Followers

Friday, June 11, 2010

Exile Figure Saw Sook Hwa Yang Cuba Ditokohkan Kembali Oleh Pro-Mahasiswa


Keratan akhbar AMBOI S2BJ edisi 1-15 September 2004 yang memuatkan liputan kes Saw Sook Hwa.

Kalangan pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Pro-Mahasiswa mungkin kenal dengan individu bernama Saw Sook Hwa, bekas pelajar USM yang pernah meninggalkan secebis palitan dalam sejarah perundangan negara ini.

Saw Sook Hwa pernah dituduh melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atas kesalahan menyertai kempen pilihan raya umum pada Mac 2004 bagi pihak pembangkang ketika itu iaitu DAP. Akibatnya, beliau dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan sedia ada yang digunapakai oleh universiti termasuk apa yang telah dimaktubkan dalam AUKU.

Rentetan peristiwa tersebut, pada 2hb Dis 2004, kes beliau telah dibicarakan dan Saw Sook Hwa telah diberi amaran serta denda sebanyak RM 200.00 oleh pihak universiti. Walau bagaimanapun, Saw terselamat daripada dikenakan hukuman maksimum iaitu buang universiti meskipun kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Saw tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya telah mengambil langkah susulan termasuk membuat rayuan ke mahkamah atas alasan AUKU telah melanggar kebebasan mahasiswa. Saw menerima sokongan yang kuat termasuk daripada kumpulan bekas pelajar dan tenaga akademik USM sendiri yang pernah dikenakan hukuman yang sama untuk mencabar kesahihan AUKU di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Masa terus berlalu. Pertukaran tampuk kepimpinan kerajaan pusat juga turut berlaku seiring peredaran masa yang menyaksikan lebih banyak suara mahasiswa diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan. Dalam hal ini, AUKU sentiasa mengisi tempat dan ruang perbincangan dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara hinggalah pihak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengambil keputusan untuk merombak bahagian-bahagian tertentu dalam AUKU yang selama ini mencetuskan kekeliruan dan perbalahan umum.

Antara perkara yang paling banyak diperdebatkan ialah berkaitan hak dan kebebasan mahasiswa dalam menyertai badan-badan tertentu seperti persatuan dan pertubuhan termasuk juga parti-parti politik serta keagamaan. Hasil rombakan yang dilakukan baru-baru ini, pihak legislatif negara telah bersetuju secara dasar dan praktikalnya untuk melonggarkan mobiliti mahasiswa supaya lebih terbuka dan kondusif dengan kehendak persekitaran.

Dalam hal ini, kecuali parti politik, mahasiswa telah menerima ‘autonomi’ yang sewajarnya yang mana selama ini begitu ‘dipolemikkan’ oleh sekian banyak pihak termasuk pihak-pihak berkepentingan tertentu di luar pagar kampus. Ternyata, perobahan baru dalam erti kata membentuk mobiliti mahasiswa Malaysia yang lebih gegas, sebahagian besarnya hadir daripada sumbangan pendokong-pendokong mahasiswa yang rasional dan memahami aspirasi sejagat bahawa ketergesaan, keradikalan dan kelantangan yang melampaui batas sering kali menjauhkan matlamat daripada diri sendiri.

Inilah yang berlaku dalam kes Saw Sook Hwa seperti yang dibincangkan dalam bahagian awal tadi. Kenapa jadi begitu, adalah kerana metodologi dalam menggagaskan tuntutan yang dibuat sering kali menidakkan kerasionalan, sebaliknya keradikalan yang dibuat-buat termasuk provokasi yang tak sepatutnya berlaku, mengambil tempat dalam perjuangan mereka.

Saw Sook Hwa terlalu memandang serong terhadap sistem perundangan yang digunakan sehingga beliau memilih untuk mencabarnya di mahkamah sedangkan ia telah pun diiktiraf oleh pihak yang menggubal undang-undang negara ini sendiri iaitu Parlimen. Asas untuk mengatakan AUKU melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan hujah bahawa mahasiswa adalah rakyat yang harus mendapat hak dan kebebasan yang sama, termasuk dalam berpolitik, sebenarnya telah dipolitikkan oleh pihak Saw Sook Hwa untuk menutup kesalahan yang dilakukan.

Apakah Saw tidak sedar atau sengaja membutakan matanya ketika itu? Sudah pasti Saw dan kumpulan beliau iaitu Persatuan Bahasa Tionghua yang diketuainya sendiri memahami bahawa terdapat bahagian-bahagian tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dibaca bersama dengan bahagian lain kerana ia saling rujuk-merujuk dan lengkap-melengkapi untuk menjadi sebuah naskah perundangan yang bermakna.

Intipati daripada usaha terancang Saw dan kumpulan yang menyokongnya sebenarnya adalah jelas iaitu untuk membangkitkan sentimen politik dalam kalangan mahasiswa supaya menentang pihak universiti yang mendokong aspirasi pembaharuan. Lantaran itu gerakan politik haluan kiri kumpulan mahasiswa yang dipimpin oleh Saw ini digelar sebagai ‘anti-estabalishment’ yakni yang menolak pembaharuan.

Siapakah sebenarnya di belakang Saw sehingga beliau mampu menggerakkan kesnya itu ke mahkamah? Meskipun tidak secara langsung, namun rentetan demi rentetan laporan pelbagai media kebanyakannya memberikan kita satu arah yang jelas condongnya iaitu kepada pembangkang khususnya DAP dan kini PKR. Dikatakan juga, Tian Hua merupakan moderator kepada gerakan mahasiswa seperti DEMA dan SPF yang bergiat aktif di kebanyakan kampus.

Kes Saw Sook Hwa juga menarik kerana ia telah tertangguh dalam satu jangka masa yang agak lama sebelum diperdengarkan semula baru-baru ini. Dalam tempoh itu, AUKU telah dipinda termasuk pada bahagian yang menyaksikan Saw didakwa dan dijatuhkan hukuman. Justeru, natijahnya, meskipun Saw cuba mencabar hukuman yang telah dikenakan dengan menggunakan pindaan AUKU terkini, namun pihak mahkamah telah menolaknya dengan hujah Saw didakwa dengan peruntukan yang sah sebelumnya iaitu pada tahun 2004 (sebelum pindaan dilakukan).

Lebih menarik, Saw bukan sahaja gagal membatalkan hukuman terhadapnya malah beliau juga gagal dalam usahanya mencabar kesahihan AUKU dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kenapa hal ini berlaku? Mudah, kerana Saw terlalu memandang rendah dengan kuasa perundangan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Saw beranggapan hujah yang beliau kemukakan adalah kukuh tanpa mengambil kira kedudukan undang-undang dan prosedur yang digunapakai selama ini. Lebih malang buat Saw kerana beliau turut diarahkan membayar dengan kos bagi prosiding yang telah dijalankan.

Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan di sini bahawa Saw Sook Hwa ibarat watak yang ditokohkan semula selepas sekian lama tidak dimainkan. Atas nama perjuangan, hari ini Pro-Mahasiswa mengetuk kembali gendang politik mereka untuk meraih perhatian termasuk cuba membawa isu ini ke Parlimen Malaysia. Apa untungnya kepada mahasiswa sejagat?

Saw mungkin boleh diibaratkan juga sebagai ‘exile figure’ yang terbuang di tempatnya sendiri tetapi telah dicirikan kembali sebagai lagenda solidaritis kemahasiswaan di Malaysia seiring dengan nama-nama lain kerana keberaniaannya melawan ‘musuh’ (baca: kerajaan). Malangnya, dalam hal ini, tanpa disedari oleh mahasiswa sendiri, kes Saw adalah satu penyimpangan yang disengajakan terhadap kebenaran dan kebenaran itu pula adalah sesuatu yang diputuskan secara kolektif oleh pemimpin-pemimpin negara sama ada di pihak pemerintah ataupun pembangkang sendiri.

Jika Saw ialah ‘exile figure’ yang cuba digilap kembali ketika ini, maka kita akan tertanya-tanya, siapakah pihak yang akan mendapat untungnya? Kenapa pihak Pro-Mahasiswa begitu mahukan supaya AUKU dimansuhkan? Apakah sebenarnya yang menghalang kebebasan mereka selama ini di dalam kampus ataupun di luar kampus? Walaupun ada AUKU, namun hakikatnya, mereka tetap juga menyertai aktiviti parti-parti politik di luar sana. Justeru kenapa bila masuk kampus mereka menyalak melalak menuduh universiti menghalang kebebasan mahasiswa?

Kesimpulannya, Saw Sook Hwa, AUKU dan kebebasan mahasiswa adalah tiga elemen yang sangat berbeza-beza. Saw dikenakan tindakan atas kesalahannya sendiri. AUKU pula hanya satu set peraturan yang berperanan menjaga hak dan kebajikan serta masa depan mahasiswa seluruhnya, bukan menindas atau menyekat. AUKU menyediakan panduan dan pedoman, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Dan kebebasan pula, harus difahami bahawa ia bukanlah sesuatu yang mutlak pada setiap masa dan ketika. Kebebasan mesti dikawal supaya hak minoriti dan majoriti sentiasa terbela.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...