beliau gunakan. Layden mengambil peluang mempengaruhi dunia bahawa Israel mempertahankan negaranya dari serangan pengganas Muslim di semenanjung Gaza. Malah, Layden juga telah memuatkan video You Tube bagi memberikan penerangan yang lebih halus kenapa Israel wajar dan perlu melancarkan serangan peluru dan roket serta menceroboh wilayah Gaza. Layden bahkan turut mengemukakan hujah kenapa penduduk Gaza mesti dibunuh kerana dilabelkan sebagai pengganas.

Pada masa yang sama, Zuckerberg dan team pengurusannya telah menutup akaun-akaun yang didapati boleh menimbulkan ancaman terhadap dunia Barat khususnya Israel dan Yahudi serta Amerika Syarikat sendiri. Adakah ini sesuatu yang adil dalam konteks hubungan sosial global? Mari kita lihat situasi berikut. Tujuan saya hanya satu iaitu untuk mengajak anda semua membuat pertimbangan yang seadilnya dan bukannya meminta anda memboikot. Segalanya terpulang pada pertimbangan anda. Di Indonesia, dua buah laman sosial kendalian Facebook milik pejuang jihad siber telah dipadam kerana kelantangan mereka memperjuangkan kebenaran dan keadilan sejagat. Kedua-dua akaun tersebut iaitu milik Kumpulan Cyber Jihad dan Arrahmah dikatakan mempunyai kenalan terbanyak di Indonesia sebelum ditutup oleh pengurusan Facebook.

Sekali lagi, adakah ini sesuatu yang adil? Ketika akses kepada Facebook milik Joel Layden dibiarkan menyebarkan spora pemikiran ganas Zionis Israel ke seluruh dunia, suara-suara pengimbang dari pihak yang tertindas iaitu pejuang-pejuang Islam sebaliknya segera disekat kononnya untuk mengelakkan ancaman keganasan global. Sedangkan kedua-dua belah pihak mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk membakar semangant juang masing-masing. Inilah yang harus kita fikirkan bersama. Minda kita harus kritis dan tidak boleh memandang hanya kepada nilai-nilai keseronokan sahaja.

Dan akhir sekali saya ingin menyentuh tentang bagaimana Facebook menjana keuntungan yang begitu tinggi sehingga mampu menarik jumlah pelaburan yang besar. Dalam hal ini, Norimanah Seman telah memetik sumber daripada laman blog Rizki Yudhistira, seorang pakar IT, yang menyatakan bahawa pendapatan utama Facebook adalah daripada iklan-iklan yang banyak dipaparkan di laman sosial tersebut. Antara sistem pengiklanan yang biasa digunakan termasuklah CPC atau ‘cost perclick’. Sistem ini adalah contoh mudah bagaimana untung yang besar dan segera mampu dikumpul di mana dengan hanya sekali klik pada satu iklan yang dipaparkan pihak pengurusan Facebook sudah berupaya memperoleh $0.50. Jadi bayangkanlah jika terdapat 1000 orang yang klik pada iklan-iklan yang dipaparkan setiap hari. Jumlah pembeli tapak iklan pula bukannya sedikit, malah pelbagai jenis iklan kecil dan besar disewakan di laman sosial ini.

Akhirul kalam, marilah kita sama-sama merenungi hal ini.Tidak dinafikan mempunyai kenalan yang ramai dari serata pelosok dunia adalah sesuatu yang menyeronokkan tapi kita juga harus berhati-hati kerana musuh-musuh Islam tidak pernah duduk diam. Mereka sentiasa berusaha meracuni budaya dan pemikiran kita. Akibatnya, Islam akan dengan sendiri menjauhi para penganutnya sekali gus memudahkan pihak musuh menyerang kita. Maka, ayuh ambillah tanggung jawab ini untuk sama-sama menyedarkan diri kita sendiri dan rakan-rakan supaya berwaspada dengan serangan-serangan halus musuh-musuh global kita yang semakin rancak dewasa ini. Nauzubulillah.

Sepintas lalu, tahukah anda;

1. Facebook telah difatwakan haram oleh Majlis Ulama Indonesia pada Jun 2009 kerana didapati menjadi penyebab kepada perlakuan tidak senonoh dan seks sebelum nikah dalam kalangan remaja di negara tersebut.

2. Sebelum itu, pada 23 Mei 2009, kerajaan Iran telah menyekat akses Facebook bagi menghalang penyalahgunaannya semasa kempen pilihan raya Presiden. Israel begitu ghairah dan sangat berminat dengan politik Iran. Langkah teknikal ini berjaya membendung wujudnya pengaruh langsung daripada dunia luar khususnya Zionis Israel.

3. Bill Gates, pengasas Microsoft dan juga individu kedua terkaya di dunia telah menutup akaun Facebooknya selepas menerima lebih 10,000 permintaan kenalan baru. Ia dilakukan tidak lama selepas syarikat gergasi tersebut melabur dalam Facebook dengan nilai AS$240 juta iaitu kira-kira 1.6% daripada nilai semasanya.


Sekian, Assalamualaikum wbt.

Friday, September 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA EIDULFITRI



assalamualaikum.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri buat semua sahabat, pembaca serta pengunjung blog ini khasnya dan juga buat seluruh umat Islam tak kira di mana jua anda berada.

Semoga kita semua berada dalam lingkungan kesejahteraan dan kebahagiaan dari-Nya. Semoga Syawal ini membawa seribu erti buat kita semua dan teruskanlah berdoa semoga sinar perpaduan, kesatuan dan persaudaraan sesama umat baik di negara ini mahupun di seluruh dunia akan menjadi sesuatu yang bukan lagi sekadar mimpi.

Akhir kata, mohon ampun maaf atas segala salah dan silap. Jazakallahu khairan jaza'

p/s: Blog geng@usm sudah bertukar URL ke http://sepupusepapatsekawan.blogspot.com/
Pandu cermat, duit selamat hehe..

Sunday, September 13, 2009

Di Sebalik Kuil

Artikel ini saya ambil daripada blog Waadat. Saya rasa ia perlu disebarkan untuk menambahkan pemahaman kita dalam isu-isu yang berbangkit ketika ini iaitu pembinaan kuil di Selangor.
....................................

Dalam meluluskan Pelan Struktur Kuala Lumpur, DBKL telah mengadakan Pendengaran Awam bagi 9 kawasan parlimennya. Begitu juga Putrajaya, telah mengadakan Pendengaran Awam bagi Rancangan Sruktur dan Rancangan Tempatan Putrajaya.

Rancangan Sruktur adalah garispanduan pembangunan yang melibatkan sosial, ekonomi dan lain lain termasuklah pembinaan sekolah, tadika, taska, pusat perniagaan, hotel dan pusat hiburan. Dalam hal ini, semua infrastruktur yang telah sedia ada dan akan dibangunkan diambil kira. Begitupun impak dan kesan dari segi sosial dipertimbangkan sedalam dalamnya sebelum sesuatu RT dan RS diluluskan untuk diwartakan.

Pendengaran Awam pula adalah proses di mana pandangan rakyat di ambil kita sebelum Rancangan Sruktur dan Rancangan Tempatan sesebuah bandar di wartakan.

Pembinaan kuil di seksyen 19 Shah Alam tidak pernah digazetkan dalam mana mana rancangan struktur dan Tempatan Shah Alam. Menurut NGO Islam yang saya temui, kerana berurusan dengan mereka, kuil itu telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rezab surau. Surau itu pula asalnya tanahnya telah diwakafkan oleh orang Islam. Jadi claim yang mengatakan kuil tersebut wujud 150 tahun boleh dipertikaikan.

Modus operandi pembinaan kuil di negara ini selalu secara stake and claim macam stake and claim lombong emas di wild wild west Amerika Syarikat. Caranya begini:-

Dapat sahaja kawasan yang sesuai, tak kira tanah siapa akan dicacak incense stick. Jika incense stick ini tidak dibuang segera, maka lama kelamaan, dari beberapa cucuk incense stick, selang beberapa bulan akan muncul rumah kotak sebesar 2 kaki x 2 kaki! Tentulah pendirian rumah kotak itu sebenarnya pada asanya telah melanggar Akta Parit, Jalan dan Bangunan sebab tidak mendapat kelulusan Permit Mendirikan Bangunan.

DBKL dan Perbadanan Putrajaya telah memperuntukan beberapa lot tanah / kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan rumah ibadah berdasarkan populasi penduduk. Disebabkan majoriti penduduk adalah berugama Islam, maka lot tanah yang diperuntukkan untuk masjid dan surau tentulah lebih banyak dari tok pekong dan kuil. Saya yakin, mana mana PBT lain juga mempunyai Standard Operating Procedure (S.O.P) yang sama.

Kekecohan yang berlaku di Seksyen 23 Shah Alam tidak sepatutnya berlaku. Jika MBSA dibenarkan membuat kerja secara S.O.P , tentulah Pendengaran Awam telah dibuat! Itulah pembangkang, asyik membangkang semua langkah, penjawat awam dibelakangkan, prosedur dan peruntukan undang undang tidak diikuti, hak rakyat ditindas, sudahnya kecoh sebab gagal tadbir negeri!

Rujuk laporan akhbar berikut dan komen Dr Khir Toyo

Pembinaan kuil tak ikut proses - Khir

SHAH ALAM 9 Sept. - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menegur kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa tidak mengikut proses sepatutnya dalam melaksanakan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Beliau berkata, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor ketika ini dilihat mengamalkan cara yang kurang sesuai bagi membolehkan rumah ibadat itu dibina di kawasan Seksyen 23 meskipun kerajaan negeri telah memperoleh lokasi baru bagi menggantikan lokasi asal yang mendapat bantahan keras daripada penduduk.

Menurut beliau, dalam pembangunan rumah ibadat bukan Islam di kawasan umat Islam, kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pandangan penduduk berhampiran kawasan itu terlebih dahulu, bukannya persetujuan daripada Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariaman di Seksyen 19.

Ini kerana katanya, penduduk Melayu dan Islam berhampiran kawasan berkenaan merupakan golongan yang terpaksa menerima kewujudan rumah ibadat Hindu itu di kawasan mereka yang tidak pernah ada selama mereka tinggal di situ.

"Jadi perkara inilah yang perlu diberi perhatian. Dapatkan pandangan penduduk setempat dan jika mereka setuju barulah dapatkan pandangan jawatankuasa kuil dan seterusnya dibincangkan dalam mesyuarat Exco," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan negeri mencari tapak baru kuil berkenaan bagi menggantikan tapak cadangan asalnya yang mendapat bantahan majoriti penduduk Islam Seksyen 23 sehingga mencetuskan pergaduhan sebelum ini.

Tambah Mohamad Khir, bantahan penduduk Islam Seksyen 23 terhadap kerajaan negeri sehingga hampir mencetuskan pergaduhan adalah berpunca daripada sikap kerajaan negeri yang sambil lewa dengan prosedur pelaksanaan berkaitan dengan pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

Ini kerana katanya, tapak cadangan asal berhampiran dengan kawasan penduduk Islam yang diputuskan oleh kerajaan negeri sebelum ini dibuat tanpa mengambil kira pandangan penduduk Islam di kawasan itu terlebih dahulu.

Sebaliknya beliau memberitahu, tapak cadangan asal kuil itu diputuskan hanya menerusi perbincangan antara kerajaan negeri dengan jawatankuasa kuil Seksyen 19, tidak termasuk penduduk Seksyen 23.

"Mereka patut tahu dan faham apa maksud pendengaran awam sebenarnya. Pendengaran awam ialah mendapatkan pandangan penduduk yang akan menerima projek dan pembinaan rumah ibadat itu di kawasan mereka," jelasnya.

Abdul Khalid ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini memberitahu kerajaan negeri tidak akan mengadakan perbincangan dengan para penduduk berhampiran Seksyen 23 di sini berhubung tapak baru kuil Sri Maha Mariaman yang dicadang dipindahkan ke kawasan itu dari Seksyen 19, buat masa ini.

Menurut Abdul Khalid, perbincangan dengan penduduk mengenai cadangan baru itu tidak menjadi keutamaan kerana sebelum kerajaan negeri membuat sebarang keputusan ia haruslah mendapatkan persetujuan daripada Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 terlebih dahulu.

Thursday, September 10, 2009

KEPALA LEMBU: PAS, PKR PUN TERLIBAT SAMA

Cow head demo: Umno, PAS and PKR show?

Home Minister Hishammuddin Hussein Onn said it openly - the Section 23 protestors included members from BN and Pakatan Rakyat. He did not give the breakdown except to say that the unhappiness over the relocation of the Hindu temple involved all parties. It was no longer about politics. The Star reported today that of the 12, who were charged in courts, 7 were from Umno, 4 from PAS and 1 from PKR.

It is understood that the Section 23 Residents' Action Committee members is also made up of people from the three parties. The 10-member panel is said to comprise 7 Umno, 2 PKR and one PAS.

Meanwhile, a group calling itself Perkasa, a Malay non-governmental group headed by Datuk Ibrahim Ali has pledged to provide legal counsel to the 12 protestors, who have been charged with sedition and illegal assembly.

Ibrahim, the maverick MP from Kelantan, has said the group was prepared to take up the case as a jihad. The Pasir Mas MP has condemned the country's leaders as cowards. Ibrahim was in Umno, contested under a PAS ticket and is now an independent. The question now for those charged with sedition - would they still get to keep their party membership if convicted later? After all, both BN and PR leaders have criticised their actions.

Sumber dari http://chunwai08.blogspot.com/2009/09/cow-head-demo-umno-pas-and-pkr-show.html


Ulasan saya:

Berita ini mungkin belum tersiar sehingga esok. Tapi saya percaya, apabila sudah tersiar kelak, pasti kedengaran pelbagai alasan yang akan diuar-uarkan oleh pihak pembangkang. Bagi mereka, isu kepala lembu ini tak lebih hanya agenda politik yang cuba dimainkan oleh UMNO.

Sejak dari awal lagi mereka mencanangkan kononnya perarakan tersebut didalangi oleh UMNO. Bukti dikemukakan termasuk gambar-gambar yang menunjukkan penglibatan individu-individu tertentu di sebalik insiden berkenaan. Mereka tidak tidak duduk diam.

Dan apabila terkeluarnya berita ini, pastinya mereka lebih tidak akan duduk diam. Kenyataan ini harus diterima. Tapi mahukah puak-puak pembangkang sedar yang sentimen penduduk lebih penting untuk diberi perhatian melampaui kepentingan politik?

Kalau benar ada penyokong PAS dan PKR (memang dah benar pun) maka terbuktilah bahawa penduduk, khususnya dan tepatnya orang Melayu/Islam benar-benar tidak inginkan kuil tersebut dibina dalam kawasan mereka. Releven rasanya perkara yang mereka tuntut ini.

Harap media baru Pakatan Rakyat buka mata akan hal ini dan berhenti mainkan isu ini sewenang-wenangnya.

Wednesday, September 9, 2009

ISU POCO-POCO

Poco-poco merupakan sejenis tarian yang melibatkan pergerakan kaki dan tangan serta sebahagian besar anggota badan yang lain dalam rentak tari yang khas berpandukan iramanya yang tersendiri. Itu mungkin definisi mudah, atau gambaran kasar terhadap jenis tarian yang popular ini.

Namun begitu, sejak-sejak akhir-akhir ini, motif tarian ini dicipta dan hubung kaitnya dengan pihak-pihak tertentu mula dipersoalkan khususnya dalam kalangan orang Islam di negara ini. Secara sedar atau pun tidak, tarian ini telah pun mempunyai legasinya yang cukup luas meliputi pelbagai jenis organisasi dan institusi baik awam mahupun swasta di Malaysia.

Kononya, tarian ini dicipta oleh pihak gereja di Filiphina sebagai salah satu ritual keagamaan Kristianiti. Ia ditarikan sebagai satu bentuk persembahan keagamaan yang mempunyai nilai-nilai kerohanian tertentu.

Pada masa yang sama, ada juga pendapat yang secara tegas menafikan hal tersebut. Berdasarkan penelitian sejarah, menurut sesetengah pihak, tarian ini berasal daripada Bali, Indonesia. Ia ditarikan sejak sekian lama, malah menjadi kegemaran atau kesukaan raja-raja ketika itu dan dipersembahkan secara ekslusif di istana.

Pendapat ini mungkin ada benarnya. Jika benar tarian poco-poco memang berasal daripada ritual keagamaan Kristian seperti yang didakwa, kenapa ia bermula di Filiphina?

Persoalan ini ada asasnya kerana Kristian bukanlah agama asal bagi penduduk di negara tersebut, malah kedatangannya juga lebih lewat daripada Islam yang telah lama bertapak di sana.

Justeru jika begitu, sudah pastilah tarian ini datangnya dari jauh, dari Eropah tentunya. Hal ini demikian kerana, dari sanalah Kristian datang ke Filiphina. Ia berkait rapat dengan misi penjelajahan bangsa Eropah ketika itu sendiri yang antara lain untuk menyebarkan ajaran baru Kristian di rantau ini termasuk di Filiphina.

Dan jika benar begitu, maka tentunya tarian poco-poco yang dikatakan merupakan salah satu ritual keagamaan dalam ajaran Kristian akan lebih popular di Eropah, yakni di negara asal ajaran tersebut datang. Tapi setahu saya, tidak pula begitu. Bahkan orang Eropah yang datang melancong ke Indonesia misalnya ketika ini begitu tertarik dengan seni tarian ini.

Isu ini sengaja saya bangkitkan kerana ketika ini tersebar khidmat pasanan ringkas dalam kalangan pelajar khususnya pelajar baru di USM berkenaan dengan tarian tersebut. Tidak dinafikan, memang pelajar baru ada diajarkan tarian ini semasa mereka terlibat dengan program PIMPIN Siswa baru-baru ini.

Antara lain, pesanan itu (secara tidak langsung) cuba menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak peka dengan kesahihan bentuk tarian tersebut yang katanya membentuk sebuah salib apabila ditarikan.

Bagi mendapatkan penjelasan tentang hal ini, saya telah menghubungi salah seorang sahabat yang terlibat secara langsung menguruskan program tersebut. Pertama sekali, saya tanyakan adakah beliau sedar tentang bentuk salib yang dikatakan wujud dalam seni tarian poco-poco seperti yang dimaksudkan. Beliau mengakui sedar akan perkara tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, pengubahsuaian telah pun dilakukan ke atas steps atau langkah tarian tersebut sebelum ia digunakan sebagai salah satu bentuk riadah sepanjang program tersebut diadakan. Menurut beliau, nisbah steps atau langkah yang digunakan untuk tarian tersebut ialah 2,2,2,2 dan bukannya 2,2,2,3 seperti yang didakwa.

Kemudian saya hubungi pula seorang junior yang telah pun mengikuti fasa awal program PIMPIN sebelum ini. Soalan yang sama saya ajukan dan beliau memberikan maklum balas yang hampir sama seperti sahabat saya tadi. Beliau menambah, isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia dilakukan tanpa sebarang bentuk pengaruh ritual keagamaan bahkan, bentuk tariannya juga sudah diubahsuai.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, saya hubungu pula seorang lagi sahabat yang berasal dari Negeri Sabah. Beliau merupakan bekas penganut Kristian yang memeluk Islam beberapa tahun yang lepas. Daripada beliau saya mendapat gambaran yang lebih jelas.

Menurut beliau, tarian poco-poco memang popular di Borneo tetapi bukan kerana faktor keagamaan sebalikanya kerana faktor geografi dan demografi penduduknya sendiri. Beliau juga menyangkal dakwaan yang mengatakan tarian ini berasal dari Filiphina seperti yang didakwa sesetengah pihak. Tambahnya, perkara ini sukar dibuktikan dan kita tidak boleh bergantung kepada maklumat berangkai seperti yang tersebar melalui internet.

Dan semalam, semasa dalam perjalanan pulang dari PWTC, saya bersama-sama dengan kepimpinan MPP USM sempat berbincang tentang isu ini. Pun, kami tidak mahu segera menghukum sebaliknya mengambil jalan yang lebih berhati-hati selagi duduk benar perkara ini belum disahkan.

Walaupun cerita ini sudah lama tersebar namun belum ada pihak yang tampil mengemukakan pandangan yang sahih dan boleh dijadikan panduan oleh umum.

Salah seorang daripada kami telah menghubungi Mufti Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan pandangan beliau. Maklum balas yang diterima, beliau tegas berpendapat bahawa tarian ini tidak boleh diamalkan sama ada dengan niat ataupun tanpa niat keagamaan.

Sementara itu, Ustaz Syahrin, Ketua Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia ketika dihubungi menjelaskan, tarian ini haruslah dilihat dari sudut jasmaniah dan bukannya rohaniah. Perbezaan pendapat ini pada saya adalah sesuatu yang biasa dan membolehkan pintu perbincangan dibuka dengan lebih luas sebelum keputusan yang jelas boleh diambil.

Lanjutan itu, saya telah mengunjungi beberapa laman web dan blog umum bagi mencari maklumat tambahan berkenaan isu ini. Antara yang menarik, di laman ILUVISLAM.COM, isu ini rupa-rupanya telah diperdebatkan dengan hangat sekali. Namun, yang menghairankan kenapakah belum ada suara daripada golongan cerdik agama dalam hal ini?

Akhir sekali, saya telah berkunjung ke satu lagi laman sesawang yang banyak mengendalikan soal jawab agama Islam iaitu al-fikrah.net. Dalam ruang forumnya, salah satu soalan yang ditanyakan ialah berkenaan dengan hukum menarikan tarian poco-poco tanpa niat keagamaan.

Jawapan kepada soalan ini agaka menarik iaitu, apa-apa jenis tarian hukumnya adalah harus selagi tidak melibatkan unsur keagamaan dan menyimpang daripada batas-batas syarak.

Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa tarian poco-poco pada asasnya adalah harus ditarikan. Namun, pada pendapat saya. Ia haruslah tidak dijadikan amalan atau pun rutin secara kerap. Tidak salah untuk belajar. Selain itu, saya juga berpendapat, jika benar tarian ini sudah diubahsuai, maka isu ini tidak perlu lagi timbul.

Berkenaan dengan ketiadaan hukum yang jelas atau garis panduan langsung pula, saya berpendapat, ia tidak perlulah diperdebatkan kerana isu ini tidaklah begitu menekan. Sebaliknya, orang ramai dan pelajar khususnya, haruslah bijak menangai isu ini. Mungkin kita boleh menggunakan hujah daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu senaman Yoga tidak lama dahulu kerana situasinya hampir sama.

Apa-apa pun, pintu perbincangan masih lagi terbuka luas.

Sunday, September 6, 2009

SALAM NUZUL QURAN



“...Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (Surah An-Nisa:87)

Salam Nuzul Al-Quran. Ketika saya menulis artikel pendek ini, hati dan fikiran saya terasa sayu sekali.

Susah payah Baginda Junjungan Besar mengutip ayat demi ayat, juzuk demi juzuk sebelum disebar-luaskan ke seluruh alam, ayat-ayat suci yang merupakan bayangan kepada Kalam Allah (kata-kata Allah s.w.t) semakin hari semakin disisihkan daripada kehidupan kita sehari-hari.

Sama ada perkara ini hendak diterima atau tidak, namun inilah hakikatnya. Baik orang biasa hinggalah ke peringkat tertinggi kepimpinan orang Islam sendiri, keyakinan dan keteguhan pegangan terhadap isi kandungan Al-Quran seolahnya sudah mula mereput melonglai.

Saya tidak berhak untuk berbicara tentang situasi ini, bahkan saya langsung tidak layak kalau hendak menegur siapa-siapa kerana kelemahan diri sentiasa saya sedar. Jari yang ditunding selalu lupa betapa yang menunding itulah yang lebih hina.

Semoga kita semua diberikan seutuh kekuatan untuk terus mempertahankan kesucian Al-Quran hingga ke hujung nyawa. Kita mesti pertahankan keagungan dan kemuliaan ayat-ayat Allah s.w.t daripada terus meniti di bibir-bibir musuh-Nya yang cuma mahu mengambil kesempatan atas kelalaian umat Islam baik di negara kita mahupun di seluruh dunia.

p/s : Ada baiknya untuk seketika kita berhenti sekejap daripada sibuk mencari salah orang lain dan kembali kepada sumber kebenaran yang hakiki iaitu Al-Quran. Di sini sahaja letaknya segala yang benar.

CCTV Bukti Kebajikan Pelajar Sentiasa Diutamakan

Ketika ini, kebanyakan desasiswa di kampus induk USM sudah pun dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup atau CCTV bagi memantau setiap pergerakan keluar masuk dan aktiviti-aktiviti penghuninya.

Inisiatif pemasangan kemudahan kamera litar tertutup ini pada dasarnya adalah bagi mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan sedia ada di dalam kampus di samping memastikan kebajikan dan keselamatan para penghuni desasiswa yang juga pelajar USM sentiasa terjaga dengan baik.

Sebagai contoh, di Desasiswa Fajar Harapan saja terdapat sekurang-kurangnya empat lokasi CCTV yang dipasang di setiap blok yang boleh dilihat oleh orang ramai sementara beberapa buah lagi CCTV dipasang secara tersorok di beberapa lokasi rahsia dan hanya diketahui oleh beberapa individu penting sahaja.

Ketika saya bersama-sama dengan kepimpinan tertinggi Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan dipanggil oleh Penggawa Dr. Yahya Mat Arip baru-baru ini, beliau telah mengesahkan tentang perkembangan ini.

Beliau menjelaskan antara lain, setiap desasiswa terutamanya desasiswa yang sering merekodkan aktiviti tidak sihat termasuk ancaman keselamatan terhadap para penghuninya telah pun dipasang dengan sistem pemantauan tersebut.

Beliau juga turut memberikan jaminan bahawa keselesaan penghuni dan pelajar tetap terpelihara dan ia tidak sepatutnya menjadi isu yang berbangkit kerana tujuan utama pemasangan sistem pemantauan itu dibuat adalah untuk keselamatan mereka sendiri.

Ditanya siapakah yang bertanggungjawab ke atas sistem tersebut, beliau menjelaskan terdapat sekurang-kurangnya tiga individu yang boleh menerima akses terus kepada sistem yang dipasang menggunakan protokol internet itu bagi setiap desasiswa.

Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pihak pengurusan sentiasa mengambil berat isu-isu keselamatan dan kebajikan para pelajar bukan sahaja di kampus induk malah melibatkan semua kampus USM.

Inisiatif pemasangan sistem keselamatan ini juga tidak akan menjadi kenyataan jika tidak ada usaha berterusan daripada Majlis Perwakilan Pelajar USM dan BHEPP USM yang terus-terusan berkerja meningkatkan taraf kebajikan para pelajar amnya dan warga kampus khususnya.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kepimpinan pelajar dalam MPPUSM dan terima kasih kepada BHEPP USM atas keprihatinan ini.

1Siswa 1Malaysia. Mahasiswa Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tuesday, September 1, 2009

KITA MEMBUNUH RAKYAT PALESTIN DENGAN FACEBOOK?

Walau pun saya tidak pernah mempunyai akses sendiri terhadap pelayar-pelayar laman sosial nombor satu ketika ini iaitu Facebook, namun saya sering juga berkunjung ke laman kawan-kawan yang sudah pun mempunyai akaun masing-masing.

Saya melihat ada satu macam rasa ghairah yang melampau terhadap laman sesawang ini. Saya tidak berniat menunding jari kepada siapa-siapa dalam hal ini. Kegilaan ini pada saya sesuatu yang unik kerana Facebook memang menawarkan kelainan.

Sudah terlalu ramai manusia yang mempunyai akaun dengan Facebook. Anggota komunitinya kini direkodkan melebih 250 juta orang di seluruh dunia. Dan angka-angka tersebut terus bertambah setiap saat. Ini fakta yang sungguh mengagumkan pada saya.

Dan ketika berada di Alamanda hujung minggu yang lepas, saya bersama seorang rakan singgah di sebuah toko buku. Saya tertarik dengan satu jurnal masa kini yang memuatkan cerita-cerita tentang kejayaan laman-laman sosial dalam menjana ekonomi manusia hari ini.

Tidak terkecuali, malah, diberi perhatian khusus tentunya Facebook. Dianggarkan tuan punya laman ini kini sudah mampu mengaut untung lebih USD200 juta setahun hasil penjualan iklan dalam lamannya itu.

Diceritakan juga, satu-satu iklan yang cuma bersaiz kecil saja sudah mampu memberikan keuntungan 0.50 sen (dalam Dolar) dengan hanya satu klik sahaja. Bayangkan jika setiap iklan bersaiz kecil yang terdapat pada ruang anda diklik oleh 250 juta orang pengguna setiap hari. Dan bayangkan juga bagi iklan-iklan komersial lain yang bersaiz lebih besar. Berapa banyak untung yang terjana?

Di toko buku yang sama, saya tertarik dengan majalah Al-Islam yang turut memberikan perhatian terhadap laman sosial ini. Artikelnya lebih keras. Saya sudah pun mengetahui akan hakikat ini dan dalam artikel sebelum ini saya sudah pun bercakap tentang agenda di sebalik lama-laman sosial tersebut.

Namun, apa yang ditawarkan oleh Al-Islam keluaran terbaru ini sungguh mencemaskan. Diceritakan, hasil mahsul daripada keuntungan Facebook sebahagian besarnya disalurkan kepada pihak Yahudi bagi membantu usaha pembersihan bangsa Palestin. Masya-Allah.

Saya percaya, berita atau cerita ini pasti sukar diterima oleh kita semua khususnya pengguna-pengguna tegar Facebook. Perkaitan antara laman sosial ini dengan pihak Yahudi pasti akan dipersoalkan. Namun, inilah kebenarannya.

Sejak sekian lama saya berusaha mencari kebenaran ini. Saya sentiasa meragui setiap kejayaan yang dicatatkan oleh laman-laman sosial termasuk Friendster, Tagged, MySpace dan sebagainya lagi. Namun, kejayaan Facebook dalam masa yang singkat begitu mencemaskan bagi saya.

Pasti ada sesuatu yang tersembunyi menyorok jauh di belakang laman sosial ini. Lebih-lebih lagi jika datangnya dari negara musuh nombor wahid umat Islam hari ini iaitu Amerika Syarikat. Hal ini makin mendesak saya untuk mencari kebenaran tersebut.

Saya meninjau beberapa buah laman web untuk mencari kebenaran tersebut. Antara yang menarik ialah artikel yang disediakan oleh PMIUSM dalam laman blog mereka, dan juga beberapa laman blog individu lain.

Terdapat beberapa perkara yang sedang saya cari. Pertama, siapakah sebenarnya pihak di sebalik Facebook (walaupun secara peribadi saya sudah tahu siapakah penciptanya), kedua, dari manakah wang diperoleh untuk mendanai pembangunan program laman tersebut, ketiga, kemanakah hasil keuntungan yang begitu besar disalurkan, keempat, apakah benar wujud kepentingan daripada CIA dalam Facebook seperti dalam laman sosial lain, kelima, apakah ancaman yang mungkin akan menimpa umat Islam daripada kejayaan laman sosial ini, dan keenam, apakah hukumnya bagi umat Islam menggunakan laman-laman sosial ini jika benar ia mengancam kita semua?

Saya berharap rakan-rakan yang berkongsi minat dan pendirian yang sama seperti saya dapat bertukar-tukar pandangan dalam hal ini, insya-Allah. Emelkan, jika boleh, maklumat-maklumat yang anda ada kepada saya di ri_zuwan@yahoo.com atau terus komen di sini. Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...